Friday, October 31, 2014

Pau Bentuk Landak & Bunga


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini kita jamu mata dengan entry berkenaan pau lagi. Semalam my husband request nak makan pau inti kacang merah dan inti kelapa manis. Aduhaiiii tamak betul, dua sekali dia nak makan. Inti kacang merah okay lah sebab dah memang ready made tapi inti kelapa manis nak kena buat dulu.

Memandangkan saya tidak perlu sediakan makan malam, so sementara my husband balik saya sempat sediakan pau yang saya bentuk seaakan akan landak dan bunga. Dah habis kerja nak buat la ni kan....
 
 Yang bentuk landak agak senang sikit sebab lepas bulatkan dan bentukkan sedikit lonjong, kita terus gunting dan lekatkan bijan hitam sebagai hiasan mata.


 Tetapi yang untuk membentuk bunga, sedikit tricky. Ini kerana bila doh sudah naik 1 kali ganda, kelopaknya agak mudah melekat di antara satu sama lain. So bila dikukus ia kelihatan agak "bloated". Next time kena cuba arrange kelopak bunga sebelum doh naik menjadi gebu.

Resepi sama seperti pau yang saya buat sebelum ini cuma kali ini saya guna campuran tepung Hong Kong. 


 

Wednesday, October 29, 2014

Talam Keladi



 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Percubaan pertama membuat kuih Talam Keladi. Sepatutnya saya kukus ubi keladi tetapi tersilap baca saya rebus. So ubi menjadi sedikit lembik. Then menjaga supaya air tidak  menitik tetapi terlupa nak buka penutup selepas matikan api dapur. So ada spots yang ada kesan air menitik. Basically resepi Talam Keladi yang saya ambil dari Yatie Memories ni memang sedap dan walaupun pertama kali mencuba, tidak menghampakan. Cuma lain kali kena betulkan serba sedikit supaya kejadiannya lebih elok.


Tuesday, October 28, 2014

Kitchen Garden



Assalammualaikum Dan Salam Sejahtera...

Hari ini tiada entry masakan, saya gantikan dengan beberapa gambar pokok yang ada di Kebun Dapur saya yang sekangkang kera tu. Ada beberapa pokok asas untuk masakan seperti serai, kunyit, cili padi, cili besar, pokok kari, pokok limau purut, pokok kesum dan pokok daun kaduk.

 Pokok Delima yang sedang galak berbuah. Ada lebih kurang 10 biji dan masih berbunga dan berputik.


Antara pokok besar ialah mangga, delima, ciku, pokok nona dan yang paling tak tahan sekali ialah my husband beli anak pokok gajus. Saya dah cakap pokok tu besar mana sesuai tanam di dalam kawasan rumah yang sekangkang kera ni. Buat masa sekarang saya tanam di dalam pasu besar, rasanya nak pindahkan ke tepi padang. Oh ya, hari tu dia beli anak pokok lada hitam. Adoiiiii macam macam betul. Buat masa ini pokok tu masih hidup tapi entah boleh bertahan atau tidak.
 


Pokok kari ni selalu hampir tumbang sebab batangnya agak kecil untuk menampung berat daun yang banyak. So saya pacakkan besi dan ikat agar susah sikit nak tumbang bila dilanda hujan dan angin yang kuat. Selalu belek buang serangga yang makan daun.


Ini kali yang ke berapa saya tanam pokok kesum, selalunya berakhir dengan tragedi oktober.... Alhamdulillah kali ini ia hidup subur. Masa saya beli anak pokok tu kecil saja. My husband selalu tabur baja supaya cepat besar katanya.
 
Pokok Kunyit yang saya bawa dari kampung. Saya ambil anak pokok dan sekarang makin membesar. Saya ada 2 bekas pokok kunyit. So kalau nak masak rendang, separuh bahan dah jimat sebab boleh kutip dari kebun kecil, seperti serai, daun kunyit dan daun limau purut. Kadang kala kita hanya perlukan sedikit saja tetapi kalau beli selalunya dalam kuantiti yang agak banyak. So yang baki selalunya terbiar kering dalam peti ais. 

