Friday, January 22, 2016

Toast with Poached Egg


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selamat pagi, dah sarapan ke belum? Apakata kita sarapan dengan roti dan telur saja pagi ini. Aduhai makcik, sarapan roti dengan telur pun nak masuk dalam blog juga ke?

Sebenarnya ingat nak buat Roti Goyang. Ala roti bakar yang diletakkan telur separuh masak di atasnya. Tapi telur putih saya tu terlebih keras so tak adalah nampak bergoyang pun. Kalau nak bergoyang juga, sebelum masuk mulut, goyang goyang kan jelah roti tu. wink! wink!




Okay sehingga bertemu lagi. Selamat berhujung minggu dan mungkin hujung minggu yang panjang kerana cuti Thaipusam.

Thursday, January 21, 2016

Grenadine Squash with Mint & Lychee


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Bersiaran kembali di pagi Khamis. Weekdays dapur kat rumah jarang berasap so tiada menu untuk dikongsi. Kalau berasap pun hanya masak yang simple atau menu ulangan. Hari ini saya nak kongsikan resepi minuman pula. Resepi saya ambil dari Majalah SEDAP.

Kebetulan masa membelek majalah ternampak resepi minuman ini. Saya suka beli barang tapi ended up tak guna. Saya beli pati delima kononnya untuk supplement tapi ada la sekali dua saja saya makan. Then beli air soda untuk buat apam mekar tapi..... tak buat juga. Saya memang jarang sangat minum minuman bergas, mungkin berbulan bulan sekali.

Mula mula sekali kita sediakan Grenadine Syrup.

Bahan bahan
2 cawan jus delima
1 1/2 cawan gula
4 sudu besar pati delima
2 sudu teh air mawar

Cara cara
1. Masukkan jus delima ke dalam periuk. Panaskan lebih kurang 5 minit. Tambahkan gula dan masak dengan api sederhana selama 5 minit lagi.
2. Masukkan pati delima, kacau dan masak lagi lebih kurang 2 minit.
3.Alihkan dan biarkan sejuk sebentar. Tambahkan air mawar. Masukkan ke dalam botol kaca dan simpan di dalam peti sejuk.


GRENADINE SQUASH WITH MINT & LYCHEE

Bahan bahan
Grenadine syrup
Air soda
Pudina
Buah laici
Ais

Cara cara
1. Masukkan grenadine syrup dan tambahkan air soda. Kemudian tambahkan daun pudina dan buah laici. Masukkan ais dan nikmati.

*** Jika tidak mahu menggunakan air bergas/soda, gantikan dengan air biasa atau gunakan lebihan jus delima.



Jom minum....


Jumpa lagi.

Tuesday, January 19, 2016

Bubur Nasi Ayam


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini saya masukkan entry menu yang simple jika masih ada baki ayam yang kita buat untuk Nasi Ayam. Ia juga sesuai untuk orang yang kurang selera makan atau kurang sihat. Tapi kalau orang sihat pun sedap juga makan bubur nasi ayam ini.

BUBUR NASI AYAM SIMPLE
( anggaran 2 orang )

Bahan bahan
1 cawan beras - dicuci bersih
4 cawan air / sup ayam jika berbaki
Tulang ayam - asingkan isinya untuk ditabur di atas bubur nanti
Sedikit lada sulah
Garam - Jika gunakan air
1 inci halia - dihiris nipis
Bawang Goreng
Daun Bawang
Fried Garlic

Cara cara
1. Masukkan beras, air, tulang ayam bersama sedikit isi ayam, halia, lada sulah dan garam (jika perlu)ke dalam periuk.
2.Rebus hingga menjadi bubur atau masukkan ke dalam periuk nasi dan masak seperti biasa.
3. Semasa menghidang, taburkan isi ayam yang telah dicarik, bawang goreng, bawang putih goreng dan daun bawang.

*** Jika ada sayur kangkung atau apa juga sayur berdaun, boleh masukkan ke dalam bubur ini semasa proses memasak. 

Monday, January 18, 2016

Set Nasi Ayam



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Pagi Isnin yang cerah. Apakata kita cerahkan mata dengan hidangan set Nasi Ayam yang saya sediakan sebagai juadah di hujung minggu.

