Monday, December 31, 2012

Selamat Tahun Baru 2013 dan Coconut Jelly




Selamat Tinggal 2012 dan Selamat Datang 2013...

Tahun 2012 meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis dalam kehidupan seharian kita. Mustahillah kalau sepanjang masa kita hanya dikelilingi oleh kegembiraan tanpa secubit pun kesedihan. Tapi itulah realiti kehidupan, selagi masih bernafas, selagi itulah kita akan merasai kegembiraan dan kesedihan. Semoga semua pengalaman itu lebih mendewasakan diri kita, memperbaiki kelemahan untuk menjadi insan yang lebih baik dari semalam.


Semoga kedatangan Tahun 2013 akan membawa seribu kebahagian buat kita semua dan terima kasih kerana masih sudi singgah di sini. Terima kasih buat semua "Follower", semua teman blogger dan semua pengunjung My Small Kitchen tidak kira yang selalu meninggalkan komen atau hanya sekadar silent reader.



Saya tinggalkan Tahun 2012 dengan entry Coconut Jelly yang menjadi kegemaran my husband.

Selamat bercuti dan Selamat Tahun Baru.


Saturday, December 29, 2012

Oven Baked Potato Wedges


Selamat Pagi,

Cuaca pagi sabtu yang terang... tapi biasanya bila lepas waktu tengahari, langit mula mendung dan hujan akan turun dengan lebat sekali.

Lagi beberapa hari 2012 akan meninggalkan kita dan 2013 akan menjelma. Semoga tahun 2013 akan membawa seribu satu rahmat buat semua umat manusia.

Sudah agak seketika juga saya tidak menyediakan masakan ala ala western di rumah. Maklumlah "tuan tanah" tu ala ala konservatif sikit. Kalau boleh nak makan nasi saja. Kalau tidak, tak kenyang katanya. Tapi sejak kebelakangan ini memang jarang sangat makan yang berat berat especially waktu makan malam. Kalau dulu, seminggu sekali mesti ada Kari Kepala Ikan. Tapi sekarang, kalau makan nasi pun, lauk dimasak seringkas mungkin.


Pada mulanya my husband request nak makan steamboat untuk makan malam tapi last minute tukar nak makan ayam bakar saja. Jadi sebelum balik kerja, saya singgah beli ayam dan juga Russet Potato untuk buat Oven Baked Potato Wedges.

Kalau selalu makan yang simple macam ni memang akak suka dikkkk... Maklumlah, kadang kala tahap kerajinan bukannya tinggi sangat. Kadang kala tak ada idea nak masak lauk apa. Asyik ulang menu yang sama walau buku masakan sebulan 3,4 jenis dibeli.


OVEN BAKED POTATO WEDGES

Bahan bahan
3 biji kentang Russet - cuci bersih dan belah 6
Minyak zaitun - ( Saya guna extra virgin sebab ada stok ini saja )
Garam
Serbuk cili
Bawang putih
Daun ketumbar - boleh guna rosemary,parsley atau apa yang disukai

Cara cara
1. Tumbuk bawang putih hingga hancur, masukkan ke dalam bekas dan masukkan juga serbuk cili,garam,minyak zaitun dan hirisan daun ketumbar.
2. Gaul sebati kemudian tuangkan ke dalam bekas yang berisi kentang. Gaul sekata supaya semua kentang disaluti aoleh campuran tadi.
3. Panaskan oven, susun kentang di atas dulang pembakar dan bakar kentang pada suhu 220 darjah celcius lebih kurang 30-40 minit atau sehingga kentang masak.
4. Semasa proses memasak, alihkan kentang supaya ia masak sekata.



Kentang akak yang extra hangit...... Tapi yang hangit itu yang paling sedap. Sendiri masak, sendiri puji. Siapa lagi nak puji kan...



Inilah makan malam kami, Oven baked chicken and Oven Baked Spicy,garlicky potato wedges. 

Fuhhhh.... western habis. Sesekali Biru Mata Hitamku.




Thursday, December 27, 2012

Talam Labu (Kabocha)


As Salam dan Selamat Pagi...

