Showing posts with label Ikan. Show all posts
Showing posts with label Ikan. Show all posts

Wednesday, July 9, 2014

Masak Lemak Cili Padi Ikan Jenahak dengan Peria


 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Alhamdulillah tanpa sedar kita sudah melepasi 10 malam pertama Ramadhan. Dua hari lepas memang terasa sangat keletihan kerana cuaca di Shah Alam yang sangat panas membahang. Orang tua pun boleh terasa apatah lagi kanak kanak yang baru belajar berpuasa. Sejak semalam, jerebu agak teruk dengan bau terbakar yang menyesakkan hidung.

Bila terlalu panas, yang paling dinantikan semasa berbuka tentunya minuman yang paling sejuk. Makanan lain tolak ketepi dulu. Macam budak baru belajar berpuasa pula kan... 



 Semalam tekak terasa nak makan masak lemak cili padi.Memandangkan tiada barang basah di rumah, saya singgah di pasaraya selepas waktu kerja. Tak banyak pilihan, saya ambil sepotong ikan jenahak dan peria katak.


Masak Lemak Cili Padi

Bahan bahan
1 keping ikan jenahak
1 biji peria - dihiris
1 inci kunyit hidup
8 biji cili padi
200 ml santan pekat
200 ml air
Garam secukup rasa

Cara cara
1. Cuci ikan dan toskan. Tumbuk cili padi dan kunyit hidup hingga hancur.
2. Masukkan bahan ditumbuk ke dalam periuk beserta santan dan air.
3. Kemudian masukkan sayur peria dan ikan, masak dengan api perlahan sehingga mendidih.
4. Sentiasa dikacau supaya santan tidak pecah minyak. Perasakan dengan garam.
5. Matikan api bila ikan sudah masak. 
 

Friday, May 9, 2014

Steamed Fish


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini sudah hari Jumaat, cepat saja masa berlalu.... Mesti ramai yang berharap hari ini berlalu dengan pantas memandangkan akan bercuti panjang hingga hari Selasa depan. Mungkin sudah planned untuk kemana mana bersama sama keluarga atau teman teman. Atau barangkali sudah memikirkan apa yang hendak di masak untuk keluarga tercinta.







Menu malam tadi, Steamed Fish with Soy Sauce. Saya suka menu yang kukus atau rebus lagi lagi kalau one pot dish. Masak satu lauk saja, semua sudah ada. Tetapi my husband confirm tak jeling pun kalau menu macam ini. Sebab itu lebih baik guna kepingan ikan atau ikan yang bersaiz kecil.



Kali ini saya gunakan kepingan ikan senangin. Masakan yang sangat ringkas, senang dan tidak mengambil masa yang lama.


Bahan bahan
1 kepingan ikan senangin - cuci dan toskan.
1 inci halia - dihiris nipis
2 biji cili padi
1 hirisan limau nipis
Beberapa tangkai cendawan
1 tangkai daun bawang - dihiris memanjang
1 sudu teh bawang putih yang telah digoreng
Garam dan lada sulah
Sedikit gula
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu makan kicap
1 sudu teh sos tiram
Tomato, daun bawang dan cili merah untuk hiasan.

Cara cara
1. Lumur ikan dengan sedikit garam dan lada sulah. Susun kepingan limau nipis, daun bawang dan halia di dalam pinggan untuk mengukus.
2. Letakkan ikan, taburkan hirisan cendawan dan cili padi.
3. Satukan minyak bijan, gula, kicap dan sos tiram. Gaul sekata dan tuangkan ke atas ikan tadi.
4. Kukus ikan lebih kurang 5-7 minit.
5. Keluarkan ikan dan taburkan dengan hirisan daun bawang, cili merah, buah tomato dan juga bawang putih goreng.
6. Sedia dinikmati bersama sama dengan nasi putih.




Selamat Bercuti....


Thursday, March 27, 2014

Kari Ikan Masin & Nenas




Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera....

Hari ini mari kita layan menu Kari Ikan Masin dengan nenas pula. Saya kalau beli ikan talang masin atau kurau masin, saya lebih prefer tulang berbanding isi ikan. Walhal lebih senang kalau masak isinya tetapi lebih sedap tulangnya pada tekak saya.

