Wednesday, March 30, 2011

Mushroom Potato Pan

Mushroom Potato Pan

Bahan bahan
1 biji kentang Russet - kupas kulit dan hiris nipis
2 kuntum cendawan Portabello - dihiris nipis
1 sudu makan udang kering
1/2 ulas bawang besar - dimayang
Sedikit serbuk lada sulah
Sedikit garam
4 biji telur
100 ml susu cair
Sedikit parutan keju cheddar
Butter untuk menumis

Cara cara
1. Goreng kentang hingga masak, ketepikan.
2. Panaskan butter di dalam frying pan, tumis bawang besar dan cendawan portabello hingga layu. Masukkan udang kering dan kentang yang telah digoreng tadi.
3. Kacau sebati dan masukkan garam dan serbuk lada sulah. Masukkan pukulan telur dan susu cair dan kacau rata.
4. Masukkan parutan keju cheddar, tutup frying pan dan biarkan hingga masak.

Masak Lemak Ikan Kurau

Masak Lemak Ikan Kurau

Walaupun tak berapa nak cukup bahan, saya masak juga masak lemak ikan kurau masin ini. Selalunya letak cili padi tapi memandangkan cili padi takde dalam esbok, saya capai jelah cili apa yang ada. 

Bahan bahan
200 gms tulang ikan kurau kering (anggaran)
150 ml santan pekat
150 ml santan cair
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 tangkai cili merah ( saya tak nak guna cili padi )
Garam dan serbuk perasa jika suka
1 batang serai

Cara cara
1. Rendam tulang ikan kurau sebentar, toskan.
2. Kisar bawang merah, putih, kunyit dan cili merah hingga hancur.
3. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama sama dengan tulang ikan kurau
4. Masukkan juga santan pekat dan santan cair bersama sama dengan serai. Renehkan hingga mendidih dengan menggunakan api kecil supaya santan tidak pecah minyak.
5. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa jika perlu. Angkat bila sudah masak.

Jus Durian Belanda


Balik kerja tadi masih terfikir fikir nak masak apa untuk makan malam nanti. Tapi sementara idea nak muncul, sempat buat Jus Durian Belanda untuk menghilangkan dahaga.

Ini nak sambung balik fikir apa nak masak.......

Tuesday, March 29, 2011

Asam Rebus Keladi

Asam Rebus Keladi

Malam tadi dinner dengan Asam Rebus Keladi. Kalau tak silap saya, orang sebelah utara selalu makan sayur keladi dengan nasi ulam. Saya belum pernah cuba lagi tapi it sounds delicious.... Nanti kena cari daun ulam ulaman dulu dan pastinya kena buat during weekends.

Bahan bahan

2 batang keladi
1 ketul ubi keladi
3 keping asam gelugor
100 gm udang kering
1 tangkai daun kesum
4 ulas bawang merah
80 gms cili kering
Sedikit belacan
Sedikit kunyit hidup
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Cara-cara
  • Keladi dan ubi keladi dibersihkan dan dipotong, celurkan dengan 2 asam keping. Biarkan keladi layu dan ubi empuk, buangkan airnya. tos dan ketepikan.
  • Kisar bawang merah,kunyit hidup,cili kering dan belacan. Tumiskan bahan kisar hingga pecah minyak.
  • Masukkan air secukupnya, udang kering,asam keping dan daun kesum. Didihkan.
  • Setelah mendidih, masukkan keladi yg telah dicelur tadi. Perasakan dan bolehlah diangkat.

Monday, March 28, 2011

Gyoza


Gyoza, sejenis makanan dari negara matahari terbit, Jepun. Lebih kurang  seperti Chinese pot sticker cuma kebiasaannya Chinese pot sticker menggunakan wonton skin yang berwarna kekuningan. Saya pernah membuatnya sebelum ini menggunakan resepi dan cara cara dibawah. Tetapi semasa saya buat kali ni, kerajinan tak berapa nak tinggi, so saya kukus terus sehingga masak.