Ermmm dua tiga hari mood nak memasak kuih muih macam terlebih rajin pulak. Ada masa mood memasak lebih kepada lauk pauk untuk makan malam. Maklumlah hanya waktu makan malam saja biasanya saya sempat ke dapur. Tapi kebelakangan ni my husband suka makan mee atau yang ringan saja semasa makan malam. Sebab itu jarang upload menu lauk pauk kebelakangan ini.


Memandangkan baki Kabocha Squash yang saya gunakan untuk buat puding masih ada berbaki, jadi saya cari resepi untuk habiskannya. Kalau nak buat masak lemak, saya tak masak nasi pula. So kena cari resepi kuih muih juga. Macam biasa, selak segala macam buku masakan dan juga search kat internet mencari idea atau resepi yang senang untuk dicuba.



Campuran labu yang telah dikisar halus.

Rasanya saya jarang sangat buat kuih talam atau serimuka sebab selalunya tidak berapa menjadi. Kadang kala terlalu lembut dan agak sukar semasa hendak memotongnya. Selalu nampak kawan kawan blog yang buat kuih talam, serimuka,kuih lapis dan kejadiannya cantik sangat. 


So semasa mencari cari saya jumpa satu resepi kuih talam labu dalam blog dari seberang. Nampak macam senang dan kuantitinya pun tak banyak sangat. Bukan apa, kalau tak menjadi tidaklah rasa sayang sangat kalau terpaksa "menghantarnya" ke tempat lain.

Tetapi kata orang, kalau tidak mencuba sampai bila bila pun kita tidak tahu samada menjadi atau tidak.


TALAM LABU
Sumber : Cooking Tackle

Bahan bahan

Lapisan Bawah
180 gms labu yang telah dikukus
200 ml santan pekat
50 gms tepung beras
25 gms tepung ubi kayu
70 gms gula pasir ( resepi asal guna 90 gms)
2 biji telur
1/2 sudu teh garam

Lapisan atas (putih)
180 ml santan pekat
40 gms tepung beras
1/2 sudu teh garam

Cara cara
1. Masukkan semua bahan untuk lapisan bawah ke dalam pengisar. Kisar hingga sebati dan halus. Biarkan ia sebentar.
2. Campur semua bahan untuk lapisan bawah, gaul hingga semua sebati dan tidak berketul. Biarkan sebentar.
3. Panaskan kukusan, gunakan acuan lompang, gliskan menggunakan minyak sayuran.
4.Susun acuan lompang di dalam periuk kukusan. Tuang campuran labu hingga 3/4 tinggi acuan. Balut penutup kukusan dengan tuala dapur yang bersih. Kukus lebih kurang 8-10 minit atau campuran labu mengeras.
5. Tuang penuh campuran putih dan kukus hingga masak.
6. Biarkan hingga sejuk sebelum keluarkan dari acuan.


Tuesday, December 25, 2012

Kabocha Pudding


As Salam dan Selamat petang,


Oh ya, Selamat bercuti kepada semua sempena Hari Natal.
Kepada kawan kawan yang berada di Terengganu, Kelantan dan Pahang, harap agar sentiasa berwaspada kerana banjir yang melanda dan berita juga mengatakan ia sudah tahap jingga yakni agak merbahaya. Beberapa rakan saya yang tinggal di Kuantan, rumah mereka pun dah dilanda banjir dan hujan tak berhenti henti. Memang memeritkan bila rumah dimasuki air banjir. Sudahlah banyak peralatan rumah yang mungkin rosak, nak mencuci rumah selepas banjir pun sangat memenatkan.




Hari ini cuaca mendung di Shah Alam, sejak beberapa hari ini pagi memang panas terik tetapi bila sampai tengahari langit mula mendung dan tak lama kemudian hujan turun dengan lebatnya. Seksyen 13 pun boleh banjir.

Sudah beberapa hari tiada entry dalam blog, so hari ini saya letak entry berkaitan Kabocha Pudding.

Apa itu Kabocha?
Ia adalah sejenis labu yang biasanya didapati di negara Jepun.Buahnya agak kecil, berkulit bewarna hijau dan tiada segment seperti buah labu yang biasa kita dapati di sini. Ini pertama kali saya jumpa, so just curious nak tau bagaimana rasanya, saya beli sebiji. Harganya agak mahal dari labu biasa.