Agak lama juga sebenarnya saya tidak memyediakan nasi ayam di rumah. Mungkin sebab lauk ayam jarang dapat permintaan dari my other half. Bila cakap saja kita makan lauk ayam masak something, something... cepat cepat je suruh tukar menu. So kalau beli ayam, saya selalu beli small portion saja. Unless saya ada planning nak buat something.

Sebenarnya tidaklah sesusah mana untuk menyediakan nasi ayam di rumah. Lagipun set nasi ayam ini sudah merangkumi semua sekali, ada nasi, lauk dan sayur. 


Rasanya dah banyak resepi nasi ayam yang sedap boleh kita jumpa di alam maya. Type saja Nasi Ayam, boleh pilih resepi mana yang berkenan.
Ada ayam yang goreng, dipanggang atau ala ala nasi ayam Hainan.

SUP AYAM

1/2 ekor ayam - potong 2 bahagian
2 inci halia - dihiris nipis
2 pokok bawang - potong anggaran 3 inci
1 sudu teh garam
Anggaran 10 cawan air

Cara cara
1. Masukkan semua bahan dan rebus hingga mendidih dan renihkan sebentar. Matikan api.
2. Asingkan anggaran 2.5 cawan untuk memasak nasi dan 3 cawan untuk sup. Yang selebihnya akan digunakan untuk memasak SOY SAUCE CHICKEN.
2. 3 cawan sup tadi asingkan ke dalam periuk kecil dan panaskan semula, perasakan dengan garam.

NASI AYAM

2 cawan beras - cuci dan toskan.
2 cawan atau lebih sikit
Lemak ayam - especially bahagian belakang ayam
2 ulas bawang putih - cincang halus
1 helai daun pandan - simpulkan
Sedikit garam - jika perlu

Cara cara
1.Panaskan lemak ayam hingga mengeluarkan sedikit minyak, kemudian masukkan bawang putih. Goreng sebentar. Keluarkan lemak ayam atau biarkan saja jika suka.
2. Masukkan beras dan goreng sebnentar. Alihkan semua yang digoreng tadi ke dalam periuk nasi. Tambahkan sup ayam, daun pandan dan garam jika suka.
3. Masak seperti biasa.

*** Jika suka boleh rendam beras dengan serbuk kunyit jika mahukan nasi berwarna kuning. 

SOY SAUCE CHICKEN

1/2 ekor ayam dan sup
2 bunga lawang
1/2 cawan kicap cair
1 cawan kicap pekat
1/2 cawan gula

Cara cara
1. Masukkan semua ke dalam periuk dan masak dengan api perlahan. Sentiasa alihkan ayam supaya semua bahagian terendam di dalam kuah.
2. Masak anggaran 30 minit. Matikan api dan biarkan ayam di dalam kuah lebih kurang 15 minit. Keluarkan ayam. Boleh dimakan terus atau jika suka kulit ayam garing, boleh goreng atau grill ayam sebentar.
3. Kuah yang terhasil boleh digunakan sebagai sos kicap. Tambah perasa jika perlu.








Antara sos yang biasa dimakan bersama sama nasi ayam. Sos kicap, sos cili dan sos halia. Biasanya sos halia hanya dihidangkan di restoren chinese.


Ginger Garlic Sauce
4 inci halia - dicencang kasar
1 ulas bawang putih
3 sudu makan minyak
secubit garam

Cara cara
1. Kisar halia dan bawang putih sehingga menjada paste. Panaskan minyak,tumis paste sebentar jangan terlalu lama. Masukkan garam, gaul sebati dan matikan api.

Chili Sauce
6 cili merah 
3 inci halia
3 ulas bawang putih
Minyak bijan
1 sudu kecil garam
Gula
Jus limau
1 sudu teh cuka makan
Sup ayam secukupnya

Cara cara
1. Masukkan semua bahan ke dalam pengisar kecuali sup. Kisar hingga halus. Kemudian campurkan dengan sup ayam mengikut tahap kepekatan yang disukai. Jika suka cair, lebihkan kuah sup.






Saya suka sayur taugeh / taugeh celur ini setiap kali makan nasi ayam. Ada restoren yang menyediakan set nasi ayam yang disertakan sekali dengan sayur taugeh dan ada yang disediakan sebagai side order.