Biasanya kalau masak kari @ gulai ini saya tiada sukatan tertentu, ikut sesuai rasa saja. Main agak agak saja. Kalau rasa nak pekat, kurangkan cecair dan begitulah sebaliknya. Tetapi kalau nak ajar orang baru berjinak jinak untuk ke dapur memang agak susah sikit. Yelah kalau kita kata segenggam, genggaman tangan kita tentulah tak sama dengan genggaman tangan orang lain.


Sebenarnya ini adalah menu tertangguh. 2 hari lepas memang plan nak masak kari ikan masin ni, semua dah beli bila balik dan perah kelapa, nampak santan macam pelik sikit. Nasib baik saya hidup dan rasa sikit rupa rupanya kelapa dah berbau. Cari cari juga kalau kalau ada santan kotak yang saya simpan, malangnya tiada. So tertangguhlah ke hari semalam.

Semalam saya hanya masak kari ikan talang dan rebus kerang. Alhamdulillah, bertambah juga saya tengok my husband makan. 




Wednesday, July 17, 2013

Asam Rebus Tempoyak Ikan Kembung



Assalammualaikum dan Selamat Pagi...

Alhamdulillah, sedar tak sedar sudah lebih seminggu kita berpuasa. Meriah saya tengok rumah kawan kawan dengan pelbagai menu atau juadah untuk berbuka, tidak kurang juga untuk bersahur.

Saya sejak berkahwin dengan suami saya hampir 18 tahun, boleh dikatakan tidak pernah makan nasi waktu sahur. Kami hanya makan roti atau kuih muih dan minuman panas sahaja. Memandangkan suami saya tak makan nasi, so lama kelamaan saya pun terikut juga.


Semalam tekak terasa macam nak makan asam rebus tempoyak. Memandangkan saya tak makan ikan patin, saya gantikan dengan ikan kembung. Tidak perlu lauk yang lain pun tak apa, sedap menghirup kuahnya yang sedikit masam dan pedas.

Since last minute decision, tak berapa cukup bahan. Saya cuma masukkan daun kesum dan belimbing buluh saja. Saya ada baca mengenai resepi asam rebus tempoyak negeri Pahang yang hanya menggunakan tempoyak,cili padi,garam,daun kesum,kunyit dan air sahaja. Tetapi bila sudah dipelbagaikan ada yang mencampurkan dengan terung telunjuk, bendi,belimbing buluh dan sebagainya. Tapi tak bolehlah mengisytiharkannya sebagai masakan asli negeri Pahang.



Thursday, June 27, 2013

Asam Pedas Ikan Sembilang



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Nampaknya hari ini matahari begitu garang sekali memancarkan cahayanya. Dari awal pagi lagi sudah terasa terik membakar kulit....

Tiba tiba akak bersastera lah pulak kan...

Agaknya pasal semalam dapat makan asam pedas ikan sembilang kot. Dah beberapa lama teringin nak makan asam pedas ikan sembilang. Bila terasa nak makan, tak ada pula ikan sembilang. Bila jumpa, ada perancangan lain pula.

Kebetulan jumpa ikan sembilang yang bersaiz kecil, saya cuma beli dua ekor. Cukuplah dapat melepaskan keinginan. Dah rasa macam orang mengandung, mengidam itu dan ini....



Kali ini saya cuba resepi Asam Pedas Melaka. Maklumlah orang Melaka dan Johor memang agak terkenal dengan masakan asam pedas mereka. Saya pun kalau ke Melaka mesti nak mencari asam pedas.


  • 2 ekor ikan sembilang

  • Bahan kisar:-
  • 4 biji bawang merah
  • 10 biji cili kering
  • 1/2 inci halia
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1/4 sudu teh lada hitam
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • 2 ulas bawang putih
  • Belacan sebesar ibu jari
Bahan tumis:-
  • 1/2 bawang besar-hiris
  • 1/4 sudu teh biji sawi
  • 1/4 sudu teh halba
  • 2 tangkai daun kari

  • air asam jawa 
  • air secukupnya
  • 1 biji tomato
  • 5 biji kacang bendi
  • 1 bunga kantan
  • daun kesum secukupnya
  • minyak masak
  • garam dan gula
Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis bahan tumis hingga wangi. Kemudian masukkan bahan kisar dan masak hingga pecah minyak.
2. Masukkan air asam jawa dan air secukupnya. Kemudian masukkan ikan dan sayur bendi. Biarkan seketika.
3. Kemudian masukkan bunga kantan, daun kesum dan buah tomato. Biarkan hingga mendidih dan perasakan dengan garam dan gula jika suka.