Memandangkan rasa malas nak buat kuih muih yang mengambil masa yang lama, saya bercadang nak buat Pumpkin Pudding menggunakan Kabocha menggantikan labu.




Resepi saya ambil dari internet, cuma saya omit pumpkin pie spice yang digunakan dalam resepi ini kerana saya mahu pudding saya just sweet without the taste of the spices.



Kabocha Pudding

Bahan bahan
2 cawan susu segar
1/4 cawan gula
1/4 cawan tepung jagung
2 biji telur
1 cawan kabocha puree ( kukus kabocha dan lenyek)
1 sudu teh vanilla essence
1/4 sudu teh garam

Cara cara
1. Masukkan susu,gula dan tepun jagung di dalam periuk. Kacau menggunakan whisk dan biarkan hingga mendidih. Biarkan mendidih anggaran 3 minit dan sentiasa kacau.
2. Pukul telur menggunakan whisk di dalam mangkuk, masukkan sedikit demi sedikit separuh campuran susu tadi ke dalam mangkuk berisi telur.
3. Masukkan semula campuran susu + telur ke dalam periuk yang berisi separuh lagi campuran susu.
4. Masak lebih kurang 2 minit atau sehingga agak kental. Angkat dari api, masukkan kabocha puree, garam dan vanilla essence. Kacau sebati.
5. Sudukan campuran pudding ke dalam jar/bekas yang sesuai. Biarkan ia sejuk atau sehingga pudding keras.





Thursday, December 20, 2012

Pandan Chiffon Cake


As Salam dan Selamat Pagi...


Ku lihat Hijau.....

Fuhhh!!!!! Rasa macam dah kebah dari ""badi" chiffon Cake. Apa tidaknya, setiap kali buat chiffon cake asyik failed saja. Selalunya kek jadi bantat walaupun dah ikut resepi dari A hingga Z. Orang lain pejam mata pun boleh buat chiffon cake without fail. Tapi kita ni kena cuba berkali kali. Itulah kehidupan, bukan nasib semua orang tu sama kan...

Ermmm..... masih senyum sampai ke telinga ni.


Memang puas hati, sebab kek jadi lembut, sedikit lembab dan gebu juga. Rupa rupanya bukanlah susah mana pun dan tidak mengambil masa yang lama untuk menyediakannya.

Saya buat kek ini sebelum masuk tidur, selepas kek masak, terbalikkan cake pan dan pagi tadi keluarkan dari pan dan siap untuk dinikmati. Berdebar juga nak tau keadaan kek tu pagi tadi, mana lah tau kek jadi bantat juga.


Nampaknya lepas ni asyik keluar resepi chiffon cake je lah kan. Banyak resepi yang nak kena cuba, sebab dulu pernah buat Pumpkin Chiffon Cake tapi tak menjadi. Saya pernah nampak Chiffon Cake pulut hitam. Siapalah yang nak jadi mangsa saya untuk habiskan kek tu semua kan....



PANDAN CHIFFON CAKE
Sumber : Sonia, Nasi Lemak Lover

Bahan bahan
5 butir telur kuning
20 gms gula pasir
80 gms minyak jagung
60 gms air + 20 gms pandan extract
125 gms tepung kek

5 butir telur putih
90 gms gula pasir
1/2 sudu teh perahan lemon

Cara cara
1. Kuning telur dan gula pasir di pukul ringan hingan sebati. Masukkan campuran air dan pandan extract dan kacau sekata.
2. Tuangkan minyak jagung dan masukkan tepung sedikit demi sedikit dan gaul sebati. Ketepikan.
3. Pukul putih telur hingga berbuih, masukkan gula pasir sedikit demi sedikit dan juga jus lemon ke dalam putih telur. Pukul hingga putih telur menjadi kental/soft peak.
4. Masukkan 1/3 adunan putih telur ke dalam adunan tepung, gaul menggunakan whisk hingga sebati.
5. Masukkan baki 2/3 aduanan putih telur dan gaul sekata.
6. Tuangkan ke dalam acuan chiffon cake (20 cm), bakar di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 160 darjah celcius selama lebih kurang 45 minit.
7. Apabila kek sudah masak, keluarkan dan terbalikkan chiffon cake pan dan biarkan hingga ia sejuk.
8. Keluarkan kek dan potong.