TAUGEH CELUR
Taugeh
Sos kicap
Fried garlic / Bawang putih goreng
Daun bawang

Cara cara
1. Celur taugeh sebentar. Toskan. Tuang sos kicap dan taburkan dengan bawang putih goreng dan daun bawang.



Wednesday, January 13, 2016

Talam Keladi Berlauk



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini kita buat tayangan Kuih Talam Keladi Berlauk. Gara gara mengintai blog Kak Gee Hut. Dah agak lama juga teringin nak buat tapi biasalah ada saja pertukaran perancangan. Tapi memandangkan stok Sambal ikan saya masih ada, jadi saya kuatkan semangat ( chewahhhhh ) buat juga Talam Keladi Berlauk. Ya lah kan, dah jimat masa nak buat intinya. Nanmpaknya ini resepi akhir guna Stok Sambal Ikan untuk kali ini. 


Dapat satu bekas kaca yang agak besar juga. Boleh sedekah pada jiran sebelah rumah. Tapi kalau ada ahli keluarga yang ramai, tak sempat nak hulur kat jiran. Sedap pada tekak saya. Tak sempat nak tunggu kuih betul betul sejuk saya dah potong, so nampak comot je. So lain kali kena ikut nasihat orang yang dah pernah buat, tunggu sampai kuih sejuk dulu.... ( peringatan untuk diri sendiri )


KUIH TALAM BERLAUK

BAHAN A
400 gms ubi keladi - di potong dadu dan kukus ( saya guna baby yam )
175 gms tepung beras
40 gms tepung jagung
20 gms tepung gandum
1 liter santan
Sedikit Garam

BAHAN B
Sambal Ikan

BAHAN C
Bawang goreng
Cili merah
Daun bawang

Cara cara
1. Campurkan semua BAHAN A kecuali keladi. Gaul sebati dan masak di atas api perlahan sehingga sedikit pekat. Matikan api
2. Masukkan keladi yang telah dikukus dan anggaran 3/4 cawan sambal ikan. Gaul sekata.
3. Lenserkan sedikit minyak pada bekas kaca, tuang adunan dan ratakan. Taburkan sambal ikan di atas permukaan talam. Kukus sehingga masak atau lebih kurang 25 minit.
4. Taburkan hirisan cili merah, daun bawang dan bawang goren. Biarkan ia betul betul sejuk sebelum di potong.
5. Nikmatinya dengan sos cili.




Ada yang buat sos cili dan sos kicap khas untuk di makan bersama sama Talam Keladi Berlauk tapi saya agak kurang sikit kerajinan jadi saya hanya makan dengan sos cili. Itupun licin piring tu.

Monday, January 11, 2016

Kroket kentang Inti Sambal Ikan



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Bertemu lagi di hari Isnin minggu yang baru. Tanpa sedar sudah 11 hari kita berada di Tahun 2016. Cepat sangat masa berlalu...

Memandangkan cuaca di luar agak panas terik, badan jadi agak lemah dan kurang selesa. Jadi hujung minggu hanya bermalas malasan di rumah saja. 

Halaman rumah dipenuhi dengan dedaun kering yang berguguran. Seakan akan musim luruh pula. Ermmmm yang tak tahan nak kena sapu. Sapu waktu pagi nanti petang dah penuh semula. Dah la makcik ni tak berapa nak rajin...




Mula mula saya plan nak buat pulut panggang inti sambal ikan tapi terlupa nak beli daun pisang. Nak keluar terasa malas pula, tiba tiba teringat hari tu saya ada beli kentang Russet di Giant. Kebetulan terpandang harganya kalau tak silap RM 0.99 sekilo. Biasanya dalam RM 4.90 lebih kurang. So saya beli tanpa ada perancangan nak buat apa dengan kentang tu.

Kemudian selongkar dapur jumpa breadcrumbs yang warna oren, yang saya beli 2 bulan lepas sebab ada planning nak buat Risoles. Ermmmm Risoles tak buat, kita guna untuk buat Kroket @ Croquette.

Menu ini juga boleh dibuat sebagai bekal anak anak ke sekolah.