Monday, March 25, 2013

Asam Pedas Ikan Parang


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini nak letak gambar masakan Asam Pedas Ikan Parang yang saya masak untuk makan tengahari semalam. 

Asam pedas antara masakan yang saya gemari. Sebab ada rasa pedas dan masam dan memang sedap kalau dapat menghirup kuahnya. Ermmm sambil menaip sambil terbayang bayang asam pedas ni, boleh kecur air liur.

Selalunya kalau saya masak asam pedas, memang buat sikit sekadar untuk sekali makan saja sebab my husband tidak menggemarinya. Disebabkan saya teringin nak makan, so saya masak juga untuk kepuasan tekak sendiri dan untuk yang sorang lagi saya sediakan masakan kegemarannya....


KARI KETAM.

Saya tak makan pun kari tu, sebab lebih excited nak makan asam pedas.



Resepi asam pedas ni saya ambil dari blog CMG.



Thursday, November 29, 2012

Cencaru Kukus Air Asam


Salam dan Selamat Petang,


Malam ini saya cuma letak menu yang simple dan boleh disediakan dalam masa yang singkat. Selain itu, ia boleh dikategorikan sebagai menu yang agak menyihatkan.

Actually saya dah tak tahu nak masak apa untuk makan malam. Selain ikan, saya ada ayam, ketam, sotong dan kepala ikan mayong. Bosan juga kalau asyik makan kari saja. Semalam dah masak ketam berlada, so malam ini saya decided untuk masak menu yang agak ringan sikit.


Esok petang mesti riuh rendah rumah saya yang selalunya agak sunyi selain bunyi suara dari televisyen. Sebabnya ibu bapa saya, adik lelaki bujang dan adik perempuan saya sekeluarga akan datang ke rumah saya. Petang tadi masa berbual dengan emak saya di telefon, emak saya beritahu yang dia dah siap packed 2 guni durian dan 2 guni buah rambutan. Aduhai..... siapalah yang nak habiskan buah buah tu semua. Nampaknya kena hulur sikit pada jiran. Ermmmm mungkin boleh buat Crepe Durian kot....



Berbalik pada menu kali ini, resepinya agak senang. Apa yang perlu ialah kukus ikan cencaru hingga masak. Kemuadian bancuh campuran belacan, garam, asam jawa hingga sesuai rasa. Tambahkan dengan hirisan cili merah, cili padi, bawang besar dan tomato. Tambahkan daun ketumbar untuk menambahkan aroma air asam. Cukuplah sekadar lauk begini dengan sepinggan nasi putih.



Wednesday, November 14, 2012

Asam Rebus Tempoyak Ikan Salmon


Salam Maal Hijrah....

Esok kita cuti lagi.  Masih memikirkan bagaimana untuk menghabiskan cuti sehari. Mungin duduk di rumah saja atau mungkin keluar sekadar mencuci mata. Kalau rajin boleh juga mencuba resepi yang sudah panjang berjela dalam "List Resepi Yang Perli Dicuba".

Malam ini saya hanya ingin berkongsi menu untuk makan malam, Asam Rebus Tempoyak Kepala Ikan Salmon. Resei Asam Rebus Tempoyak boleh check di senarai sebelah kanan. Kali ini saya gantikan dengan kepala ikan salmon.

So, selamat bercuti buat semua.



Monday, November 5, 2012

Asam Pedas Ikan Mayong dengan Daun Asam Kampung



Salam dan Selamat Pagi,

Masa saya singgah di blog Wendy, Table for 2, saya noticed yang dia menjadi host untuk MFF bagi bulan November untuk negeri Kedah/Perlis. MFF ialah Malaysian Food Fest dimana seorang blogger akan menjadi host untuk setiap negeri di Malaysia. Blogger boleh menyediakan hidangan yang sinonim dengan negeri negeri yang terpilih utnuk setiap bulan.

 Kebetulan suami saya berasal dari Kedah di sebelah bapanya dan Perlis disebelah ibunya. Jadi saya beritahu suami saya yang saya teringin nak join MFF ni tapi saya tidak berapa pasti apa makanan yang begitu sinonim dengan Perlis dan Kedah yang agak jarang orang memasaknya. So my husband suggest saya untuk meghubungi keluarga di Perlis.