CARA MENYEDIAKAN TEPUNG KEK DI RUMAH

Kadang kala resepi yang hendak sediakan memerlukan hanya sedikit kuantiti tepung kek sedangkan kita perlu membeli dalam kuantiti yg agak banyak dan jarang menggunakannya. So, dari internet, saya dapat cara menyediakan tepung kek menggunakan tepung yang ada di rumah.

*** Ambil 1 cawan tepung serbaguna/gandum. Keluarkan 2 sudu makan tepung dan masukkan semula ke dalam bekasnya. Campurkan 2 sudu makan tepung jagung ke dalam tepung yang telah dikeluarkan 2 sudu makan tadi. Ayak beberapa kali supaya kedua dua jenis tepung tadi benar benar sebati. 

Selamat mencuba. Memang terbukti sebab chiffon cake saya jadi dengan jayanya.


Wednesday, December 19, 2012

Pincuk


As Salam dan Selamat Pagi....

Lazy Wednesday Morning.....( erkkkk....bukan hari hari ke saya malas?)


Hari ni saya letak menu malam tadi. Konon kononnya nak buat pincuk tapi tak cukup bahan. Sepatutnya ikut resepi dalam buku tu ada letak kacang goreng yg ditumbuk. Rasa macam ada stok kacang goreng, so saya tak beli sebelum balik kerja. Tapi rupa rupanya kacang goreng tu dah lemau akibat agak lama disimpan di dalam bekas plastik. So Pincuk saya kekurangan satu bahan.

Apa itu Pincuk?

Mula mula saya fikir ia sama dengan acar mentah timun dan nenas. Tapi bila bila baca bahan bahannya tiada penggunaan cuka dalam resepi ini. Dan kalau tidak silap, ia seakan akan rojak yang dimakan bersama sama dengan nasi. Correct me if I'm wronged.



Tapi kalau meratah begitu saja pun sedap juga. Ala ala rojak cuma tiada kuah rojak saja.
Tapi saya tersilap estimate, letak lebih cili. Apalagi, habis panas bibir dibuatnya.

PINCUK
Sumber : SELERA PERDANA 

Bahan bahan
1/2 batang timun
1/2 biji nenas
1/2 biji sengkuang
1 labu bawang besar
1 biji cili merah
2 ulas cili padi
Sedikit belacan
1 sudu makan cili sos
1 sudu makan udang kering
Garam dan gula secukup rasa
Kacang goreng yang ditumbuk

Cara cara
1. Potong timun, nenas dan dan sengkuang seperti hendak membuat rojak.
2. Bawang besar dan cili merah di mayang dan hiris menyerong
3. Tumbuk cili,belacan dan sedikit garam hingga lumat.
4. Masukka semua bahan ke dalam mangkuk, gaul rata. Perasakan dengan gula dan garam jika perlu. 
5. Taburkan kacang tumbuk dan gaul sekata. Hidangkan bersama sama nasi putih atau makan begitu saja.



Oh ya, hari ini keputusan PMR akan diumumkan. Tentu ada ibu bapa yang berdebar debar untuk mengetahui bagaimana keputusan anak masing masing. Harap semua memperolehi keputusan yang membanggakan.




Sunday, December 16, 2012

Red Velvet Cake



Salam dan Selamat Petang...


Ermmm bagaimana anda menhgabiskan cuti hujung minggu? Hari ni Shah Alam hujan agak lebat selepas tengahari membawa ke malam. Sejuk dan lembab saja, samalah dengan orang dalam rumah yang malas nak ke mana mana.

Jadi hari ini my husband menghabiskan cuti hujung minggunya dengan membersihkan laman rumah, maklumlah bila hujan mulalah rumput di laman makin panjang. Since pagi tadi cuaca elok, sempatlah dia menyembur racun dan mencabut rumput rumput. Bila dah petang, ingat nak sambung kerja semula tapi hujan lebat, masing masing asyik melangut depan TV sajalah.



