Sunday, February 26, 2012

Menu Lunch Hari ini....


Selamat berhujung minggu.


Hari ni saya masak 2 menu untuk makan tengahari. Mula mula plan nak masak asam pedas ikan sembilang dengan timun masak. Tapi last minute tukar sebab my husband nak makan gulai ikan sembilang. Maka jadilah Gulai Sembilan dengan Timun Masak. Lepas tu kuahnya agak pekat sebab saya leka menyidai kain kat luar, sebab sekarang musim hujan dipetang hari. Sekarang pun dah mendung di luar tu.

Satu lagi menu ialah Siput Goreng Lada Berserai.
Masa ke pasar, saya nampak siput yang seakan akan lala tapi agak panjang berbanding lala biasa. Bila masak, rasanya seakan akan Bamboo lala, isinya sedikit liat. Kata orang siput macam ni tak boleh jadi "lauk", maksudnya tak mengenyangkan kalau digandingkan dengan nasi tak seperti kalau kita makan nasi dengan ikan, ayam atau daging.

Kebiasaannya saya masak siput ini untuk makan begitu saja atau meratah.



Siput/Lala Goreng Lada berserai

Bahan bahan
500 gms lala/siput
2 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 batang serai
1 sudu makan sos tiram
5 tangkai cili kering - rendam dalam air panas dan toskan
1 keping asam gelugor
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Kisar bawang merah, bawang putih, halia, serai dan cili kering hingga hancur.
2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga pecah minyak, masukkan asam keping, sos tiram dan perasakan dengan garam dan gula.
3. Masukkan lala/siput, gaul sekata. Tutup kuali dan biarkan lebih kurang 10 minit. Bolehlah tutup api dan siap untuk dihidangkan.

Friday, February 24, 2012

Quick Update.....



Salam di hari Jumaat....


Minggu ni tuan rumah kurang sihat dan tambah tak sihat bila kerja banyak dan agak sibuk sampai tak sempat nak bereksperimen di dapur. Adakalanya makan tengahari dah sekali dengan makan malam. Memang boleh kaya akak macam ni......


Kebetulan pula my husband ada seminar selama 3 hari, jadi kebiasaannya bila pergi seminar memang dari pagi sampai petang asyik makan saja kan, so bila malam kami hanya makan yang simple je. Tambahan bila dah sibuk ni, memang saya makan dulu sebelum balik rumah.

Semalam hari terakhir seminar, bila balik my husband bagi satu beg, katanya ada hadiah. Rupa rupanya chocolate, hadiah  dari pihak penganjur. Isi kat dalam tu tak berapa menarik perhatian saya, tapi kotak chocolate tu lagi mengujakan.



Ini pula buah lemon yang sudah bertukar kuning. Buahnya tak besar dan seperti buah lemon yang dijual tu, mungkin sebab saya tanam dalam pasu dan tak cukup nutrient. Maklumlah, tuan rumah sibuk sampai tak sempat nak letak baja, tengoklah pokok serai kat belakang tu, daunnya dah bertukar kemerahan.

Sunday, February 19, 2012

Nasi Ulam Sayur Keladi



Agak lama juga saya teringin nak makan nasi ulam dengan sayur keladi.


Memandangkan pagi tadi saya dan suami ke pasar tani, jadi ambil peluang mencari bahan untuk buat nasi ulam di rumah. Kebiasaannya nasi ulam di makan di dalam bulan puasa especially di sebelah utara tanahair. Ada pelbagai versi nasi ulam dan pelbagai jenis ulam yang digunakan dalam pembuatan nasi ulam ini. Mungkin di kawasan luar bandar, banyak jenis ulam senang untuk didapati tetapi bagi yang tinggal di kawasan kawasan perumahan dan perindustrian mungkin agak sukar sedikit kecuali mencari di pasar tani. Tetapi bukan semua jenis ulam ada di jual disini.



Dari beberapa resepi yang saya jumpa, ada yang menggunakan daun ulam ulaman yang saya mungkin pernah dengar tapi tak pasti bagaimana bentuk dan rupanya.Contohnya seperti daun sekentut, mungkin kedengaran agak melucukan tetapi memang wujud nama ulam ini.


Antara daun ulam ulaman yang saya gunakan.
Tak banyak yang saya beli, cuma beberapa jenis saja. Cukuplah sekadar ada 2,3 jenis ulam yang berlainanan.


Nasi ulam tidak lengkap kalau tidak disertakan dengan sayur keladi. 