Ada beberapa masakan yang telah diberitahu kepada saya secara kasarnya. Tetapi ada satu bahan yang diberitahu kepada saya tetapi saya belum pernah merasanya walaupun saya sudah berkahwin dengan suami saya selama 17 tahun. Bahan itu ialah Daun Asam kampung atau Asam Paya atau Asam Kumbang.


Inilah daun asam kampung yang bentuk buahnya seakan akan buah rozel. Pada mulanya saya sangkakan kedua dua pokok ini ada sama tetapi rupa rupanya bukan. Ada sedikit kelainan dari segi bentuk daun Asam Paya dengan Daun Rozel.

Saya memang ada nampak emak sauda suami saya tanam pokok asam paya ni di halaman rumahnya di Kedah. Bila tanya nak buat apa dengan pokok ini, dia jawab nak buat masak asam pedas. Rasanya mereka selalu gunakan ikan sawah seperti ikan puyu atau ikan keli untuk buat asam pedas dengan daun asam kampung ini. Tetapi memandangkan saya sudah ada seketul kepala ikan mayong, jadi saya gunakan ikan mayong instead of ikan sungai/sawah.


ASAM PEDAS IKAN MAYONG DENGAN DAUN ASAM KAMPUNG
Sumber: My husband's family.

Bahan bahan
1 ketul kepala ikan mayong/ikan duri
1 batang bunga kantan
1 tangkai daun kesum
1 ikan daun asam kumbang/paya
10 biji cili kering *
6 ulas bawang merah *
2 ulas bawang putih *
1 inci kunyit hidup *
Belacan sebesar ibu jari *
1 sudu makan beras - dicuci dan toskan *
1 @ 2 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
Air - anggaran 800 ml

Cara cara.
1. Kisar bahan bertanda * hingga hancur. Masukkan kedalam periuk bersama sama dengan air, kepala ikan mayong. Didihkan.
2. Bila sudah mendidih, masukkan daun kesum, bunga kantan, daun asam kampung dan asam keping. Masak sehingga ia mendidih sekali lagi.
3. Perasakan dengan garam, jika suka lebih masam masukkan sekeping lagi asam keping.
4. Setelah semua cukup rasa, matikan api. Sedia dinikmati dengan nasi putih hangat, ikan kering yang digoreng garing dan juga sambal belacan.


Perhatian ****

Asam pedas ini tidak DITUMIS dengan minyak dan kelainannya kerana ia memasukkan sedikit beras di dalam masakan ini.

" I am submitting this post to Malaysian Food Fest Kedah/Perlis hosted by WendyinKK of Table for 2."


Monday, October 15, 2012

Steamed Fish with Lime and Chilies


Salam

Apa khabar semua pengunjung My Small Kitchen?
Harap semoga semuanya sentiasa sihat, maklumlah sejak sehari dua ni cuaca agak tidak menentu dan hujan boleh dikatakan sepanjang hari terutamanya di Shah Alam.  Dalam keaadaan macam ni, memang senang untuk dapat demam dan selsema.

Maaf juga sebab agak lama blog ni tidak updated. Bukan tidak masak, cuma menu ulangan jadi tidak berapa ada mood nak ambil gambar. Tambahan cuaca yang lembab membuatkan saya juga menjadi lembab....

Since tiada gambar masakan yang baru, saya cuma upload gambar lama yang ada dalam folder dalam komputer saya. Harap tidak jemu dan terus bertandang ke My Small Kitchen yang kadang kala agak lama menyepi....


Steamed Fish with Lime and Chilies

Bahan bahan

1 keping isi ikan merah - cuci dan toskan
1/2 sudu teh lada putih
Garam secukupnya
1 tangkai daun ketumbar - hiris halus
1 tangkai daun bawang - hiris halus
1/2 biji limau nipis
3 biji cili padi
1 inci halia - dihiris nipis
2 kuntum cendawan shiitake - hiris nipis
1 sudu teh minyak bijan
2 sudu makan kicap cair

Cara cara
1. Lumur ikan dengan lada putih dan sedikit garam. Letak ikan di dalam pinggan untuk mengukus.
2. Susun kepingan limau nipis, halia, daun bawang, daun ketumbar dan hirisan cendawan shiitake
   di atas kepingan ikan.
3. Kukus ikan lebih kurang 8 minit atau sehingga ikan masak.
4. Discard ( buang) air kukusan ikan dari piring pengukus, campurkan minyak bijan dan kicap cair,
   tuang ke atas ikan.
5. Hias dengan hirisan daun ketumbar dan daun bawang. Enak dinikmati bersama sama nasi putih.