Kroket Kentang inti Sambal Ikan

Bahan bahan
400 gms kentang
2 sudu besar susu tepung
1/4 sudu teh garam
2 sudu besar unsalted butter
1/2 sudu teh serbuk lada putih
Sambal ikan untuk inti
Minyak masak
Breadcrumbs secukupnya
1 biji telur

Cara cara
1. Rebus kentang hingga empuk. Toskan. Masukkan ke dalam bekas. Campurkan dengan susu tepung, garam, lada sulah dan butter. Lecek hingga halus dan sebati.
2. Sapukan tapak tangan dengan sedikit minyak, ambil adunan, leperkan dan masukkan inti. Kemudian tutup dan bulatkan.
3. Celup bebola tadi ke dalam bekas yang berisi telur yang telah dipukul ringan. Kemudian golekkan ke dalam bekas berisi breadcrumbs. Ulang proses sehingga selesai.
4. Panaskan minyak, goreng bebola kentang menggunakan api perlahan sehingga kekuningan. Angkat dan toskan.



Ermmmm alang alang daun gugur banyak bersepah di laman, apa kata kita gunakan ia sebagai props untuk ambil gambar kroket kentang. Nampak artistik la sikit kan...

Okey sehingga bertemu lagi.


Saturday, January 9, 2016

Sambal Ikan Terengganu dengan Nasi Impit



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selamat berhujung minggu. Apa agaknya sarapan hari ini ya.... Apa kata hari ini kita jalan jalan cari makan Pantai Timur. Kita makan nasi impit/kapit dengan sambal ikan.

Kalau rajin lagi boleh buat kuah kacang. Jadi boleh makan nasi impit dengan kuah kacang dan sambal ikan. Ermmmm mesti sedap.




Selain makan dengan nasi impit, kita boleh juga gunakan sambal ikan ini sebagai inti Pulut Panggang, Cucur Badak atau Kuih Paung. So boleh pelbagaikan menu untuk minum petang atau sarapan pagi. Kalau dah malas sangat, makan saja dengan roti.



Okay selamat berhujung minggu bersama sama keluarga dan orang tersayang. Memandangkan cuaca sekarang agak panas, lebihkan mengambil air kosong. Kurangkan aktiviti di luar.



Wednesday, January 6, 2016

Kuih Kaswi Pandan



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Saya buat kuih kaswi ini petang semalam sebab kebetulan balik kerja awal dan tak perlu sediakan makan malam. Jadi ada sedikit masa terluang. Dan yang paling penting mood rajin tu ada lebih sikit, kalau tidak ermmmm.....

Saya gunakan resepi yang saya ambil dari FB. Memandangkan bahan yang digunakan pun tidak banyak, saya pun mula mencari apa yang perlu. Puas selongkar almari, tak ada pula tepung ubi. Ermmm nak cancel atau terus buat... So saya buat keputusan gantikan dengan tepung jagung. Ikutlah apa nak jadi pun...

Tapi Alhamdulillah, jadi elok dan sedap. Jarang sangat simpan tepung ubi, tambahan hanya nak guna 1 sudu besar saja.


KUIH KASWI PANDAN

Bahan bahan
1 cawan tepung gandum
2 cawan air pandan - (saya gunakan 7 helai daun pandan dikisar dengan 2 1/3 cawan air)
1 sudu kecil kapur makan
1 sudu besar tepung jagung ( asal tepung ubi )
1 sudu besar tepung beras
3/4 cawan gula pasir - asal 1 cawan
Kelapa parut dan sedikit garam - dikukus sebentar

Cara cara
1. Masukkan semua bahan kecuali kelapa parut ke dalam pengisar. Kisar hingga sebati.
2. Jika gunakan acuan kecil, sapukan sedikit minyak dan tuang adunan. Saya gunakan loyang, jadi saya lapik dengan plastik dan sapukan sedikit minyak dan tuang adunan.
3. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga ia set. Sejukkan, potong dan gaulkan dengan kelapa parut.




Chai Masala @ Spiced Tea




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Tuan rumah asyik bersin saja. Ermmm tanda tanda selsema akan datang bertandang. Cuaca yang panas terik dan tiba tiba hujan mungkin mempengaruhi kesihatan. 

Okay pagi ini apa kata kita hirup secawan Chai Masala atau Spiced Tea...