 

Monday, October 27, 2014

Tart Nenas


 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Tiba tiba pula terasa nak makan tart nenas. Kebetulan semalam Ahad tidak kemana mana dan cuaca pula tidak begitu mengizinkan untuk buat aktiviti di luar. Apalagi menyelongkar apa yang ada didapur.

Sebenarnya saya beli inti nenas ini dalam bulan Ramadhan tempohari. Konon kononnya nak buat tart untuk hari raya la katanya.... Tetapi bila banyak sangat kerja yang perlu disiapkan sebelum cuti hari raya, sampai terlupa langsung pasal inti nenas ni.

So semalam hasil menyelongkar, terjumpa inti nenas. Bila hujan dah reda, terus keluar cari butter.

Kali ini saya mencuba resepi dari Azie Kitchen. Puas jugalah nak siapkan satu tart nenas, maklumlah nak gunting satu per satu.


 Sekarang ni tak perlu tunggu hari lebaran untuk menikmati juadah seperti ini.

Bahan bahan
300 gms tepung gandum
4 sudu besar tepung jagung
3 sudu besar gula icing
200 gms butter
2 biji kuning telur
1/2 kg jem nenas (khas untuk inti)
Kuning telur - untuk glis

Cara cara
1. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan gula icing ke dalam mangkuk. Kemudian masukkan butter yang dipotong dadu .
2. Ramas menggunakan jari hingga berderai, kemudian masukkan kuning telur dan adun menjadi doh. Simpan di dalam peti ais selama lebih kurang 20 minit.
3. Sementara itu bulatkan inti nenas, keluarkan doh dan ambil sedikit doh, bulat dan leperkan. Isi inti dan tutup kembali. Kemaskan dan gunting seakan akan duri landak atau kulit nenas. Buat sehingga habis.
4. Sapukan kuning telur di atas permukaan tart nenas. Bakar pada suhu 180C selama lebih kurang 25-30 minit atau sehingga warnanya menjadi keemasan/keperangan.





Friday, October 24, 2014

Asam Pedas Ikan Parang

  
Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Sempena cuti umum Hari Deepavali tempohari, saya ke Giant mencari sedikit barang keperluan. Sebelum mengambil barang kena periksa bahagian pembayaran samada orang ramai atau tidak. Sebabnya hari ahad lepas, saya dan suami terpaksa kembalikan barang bila sampai tempat pembayaran, punyalah ramai orang beratur untuk membayar. Masing masing menolak satu troli yang sarat dengan barang. Suami saya cakap, rasanya kena tunggu 1 jam baru boleh bayar ni...

Memandangkan barang yang kami ambil sedikit dan tidaklah begitu penting dan perlu sangat, jadi kami pulangkan dan keluar. Jadi semasa cuti Deepavali tempohari, orang yang beratur tidaklah terlalu ramai sangat, jadi sempat membeli beberapa barang dan antaranya sepotong ikan parang.

 Membayangkan asam pedas pun dah boleh buatkan air liur kecur....

Asam pedas juga ada pelbagai jenis, ada yang tumis dan ada juga jenis yang rebus. Saya suka tidak kira yang tumis atau rebus. Semalam saya masak Asam Pedas jenis tumis yang pekat dan melekat.

Kalau kita search resepi asam pedas di Internet, akan keluar pelbagai resepi berkaitan asam pedas. So kita boleh pilih mengikut citarasa atau bergantung pada mata yang melihat gambar masakan tersebut. Biasanya saya cuba resepi A, bila kurang kena pada tekak, saya cuba resepi B pula, sambil kita adjust mengikut taste bud kita sendiri.

Sebenarnya apa yang membuatkan saya excited sangat untuk memasak asam pedas ialah kerana pokok kesum yang saya tanam tumbuh dengan subur dan merimbun. Bila setiap kali balik kerja, mesti membelek pokok daun kesum. Begitu juga pokok kari. Geram tengok daunnya yang besar dan hijau.