Habis tangan saya gatal selepas menyiang batang keladi, tapi sebabkan nak makan terpaksalah tahan.


Saya pernah makan sayur keladi yang kuahnya berwarna putih/cerah. Bezanya ia tidak menggunakan cili kering tetapi hanya cili padi hijau.


Resepi saya akan update kemudian ye...

Bubur Pulut Hitam



Selamat berhujung minggu....



Hari ni saya buat bubur pulut hitam untuk minum petang, padahal plan nak buat benda lain tapi tiba tiba malas la pulak. Bila mood hilang, mulalah cari benda yang senang saja. lagipun cuaca kat Shah alam ni mendung je, pagi pagi lagi dah hujan. Mulanya ingat nak sambung tidur lepas subuh, tapi my husband ajak keluar ke pasar tani Shah Alam.

Tak banyak pun barang yang dibeli, cuma habiskan masa jalan jalan tengok apa yang ada di Pasar Tani. Lagipun masih ada lagi seafood yang dibeli di Kuala Selangor tempohari, jadi cuma tambah sikit dan beli sayur je.


So, layan je lah gambar bubur pulut hitam.

Thursday, February 16, 2012

Nasi Lemak Sambal Udang



Salam semua...


Selalu saya nampak orang letak Wordless Wednesday...
Kalau saya letak Wordless Thursday, ok tak?


Hari ni tayang gambar Nasi Lemak Sambal Udang, tapi kali ni tak ada sayur kangkung. Saya suka nasi lemak dengan kangkung rebus tapi semalam kangkung tak ada pulak. Belek belek kat tempat sayur tu nampak macam sayur kangkung kampung, ala yang selalu kita kutip kat kampung tu. Nyaris juga saya angkut masuk bakul. Tetapi tiba tiba tergerak nak baca tulisan di tag harga tu.

Rupa rupanya daun keledek. Aduhai..... dah tua tua pun boleh tak cam daun keledek. Ingat lagi masa dulu dulu, masa kecil mak dan abah saya tanam keledek kat tepi rumah. Sekarang, nak tengok pokok keledek pun susah. Nak tanam kat tepi rumah pun, tanah yang ada sekadar sekangkang semut.

Eh eh.... mula mula tadi siap tulis Wordless Thursday, ini dah panjang lebar pulak cerita pasal pokok keledek.


Nasi lemak saya mesti berderai, kalau tidak my other half tak makan. Sebab tu kalau beli nasi lemak kat luar, mesti dia check nasi dulu. Kemudian bila makan, dia akan komen pasal sambal pulak. Kadang kadang tu geram juga, bila suruh dia masak sendiri, katanya dia bukan Chef Wan.

Jemput kawan kawan, kita sarapan nasi lemak dengan sambal udang. Lepas tu bolehlah hirup teh o yang suam suam.

Wednesday, February 15, 2012

Grilled Clams with Sambal


Akhirnya habis juga Oreo Cheese Cake saya.....

Itupun selepas mencar mangsa mangsa untuk tolong saya habiskan. Itu yang payah nak buat kek kat rumah sebab seksa nak cari orang tolong habiskan.


Hari ni tak boleh type panjang lebar sebab sibuk sangat, so terus pada menu makan malam tadi. Sebabkan banyak stok seafood, so seminggu ni memang layan menu seafood je lah kan. Malam tadi saya masak lauk ketam dan kepah. Resepi yang simple dan hanya ambil masa yang sekejap untuk menyediakannya.

Bahan bahan

500 gms kepah - cuci dan toskan
2 sudu makan chili prawns ( ready made dalam botol - ada jenama Agromas)
1 sudu makan sos tiram
1 pokok daun bawang - potong kecil
4 batang kacang bendi
Aluminium foil untuk membungkus

Cara cara
1. Lipat aluminium foil seperti pocket bag.
2. Di dalam bekas, campurkan kepah, chili prawns, sos tiram, daun bawang dan kacang bendi. Gaul sekata.
3. Masukkan semua bahan tadi ke dalam aluminium foil. Tutup kemas.
4. Bakar di atas BBQ Grill atau masukkan ke dalam oven dan grill lebih kurang 10 minit pada suhu 180 darjah celcius.
5. Sedia untuk dinikmati dengan nasi hangat.

Monday, February 13, 2012

Oreo Cheese Cake


Ini kes nak gunakan cream cheese yang berkurun duduk dalam peti ais.