Oh ya, dah lama pendam nak buat Red Velvet Cake ni, tapi macam biasa, bila malas melanda, asyik bertangguh dari sehari ke sehari. Minggu lepas saya dah cuba buat sekali, tapi entah macam mana, kek saya tidak bewarna merah tetapi warna seperti kek coklat. Dan teksturnya juga berderai dan sedikit keras. Then saya ambil masa mencari resepi Red Velvet Cake ni di internet. Membandingkan mana yang saya nak cuba dahulu. Akhirnya hari ni saya mencuba untuk kali kedua dan Alhamdulillah, it turns out nice even though the colour is not SO RED.





RED VELVET CAKE
Source : Cooks Joy
Ingredients – Red Velvet Cake
  • 2 1/2 cups sifted cake flour
  • 1 teaspoon baking powder
  • 1 teaspoon salt
  • 2 tablespoons unsweetened cocoa powder
  • 1 oz. red food coloring (original recipe calls for 2 oz.)
  • 1/2 cup unsalted butter, at room temperature
  • 1 1/2 cups sugar
  • 2 eggs, at room temperature
  • 1 teaspoon vanilla extract
  • 1 cup buttermilk, at room temperature (use substitute mentioned if needed)
  • 1 teaspoon white vinegar
  • 1 teaspoon baking soda
My Notes
  1. Original recipe uses 2 oz. of food coloring. I have used only 1 oz.
  2. It takes a while for the cocoa and red food coloring to mix. Keep mixing with a spoon.
  3. You can use buttermilk substitute instead of buttermilk.
  4. Allow the cakes to cool well before frosting.
  5. My cakes were done in 25 minutes, so check early.
Buttermilk Substitute
1 tbsp vinegar + almost 1 cup milk.
To the vinegar add milk and mix to combine. Set aside for 5 – 10 minutes and use in place of buttermilk.
Method – Red Velvet Cake
1. Take cocoa and red food coloring in a bowl
2. Mix well to form a paste
3. Grease and flour two 9 inch cakes pans.
4. To the sifted flour, add salt.
5. Add baking powder.
6. Sift the dry ingridients and keep aside.
7. Take butter and sugar in a bowl. Beat well until light and fluffy.
8. Beat in eggs, one at a time. Mix well. Add vanilla extract and mix well.
9. Add the food coloring + cocoa mixture, beat well.
10. Add 1/3 of the dry ingredients and beat well. Add half of the buttermilk, beat well.
11. Beat in 1/3 of the flour mixture followed by the remaining 1/3 of the flour mixture.
12. Mix the vinegar and baking soda and you will hear the sizzling sound. Add the vinegar + baking soda to the cake batter. Mix well.
13. Work quickly and evenly distribute the cake batter into two prepared pans.
14. Bake in a 350F preheated oven for 25 - 30 minutes until a toothpick inserted in center comes out clean.
15. After the cakes have cooled, apply the frosting.

Cream Cheese Frosting

Ingredients – Cream Cheese Frosting
  • 16 oz cream cheese, softened
  • 1/2 cup unsalted butter (one stick), softened
  • 1 teaspoon vanilla extract
  • 2 1/2 cups powdered sugar, sifted
  • Pinch of salt
Methods

1.  Take creams cheese and a butter in a bowl. Beat until smooth.
2. Add powdered sugar,salt and vanilla extract. Beat until the frosting light and fluffy.
3.  Frosting is ready to apply on the cakes.



Friday, December 14, 2012

Serawa Durian Pulut Hitam



Salam dan Selamat Pagi....

Ermmmm durian lagi? Selagi belum habis musim durian, ada saja menu berasaskan durian yang akan dibuat. Ini pun stok durian dalam peti ais, tak habis habis lagi.



Sebenarnya simpan durian konon kononnya nak buat crepe durian yang sedang popular di seantero alam maya. Tapi entahlah, belum sampai seru lagi agaknya. Tapi memang dah berniat nak buat juga, cuma tunggu masa yang sesuai saja.