Tuesday, September 25, 2012

Fish Head Curry


Salam dan Selamat petang....


Sudah agak lama tak letak entry makanan asasi my husband dalam blog ni. Cuma kali ini saya tukar sedikit cara penyediaannya dari kebiasaan. Selalunya saya masukkan ikan ke dalam kuah kari dan biarkan hingga masak, tapi kali ini saya kukus kepala ikan sebentar, masak kuah kari dan tuangkan ke atas kepala ikan.

Dulu dulu saya kena masak kari kepala ikan ni paling kurang 2 minggu sekali. Memang my husband peminat tegar kari kepala ikan, tapi sejak kebelakangan ni memang dah jarang sangat. Mungkin sebulan sekali pun susah. Mungkin bila usia dah makin meningkat, selera dah makin berkurangan dan mungkin juga sebab nak menjaga kesihatan.



Ermmmm kalau rajin pagi esok boleh buat lempeng atau cekodok dan cicah dengan lebihan kuah kari. Itupun kalau rajin la....  Tapi kalau malas, ambil saja roti benggali .

Buat masa ni, jamu mata dulu ye, nanti saya update resepi Fish Head Curry versi saya ni. Sebelum ni saya cuma letak entri bergambar, tak pernah nak ambil sukatan semasa saya memasak kari. Kata orang ikut sedap tangan sendiri saja.


Bahan bahan
Kepala Ikan Merah - Sebelah saja
1 sudu kecil rempah tumis ikan
1 sudu makan cili kering kisar
2 ulas bawang putih
1 sudu makan bawang merah yg ditumbuk halus
25 gms serbuk kari ikan ( 1 packet kecil, saya suka guna jenama BABA'S)
1 tangkai daun kari
1/2 biji buah tomato
2 biji cili hijau
1 labu bawang besar ( saiz sederhana )
1/2 cawan santan pekat
2 1/2 cawan air
1/4 cawan air asam jawa
1/2 biji buah tomato
4 biji kacang bendi
1 biji terung
2 biji cili merah
Garam
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Cuci bersih kepala ikan merah, kukus lebih kurang 10 minit. Ketepikan.
2. Hiris nipis bawang putih, bawang besar, cili hijau dan tomato. Campurkan sekali dengan daun kari dan rempah tumis. ( Bahan A)
3. Masukkan rempah kari, cili kisar,bawang merah dan bancuh dengan sedikit air hingga menjadi paste. (BAHAN B)
4. Pijarkan minyak, tumis Bahan A hingga layu. Kemudian masukkan pula Bahan B. Masukkan 1/2 cawan air dan kacau sebati. Masak rempah hingga pecah minyak. Rempah kena betul betul masak supaya kari tidak berbau rempah dan mudah sakit perut.
5. Kemudian masukkan santan pekat, air dan air asam jawa. Kacau sebati, kemudian masukkan sayur kacang bendi, cili merah dan terung, masak dengan api sederhana hingga mendidih. Perasakan dengan garam.
6. Bila kuah sudah mendidih, baru masukkan buah tomato. Biarkan 2 minit, barulah dimatikan api dapur.
7. Masukkan kepala ikan ke dalam mangkuk, tuang kuah kari ke atas ikan. Sedia dinikmati bersama sama nasi hangat.



Sunday, September 23, 2012

Ikan Kukus Portugis



Salam dan Selamat Petang...

Walaupun dah seminggu Syawal berlalu, masih ada lagi jiran jiran yang mengadakan rumah terbuka. Bagus juga sebab kalau semua orang berlumba lumba nak buat masa weekend dalam bulan Syawal memang tak terkejar la jawabnya. Tapi memang meletihkan bila tak ada pembantu, sampai hari ni badan saya rasa lemah dan kurang selsesa. Rasa macam nak baring je, malas betul nak bergerak.


Hari ni saya cuma buat simple dish untuk makan tengahari, since my husband dah bagitau nak keluar makan malam di luar.

