Monday, December 21, 2015

Kuih Putri Ayu Pandan


Assalammualaikum dan Selamat Petang...

Hari ini extra rajin sikit. 2 entries dalam satu hari, rare tu keaadaan begini. Masa awal pembabitan menjadi food blogger boleh katakan setaip hari ada entri dan selalu ada 2 entries dalam satu hari.

Untuk kali ini saya hanya ingin berkongsi gambar Kuih Putri Ayu Pandan.


Antara kuih kegemaran saya dan sudah beberapa kali saya menyediakannya. Cuma kali ini saya cuba resepi yang berlainan dan saya suka dengan kejadiannya. Cuma saya rasa lain kali saya kena kurangkan kuantiti tepung kerana teksturnya sedikit padat. Atau tambahkan sebiji lagi telur.



Pumpkin Kaya



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selamat hari Isnin....
Selamat memulakan tugas, tak kira yang rasmi atau tidak. Bila sebut hari Isnin, mulalah lemah semangat je kan, maklum la seronok bermalas malasan di rumah. Itu saya je lah, orang lain mesti banyak aktiviti yang hendak dilakukan.

Sedih bila baca berita tentang kehilangan 5 sekeluarga akibat lemas. Kesian pada anak kecil yang hilang seluruh ahli keluarga dalam sekelip mata. Bagaimana agaknya dia hendak meghadapi hari hari mendatang. Semoga Allah swt memudahkan segalanya untuk beliau. Memang ajal maut di tangan Tuhan, harap ibu bapa lebih berhati hati semasa membawa keluarga bercuti terutama di kawasan air terjun atau pantai. Bukanlah bermaksud jika kita lebih berhati hati boleh mengatasi kehendakNya, cuma ia satu usaha.

Maaf pagi lagi dah sedikit emosi.



Resepi kaya labu ini saya ambil dari blog Bake with Paws. Kebetulan ada sebiji labu yang dah seminggu setia menunggu di atas meja. Masa beli tu rasanya macam ada planning nak buat benda lain tapi terlupa. Maklum lah faktor usia.

Saya hanya buat 1/2 biji labu so masih ada berbaki. Nantilah fikir apa yang hendak dimasak. Kalau buat pengat sudah selalu sangat. Kuih koci labu juga rasanya sudah pernah dicuba.

Sementara nak cari idea, apakata kita sarapan roti cicah kaya labu....





Friday, December 18, 2015

Hokkien Noodles



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Cepat saja masa berlalu... sedar tak sedar sudah sampai hari Jumaat, rasa seperti baru saja bercuti. Oppss lupa pulak minggu lepas Selangor cuti panjang, itu yang rasa macam baru saja hujung minggu.

Kadang kala pening juga memikirkan apa yang hendak di masak untuk makan malam. Sekarang memang jarang makan nasi untuk dinner, entahlah mungkin bila usia meningkat selera makan pun makin berkurang.

Malam tadi saya sediakan Hokkien Noodles. Mee nya agak tebal dan hampir bentuk 4 segi panjang dan kenyal. Saya tengok kebanyakkan resepi Hokkien Noodles tak pedas jadi untuk memenuhi tekak melayu saya tambah cili kisar. Jadilah Hokkien Noodles Ala Melayu...
Aduhaiiiii nasib baik tak masukkan sambal belacan.


HOKKIEN NOODLES

Bahan bahan
500 gms Hokkien Noodles - rendam seketika dengan air panas dan cuci bersih
Sedikit sayur Bok Choy - potong kecil
1/2 biji carrot - hiris seperti batang mancis
3 ulas bawang putih - ditumbuk
1 sudu makan cili kisar
150 gms udang - dibuang kulit
150 gms sotong - dipotong kecil
150 gms ayam - dipotong kecil
1 sudu makan sos tiram
3 sudu besar kicap pekat - tambah jika mahu lebih gelap
Chicken stock
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis bawang putih dan cili kisar hingga naik bau. Kemudian gula anggaran 1 sudu teh dan juga masukkan ayam. Biarkan hingga ayam masak.** Saya gunakan gula perang, untuk dapatkan rasa karamel dan menggelapkan warna mee.**
2. Masukkan udang dan sotong, kemudian masukkan sedikit stok ayam. Masukkan mee dan carrot, gaul sebati.
3.Masukkan sos tiram dan kicap pekat. Gaul supaya sos sebati dengan mee. Masukkan sedikit lagi stok ayam. Kemudian masukkan sayur bok choy dan perasakan dengan garam.
4. Setelah cukup rasa dan mee masak, boleh lah dimatikan api dan dihidangkan bersama hirisan cili yang diletakkan kicap cair.
5. Jika sukakan mee yang agak berkuah, boleh lebihkan kuantiti chicken stock yang digunakan.