Asam Pedas Ikan Parang

Bahan bahan
1 potong ikan parang - saya guna bahagian ekor
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2 cm lengkuas
2 cm kunyit hidup
1 helai daun limau purut - dicarik
Belacan - anggaran sebesar ibu jari
1 batang serai - diketuk
1 sudu besar lada hitam
3/4 cawan cili kering kisar
1 tangkai daun kesum
Kacang bendi
Tomato
Air asam jawa
Garam dan gula
Air secukupnya
1 sudu teh halba
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Bawang merah,bawang putih,lengkuas,kunyit,belacan dan lada hitam ditumbuk jangan sampai terlalu halus.
2. Panaskan minyak, tumis halba, kemudian masukkan bahan bahan yang telah ditumbuk dan cili kisar. Tumis sehingga pecah minyak.
3. Kemudian masukkan air asam jawa, serai, daun kesum, sedikit garam, daun limau purut dan sedikit air. Biarkan ia hampir mendidih.
4. Kemudian masukkan ikan, tambahkan air jika kuah agak pekat. Bergantung pada selera. Masukkan kacang bendi.
5. Bila kuah sudah mendidih, perlahan api dan masukkan buah tomato. Tambahkan perasa jika perlu. Jika buah tomato yang digunakan muda, boleh masukkan bersama sama kacang bendi. 





Tuesday, October 21, 2014

Ebi Tempura



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini saya buat tayangan EBI TEMPURA @ UDANG TEMPURA. Saya ni kalau dengan udang, pantang sikit.

Pantang jumpa, boleh lupa diri.

Saya pernah buat dulu tapi menggunakan resepi dari Kylie Kwong, tapi kali ini saya cuba resepi dari RASA MALAYSIA.
 


Sedap makan begitu saja atau cicah sos cili thai.

Saya tahu saya masih berhutang resepi Pie Tee dan sekarang tambah satu lagi resepi. Insyaallah ada kelapangan sikit, saya akan update semua resepi.

Bahan Bahan

6 ekor udang bersaiz XL - dibuang kulit tetapi tinggalkan bahagian ekor
Bread crumbs

Untuk batter

90 gms tepung beras
30 gms tepung gandum
1/2 sudu besar baking powder
1/4 sudu makan garam
1 sudu makan minyak sayuran
1 butir kuning telur
150 ml ice water
3 cube ice

Cara cara
1. Masukkan semua bahan kecuali iced water dan ice cube.
2. Tuangkan iced water sedikit demi sedikit sambil mengacau menggunakan chopstick. Biarkan adunan sedikit lumpy.
3. Panaskan minyak, masukkan ice cube ke dalam adunan batter tadi dan kacau sedikit.
4. Ambil seekor udang, celupkan ke dalam adunan batter dan salutkan dengan bread crumbs. Kemudian goreng di dalam minyak panas.
5. Biarkan sehingga udang bertukar warna keemasan, angkat dan toskan.
6.Buat sehingga selesai. Sedap dinikmati bersama sos cili thai.

 

Monday, October 20, 2014

Pie Tee



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Sudah beberapa hari rancangan untuk buat Pie Tee tergendala dek kerana kekangan masa. Alhamdulillah petang semalam sempat juga meneruskan rancangan. Memandangkan sekarang bila petang cuaca mula bertukar menjadi agak menakutkan. Bukan setakat hujan lebat malah dengan angin kuat serta guruh dan kilat. So kalau perlu uruskan kerja di luar, kena selesaikan sebelum petang. Sekarang kalau park kereta bawah pokok, bila nampak cuaca macam pelik saja mulalah risau nak alihkan kereta.
 

Berbalik kepada entry kali ini, saya sediakan pie tee. Resepi saya ambil dari Nasi Lemak Lover rasanya.

Semenjak beli acuan pie tee, rasanya ini baru kali kedua saya membuatnya. Casingnya tak begitu cantik, tapi bolehlah untuk makan sendiri.