IKAN KUKUS PORTUGIS

Bahan bahan
50 gms cili besar
30 gms bawang merah
10 gms bawang putih
30 gms halia
50 gms taucu
Sedikit air asam
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit kacang bendi
Minyak untuk menumis
1 ekor ikan gerut - siang dan dibersihkan

Cara cara
1. Kisar cili besar, bawang merah, bawang putih dan halia hingga halus. Pijarkan minyak, tumis bahan dikisar hingga pecah minyak.
2. Perasakan dengan garam, gula dan asam. Biarkan hingga masak, matikan api.
3. Ambil sekeping aluminium foil, lapikkan dengan daun pisang ( saya tak ada stok daun pisang, so gantikan dengan daun kunyit).
4. Letakkan ikan, sapukan seleuruh badan ikan termasuk perut dengan sambal yang telah ditumis tadi. Letakkan kacang bendi yg dipotong di atas ikan. Bungkus/tutup aluminium foil tadi.
5. Kukus lebih kurang 15 minit atau sehingga masak.


Daun Ketumbar,

Ada orang yang tak suka bau daun ketumbar yang agak kuat. Tapi saya memang suka sangat bau daun ketumbar. Saya suka gunakannya dalam kebanyakan masakan saya, mengikut kesesuaian juga.

Wednesday, August 8, 2012

Masak Lemak Ikan Kurau


Salam,


Actually dah tak ada idea nak makan apa untuk berbuka, sebab asyik ulang benda yang sama saja. Hari ini just nak share menu semalam, Masak Lemak Ikan Kurau dengan Timun Masak. Biasanya saya gunakan nenas, tapi kali ni nak tukar guna buah timun pula. Selalunya saya gunakan timun masak bila memasak asam pedas ikan.

Selain masak lemak, saya suka masak ikan kurau atau ikan talang masin masak kari dengan terung. Aduh tiba tiba air liur sendir yang dah kecur tambahan kalau memikirkan ada tambahan sambal belacan.



Masakan begini boleh buat saya bertambah tambah nasi....

Wednesday, July 18, 2012

Bawal Masak Sos



Salam,

Sehari dua lagi Insyallah kita muslimin dan muslimat akan mula berpuasa. Ada beberapa orang yang bertanya kepada saya, macam mana perisapan puasa? Ermmmm.... saya sebenarnya tak tau nak jawab apa. Bagi saya dan suami, tak banyak yang berubah dari tahun tahun sebelumnya. Maklumlah kami hanya berdua, so routine seharian masih tak banyak berbeza dari hari hari biasa.

Malam ni saya cuma letak gambar menu Ikan bawal Masak Sos.



Tengah rajin untuk letak gambar, mana tahu nanti bulan puasa, mood nak ambil gambar masakan pulak tak berapa nak ada. Lagilah jarang update blog pulak.


Sunday, July 15, 2012

Ikan Jenahak Masak Lemak Cili Padi



Salam di hujung minggu....


Hari ini saya buat tayangan Ikan Jenahak Masak Lemak Cili Padi dengan belimbing buluh untuk menu makan tengahari. Saya cuma beli isi ikan jenahak ni sepotong saja. Agak besar juga. Since tak tahu nak gandingkan dengan apa, saya masukkan beberapa biji buah belimbing buluh.

Untuk kali ini saya buat kuah yang sedikit saja dan agak pekat. Saya tidak menggunakan bawang dalam masak lemak kali ini.


Layan gambar dulu ye....

JENAHAK MASAK LEMAK CILI PADI

Bahan bahan
1 keping isi ikan jenahak - bersih dan toskan
1cm kunyit hidup
4 biji cili padi
5 biji buah belimbing buluh
100 ml santan pekat
150 ml air
Garam secukup rasa

Cara cara
1. Kukus isi ikan hingga masak. Ketepikan. Tumbuk cili padi dan kunyit hidup hingga lumat
2. Masukkan santan pekat, air, bahan yang telah ditumbuk dan juga buah belimbing buluh ke dalam periuk.
3. Masak hingga kuah mendidih dan perasakan dengan garam.
4. Masukkan isi ikan yang telah dikukus kedalam kuah dan balik balikkan ikan supaya kuah meresap pada ikan.
5. Tutup api dan hidangkan dalam pinggan yang sesuai.


Tuesday, April 24, 2012

Kepingan Ikan Masak Cuka


Salam dan Selamat Pagi...

Sehari dua ni mood rajin lebih sikit, rajin ambil gambar. Sebabnya kebelakangan ni bukannya tak masak, tapi kurang mood nak ambil gambar makanan yang dah siap dimasak. Kadang kala memang tak sempat pun dan yang selebihnya sebab memang malas.

Masa ke pasar pada hari ahad lepas, sempat angkut 1 ketul kepala ikan merah dan 2 keping isinya. Sekarang harga ikan boleh tahan juga mahal mungkin sebab cuaca yang tidak menentu.