Sebenarnya saya beli cream cheese ni masa ada offer, tamak punya pasal walaupun takde plan nak gunakan cream cheese masa tu tapi sebabkan murah, saya angkut juga masuk bakul. Lepas tu hari ke hari asyik terlupa je kat cream cheese ni, kalau teringat pun, masa tu dah ada plan nak buat benda lain. Then lama juga tuan rumah tak berapa sihat, lagilah buat buat tak nampak je. Hari sabtu tu, dah terfikir nak buat cheese cake jadi masa saya ke Bangi tu sempat singgah di Bake with Yen,beli biskut oreo. Actually singgah Bake with Yen tu nak cari benda lain, tapi barang yang saya cari tak ada, jadi terus beli biskut oreo.

Rasanya resepi ni dari rumah kak ummi kot. Saya lebih sukakan Soft Japanese Cheese Cake, tapi sebab nak buat kerja yang senang, saya buat oreo cheese cake ni. Lepas tu malam tadi saya dah war warkan pada kengkawan saya yang hantu ciskek suruh bagitau kalau nak makan. Sebabnya, kalau tinggal kat rumah alamatnya, 2,3 hari pun belum tentu habis.

Bahan bahan

30 keping biskut oreo - buang krim tengah dan kisar hingga halus. Kalau malas macam saya, beli je biskut oreo yang sudah siap dikisar.
1/4 cawan butter - cairkan

Sapu loyang dengan sedikit butter, kemudian gaulkan biskut kisar dengan melted butter. Kemudian masukkan ke dalam loyang, tekan dengan buku lima tangan anda hingga mampat. Ketepikan.

Bahan filling
500 gms cream cheese
1/2 cawan gula halus
1/2 cawan sour cream - saya gunakan Greek Yogurt
1/2 sudu teh esen vanilla
2 biji telor
1 cawan biskut oreo yang dicincang halus

Cara cara
1. Pukul cream cheese dengan gula hingga sebati dengan kelajuan sederhana.
2. Masukkan sour cream/yogurt dan putar lagi. Kemudian masukkan esen vanila. Masukkan telur satu persatu dan putar hingga kembang.
3. Masukkan biskut oreo yg dicincang halus tadi dengan kaedah kaup balik.
4. Tuang adunan ke dalam loyang tadi. Bakar secara bain marie ( steam bath) di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 180 darjah celcius.
5. Masak selama 45 minit sehingga bahagian tengah kek masak, kemudian tutup permukaan kek dengan aluminium foil supaya tidak terlalu kuning/terbakar selama lebih kurang 15 minit.
6. Biarkan kek di dalam oven selama lebih kurang 30 minit supaya kek tidak turun dengan  mengejut. Sejukkan di dalam peti ais selama lebih kurang 4 jam atau semalaman.

Sunday, February 12, 2012

Sayur Bayam dengan Siput Mentarang


Hari ni suami saya ajak ke Kuala Selangor untuk dapatkan fresh seafood. Sejak dah ada port baru untuk beli fresh seafood, boleh katakan setiap 2 minggu kami akan ke sana. Pagi tadi kami keluar rumah lebih kurang pukul 7.30 pagi dan sampai balik ke rumah lebih kurang pukul 10 pagi.


Kat sini memang banyak seafood yang segar dengan harga yang reasonable. Yang penting apa yang kami nak ada di pasar ni. Antara yang selalu suami saya akan cari ialah Sotong besar, Siput mentarang, Udang Kertak, kepah dan beberapa jenis ikan lagi.

Rasanya siput mentarang ni ada musim juga, sebab bukan hari hari boleh kita jumpa di pasar. Kebanyakannya di bawa dari Tanjung Karang atau dari Utara tanahair. Siput ni biasanya di dapati di kawasan tanah berlumpur. Kulitnya agak nipis tapi tajam. Saya pernah nampak orang masak lemak cili padi dengan batang keladi. Dan selalunya mereka masak dengan kulitnya sekali. Tapi saya selalu masak siput ni dengan sayur bayam dan saya akan asingkan isinya dari kulit, lebih senang untuk dimakan.


Sayur Bayan dengan Siput Mentarang

Bahan bahan
1 ikat sayur bayam - potong saiz yang sesuai
Isi siput mentarang
3 ulas bawang merah - dimayang
1 biji cili merah - dihiris
Sedikit belacan
Garam
Air secukupnya

Cara cara

1. Masukkan air, bawang merah, cili merah, belacan dan didihkan.
2. perasakan dengan garam, masukkan daun bayam dan biarkan seketika hingga daun bayam layu.
3. Matikan api dan hidangkan bersama nasi putih.