Japanese Gyoza
Bahan bahan

Kulit Gyoza / Won ton secukupnya

* Bahan Inti:
* 200g isi ayam, dicincang
* 100g isi udang, dicincang
* 1 sb kubis bulat yg dicincang halus
* 1 sb daun kucai dicincang halus
* 2 pcs shitake mushroom - dicincang halus
* 1 1/2 sb kicap cair
* 1 1/4 sk garam
* 1/4 sk gula
* Secubit serbuk lada putih
* 1/2 sk minyak bijan
* 1 sk tepung jagung
* Minyak masak
* 1/2 cawan air

Cara-cara

1. Campurkan semua bahan inti dan perap 30 min.
2. Masukkan 1 sudu inti di tengah2 kulit wantan, letak sedikit air di sekeliling kulit dan kepil.
3. Lipat segitiga.. Kepil dari tepi. Buat hingga habis
4. Tekan-tekan sikit pada bahagian lipatan.
5. Panaskan kuali leper, masukkan 1 sudu makan minyak masak, susun gyoza di atas pan tetapi jangan terlalu penuh.
6. Biar sehingga bawah gyoza menjadi keperangan. Kemudian masukkan 1/2 cawan air, perlahankan api dan tutup kuali dengan penutup.
7. Biarkan air mendidih dan ini akan membuatkan Gyoza masak secara STEAMING selama lebih kurang 6-8 minit. Perhatikan jangan sampai hangit.
8. Angkat dan letakkan di atas serving plate bersama dengan kicap cair.

Sunday, March 27, 2011

Udang Ketak Rebus Serai

 Udang Ketak Rebus Serai

Semenjak dua menjak ini makin jarang saya update blog kan......
Entahlah bila agak lama tak memasak dan tak ambil gambar masakan, membuatkan saya jadi liat dan malas nak  memulakan activity seperti sebelum ini. Hari ni baru memulakan sesi memanaskan badan dan tangan, nak cari feel yang dah makin hilang.

Oh ya, pernah tengok Udang Ketak seperti dalam gambar di atas?
Saya pun pertama kali nampak secara live, sebab sebelum ini saya cuma pernah nampak dalam majalah RASA. Ingatkan nak buat goreng pedas tapi kebetulan my parents ada di rumah, saya cuma masak yang simple je.

Favourite menu my husband, ketam goreng kunyit.


 Penyedap rasa, ikan keli dan haruan kering.

Monday, March 21, 2011

Seafood Tomyam


Menu kedua malam ini ialah seafood tomyam. Seminggu lepas saya dan suami memang takde selera makan langsung, tekak terasa pahit sangat. Jadi ada sekali tu kami sajalah pergi makan tomyam sebab dah tak tau nak makan apa. Entah macam mana banyak juga makan nasi dan siap hirup kuah lagi. So malam ni saya buat sendiri kat rumah, boleh hirup kuah banyak sikit.

Lala Goreng Pedas


Lamanya saya tak bersiaran, memang agak lama juga kali ni. Hampir 4 minggu diserang demam dan batuk sampai handbag pun penuh dengan ubat ubatan. Walaupun belum pulih sepenuhnya, tapi dah mula pegang periuk belanga sebab dah terlalu jemu makan makanan luar.

First menu ialah lala goreng pedas. Rasanya dah pernah buat sebelum ini tapi agak lama juga. kali ni pun main campak campak je sebab nak cepat.

Bahan Bahan

500 gm lala - bersihkan dan toskan.
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
2 inci halia
2 sudu makan cili kering yang telah dikisar
Garam dan serbuk perasa
1 batang serai - ditumbuk sedikit
Sedikit air
Minyak

Cara cara

1. Tumbuk halia, bawang merah dan putih hingga halus. Panaskan minyak, tumis bahan yang telah ditumbuk hingga wangi. Kemudian masukkan cili kisar dan biarkan hingga cili masak.
2. Masukkan lala, serai dan sedikit air. Biarkan hingga semua lala terbuka/masak.
3. Masukkan garam dan bahan perasa, gaul hingga sekata. Biarkan seketika, bolehlah diangkat.

Sunday, March 13, 2011

Laici Kang


Lepas dah makan nasi, marilah kita menikmati Laici Kang pulak.