 Biasanya buat serawa untuk di makan dengan roti jala atau roti putih. Kali ini saya masak pulut hitam untuk digandingkan dengan serawa durian. Ubah sikit dari kebiasaan.....


Ini kali pertama saya makan serawa durian bersama sama dengan pulut hitam. Boleh tahan juga rasanya. Harum bau pulut hitam bergabung dengan bau durian, memang menyelerakan.


Serawa Durian

Bahan bahan

4 ketul isi durian
500 ml santan
Sedikit garam
1 helai daun pandan - simpulkan
1/2 cawan gula pasir - tambah kalau suka lebih manis

Cara cara
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk, masak menggunakan api perlahan hingga mendidih dan semua bahan sebati.


Bahan Pulut
1 cawan beras pulut putih
1 cawan beras pulut hitam
1 helai daun pandan
Secubit garam
Santan

* Saya gunakan cawan rice cooker

Cara cara
1. Campurkan kedua dua beras pulut, cuci bersih dan rendam lebih kurang 1 jam
2. Masukkan beras ke dalam Rice Cooker, masukkan santan pada paras seperti yang tertera pada periuk nasi untuk "Sticky Rice".
3. Masukkan garam dan simpulan daun pandan.
4. Tekan "Cook" dan biarkan pulut masak.

Hidangkan pulut hitam dengan serawa durian.



Selamat menjamu selera dan selamat berhujung minggu.




Thursday, December 13, 2012

Kerabu Daging



Salam dan Selamat Pagi



Ermmmm dah lama tak buat kerabu.Ya ke dah lama?  Tiba tiba tekak terasa macam nak makan kerabu yang pedas dan masam. Mula mula ingat nak buat kerabu Pucuk Paku dengan kerang tapi rasa macam malas pulak nak kopek kerang. Kebetulan sehari sebelum tu, saya ada bakar daging sebab my husband teringin nak makan daging bakar.

Since masih ada baki, lebih baik saya habiskan dulu daging bakar ni kan. So terjadilah Kerabu Daging yang dicampur dengan apa yang ada di dapur saya.


KERABU DAGING

Bahan bahan
Daging yang telah dibakar/panggang - hiris nipis
1 labu bawang besar - dimayang
1 ulas bawang putih - hancurkan sedikit
Daun ketumbar - dihiris halus
Daun Pudina - dihiris halus
3 biji cili padi - dihiris halus
Sedikit kicap sotong
Sedikit gula
1 biji limau nipis
1 biji tomato - dibelah saiz yang sesuai

Cara cara
1. Masukkan semua bahan yang telah dihiris ke dalam mangkuk. Gaul sekata, perasakan dan sesuaikan rasa dengan gula, kicap sotong dan perahan limau nipis.
2. Biarkan seketika biar semua bahan mesra sebelum dinikmati.

Tuesday, December 11, 2012

Buttermilk Pancakes



Salam dan Selamat Pagi....


Yay!!!!!!!! Hari ni Rakyat Negeri Selangor sedang berlengkar bawah selimut. Ya, sila jangan cemburu ya, rakyat negeri negeri lain.  Statement tak henggat ni.....

Since hari ni cuti, sempatlah main masak masak kat dapur pagi tadi. Lagipun my husband keluar ke office untuk selesaikan kerjanya. Keluar awal pagi sama seperti hari hari biasa. Sempat lagi dia cakap " I let you have this whole day for yourself. You nak masak apa yang I tak makan pun boleh".

So tengok tahap kerajinan, kalau terlebih rajin boleh buat kek yang dah lama teringin nak buat. Tapi kalau terlebih malas, saya melingkar atas sofa sambil layan TV....



Pagi tadi breakfast dengan Buttermilk Pancakes with Strawberry Sauce. Marvelous. I love the texture, soft and fluffy. Please come and join me.....


BUTTERMILK PANCAKES
Source : A Farm Girl

Bahan bahan

1 1/2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil serbuk penaik
1 sudu kecil soda bikarbonat
1/4 cawan gula pasir
1/4 cawan melted butter
Secubit garam
2 biji telur
1 cawan Buttermilk

Cara cara
1. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk. Gaul rata.
2. Panaskan kuali leper, sapukan sedikit butter, tuang 1 senduk adunan, biarkan hingga keperangan dan terbalikkan.
3. Buat hingga habis semua adunan.
4. Sedia dinikmati dengan strawberry sauce, maple syrup, honey or what ever you like.