Bahan bahan untuk inti

25gms udang kering - rendam sebentar, toskan dan tumbuk kasar
900 gms sengkuang - hiris halus memanjang/sagat
1 biji lobak merah - dihiris memanjang/sagat
2 tangkai daun bawang - dihiris halus
Garam secukup rasa
1 sudu kecil light soya sauce
Sedikit lada putih/sulah
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis udang kering hingga wangi. Masukkan sengkuang dan lobak merah. Kacau sebati.
2. Masukkan soya suce, garam dan lada sulah. Terus kacau hingga kering.
3. Akhir sekali masukkan daun bawang, gaul dan ketepikan.

Bahan bahan untuk Pie Tee Cases
100 gms tepung jagung
60 gms tepung beras
60 gms tepung gandum
180 -190 ml air
50 gms telur
Sedikit garam
1/2 sudu teh gula
Minyak untuk menggoreng

Cara cara
1. Campurkan semua bahan kecuali minyak di dalam bekas sehingga membentuk batter/adunan yang agak cair.
2. Panaskan minyak, rendam acuan pie tee di dalam minyak sehingga panas.
3. Keluarkan acuan dari minyak, celup di dalam batter, janggan sampai tenggelamkan acuan.
4. Kemudian masukkan semula ke dalam minyak yang panas tadi. Biarkan sebentar sehingga kelihatan tepung sedikit renggan dari acuan. Gunakan pisau atau lidi untuk mengeluarkan pie tee case dari acuan.
5. Biarkan sehingga pie tee case keperangan dan toskan. Ulang hingga habis.


 

Friday, October 17, 2014

Miso Soup with Spinach & Mushrooms


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Since tuan rumah agak fully occupied 2,3 hari ni, maka tak sempat nak bereksperimen di dapur. So hari ini saya jamu mata dengan Miso Soup.

Biasanya guna clam and tofu, kali ini kita tukar sikit menjadi ala ala vegetarian gitew...

Beberapa hari lepas, masa balik kerja saya saya singgah pasaraya mencari lamb since my husband nak makan kambing bakar. Seperti biasa, mata meliar melihat apa yang ada. Tiba tiba terpandang "MISO PASTE HALAL". Selalunya ada alcohol. Apalagi terus angkut masuk troli.

Untuk keterangan mengenai MISO PASTE HALAL sila lihat di sini.

 

Wednesday, October 15, 2014

Stuffed Omelette



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini kita bersarapan gaya ala ala western gitew....

Dua tiga hari kebelakangan ini saya agak sibuk dengan kerja jadi kalau masak pun cuma yang ringkas dan siap dalam masa yang singkat. Bila otak penat, malas nak fikir menu yang ambil masa yang lama untuk disediakan. Kebelakangan ini kami suka makan yang bakar bakar je. Guna arang lagi tau... Beza aroma ikan bakar menggunakan arang dengan menggunakan oven.

 


Tak perlu resepi lah ye... Telur dadar je pun. Bahan untuk di isi dalam omelette tu saya gunakan bawang kecil, bawang putih, capsicum kuning, Jalapeno dan shiitake mushroom. Stir fry dengan olive oil dan perasakan dengan garam. Pejam mata pun pun boleh buatkan. Senang, cepat dan berkhasiat.
 

Selamat Menjamu Mata.


 

Monday, October 13, 2014

Cucur Badak



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini kita sarapan dengan Cucur Badak. Inipun sebab ada lebihan kelapa parut dan ubi keledek Jepun dirumah. Dapatlah 8 ketul cucur badak yang saiznya tidaklah besar sangat.

Saya siapkan malam tadi dan sebelum ke tempat kerja boleh goreng buat sarapan dan bekal sekali.
 


Tiada sukatan tepat sebab bahan bahannya agak sedikit,malas pula nak timbang. Untuk dohnya cuma keledk yang telah direbus di adun dengan tepung gandum dan sedikit air.

Bahan bahan untuk inti / serunding kelapa
1/2 biji kelapa parut
2 batang serai
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
10 tangkai cili kering - dihiris dan direndam dalam air panas sebentar
4 ekor udang basah - ambil isinya
2 sudu makan udang kering - rendam dan tos
1 inci kunyit hidup
1 sudu teh ketumbar *
1 sudu teh jintan manis *
1 sudu teh jintan putih *
Garam dan gula
Air secukupnya
Bahan bertanda * Goreng tanpa minyak sebentar.