Bahan Bahan

Buah kembang semangkuk - rendam hingga kembang
White Fungus - rendam hingga kembang
Biji Selasih - rendam hingga kembang
Isi longan kering
Red Dates
Gula batu tebu
Kacang goreng
Halwa kundur
Telur puyuh rebus
Air
Ais ketul

Cara cara
1. Rebus isi longan kering, red dates dan gula batu tebu bersama sama air hingga red dates lembut. Sejukkan.
2. Masukkan serba sedikit semua bahan di dalam bekas yang sesuai. Jika suka panas tidak perlu masukkan ais ketul.
*** Sebenarnya saya terlupa nak letakkan buah laici, tapi rasanya dah ok walaupun tanpa buah laici.

Sup Ayam dengan Leek


Kan dah cakap hari ni terlebih rajin, jadi menu ke3 ialah Sup Ayam dengan Leek. Selain dari letak kentang dan carot, saya campurkan dengan sayur leek. Tadi dah 2 menu merah menyala jadi kena ada satu menu yang berkuah la kan.

Scallop Goreng Pedas


Pagi semalam saya ke pasar memandangkan tak ada barang basah kat rumah. Yelah dah beberapa lama asyik makan makanan dari restaurant je mulalah terasa jemu juga. Biarpun masak simple di rumah, tapi terasa kelainannya. Oh ya, masa sampai di pasar tu saya ternampak longgokan scallop di satu gerai tu. Pertama kali nampak fresh scallop yang dijual di pasar basah kat sini. penjual tu kata scallop ni baru sampai dari Sabah.
Saya pun ambil sikit, rasanya tak sampai sekilo. Tak ada idea nak masak apa tapi macam biasa beli dulu kemudian baru cari resepinya. Tengahari tadi sebelum masak, teringat dulu kak Nor Secubit Garam pernah masak scallop ni, jadi tadi terjah rumah kak Nor cari resepi. Tapi memandangkan kat rumah cuma ada asparagus dan carot, jadi saya masukkan sayur ni berbanding Kak Nor yang gunakan brocolli. Tengok gambar dulu ye, nanti free baru nak pergi copy resepi kat rumah kak Nor.


Fresh Scallop

Ketam 3 Rasa


Salam berhujung minggu....

Cuti sekolah dah bermula, ramai yang ambil kesempatan untuk bercuti dengan keluarga tak kira Cuti Cuti Malaysia atau yang berkemampuan mungkin boleh pusing satu dunia. Paling tidak pun pulang ke kampung berjumpa datuk dan nenek. Maka ramailah datuk dan nenek yang pening kepala bila cucu dari bandar balik ke kampung, habis ayam itik yang kena kejar....

2 hari lepas dunia dikejutkan dengan Tsunami di negara Matahari Terbit, Jepun. Walaupun di landa dengan gempa bumi dan tsunami yang teruk, tapi tidaklah ramai mangsa seperti di Acheh dulu. Alhamdulillah, rakyat Malaysia di sana juga selamat. Di Pahang pula hujan tak berhenti henti hingga air naik, risau juga bila call mak di kampung dia cakap air dah naik tapi belum sampai di kawasan rumah lagi. My husband siap suruh diorang datang duduk di rumah kami, risau kalau air makin naik, nanti tak boleh keluar pula.

Berbalik pada menu di atas, agak lama juga nak pegang periuk belanga masa tak sihat tempohari. Jadi hari ni terlebih rajin la sikit. Menu pertama ialah Ketam 3 Rasa. Nanti saya update resepinya.

Thursday, March 10, 2011

Nasi Goreng Kampung


Dah makan malam?

Malam ini kami makan simple saja, Nasi Goreng Kampung dengan telur mata. Ada orang gelar telur mata kerbau atau telur mata lembu. Ada lagi ke gelaran lain untuk telur yang satu ini?

