Friday, June 28, 2013

Muffin Telur Berkeju



Assalammualaikum dan Selamat Tengahari....

Sedar tak sedar sudah sampai hari Jumaat, kalau dikejar kesibukan memang tak terasa masa cepat berlalu. Kadang kala terasa lelah memikirkan kerja yang tak pernah habis.

Selagi bernafas kenalah kerja, begitu juga dengan makan. Lelah juga bila kena fikir apa nak makan hari hari ni...

Hari ini saya letak entry mengenai menu olahan dari telur. Kebiasaannya, telur selalunya kita rebus atau goreng dadar. Apakata kita pelbagaikan dengan mencampurkan sayur sayuran dan juga keju untuk memberikan sedikit kelainan dan juga cara kita "present" makanan tersebut. ( Fuhhhh rasa macam chef seleberiti la pulak....)



Muffin Telur Berkeju

Bahan bahan
4 biji telur
1 biji cili merah - didadu
1 labu bawang besar - didadu
1 pokok daun bawang - di potong saiz yang sesuai
1 biji tomato - dibuang bijinya dan didadu
1/2 cawan mixed veggies ( frozen - jagung,carot,kacang pis)
1/2 cawan keju cheddar
Garam

Acuan muffin

Cara cara
1. Campurkan semua bahan di atas KECUALI keju. Gaul sekata dan pukul hingga agak kembang.
2. Panaskan oven pada suhu 180 darjah celcius, sapukan sedikit minyak/butter pada acuan muffin.
3. Tuangkan adunan telur tadi ke dalam acuan muffin, taburkan keju cheddar di atas permukaan. Bakar di dalam oven hingga masak atau keperangan.
4. Adunan ini menghasilkan 7 biji muffin telur berkeju.


Thursday, June 27, 2013

Asam Pedas Ikan Sembilang



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Nampaknya hari ini matahari begitu garang sekali memancarkan cahayanya. Dari awal pagi lagi sudah terasa terik membakar kulit....

Tiba tiba akak bersastera lah pulak kan...

Agaknya pasal semalam dapat makan asam pedas ikan sembilang kot. Dah beberapa lama teringin nak makan asam pedas ikan sembilang. Bila terasa nak makan, tak ada pula ikan sembilang. Bila jumpa, ada perancangan lain pula.

Kebetulan jumpa ikan sembilang yang bersaiz kecil, saya cuma beli dua ekor. Cukuplah dapat melepaskan keinginan. Dah rasa macam orang mengandung, mengidam itu dan ini....



Kali ini saya cuba resepi Asam Pedas Melaka. Maklumlah orang Melaka dan Johor memang agak terkenal dengan masakan asam pedas mereka. Saya pun kalau ke Melaka mesti nak mencari asam pedas.


  • 2 ekor ikan sembilang

  • Bahan kisar:-
  • 4 biji bawang merah
  • 10 biji cili kering
  • 1/2 inci halia
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 sudu teh jintan putih
  • 1/4 sudu teh lada hitam
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • 2 ulas bawang putih
  • Belacan sebesar ibu jari
Bahan tumis:-
  • 1/2 bawang besar-hiris
  • 1/4 sudu teh biji sawi
  • 1/4 sudu teh halba
  • 2 tangkai daun kari

  • air asam jawa 
  • air secukupnya
  • 1 biji tomato
  • 5 biji kacang bendi
  • 1 bunga kantan
  • daun kesum secukupnya
  • minyak masak
  • garam dan gula
Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis bahan tumis hingga wangi. Kemudian masukkan bahan kisar dan masak hingga pecah minyak.
2. Masukkan air asam jawa dan air secukupnya. Kemudian masukkan ikan dan sayur bendi. Biarkan seketika.
3. Kemudian masukkan bunga kantan, daun kesum dan buah tomato. Biarkan hingga mendidih dan perasakan dengan garam dan gula jika suka.


Monday, June 24, 2013

Malay Crepes @ Lempeng



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.....

Adakah tempat anda dilanda jerebu? Shah Alam agak teruk menyebabkan saya terpaksa "mengkurantinkan" diri sendiri di dalam rumah. Habis semua planning nak ke pasar, nak pergi cuci mata dan yang seangkatan dengannya.....