Sambal tempoyak dengan timun

Jalan Jalan Makan Ice Cream



Semalam saya ikut my husband ke Bangi atas urusan kerja. Selain saya dan suami, isteri sepupu suami saya dan anaknya pun ikut sekali.

Mula mula kami lunch di Restoren Anje Nasi Bariani, punyalah ramai orang sampai terpaksa beratur panjang sampai ke luar. Tapi sebab my husband cakap nasi bariani kat situ sedap dan murah so dia nak suruh saya rasalah juga.


Namanya Haziq.


Masa kami sedang leka makan ice cream di Ice Room Bangi, tak sedar si Haziq bersandar di kerusi dan kerusi tu terbalik. Siap benjol juga la dahi si Haziq ni, nasib baik dia nangis sekejap je lepas tu dia sambung makan ice cream semula.


Saya pilih Mixed Tropical Fruit


Ibu si Haziq pun pilih yang sama, sempat si Haziq suruh ibunya jangan makan ice cream ni sebab masam. Dia cakap ice cream ni dah basi so tak boleh makan.  Masam sebab ada isi durian belanda.


My husband pilih Nuts apa ntah, sedap la pulak. Saya asyik curi makan yg my husband punya je. Tapi yang paling best, my husband dah jatuh chenta kat ice cream ni. Dia cakap, kalau ada kat Shah Alam confirm seminggu 2,3 kali dia pergi.

Wednesday, February 8, 2012

Brownies Pisang



Dalam keaadaan yang kurang sihat sepenuhnya pun masih excited nak mencuba resepi di dapur. Bukan apa, kalau nak ikutkan hati memang nak baring je melayan badan yang tidak sihat. Tapi bila difikirkan semula, badan akan jadi lebih tak bermaya kalau asyik nak berbaring saja.

Semalam, memandangkan saya ada masa yang tak tau nak buat apa, saya ke dapur menggodek apa yang patut untuk buat kunyahan. Patutnya bersenam untuk keluarkan peluh tapi lebih teruja nak manambahkan kilo di badan. Apa kata mari kita makan Brownies Pisang yang saya ambil resepinya dari Majalah SEDAP.



BAHAN BAHAN

75 gms butter
200 gms coklat masakan, dipotong potong
100 gms pisang emas, kisar halus
2 biji telur
50 gms tepung gandum
20 gms serbuk koko
1/4 sudu teh serbuk penaik
50 gms kacang gajus/tanah, sangai dan cincang kasar
75 gms coklat chips
Hirisan badan untuk taburan

CARA MEMBUATNYA

1. Panaskan butter, padamkan api dan masukkan potongan coklat masakan. Kacau hingga sebati, masukkan pisang dan kacau rata. Ketepikan.
2. Campurkan telur, gula pasir, campuran coklat tadi, tepung gandum, serbuk penaik dan pukul perlhan dengan kecepatan rendah. Masukkan kacang dan coklat chips.
3. Sapukan loyang dengan butter dan kertas kalis minyak. Tuangkan adunan tadi dan taburkan hirisan badam.
4. Bakar selma 40 minint dengan suhu ketuhar 180 darjah celcius atau sehingga masak. Sejukkan.

Nasi Dagang



Salam di pagi Rabu


Hari ini ramai yang sudah mula bekerja selepas cuti hujung minggu yang agak panjang. Tapi saya nampak banyak juga kedai yang dibuka pada hari Isnin dan Selasa. Ada yang ambil cuti gantian tu untuk digunakan untuk cuti Hari Raya Aidilfitri nanti. Semuanya bergantung pada majikan masing masing. 

Hari Isnin saya bercuti, jadi ada kawan kawan lama menelefon bertanya samada saya pergi bercuti ke mana mana atau tidak. Memandangkan kesihatan yang masih belum pulih sepenuhnya, saya dan suami hanya bersantai di rumah. So saya dan beberapa kawan dari tempat kerja yang lama decided untuk pergi Hitea memandangkan agak lama juga kami tak berjumpa. Jadi kami berlima ke Intekma Resort pada hari Isnin.