Bahan bahan
3 cawan nasi putih
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
5 tangkai cili padi - lebihkan kalau suka pedas
Sedikit ikan bilis goreng
Sayur Kangkung
Garam
Minyak untuk menumis
Timun & Daun Salad untuk hiasan
Telur mata

Cara cara
1. Tumbuk cili padi, bawang putih dan bawang besar hingga hancur.
2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga naik bau. Masukkan nasi putih dan gaul hingga sebati.
3. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa jika suka.
4. Masukkan sayur kangkung yang telah dipotong kepada saiz yang sesuai. Gaul rata dan masukkan ikan bilis goreng.
5. Gaul sebati dan tambahkan garam jika perlu. Angkat dan sendukkan ke dalam pinggan yang telah dihias dengan daun salad dan timun. Hidangkan dengan telur mata.

Sheperd's Pie


Pertama sekali, terima kasih yang tak terhingga atas birthday wish tu. Moga Allah s.w.t. merahmati anda dan keluarga anda.

Semalam saya fikir nak buat Mango Cheesecake lepas balik kerja tapi tiba tiba rasa macam malas pulak. Lepas tu terfikir nak beli je kat Secret Recipe, tapi terfikir kalau beli bawa balik siapa yang nak tolong habiskan. Maklumlah bukan ada ramai sangat makhluk kat rumah tu. My husband cakap kenapa tak beli dan makan kat tempat kerja saja. Ok juga tu kan, takdelah membazir. Kalau tak, saya beli je satu slice cake dan makan sorang sorang.... boleh gitu?

Oh ya semalam saya tak masak dinner tapi gatal tangan nak buat Sheperd's Pie.

Bahan-bahan ( 2 orang )

  • #Bahan untuk Inti#
  • 250 gram Minced beef
  • 100 gram mushroom (kalau ada budget lebih sedap guna fresh mushroom jenis portabello, kalau susah button mushroom yg dalam tin pun ok)
  • 1 biji bawang besar yg kaler kuning (Potong dadu)
  • 2 sudu besar Mushroom soup (cream) brand Campbell
  • Boleh juga masukkan sayur2an lain spt celery, carrot atau brocoli.
  • #Topping#
  • Mashed potato (ikut resepi Yani) atau boleh juga pakai instant potato
  • Mozarella Cheese

Cara-cara

  1. Goreng bawang sampai agak layu.
  2. Masukkan cendawan (step ni kalau guna cendawan fresh) kalau tak skip ke step seterusnya.
  3. Masukkan minced beef, goring agak2 nak kering..
  4. Masukkan krim mushroom, kalau daging tu liat tambah air sikit, masak sampai jadi pekat and agak kering.
  5. Masukkan cendawan dan sayuran2an lain.
  6. Perisakan. Tapi biasanya tak perlu letak garam sebab cream mushroom tu dah masin.
  7. Ketepikan..
  8. Letak inti dekat base loyang ke corningware ke atau bekas aluminium foil cam yg saya guna tu pun ok.
  9. Letak mashed potato , taburkan mozzarella cheese
  10. Bakar dlm oven atau microwave untuk keringkan kentang dan cair kan cheese.

Wednesday, March 9, 2011

09.03.11 - It's My Birthday!!!!


Alhamdulillah... kerana masih diberi kesempatan olehNya untuk menyambut hari lahir untuk ke sekian kalinya. Ohhh akak dah bertambah lagi nombor kat belakang tu dik. Tapi apa ada pada nombor kan... yang penting kita sihat dan bahagia dengan hidup kita bersama sama keluarga dan kawan kawan. Hadiah ialah satu extra bonus setiap kali kita menyambut hari istimewa dalam hidup kita. Tak semestinya setiap kali hari istimewa saja kita dapat hadiah, kadang kala hadiah boleh diberi tanpa ada sebab sebab tertentu. Itu prinsip suami saya. Dia selalu cakap, dia tak perlukan sebab untuk beri hadiah pada saya. Ada kalanya hadiah tu berharga ratusan ringgit dan ada kalanya hanya beberapa ringgit saja. Yang penting keikhlasan dan ingatan dari orang orang yang kita sayang. Bagi seorang isteri, ingatan dan ciuman kasih dari suami lebih berharga. 