Thursday, December 17, 2015

Puding Roti Pandan Kukus



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Sudah beberapa hari badan rasa kurang sihat, tambahan mulut diserang ulcer. Aduhaiiiii perit rasanya. Bila nak makan rasa siksa sangat. Tapi perut asyik menjerit lapar saja...

Seperti biasa, saya selalu ketinggalan. Orang dah lama buat, saya baru nak mencuba. Ok juga kan, kalau semua orang mencuba resepi yang sama dalam masa yang sama, tak ada variasi pula. So bila dah suam suam kuku atau sejuk, baru saya cuba. Ermmmm alasan je tu...



Mentang mentang pokok pandan merimbun, kalau boleh masak je nak letak daun pandan. Kalau masak nasi memang akan letak sehelai daun pandan. Wangi je bau wap yang keluar. Kadang kala kalau masak kari pun saya letak daun pandan. Sebab tak mahu pokok pandan terlalu rimbun, risau kalau menjadi tempat ular berehat.

Ada juga terlintas nak buat kek pandan gula melaka tapi terpaksa ditangguhkan sementara masalah oven saya diselesaikan.

PUDING ROTI PANDAN KUKUS

Bahan bahan
6 keping roti putih
1 kotak kecil santan
6 helai daun pandan + air - kisar dan tapis jadikan 500 mls
1 sudu besar air ros
2 biji telur
1/4 cawan gula pasir
1 bekas aluminium foil

Cara cara
1. Campurkan santan dan air pandan ke dalam satu bekas. Pukul ringan telur dan masukkan ke dalam mangkuk yang sama.
2. Masukkan gula dan air rose kemudian kacau sebati. Masukkan roti putih dan biarkan ia menyerap larutan pandan tadi.
3. Susun roti di dalam bekas aluminium foil dan tuang baki larutan tadi ke dalam bekas aluminium foil tadi. Tutup dengan aliminium foil dan kukus hingga masak. Sejukkan sebelum dipotong.



KUAH KASTARD

Bahan bahan
1 tin susu cair
1 tin buah buahan campuran
1 1/2 tin air - gunakan tin susu tadi
2 sudu besar gula
1 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar air rose

Cara cara
1. Campurkan semua bahan di dalam periuk. Kacau sebati.
2. Masak sehingga kuah kastard sedikit pekat. Sejukkan sebelum dihidang bersama puding roti pandan kukus.


Monday, December 14, 2015

Gulai Tulang dengan Umbut Pisang



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Pagi Isnin yang amat dingin dengan suasana berkabus tebal setelah hujan tanpa henti dari pukul 3 ptg semalam hingga malam tadi. Banyak tempat di Selangor dinaiki air.

Nampaknya Selangor bercuti panjang meraikan kemenangan. Ermmm memang sesak teruk Seksyen 13 Shah Alam dengan penyokong kedua dua pihak. Walaupun tinggal sepelaung dari Stadium Shah Alam, sekali pun tak pernah menonton perlawanan bolasepak. Mungkin sebab suami bukan termasuk dalam kategori "Kaki Bola".

Berbalik kepada menu hari ini, Gulai Tulang dengan Umbut Pisang. Sudah lebih 40 tahun hidup, ini kali pertama saya masak umbut pisang. Kebetulan beberapa minggu lepas saya dan suami menonton satu rancangan yang memaparkan juadah kenduri kahwin di negeri Kedah. Salah satu menunya ialah Gulai daging dengan umbut pisang.

Nampak menarik, so saya minta suami carikan umbut pisang untuk saya cuba masak. Akhirnya saya jumpa juga umbut pisang. Apalagi, google cari informasi bagaimana untuk sediakannya. Walaupun pada mulanya teragak agak juga untuk memasak sebab nampak agak berlainan dari umbut pisang yang saya nampak di dalam internet.