Hitea bermula pukul 12 tgh sampai 4 ptg, mungkin sebab cuti panjang jadi tak ramai pengunjung. Bayangkan hanya kami berlima + 1 bibik + 2 kids berborak bagai nak rak. Sampai pelayan coffe house tu bagi hints yang coffee House tu dah tutup sebab makcik berlima ni macam tak mau beredar. Bukannya makan sangat, berborak je yang lebih. Saya cakap, next time kalau saya yang booking, confirm diorang cakap dah Full House.



Berbalik pada menu hari ni, Nasi Dagang. Jarang sangat saya buat sendiri, selalunya kalau teringin nak makan, saya beli je lagi senang. Tapi hari tu saya terjumpa orang jual rempah nasi dagang, so saya ada beli sebungkus, fikir fikir lebih baik saya cuba masak sendiri. Boleh makan banyak sikit kan....

Nasi Dagang

1 cawan beras pulut
2 cawan beras
Halba
4 ulas bawang merah - dimayang
2 inci halia - dipotong memanjang
daun pandan
2 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
Sedikit garam

Cara caranya
1. Rendam beras dan beras pulut lebih kurang 6 jam atau lebih. Cuci dan toskan.
2. Panaskan kukusan, alas daun pandan pada kukusan dan kukus beras hingga hampir masak. Keluarkan dan masukkan ke dalam bekas lain. 
3. Masukkan santan cair daun daul sebati. Masukkan kembali ke dalam bekas kukusan. Kukus sebentar, keluarkan dam masukkan ke dalam bekas tadi.
4. Tuangkan sebahagian campuran santan pekat dan garam, gaul sebati dan masukkan ke dalam kukusan dan kukus hingga masak.
5. Angkat dari kukusan, masukkan ke dalam bekas dan tuangkan baki santan pekat dan campuran halba, bawang merah dan halia. Gaul sekata.


Gulai Ikan Aya / Tongkol

1 ekor ikan Aya/Tongkol
5 keping asam gelugor
Garam secukupnya

*** Ikan dipotong kepada saiz yang sesuai. cuci dan toskan. Lumurkan ikan dengan garam dan kukus ikan bersama sama asam keping hingga hampir masak.

3 sudu makan rempah nasi dagang
2 sudu makan cili kering kisar
2 inci lengkuas - tumbuk hancur
5 ulas bawang merah - tumbuk hancur
2 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
Cili padi
Cili merah
Timun - potong saiz yang sesuai
Air asam jawa
Sedikit gula nisan
Garam secukupnya
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk, cili kisar dan rempah nasi dagang hingga naik bau dan masukkan air asam jawa dan santan cair. Biarkan rempah hingga masak.
2. Masukkan santan pekat,biarkan hingga mendidih. Masukkan timun, cili padi, cili merah dan ikan.
3. Biarkan sehingga timun lembut, perasakan dengan garam dan gula nisa. Renehkan dengan api perlahan buat seketika.
4. Bila gulai sudah naik minyak, bolehlah matikan api.


Sunday, February 5, 2012

Puding Coklat bersama sos vanila


Salam Maulidur Rasul buat semua....


Beberapa hari tak ada entry sebab tuan rumah masih tak berapa sihat, ermmm siksa betul kalau kena batuk dan selsema ni. Hari ni dah beransur sihat dan sudah mula masak yang simple untuk makan tengahari. Mesti ramai yang ambil kesempatan hujung minggu yang panjang untuk pulang ke kampung atau bercuti lagi. Bagi pekerja memang seronok bila asyik cuti panjang seperti ini, tapi bagi majikan memang pening kepala memikirkan banyak kerja yang tergendala.....

Pagi tadi saya dan suami ke Pasar Tani Stadium Shah Alam, memandangkan hampir seminggu tak masak, maka kena la mencari barang basah. Bila tengok harga ikan, aduhai memang boleh semput dibuatnya. Ikan kembong sekilo RM11, itu belum harga sotong, ketam dan hasil laut yang lain. Sempat tengok orang sebelah membayar lebih dari seratus ringgit tapi tak banyak pulak ikan yang dibeli.




Berbalik pada menu hari ini, saya cuma masak yang simple saja. Masak yang rebus rebus je, lagipun sekarang ni ramai yang bersunggut yang minyak masak susah didapati di pasaran. Minyak masak yang mahal memang tak ada masalah, cuma sediakan duit je lah kan.

Hari ni tekak terasa nak makan puding berkuah, memandangkan tahap kerajinan masih ditahap suam suam kuku lagi, jadi kita buat yang senang senang dululah.