Semalam, cuma masak yang simple je. My husband request nak makan Sotong Goreng Cili Kering yang pernah saya letak entry dulu, dan saya cuma buat Ikan Masak Cuka sebagai lauk kedua. Malas nak buat sayur lain, lagi pun masak ikan ni saya letak timun dan tomato. Resepi saya ambil dari rumah Kak Ummi, tapi saya gunakan apa bahan yang ada di rumah saja. Resepi asal guna cili capsicum, saya takde stock, so just substitute dengan cili besar yang berwarna hijau dan merah.

KEPINGAN IKAN MASAK CUKA

Bahan bahan
1 keping isi ikan merah - cuci dan toskan. Lumur garam kunyit dan goreng garing. Ketepikan.
2 sudu makan cuka makan
2 ulas bawang merah *
1 inci halia *
3 ulas bawang putih *
3 biji cili padi *
1 biji cili hijau - dibelah 3 dan dipotong saiz yg sesuai
1 biji cili merah - dibelah 3 dan dipotong saiz yg sesuai
1/2 biji timun, buang biji dan potong saiz yg sesuai
1 labu bawang besar - belah 4
1/2 biji tomato - potong saiz yg sesuai
1/2 sudu teh serbuk kunyit
Sedikit rempah tumis (kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih)
Garam dan gula secukup rasa
Dan sedikit air

Cara cara
1. Bahan bertanda * dimayang, panaskan minyak dan tumis bahan dimayang dengan rempah tumis hingga naik bau.
2. Kemudian masukkan cuka dan sedikit air, serbuk kunyit dan biarkan seketika.
3. Kemudian masukkan bawang besar, cili hijau, merah dan timun. Kacau dan biarkan hingga mendidih.
4. Kemudian baru masukkan buah tomato, perasakan dengan garam dan gula. Bila sayur layu, bolehlah dimatikan api.
5. Tuangkan ke atas ikan yang telah siap digoreng.



Daun ketumbar ada banyak, hari ni kena fikir nak guna untuk masak apa pulak....

Ada idea?

Sunday, April 8, 2012

Gulai Ikan Puyu



Selamat berhujung minggu...

Hari ni baru berkesempatan masukkan entry baru. Pagi tadi saya dan suami ke pasar mencari barang basah untuk seminggu ni. Kebetulan ternampak orang menjual ikan puyu. Lamanya tak makan ikan puyu segar ni. Selalunya kalau balik Perlis baru boleh makan, lagipun leceh sikit masa nak siang ikan puyu ni. Ini pun habis tangan saya terluka sebab ikan puyu mempunyai kulit yang agak tajam.

Tapi sebab teringin sangat nak makan, tahan sajalah luka sikit. Yang penting boleh lepaskan rasa teringin dulu.


Ada yang tak makan ikan sawah atau ikan sungai sebab baunya yang agak hanyir atau ada yang cakap berbau tanah. Agak remeh sikit nak mencuci ikan air tawar ni, tapi bagi yang suka makan, ia tidak menjadi masalah besar.

Selain buat gulai/kari, ikan puyu sedap juga dimasak asam pedas. Saya suka ikan puyu yang dibuat pekasam, ermmmmm memang meleleh air liur bila memikirkannya.

Selalunya saya buat gulai ikan puyu dengan rebung tapi tadi terlupa pulak nak beli rebung. Tapi saya ada beli kacang bendi sikit, so saya gunakan apa yang ada. Kalau tidak terpaksalah buat gulai kosong saja tanpa sayur.


Bila dah makan makanan berlemak ni, kenalah minum air limau supaya boleh kurangkan sikit lemak yang masuk dalam badan.

Wednesday, March 28, 2012

Bawal Emas Kukus Halia


Salam buat semua pengunjung My Small Kitchen.....


Maaf sebab kebelakangan ini saya tak kerap sangat letak entry, maklumlah ada kekangan tugas yang minta didahulukan. Kadang kala rasa kagum dengan sesetengah kawan kawan yang bekerja, ada anak anak yang perlu di beri perhatian tapi masih mampu membuat entry setiap hari. Itulah kan... yang penting tahu membahagikan masa. Bagi yang tak berapa pandai dan malas nak bahagi masa macam saya ni, itu yang sesekali je keluar entry. Itu pun menu ulangan je....