Gulai Tulang Lembu & Umbut Pisang

Bahan bahan
1/2 kilo tulang lembu - cuci bersih dan rebus hingga empuk
Anggaran 300 gms umbut pisang yang telah dibersihkan

Bahan Tumis
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
1 tangkai daun kari
1 labu bawang besar - dihiris
1 tangkai cili hijau - dihiris nipis
1 inci halia - dipotong kecil
Minyak untuk menumis

1 cawan santan pekat
Air rebusan tulang  - anggaran 3@4 cawan bergantung kepada kepekatan
Air asam jawa
Garam dan gula
2 sudu besar kerisek

Bahan Kisar
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

1 paket kecil rempah kari daging
1 sudu besar cili kering kisar
Sedikit air rebusan tulang
*** Campurkan bahan kisar dengan rempah kari, cili kisar dan air menjadikannya sebagai paste.

Cara cara
1. Panaskan minyak, masukkan semua bahan tumis dan biarkan hingga sedikit layu. Kemudian masukkan bahan kisar yang telah dijadikan paste. Masak semua rempah hingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan santan pekat dan air rebusan. Diikuti dengan tulang dan umbut pisang. Masukkan juga air asam jawa dan sedikit garam. Biarkan hingga mendidih.
3. Masukkan kerisek dan gaul sebati. Tambahkan perasa jika perlu. Masak dengan api sederhana sehingga umbut pisang lembut. Matikan api dan hidangkan dengan nasi putih.


Thursday, December 10, 2015

Kuih Qasidah



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Bila sebut nama kuih ni teringat pula bulan Ramadhan sebab kebiasaannya kuih ini disediakan di dalam bulan tersebut. Tetapi sekarang kalau terasa nak makan saja tak perlu tunggu bulan tertentu untuk menyediakannya. Kalau dulu kuih baulu dan cookies seperti tart nenas hanya boleh dinikmati bila sampai musim perayaan saja. Sekarang, bila bila masa kita boleh dapatkannya di pasaran.

Mungkin ini antara sebab kadang kala musim perayaan sudah kurang kemeriahannya berbanding dulu dulu.

Rasanya kuih ini antara kuih yang paling senang sekali untuk disediakan. Bahan yang tidak banyak dan tidak perlukan skill yang tinggi untuk menyediakannya. Ini antara kuih yang selalu arwah nenek saya sediakan dan saya sukakan bawang goreng yang banyak. Siap ratah bawang goreng saja lagi...

Memandangkan saya masih ada stok air mawar, jadi saya tambahkan ke dalam resepi ini untuk menaikkan lagi aromanya...


KUIH QASIDAH 
- untuk 2 orang makan

Bahan bahan
1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air
1 sudu besar air mawar/rose water
Secubit garam
2 sudu besar gula
8 ulas bawang ros/kecil - dihiris nipis dan digoreng
1 sudu kecil minyak gorengan bawang

Cara cara
1. Campurkan tepung gandum, air, air mawar, garam, gula dan minyak gorengan bawang. Gaul sebati. Masak menggunakan api perlahan sehingga kelihatan letusan kecil. Matikan api.
2. Sediakan loyang/bekas yang sesuai, lapik dengan plastik atau oles dengan minyak gorengan bawang tadi. Masukkan campuran tepung yang telah dimasak tadi dan ratakan. Biarkan sejuk sebelum di potong.
3. Taburkan dengan bawang goreng dan dinikmati bersama secawan kopi panas.



Wednesday, December 9, 2015

Jus Nenas & Chia Seed


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Semalam ada lebihan buah nenas yang saya gunakan untuk buat kari, jadi saya buat jus nenas dan tambahkan chia seed.

Resepi yang amat mudah dan boleh disediakan dalam masa yang singkat.

Bahan bahan
1/2 biji buah nenas - dipotong menjadi kiub kecil
3 cawan air
2 cawan gula pasir
4 kuntum bunga cengkih
1 helai daun pandan - disimpul

*** Chia seed yang telah direndam hingga kembang

Cara cara
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk, masak hingga gula larut dan larutan menjadi sedikit likat. Kemudian sejukkan.
2. Untuk menyediakan minuman ini hanya perlu masukkan ke dalam gelas, tambahkan air sesuai rasa dan ais kiub jika sukakan ia sejuk. Tambahkan chia seed. Sedia dinikmati.