Jadi terpaksalah duduk dalam rumah dan berebut remote control.... boleh gitu?



Hari sabtu dan ahad plan nak masak dan bolehlah shooting gambar kat luar rumah. Maklumlah hanya 2 hari ini saja saya boleh dapat cahaya semulajadi. Tapi memandangkan jerebu yang agak teruk, my husband cakap tak perlu bergambar, meh terus makan je. Kalau bergambar pun nampak kelabu asap nak buat apa.

Semalam agak teruja nak bergambar sebab terlebih rajin, masak makan tengahari menu ala ala kampung. 



Memandangkan masih ada berbaki kuah kari kepala ikan yang saya masak, saya buat lempeng @ nama glamournya Malay Crepes. Sedap weh!!!!! Kalau pelakon Korea lalu belakang pun confirm tak perasan.... ( ye ke? )



Bahan bahan nak buat lempeng ni pun tak banyak, cuma perlukan tepung gandum, sedikit garam, air dan telur. Kalau kita sukakan lempeng yang nipis, kita bancuh adunan itu sedikit cair. Begitu juga kalau sukakan lempeng yang tebal, kurangkan jumlah air.


Selamat Menyambut Nisfu Syaaban.



Wednesday, June 19, 2013

Mixed Fruits Parfaits





Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera...

Siapa suka makan yogurt?

Bila sebut yogurt, dah kecur air liur sendiri. Mesti ada yang rasa pelik kalau sebut yogurt pun boleh kecur air liur, macam sedap sangat... My husband pun pelik, sebab dia kata apa la yang sedap sangat dengan benda yang masam macam tu...  

Yelah, lain orang lain kesukaannya.



Saya memang selalu simpan stok yogurt dalam peti ais di rumah. Yang paling saya suka makan yogurt dengan buah buahan dan madu/maple syrup. Kalau ada homemade raspberry/strawberry sauce pun okay juga, lebih lebih lagi kalau di makan bersama sama dengan Greek Yogurt.




Actually penyediaan dessert ni senang dan tak ambil masa yang lama pun. Kebetulan saya dah buat Homemade Raspberry Sauce ( gara gara meghoyan beli 1 kg raspberry tempohari).

Kali ini saya lapiskan greek yogurt bersama sama dengan isi buah oren yang agak manis, homemade raspberry sauce dan buah peach dari dalam tin. Akhir sekali saya taburkan keju ceddar.

Tuesday, June 18, 2013

German Pancakes


Assalammualaikum dan Selamat Pagi....

Actually takde idea nak bercerita, badan pun tak berapa sihat so jamu mata dengan German Pancakes yang saya sediakan sebagai sarapan pagi tadi.





Resepi saya ambil dari sini. Cuma saya gantikan dengan buah buahan yang ada dalam peti ais.




Bahan bahan: 

-2 telur
-1/2 cawan susu segar
-1/2 cawan tepung gandum, diayak
-1/2 sudu teh vanila
-1 cubit garam
-2 sudu makan unsalted butter
-2 sudu makan gula halus untuk taburan - saya tak letak
-Maple syrup 

Alatan: 
-Medium bowl
-Electric mixer with a whisk attachment
-Cupcake/muffin tins

Cara cara: 
1.  Panaskan oven kepada 180 degrees celcius.
2.  Di dalam mangkuk, pukul telur hingga ringan, kemudian masukkan susu segar. Gaul sebati. Perlahan lahan masukkan tepung, vanila dan garam.
3.  Cairkan butter dan sapukan acuan muffin. Masukkan setiap satu dengan adunan tadi, separuh bahagian sahaja.
4.  Bakar hingga pancakes puffed up dan keperangan. Alihkan dengan segera dari oven.

Notes:
Pancakes ini tidak manis, jika suka boleh masukkan 1 sudu makan gula pasir dalam adunan atau letakkan maple syrup secukupnya semasa menikmatinya bersama sama buah buahan pilihan.


Friday, June 14, 2013

Omurice



Assalammualaikum dan Selamat Pagi di hari Jumaat yang penuh berkat....

Hari ini saya buat tayangan menu makan malam tadi, OMURICE. Ala lebih kurang Nasi Goreng Pattaya ke kalau tak silap. Rasanya masa zaman akak muda belia memang agak terkenal juga menu ni di gerai gerai makan.