Mula mula ingatkan mesti rempah ratus tu akan memberi rasa rempah yang kuat pada rasa air teh. Tapi ternyata meleset, rupa rupanya memang sedap. Rasa rempah ratusnya sedang sedang saja. Nampaknya lepas ini boleh jadi salah satu fav drinks.


Rempah yang digunakan.

CHAI MASALA

Bahan bahan
2 cawan air
2 cawan susu segar
1 batang kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
4 biji bunga cengkih
1 inci halia
5 biji lada hitam
1 uncang teh
Gula perang secukup rasa

Cara cara
1. Masukkan air kedalam periuk, kemudian masukkan buah pelaga, bunga cengkih, kulit kayu manis, halia dan lada hitam. Biarkan hingga air mendidih.
2. Matikan api, masukkan uncang teh dan biarkan anggaran 5 minit. Kemudian tapiskan.
3. Kemudian masukkan susu segar dan tambah gula secukup rasa.



Jom minum!!!!



Monday, January 4, 2016

Air Asam bersama tomato dan perut lembu



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari pertama persekolahan, tentu kaum ibu yang paling sibuk sekali. Maklumlah banyak perkara perlu disedikan terutama bagi anak yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah.

Rutin menyediakan bekal kembali lagi. Mesti kepala para ibu ligat berputar mencari idea untuk bekal anak anak ke sekolah.

Tapi hari ini saya bukan nak tolong bagi idea apa yang sesuai untuk buat bekalan. Tapi idea untuk orang yang suka makan organ dalaman lembu.


Saturday, January 2, 2016

Bihun Celup @ Bihun Sup Siam



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selamat Menyambut Tahun 2016 semoga membawa 1001 harapan. Apa yang telah berlalu tinggalkan sebagai kenangan.

Seminggu tanpa entry baru, agak sibuk bila hujung tahun. Atau boleh katakan buat buat sibuk...

Untuk entry pertama di tahun 2016, saya sajikan Bihun Sup Siam @ Bihun Celup.


Bahan bahan untuk sup
1 kg tulang lembu yang berdaging
4 ulas bawang putih - dimayang
4 ulas bawang merah - dimayang
1 inci halia - dimayang
4 kuntum bunga cengkih *
1 kulit kayu manis *
3 kuntum bunga lawang *
3 biji buah pelaga *
1 batang serai
2 pokok ketumbar - ambil bahagian akarnya
Sos ikan ikan
Gula kabung
Garam
Air secukupnya

Bahan sampingan
Bihun - rendam dan celur
Perut lembu yang telah direbus - potong saiz sesuai
Bawang putih goreng bersama minyak
Chili flakes
Daun ketumbar
Kacang tumbuk
Taugeh - dicelur
Kangkung - dicelur
Limau nipis

Cara cara
1. Rebus tulang di dalam periuk tekanan sehingga empuk. ( Jimatkan masa )
2. Panaskan minyak, tumis bawang putih, bawang merah, halia dan semua bahan bertanda * hingga naik bau. Kemudian masukkan tulang yang telah direbus bersama sama air rebusan. Tambahkan air secukupnya.
3. Masukkan serai dan akar pokok ketumbar. Rebus sehingga mendidih, kemudian perasakan dengan sos ikan, gula somtam dan juga garam. Matikan api.
4. Masukkan bihun ke dalam mangkuk, masukkan semua bahan sampingan yang lain dan tuangkan kuah sup. Bihun sup siam sedikit berbeza daripada bihun sup biasa kerana kuah supnya sedikit masam selain daripada bahan sampingan yang digunakan.

*** Bawang Putih Goreng penting sebab ia memberi kelainan pada rasa Bihun Sup Siam.

Selain sup tulang dan daging lembu, sup ayam juga boleh digunakan untuk bihun sup siam. 


Fried Garlic Oil


Bahan bahan
1 labu bawang putih - dicincang halus
1/2 cawan minyak masak

Cara cara
1. Panaskan minyak, gunakan api perlahan. Goreng bawang putih hingga sedikit keperangan. Jangan sampai hangus.
2. Jika hendak gunakan bawang saja, tapiskan. Jika tidak masukkan semua ke dalam bekas sesuai dan enak dinikmati bersama sama sup atau bubur nasi.





Jumpa lagi...