Jom minum dulu....







Tuesday, December 8, 2015

Kari Tulang Ikan Masin & Nenas



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Awal pagi saya dah buat tayangan amal " Kari Pekat Tulang Ikan Masin & Nenas". Makan dengan nasi panas cicah sambal belacan memang tak pandang kiri kanan... Tambahan masak kari dalam periuk tanah, ermmmm lagi naik aroma karinya. Lagi bagus kalau masak gunakan dapur arang. My husband cakap, kalau guna dapur arang, hari ini masak, esok belum tentu boleh makan lagi... "wink"

Saya lebih suka menggunakan tulang ikan talang masin tapi masa ke pasaraya hanya ada tulang ikan merah. Boleh la untuk lepaskan rasa nak makan kari tulang ikan masin dengan nenas. Selain kari sedap juga kalau masak lemak cili api.



Selalunya makan nasi tak bertambah, tetapi semalam memang lupa diri sekejap. Konon kononnya nak kurangkan pengambilan nasi di waktu malam, tapi memang terbabas.... Setiap orang ada cara tersendiri bagaimana untuk menyediakan setiap hidangan.

Kari Tulang Ikan Masin & Nenas

Bahan bahan
300 gms  - tulang ikan masin ( rendam sebentar )
1 packet kecil rempah kari - saya gunakan rempah kari utk ikan kering/ketam
1/2 biji nenas - dipotong saiz yang sesuai
1 labu bawang besar - dihiris nipis *
1 biji cili besar hijau - dihiris nipis *
1 biji tomato kecil - dihiris nipis *
1 tangkai daun kari *
1 sudu kecil halba campur *
1 sudu besar cili kering kisar
3 ulas bawang kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 cawan santan pekat
2 cawan air
Garam
Sedikit air asam jawa
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Tumbuk halus bawang kecil, bawang putih dan halia. Satukan bahan tumbuk bersama sama rempah kari dan cili kisar. Tambahkan sedikit air untuk membentuk paste.
2. Panaskan minyak, tumis bertanda * hingga wangi. Kemudian masukkan bahan ( No. 1 ). Tumis hingga rempak masak dan pecah minyak.
3. Kemudian masukkan air dan air asam jawa. Masak sebentar, kemudian masukkan tulang ikan masin. Gaul dan biarkan hingga mendidih.
4.Masukkan santan pekat dan potongan nenas. Biarkan sebentar kemudian perasakan dengan garam. Biarkan sehingga mendidih, matikan api.
5. Jika suka boleh masukkan cili hijau dan merah tanpa dipotong ke dalam masakan ini. 


Jumpa lagi.



Friday, December 4, 2015

Egg Curry


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Agak lama juga tak makan kari telur. Dulu masa kecil bila khatam Al Quran atau bertukar dari Muqaddam ke Al Quran selalu ada buat kenduri pulut kuning dengan kari telur. Itu pun sudah dikira makanan yang sedap sangat dan ditunggu. Mungkin once in a blue moon saja kalau dapat makan kari ayam atau daging. Tapi dulu makan ayam kampung sebab boleh bela di kawasan rumah. Kalau ada special occasion barulah tangkap dan sembelih. Sekarang harga ayam kampung boleh tahan mahalnya.

Okay berbalik pada resepi Kari Telur.

Bahan bahan

4 biji telur ayam - rebus dan buang kulitnya
1 biji kentang sederhana besar - potong dadu dan goreng sebentar
2 sudu besar serbuk kari daging
1 sudu besar ginger garlic paste
1 labu bawang besar - dihiris nipis
1 biji lada hijau - dihiris nipis
1 biji tomato - di potong dadu
1 tangkai daun kari
1 sudu teh halba campur
1 sudu besar minyak sapi
Anggaran 2 cawan air
Air asam jawa
Garam dan gula
Sedikit minyak masak

Cara cara
1. Ambil telur yang telah dikupas tadi, gunakan pisau kelar 2 @ 3. Lumur sedikit garam dan kunyit kemudian goreng sebentar hingga permukaan telur menggerutu sedikit. Ketepikan.
2. Di dalam periuk , panaskan sedikit minyak bersama sama minyak sapi. Tumis hirisan bawang besar, cili hijau, tomato, halba campur dan daun kari hingga naik bau. Kemudian masukkan ginger garlic paste,serbuk kari dan sedikit air. Masak hingga semua rempah pecah minyak.
3. Kemudian masuk baki air bersama sama air asam jawa. Biarkan ia merenih sebentar kemudian masukkan telur dan kentang yang telah digoreng tadi. Kacau sebati. Perasakan dengan garam dan gula.

