Assalammualaikum dan Salam Sejahtera..
Hari ini mari kita menjamu selera dengan Pau Kelapa kegemaran my husband. Beberapa hari lepas dia cakap nak makan Bun Kelapa selepas saya buat Bun Kacang Merah, tetapi memandangkan oven saya mengalami sedikit masalah teknikal dan saya belum berkesempatan "menyiasat" punca kejadian tempohari maka permintaan Bun Kelapa terpaksa ditunda kepada suatu masa yang akan diberitahu kelak....
Tetapi untuk tidak menghampakan permintaan, saya buatkan Pau Kelapa. Angkat dari kukusan 3 ketul hilang...
Terlupa nak beli Tepung Hong Kong, jadi saya cuma gunakan tepung pau. Kalau gunakan Tepung Hong Kong, teksturnya akan lebih gebu. Tapi masih berpuashati dengan hasilnya yang lembut dan gebu. Lupa pula saya masih ada baki inti kacang merah, patutnya boleh buat dua jenis inti.
Penggambaran dibuat selepas subuh, so capai apa yang sempat untuk buat props. Baru perasan gambar yang out of focus,blur dan sebagainya.Maklumlah masa agak terhad, kena siap nak pergi kerja lagi...
Resepi akan di update kemudian. Perlu siapkan kerja yang lebih penting.
PAU KELAPA
Bahan untuk intinya
1/2 biji kelapa parut - ambil bahagian putih sahaja
Secubit garam
2 sudu besar gula pasir
2 ketul gula melaka
Air secukupnya - anggaran 3/4 cawan
Sedikit tepung gandum
2 helai daun pandan - disimpul
Cara caranya
1. Masukkan air, gula pasir, gula melaka, garam dan daun pandan ke dalam kuali.
2. Masak hingga gula hancur. Kemudian masukkan kelapa parut. Gaul sebati dan masak hingga hampir kering.
3. Taburkan sedikit tepung gandum dan gaul sekata. Matikan api dan biarkan ia sejuk. Kemudian bulatkan kepada saiz yang sesuai.
Bahan untuk kulit Pau
2 1/2 cawan tepung pau
1 sudu besar yis segera + secubit gula + sedikit tepung pau + air - biarkan sehingga berbuih
1 sudu besar gula pasir
2 sudu besar shortening
1 sudu besar Double Action Baking Powder
Secubit garam
Air secukupnya
Cara caranya
1. Pasang hook untuk menguli pada mixer. Masukkan bahan kering dahulu kecuali shortening. Diikuti oleh campuran yis tadi. Putar pada kelajuan perlahan.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh. Putar pada kelajuan sederhana, masukkan shortening dan putar lagi.
3. Rehatkan doh selama lebih kurang 30 minit, tutup dengan tuala lembab.
4. Keluarkan doh, tumbuk beberapa kali untuk mengeluarkan udara. Jika perlukan ketepatan, boleh timbang doh. Jika tidak, ambil sedikit doh, anggaran saiz yang sesuai, leperkan dan masukkan inti kelapa. Balut dan letakkan di atas kertas minyak atau daun pisang. Buat hingga selesai.
5. Rehatkan pau sehingga naik 1 kali ganda. Tutup dengan tuala basah.
6. Panaskan kukusan, masukkan 1 sudu besar cuka makan ke dalam air kukusan. Kukus pau sehingga masak.
3 comments :
Salam Kak Hazila,
Pinggan tuuuu!! *fall in love*
favourite saya ni pau kelapa. thanks for the recipe...tak sabar nak try.
lama tak buat kuih pau. sedapnya nak2 dpt kelapa yg mmg sedang elok buat inti tu
Post a Comment