Thursday, December 6, 2012

Kerabu Campuran Rumpai Laut


Salam dan Selamat Pagi

Pernah makan rumpai laut?

Bagi yang berasal dari Sabah pastinya rumpai laut ini tidak asing bagi anda. Pada yang biasa berkunjung ke negeri Di Bawah Bayu ini juga pastinya paling tidak pernah merasanya sekali.

Saya?

Inilah pertama kali saya merasanya. Sebenarnya sejak kebelakangan ini ramai orang memperkatakan mengenai Rumpai Laut atau mereka menggelarkannya sebagai IBU KOLAGEN. Kalau di FB ramai kawan kawan yang mempromosikan rumpai laut ini.

Kebetulan salah seorang rakan FB saya merangkap ex-classmate masa di kolej dulu juga berasal dari Sabah. Dia upload gambar Kerabu Rumpai Laut yang biasa disediakan untuk keluarganya. Dia mengirimkan satu bungkusan rumpai laut kepada saya untuk dicuba. Alhamdulillah, rezeki jangan ditolak.


Beliau menggunakan buah mangga muda, tetapi memandangkan tiada mangga muda di pasaraya berdekatan, jadi tukar menggunakan buah epal hijau. Memang sedap dan tiada rasa hanyir dari rumpai laut.

KERABU CAMPURAN RUMPAI LAUR
Sumber : Pn. Ainon Salam

Bahan bahan
Rumpai laut - dicuci bersih, rendam hingga kembang dan potong kepada saiz yang sesuai
Timun
Bawang Besar
Bunga Kantan
Daun pegaga
Buah epal hijau/mangga muda
Cili padi
Tomato
Udang kering - direndam seketika
Limau nipis
Garam
Gula

Cara cara
1. Potong bahan bahan seperti bunga kantan, daun pegaga, buah epal, timun, bawang besar, tomato dan cili padi kepada saiz yang sesuai.
2. Masukkan semua bahan yang telah dipotong termasuk rumpai laut dan udang kering ke dalam mangkuk.
3. Perasakan dengan garam,gula dan perahan limau nipis. Gaul sekata dan biarkan seketika supaya semua rasa meresap dan mesra.
4. Sedia untuk dinikmati. Kata orang, kerabu ini sesuai di makan bersama sama ikan bakar.



Wednesday, December 5, 2012

Mee Sup Bebola Daging


Salam dan Selamat Pagi

Masih dilanda kemalasan dan kepenatan yang tidak dapat dielakkan. Penat melayan kerenah anak anak saudara dan penat bila lihat rumah jadi lintang pukang dikerjakan oleh anak anak saudara.

Sebelum cuti sekolah hari tu, my husband dah janji dengan anak anak saudara untuk bawa mereka bercuti ke Cameron Highland masa cuti sekolah bulan Disember ini. So bila dah mula cuti persekolahan, masing masing asyik telefon dan menuntut janji. Tapi bila mengenangkan cuaca yang hujan seharian membuatkan kami teragak agak samada untuk pergi atau mencari destinasi yang lain.

Tapi bila melihat ramai kawan kawan saya yang pergi ke Cameron Highland dan tiada masalah yang besar, so kami meneruskan rancangan asal. Hujan renyai petang sabtu tapi kami basah kuyup semasa berjalan di Pasar Malam Brinchang.  Mula mula hujan, masing masing berteduh di bawah payung penjaja. Lama kelamaan, masing masing berjalan di dalam hujan seolah olah kalis air hujan. Apalagi, menggeletar kesejukanlah jawabnya.

Tak banyak barang yang saya beli sebab belajar dari pengalaman. Memang kalau nampak bagai nak beli segalanya tapi akhirnya masuk dalam tong sampah. Hanya sekadar membawa keluarga berjalan jalan.


Memandangkan my husband tak mahu makan nasi, saya hanya masak mee sup bebola daging yang simple. Masak hanya cukup untuk 2 orang makan.