Cara cara
1. Kisar halus semua bahan kecuali kelapa parut.
2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Kemudian masukkan kelapa parut. Gaul sebati.
3. Masak serunding/inti kelapa hingga hampir kering dan sesuaikan rasa.Matikan api dan biarkan sejuk seketika.
 

Masih ada baki inti kelapa, kalau rajin nanti boleh buat pulut panggang pula.

Kalau rajin la kan.....


 

Saturday, October 11, 2014

Thai Beef Rice Noodles Soup



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selamat berhujung minggu.

Percubaan membuat Bihun Sup Siam, walaupun tidak dapat menyamai rasa Bihun Sup Siam yang saya suka sangat makan bila ke Bazaar/Arked Padang Besar di Perlis. 

Pertama mungkin sebab mereka menggunakan sup ayam. Kedua saya mencuba resepi dari internet yang berlainan sekali dari yang sepatutnya.

Walau bagaimanapun kita perlu try and error, kalau tidak mana nak dapat hasil seperti yang kita kehendaki.
 


Sila menjamu mata dulu. Resepi akan menyusul kemudian, mungkin hari Isnin.
 
Banyak betul lemak. Sepatutnya kena sejukkan sup dan buang lemak dahulu.
  
Bahan Bahan
8 cawan beef stock
1 sudu teh kicap
1 sudu besar Fish sauce
1 batang kulit kayu manis
2 kuntuk bunga lawang
1 sudu besar bawang putih - tumbuk lumat
1 sudu makan halia - tumbuk lumat
1 sudu makan cuka makan / jus limau
1 sudu teh cili padi - tumbuk lumat
Garam / Gula
Bihun - dicelur dan toskan
Kangkung - dicelur
Taugeh - dicelur sebentar
Kacang tanah tumbuk
Serbuk cili thai
Hirisan limau nipis
Hirisan daging

Cara cara
1. Campurkan Beef stock, fish sauce, kicap, kulit kayu manis, bunga lawang,semua bahan yang telah ditumbuk, cuka/jus limau ke dalam periuk. Panakan hingga mendidih.
2. Perlahankan api,biarkan sup mereneh seketika. Perasakan dengan garam dan gula jika perlu.
3. Masukkan bihun ke dalam mangkuk. Tuangkan sup dan tambahkan hirisan daging,kangkung, taugeh, kacang tanah tumbuk, serbuk cili dan potongan limau.

Thursday, October 9, 2014

Pau Kelapa

 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera..

Hari ini mari kita menjamu selera dengan Pau Kelapa kegemaran my husband. Beberapa hari lepas dia cakap nak makan Bun Kelapa selepas saya buat Bun Kacang Merah, tetapi memandangkan oven saya mengalami sedikit masalah teknikal dan saya belum berkesempatan "menyiasat" punca kejadian tempohari maka permintaan Bun Kelapa terpaksa ditunda kepada suatu masa yang akan diberitahu kelak....

Tetapi untuk tidak menghampakan permintaan, saya buatkan Pau Kelapa. Angkat dari kukusan 3 ketul hilang...



Terlupa nak beli Tepung Hong Kong, jadi saya cuma gunakan tepung pau. Kalau gunakan Tepung Hong Kong, teksturnya akan lebih gebu. Tapi masih berpuashati dengan hasilnya yang lembut dan gebu. Lupa pula saya masih ada baki inti kacang merah, patutnya boleh buat dua jenis inti.
 


Penggambaran dibuat selepas subuh, so capai apa yang sempat untuk buat props. Baru perasan gambar yang out of focus,blur dan sebagainya.Maklumlah masa agak terhad, kena siap nak pergi kerja lagi...

Resepi akan di update kemudian. Perlu siapkan kerja yang lebih penting.