Selama ni saya cuma tahu ada Bawal Putih dan Bawal Hitam, tapi hari tu masa ke pasar ternampak ikan yang dilabelkan sebagai Bawal Emas. Jadi saja je lah kan nak rasa macam mana rasanya Ikan Bawal Emas  ni. Saya cuma ambil seekor dan memang plan nak masak steam dari awal lagi.

Bagi saya, rasanya sedap sikit dan isinya lebih banyak dari bawal hitam atau putih. Memang sesuai kalau dimasak kukus begini sebab boleh menikmati rasa ikan tu sendiri. Lagipun menu ni sesuai untuk yang terasa jarum penimbang tu asyik naik je kan.....







Saya sudah mula menikmati hasil tuaian buah lemon yang saya tanam. Walaupun tidak sama dengan buah lemon yg di kedai tapi rasanya sama dan still banyak jusnya.

Thursday, March 22, 2012

Asam Pedas Ikan Senangin


Salam semua,


Sekejap saja dah masuk hari Khamis. Tambahan kalau sibuk dengan tugas seharian samada di tempat kerja ataupun menguruskan rumah tangga. Macam dialogue dalam Labu Labi, "Selagi belum tutup mata, kerja kerja  kerja....."


Semalam bila BW rumah kak Gee dan Madihaa nampak diorang sajikan dengan menu Asam Pedas. Bezanya kak Gee dengan Asam Pedas Ayam dan Madiha dengan Asam Pedas Pari. Aduhai saya yang tengok dari skrin komputer pun dah terasa rasa kat lidah. Asam pedas ni memanglah antara menu kesukaan saya. Tapi saya memang prefer guna ikan berbanding ayam atau daging.


Kebetulan kat peti ais hanya ada ikan senangin yang bersaiz agak kecil. Jadi saya cuma beli terung bulat kecil dan bunga kantan sebelum balik rumah.

Kali ini saya nak cuba asam pedas resepi kak Anymz yang saya ambil dari rumah Madiha.

Bahan bahan
2 ekor ikan senangin - bersihkan dan gaul dengan sedikit serbuk kunyit
5 biji terung hijau bulat kecil - belah 2 dan rendam dalam air sejuk
15 tangkai cili kering *
1 labu bawang besar *
3 ulas bawang putih *
1 batang serai *
2 cm kunyit hidup *
Sedikit belacan *
Daun kesum
1 tangkai bunga kantan
1 kiub pati ikan bilis
Garam secukup rasa
1 mangkuk air asam jawa
Minyak untuk menumis
Air secukupnya

Cara cara
1. Kisar bahan bertanda * hingga hancur. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau dan pecah minyak.
2. Kemudian masukkan garam dan kiub pati ikan bilis. masukkan juga air asam jawa. Biarkan seketika, kemudian masukkan ikan, daun kesum dan bunga kantan.
3. Apabila hampir mendidih, masukkan terung dan renihkan dengan api sederhana hingga terung lembut dan matikan api.



Bila tengok gambar ni, rasa macam nak makan nasi la pulak........

Thursday, March 15, 2012

Sambal Tumis Ikan Kering


Salam semua....


Apa Khabar hari ni? Mungkin ada suri rumah yang sibuk menguruskan hal di rumah. Maklumlah sekarang cuti sekolah dan bagi sesetengah tempat di Selangor di takde bekalan air. Lagi lah sibuk ibu ibu semua kan...


Saya pun bila dah tau hari rabu sampai khamis tak ada bekalan air, so bertungkus lumus la mengutip semua baju kotor untuk di dobi, 2 round jugalah. Siap cuci semua pinggan mangkuk yang dah digunakan. Then simpan air minuman dalam botol. Macam la ramai sangat orang dalam rumah kan.... My husband cakap, tak payah susah susah simpan air, yang ada dalam takungan tu pun boleh sampai minggu depan.....

Tapi, alhamdulillah bekalan air tak putus pulak. Ada je macam biasa.


2,3 hari ni my husband asyik nak makan sambal tumis je. Mula mula sambal ketam, lepas tu sambal telur rebus dan semalam saya buat sambal tumis ikan kering. Mula mula dah keluarkan udang, tapi rasa macam dah selalu sangat buat sambal udang. So selongkar peti ais, ada beberapa ketul tulang ikan kurau lebihan saya buat masak lemak cili padi ikan kering minggu lepas. Sedap pulak buat sambal ikan kering ni...