Bila tengok cerita Korea "ROOFTOP RINCE", Omurice ni jadi agak popular.

Memandangkan semalam tak ada idea nak masak apa, dan barang basah pun tak berapa nak ada jadi saya buat omurice ala saya menggunakan apa bahan yang ada dalam peti ais. Bukannya susah sangat pun, goreng je nasi dengan bahan yang ada, goreng telur dadar dan bungkuskan nasi goreng dengan telur dadar tadi.

Rasanya mereka gunakan sos tomato tapi tekak orang melayu ni sukakan yang pedas, jadi kita gunakan sos cili.

Actually seksa juga nak kawal supaya telur dadar tu tak terkoyak......

Thursday, June 13, 2013

Raspberry & Yogurt Popsicle


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

"Pengembaraan bersama Raspberry" sudah bermula... Mula mula kita layan Raspberry & Yogurt Popsicle. Antara resepi yang paling senang mudah, cuma masa nak bekukan saja yang lama. Biasalah, akak kan suka resepi yang mudah dan tak pening pening kepala. Maklumlah banyak masalah negara yang nak kena fikir...... ( terasa diri macam PM pulak...)



Raspberry & Yogurt Popsicle ni sesuai kalau anda penggemar yogurt dan rasa masam masam gitu. Kalau anda penggemar gula yang tegar, confirm anda memang tak akan sukakannya. Tapi kalau gula yang banyak pun tak bagus kan....

Semenjak jadi blogger ni, kalau ke mana mana pun mata mesti meliar mencari apa yang boleh dibuat props untuk food photography. Tak kisahlah benda tu yang percuma atau yang mampu milik. Kalau dulu saya saja yang teruja kalau dapat masuk dalam kedai peralatan dapur, tapi sekarang dah berjangkit pada my other half. Last weekend masa masuk kedai AINO LIVING, dia yang excited pilih beberapa items termasuk pinggan yang saya gunakan ini. Akak ok je.... sebab dia yang bayar.




Raspberry & Yogurt Popsicle

Bahan bahan
2 cawan minuman Plain Yogurt ( yang sedia diminum )
2 sudu makan madu
1/2 cawan raspberry
Popsicle mould

Cara cara
1. Campurkan madu bersama sama dengan minuman yogurt.
2. Sudukan buah raspberry ke dalam Popsicle mould, kemudian tuangkan campuran madu dan minuman yogurt tadi.
3. Bekukan sekurang kurangnya 6 jam.
4. Untuk mengeluarkan Popsicle dari acuan, lalukan acuan di bawah air pili lebih kurang 20-30 saat atau sehingga boleh dikeluarkan.


Tuesday, June 11, 2013

Raspberry Pancakes



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Maaf tiada menu baru, hanya menu ulangan. Masih tercari cari mood untuk menjadi lebih rajin supaya blog tidak menjadi sarang labah labah.

Padahal dah fikir macam macam resepi mahu dicuba terutamanya bila sampai hujung minggu. Tapi bila sampai hujung minggu, mood suam suam kuku, ditambah pula bila "my partner in crime" ajak cuci mata aka cuci pocket kat shopping mall.... mood yang suam suam kuku terus jadi beku.



Lempeng mat salleh ni tak semestinya kena makan waktu sarapan kan... 

Oh ya...

Semalam tiba tiba akak meghoyan sebab beli raspberry sampai 1 kg. So kalau lepas ni asyik keluar menu yang penuh raspberry, buat buat tak nampak jelah ye...


Saturday, June 8, 2013

Roasted Lamb with Mashed Potato



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Maaf sebab agak lama juga dapur maya "My Small Kitchen" tidak berupdate. Nak dikatakan sibuk sangat pun tidak, mungkin lebih kepada "kurang idea" apa yang nak diupdatekan... ( alasan lain untuk malas )





Just a quick update actually, supaya blog ni tidak banyak sangat sawangnya. Agak lama juga tak masak kambing di rumah tetapi semalam my other half tiba tiba cakap teringin nak makan kambing. So on the way balik kerja, singgah beli barang yang perlu.

Tengahari nanti ada jemputan perkahwinan anak kawan suami di Dewan SUK Selangor, kalau rajin malam nanti saya masak untuk dinner. Kalau tidak, faham faham sajalah ye...