 


PAU KELAPA

Bahan untuk intinya
1/2 biji kelapa parut - ambil bahagian putih sahaja
Secubit garam
2 sudu besar gula pasir
2 ketul gula melaka
Air secukupnya - anggaran 3/4 cawan
Sedikit tepung gandum
2 helai daun pandan - disimpul

Cara caranya
1. Masukkan air, gula pasir, gula melaka, garam dan daun pandan ke dalam kuali.
2. Masak hingga gula hancur. Kemudian masukkan kelapa parut. Gaul sebati dan masak hingga hampir kering.
3. Taburkan sedikit tepung gandum dan gaul sekata. Matikan api dan biarkan ia sejuk. Kemudian bulatkan kepada saiz yang sesuai.

Bahan untuk kulit Pau
2 1/2 cawan tepung pau
1 sudu besar yis segera + secubit gula + sedikit tepung pau + air - biarkan sehingga berbuih
1 sudu besar gula pasir
2 sudu besar shortening
1 sudu besar Double Action Baking Powder
Secubit garam
Air secukupnya

Cara caranya
1. Pasang hook untuk menguli pada mixer. Masukkan bahan kering dahulu kecuali shortening. Diikuti oleh campuran yis tadi. Putar pada kelajuan perlahan.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi doh. Putar pada kelajuan sederhana, masukkan shortening dan putar lagi.
3. Rehatkan doh selama lebih kurang 30 minit, tutup dengan tuala lembab.
4. Keluarkan doh, tumbuk beberapa kali untuk mengeluarkan udara. Jika perlukan ketepatan, boleh timbang doh. Jika tidak, ambil sedikit doh, anggaran saiz yang sesuai, leperkan dan masukkan inti kelapa. Balut dan letakkan di atas kertas minyak atau daun pisang. Buat hingga selesai.
5. Rehatkan pau sehingga naik 1 kali ganda. Tutup dengan tuala basah.
6. Panaskan kukusan, masukkan 1 sudu besar cuka makan ke dalam air kukusan. Kukus pau sehingga masak.

 
 
 

Tuesday, October 7, 2014

Masak Lemak Telur Itik & Belimbing Buluh


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Bagaimana dengan sambutan Hari Raya Eidul Adha anda? Alhamdulillah kita rakyat Malaysia masih mampu untuk menyambutnya walaupun sederhana tetapi yang paling penting negara kita aman dan dikelilingi oleh keluarga, rakan rakan dan jiran tetangga yang baik. Bersyukurlah dengan apa yang kita miliki daripada mengimpikan sesuatu yang belum pasti kita gapai. Bila kita lihat kepayahan orang lain, barulah kita sedar betapa bernilainya apa yang kita sedang miliki. Sesungguhnya ini peringatan untuk diri sendiri.

Hari raya kali ini agak bermakna buat saya kerana diberi kesempatan bertemu kawan kawan lama yang terpisah bertahun lamanya. Kesempatan bertemu walaupun untuk seketika menggamit kenangan waktu persekolahan.Berbual tentang kenangan lama sambil bertanya khabar setelah sekian lama.

Berbalik kepada entry kali ini saya sajikan Masak Lemak Telur Itik dengan Belimbing Buluh. Selalunya kalau pulang ke kampung, tempat yang saya suka sangat ialah pasar tani yang menjual pelbagai hasil kampung. Kadang kala berjam lamanya kerana bila nampak hasil jualan yang jarang atau tidak pernah saya nampak mulalah ringan saja mulut saya bertanya. Apa namanya, bagaimana cara untuk memasaknya. 

Kata orang kalau malu bertanya sesat jalan....

Bahan bahan
3 biji telur itik
250 ml santan pekat
1 cm kunyit hidup
10 biji cili padi - kurangkan jika terlalu pedas
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 batang serai - diketuk
10 biji belimbing buluh
Daun kunyit
Garam secukup rasa
Air secukupnya

Cara cara
1.Tumbuk bawang merah, bawang putih, cili padi hingga lumat. Masukkan ke dalam periuk
2. Masukkan santan pekat dan tambah air ke dalam periuk tadi. Masukkan juga belimbing buluh, serai dan daun kunyit. Kacau selalu sehingga mendidih.
3. Setelah mendidih, masukkan telur itik satu persatu sambil dikacau perlahan supaya telur tidak pecah.
4. Perasakan dengan garam secukupnya.