*** Jika suka berkuah boleh tambahkan kuantiti air. kari ini tidak menggunakan santan.






Thursday, December 3, 2015

Kimchi Fried Rice




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Semalam kita dah pergi Turki, so hari ni kita jalan jalan cari makan di Korea pula. Kita pusing satu dunia...

Nasi goreng Kimchi antara menu dari Korea yang agak popular juga. Ala macam nasi goreng kita juga, ada pelbagai jenis nasi goreng. Kita boleh tambah apa jua yang ada di dapur atau apa yang kita suka. Memandangkan orang Korea suka sangat dengan kimchi, segala masakan kalau boleh mesti nak masukkan kimchi.

Seeloknya untuk membuat nasi goreng kita gunakan nasi yang telah dimasak semalam dan disimpan di dalam peti sejuk atau nasi yang di masak dan dibiarkan sejuk beberapa jam pada suhu bilik. Ini untuk mendapatkan tekstur nasi goreng yang berderai dan tidak melekit.



Sekarang banyak kimchi yang Halal dijual dipasaran tapi kalau rajin boleh buat sendiri di rumah. Sebab harga untuk sepaket kecil lebih kurang RM 8 lebih dan kuantitinya hanya cukup untuk menyediakan sekali nasi goreng ini. Anggaran 1 cawan. So kalau ramai memang tidak mencukupi.

Nasi Goreng Kimchi

Bahan bahan
2 cawan nasi 
1 cawan kimchi - potong kecil
1 sudu besar pes gochujang
1/4 cawan daun bawang
1 cawan paru yang telah direbus - boleh gantikan dengan ayam/daging/isi ketam dll.
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu besar minyak masak
Bijan dan nori/seaweed untuk hiasan jika suka
Telur mata untuk setiap hidangan

Cara cara
1. Panaskan minyak masak, masukkan kimchi yang telah dipotong. Kacau sekata dan biarkan sebentar. Kemudian masukkan paste gochujang dan kacau sebati.
2. Kemudian masukkan nasi, paru, daun bawang dan minyak bijan. Gaul dan pastikan semua bahan sebati. Jika suka boleh tambahkan garam.
3. Hidangkan dengan telur mata dan taburkan hirisan nori dan bijan jika suka.




Jemput makan....
Lepas tu boleh layan drama korea....

Wednesday, December 2, 2015

Rose Water Pudding




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Pagi yang agak mendung di Shah Alam. Kalau hari cuti mesti lagi seronok sebab boleh bermalas malasan di rumah... 

Agak lama juga tak buat dessert, sebab cuba nak kurangkan manisan. Tetapi sekali sekala kalau terbabas tu pejam mata sekejap.

Kali ini kita cuba resepi dessert dari Turki.

ROSE WATER PUDDING

Bahan bahan
2 cawan susu
6 sudu besar tepung jagung
1/2 cawan whipping cream - saya gantikan dengan santan
3/4 cawan gula
2 sudu besar rose water
Sedikit pewarna merah
1 cawan air
Sedikit kacang pistachio untuk taburan

Cara cara
1. Di dalam mangkuk, satukan 1 cawan susu, tepung jagung dan 1 sudu besar rose water hingga sebati.
2. Di dalam periuk, panaskan 1 cawan susu. santan dan 1/2 cawan gula menggunakan api perlahan.
3. Tuang campuran tepung jagung ke dalam periuk yang mengandungi campuran susu tadi dan kacau perlahan lahan sehingga kental.
4. Setelah letusan kecil kelihatan, matikan api dan tuang ke dalam bekas kecil dan sejukkan.
5. Di dalam periuk yang lain, didihkan 1 cawan air,pewarna merah,baki gula dan 1 sudu besar rose water.
6. Untuk menghidang, tuangkan rose water syrup ke atas puding tadi dan taburkan kacang pistachio.



Resepi yang simple, cepat dan tidak mengecewakan dari segi rasa.