Bahan bahan untuk puding

600 ml air
35 gms serbuk koko
150 gms gula
200 ml susu sejat
8 gms serbuk agar agar
1 butir telur kuning

Cara cara
1. Panaskan air, masukkan serbuk koko, gula dan serbuk koko. Kacau sebati dan biarkan hingga semua bahan larut.
2. Masukkan susu sejat, ambil satu senduk adunan di dalam periuk dan campurkan dengan telur kuning. Kacau sebati dan masukkan semula ke dalam periuk.
3. Didihkan dan matikan api. Tuang kedalam acuan dan biarkan hingga keras.

Bahan untuk sos vanila

250 ml susu sejat
1/2 cawan gula
1 sudu kecil vanilla
1 sudu kecil tepung kastard
secubit garam
Buah buahan campuran

Cara cara
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali buah buahan campuran. Biarkan hingga mendidih. Matikan api dan masukkan buah buahan campuran.


Tuangkan sos vanila semasa menghidang. Kalau biarkan sos vanilla tu sejuk lagi sedap......


Jemput makan.

Wednesday, February 1, 2012

Kek Chiffon Labu........ yang tak berapa menjadi.


Sudah beberapa hari tak update blog...


Sebenarnya dah hampir seminggu tuan rumah tak berapa sihat, asyik bersin, batuk, selsema, sakit tekak dan macam macam lagi. Maklumlah bila umur makin meningkat, tahap ketahanan melawan penyakit semakin berkurangan. Sekarang pun masih belum sihat lagi, suara pulak bukan setakat seksi, malah "seksa" pada tuan badan dan sesiapa yang mendengarnya. Nak berdepan dengan orang pun kurang selesa, sebabnya asyik batuk dan bersin saja.

Tapi yang paling tension bila tak boleh tidur malam sebab asyik terjaga dan batuk sampai perit tekak. Bila dah terjaga, bukannya senang nak tidue semula. Apalagi, esoknya kepala pun mulalah berdenyut denyut.....



Beberapa hari juga saya tak masak, bila dua tua tak sihat, tekak mula rasa pahit dan tak ada selera nak makan. Kalau masak pun, makannya tak seberapa. Tapi saya dah start memasak semalam, yang simple simple saja.

Bila dah lama tak mencuba resepi, tangan mulalah gatal. Sebenarnya hari ahad lepas, kami ke pasaraya yang tujuan asalnya untuk membeli groceries. Tapi biasalah kan, mesti melencong dari tujuan asal. My husband cakap, "mata tu tajam je...." hehehehehe...... nak buat camne kan, naluri. Alasan tak henggat dunia.


Ayat yang biasa biasa keluar dari mulut bila nak masuk kedai menjual alat main masak masak ialah, " ala nak masuk sekejap je, just nak tengok tengok". Boleh percaya ke?
Sedar sedar, keluar dengan satu beg plastik yang penuh dengan beberapa barang termasuk la 4 jenis silicone mould. Itu baru tengok tengok.....

Apalagi tangan mula gatal nak test silicone mould yang dah dibeli tu.  Jadi cari resepi kek chiffon, terjumpa satu resepi kek chiffon yang menggunakan labu dari sebuah majalah masakan. Sebelum tu dah surf kat internet, so sempat la compare bahan bahan yang digunakan. Tapi biasalah, kalau dah dasar suka derhaka kat resepi, maka kek chiffon saya tidak menjadi seperti yang sepatutnya. Dah jadi seperti bingka, tidak bantat, kek tetap lembut dan gebu cuma tidak seperti tekstur kek chiffon yang sepatutnya.



Rasanya ada beberapa kesilapan dan masalah teknikal semasa membuatnya. Pertama putih telur saya tidak betul betul menjadi soft peak walaupun agak lama juga saya putar. Kedua, dalam resepi hanya menggunakan putih telur, tapi dalam resepi lain menggunakan putih dan merah, so saya dengan bangganya masukkan telur merah (inilah derhaka namanya). Yang ketiga, sepatutnya bila dah masak, keluarkan dari oven dan terbalikkan loyang supaya kek sejuk sebelum dikeluarkan. tapi memandangkan silicon mould tu lembik, memang susah nak letakkan dalam kedudukan terbalik, kek yang di dalam tu keluar sekali.

Tapi masa kek tu sedang dibakar, memang cantik je dia naik, bila saya nak terbalikkan, kek tu berdebab jatuh. Nasib baik ada pinggan kat bawah.

So, buat masa ni saya tak letak resepi sehingga saya berjaya membuatnya.