Mana keknya ye?
Pagi pagi lagi tak kan nak sarapan dengan kek pulak. Apa kata kita breakfast dengan masalodeh dan teh panas dulu. Petang nanti baru kita minum petang dengan makan kek ye...

Tuesday, March 8, 2011

Selamat Hari Wanita


Selamat Menyambut Hari Wanita buat semua wanita.

Kebiasaannya hari Isnin saya sedikit sibuk tapi semalam suasana agak lenggang so apalagi sempatlah merayap ke Tesco. My husband cakap, amboiiii mentang mentang la demam dah ok sikit mulalah nak cover balik beberapa hari yang tak pergi shopping tu. Dalam masa dia dok pot pet tu, sempat juga dia tanya ada duit tak nak shopping tu? Fuhhhh!!!!!! akak tak kisah dik dia nak pot pet pot pet pun asalkan dia hulur RM kat akak.

Pusing sana pusing sini sambil berfikir nak masak apa malam nanti. Adalah beberapa menu yang terfikir nak masak so saya carilah barang barang yang perlu. Tapi bila dah petang, tiba tiba banyak pula kerja dan ada customer yang nak barangnya dengan cepat. Dalam hati tension la juga walaupun itu semua rezeki, yelah dari pagi tak nak buat tapi bila dah petang dan orang semua dah mood nak balik barulah nak semua benda dengan kadar segera. Jadi kenalah siapkan kerja dan balik rumah dah lewat. Apalagi masak yang simple dan tak perlu pakai resepi segala. Saya hanya buat ketam goreng kunyit dan soup sayur. Lepas tu rebus spiral pasta dan makan dengan soup. Alhamdulillah kenyang.....


Monday, March 7, 2011

Pulut Dakap


Salam semua,
Fuhhhh!!!!! lama juga blog ni tak updated. Kali ini agak lama juga saya tidak sihat, even though sekarang pun belum betul betul sihat. Masih ada saki baki batuk yang masih bersarang di badan. Tension juga sebab memang tak selsesa langsung especially kalau berada di tempat awam. Tapi nak buat macam mana kan, sakit pun salah satu dugaan dari Yang Maha Esa untuk setiap makhluknya.

Masa demam, boleh dikatakan setiap hari asyik beli makanan yang dah siap masak. Kadang kala tak lalu nak makan pun, baru sesuap dua dah tak lalu. Sekarang giliran my husband pulak yang diserang demam dan batuk. Boleh buat koleksi botol ubat batuk la lepas ni.

Semalam bila rasa badan dah ok sikit, gatal tangan nak memasak. Bila buka kabinet, ternampak beras pulut ada sikit, rasanya balance saya buat ketupat daun buluh dulu. Lepas tu minggu lepas saya ada beli daun pisang, nasib masih elok lagi dalam peti ais. Minta tolong my husband belikan pisang dan kelapa sebab saya terasa nak makan pulut dakap.
Pulut Dakap

Teringat dulu dulu masa arwah tok saya masih ada, dia memang suka buat pulut dakap ni. Tiba tiba teringat kat dia pulak. Al Fatihah. So saya buat seperti saya tengok dia buat dulu...

Bahan bahan
2 cawan pulut susu
1 cawan santan pekat
Pisang Awak
Sedikit garam
Sedikit gula
Daun pisang 
Tali

Cara-cara
1. Rendam pulut selama lebih kurang 2 jam. Toskan. Panaskan kukusan.
2. Masukkan pulut ke dalam bekas yang sesuai, bancuh santan dengan sedikit garam dan tuangkan ke dalam bekas yang berisi pulut tadi.
3. Kukus pulut hingga masak. Sejukkan sebentar.
4. Layur daun pisang dan potong kepada saiz yang sesuai seperti kita hendak membungkus lepat.
5. Belah pisang dan gaulkan dengan sedikit gula.
6. Ambil daun pisang, letakkan pulut kemudian letak pisang ditengah tengah pulut tadi. Lipat seperti melipat lepat. Buat sehingga habis.
7. Ambil 2 pulut yg telah dibungkus tadi, ikat dibahagian atas dan dibahagian bawah dengan tali.
8. Kukus lebih kurang 20 minit.