Monday, February 18, 2013

Talam Ubi Kayu


Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera...


Pagi ni akak tayang kuih Talam Ubikayu, actually buat semalam petang. Tapi malas betul nak upload semalam sebab hujan yang agak lebat. Apalagi, tuan rumah pun sama lembab macam cuaca kat luar.

Itu pun berbelah bagi samada nak buat kuih talam atau pun terus rebus cicah kelapa parut dengan gula saja.


Kebelakangan ini asyik teringin nak makan kuih muih tradisional. Umur dah nak masuk separuh abad, rasanya baru sekali dua saja buat sendiri. Masa muda muda dulu memang kurang sikit nak menghala ke dapur, kalau teringin nak makan, pergi beli saja. Itulah yang paling senang, cepat dan kerja yang mudah.

Tapi bila sesekali buat sendiri, kepuasan menikmati hidangan tu agak lain sikit. Mungkin tidak sesedap orang yang membuatnya setiap hari, tapi melihat keluarga menikmati hasil air tangan kita itu yang tidak ternilai.




Jamu mata dulu ye, saya akan update resepi kemudian.

TALAM UBI KAYU
Sumber : Buku Talam Klasik Malaysia oleh Pn. Hasma Noor Basir

Bahan bahan

LAPISAN BAWAH
1 Kg ubi kayu - kupas,parut & perah airnya dengan kain muslin menjadi 600 gms parutan ubi kayu.
40 gms tepung jagung
400 gms gula pasir + 300 ml air + daun pandan
( masak hingga gula larut & tapis)
1 sudu teh pewarna kuning

LAPISAN KEDUA
100 gms tepung beras
1200 ml santan pekat
20 gms tepung hoen kwee
1 1/2 sudu teh garam halus

Cara cara
1. Sediakan loyang bulat berukuran 14" dan lengserkan sedikit minyak.
2. Sediakan adunan untuk lapisan  Bawah dengan satukan ubi kayu dengan air gula dan tepung jagung hingga sebati.
3. Jerangkan di atas api sederhana, campurkan dengan pewarna kuning dan kacau hingga sebati. Biarkan sehingga agak pekat.
4. Tuang ke dalam loyang dan kukus selama 30 minit. Apabila masak, gores permukaannya dengan garfu.
5. Sementara itu sediakan lapisan atas. Satukan semua bahan dan gaul sebati. Jerang dia ats api sederhana sehingga naik wap dan sedikit pekat.
6. Tuang adunan ke atas lapisan bawah dan kukus di atas api kecil selama 30 minit atau sehingga masak.
7. Sejukkan dulu sebelum di potong.









Friday, February 15, 2013

Masak Lemak Siput Sedut dengan Daun Kaduk



Assalammualaikum dan Selamat Pagi...

Sedar tak sedar sudah sampai hari Jumaat, cepat betul masa berlalu. Tambahan kalau sibuk dengan segala macam urusan yang tidak pernah habis.

Sudah beberapa hari saya teringin nak makan masak lemak siput sedut. Puas juga mencari dipasaraya berdekatan tetapi tiada bekalan siput sedut, barangkali disebabkan cuti Tahun Baru Cina yang agak panjang. Sebenarnya perancangan asal my husband cuma nak makan mee goreng saja untuk makan malam. Tetapi bila saya ke pasaraya untuk membeli bahan untuk memasak mee, ternampak pula siput sedut. Jadi terus tukar menu...

Siput sedut yang sedikit kecil saiznya, tetapi sebab dah teringin nak makan, saya beli juga. Kebetulan pokok kaduk yang my husband tanam tu agak menjadi, daunnya agak lebar dan hijau pekat. So saya masukkan beberapa helai daun kaduk ke dalam masak lemak ini.

Sedap makan siput sedut ni tapi leceh bila bab nak membersihkannya dan menyedut......



SIPUT SEDUT MASAK LEMAK

Bahan bahan

1/2 kilo siput sedut - potong bahagian belakang dan rendam seketika ( saya beli siput yg siap dibersihkan dari lumpur)
1 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
3 helai daun kaduk - dihiris nipis
1 labu bawang besar *
2 biji cili merah besar *
5 biji cili padi *
2 cm kunyit *
2 batang serai - ketuk
1 keping asam gelugor
Garam secukup rasa

Cara cara
1. Kisar bahan bertanda * hingga hancur. Masukkan ke dalam periuk bersama sama santan cair.
2. Kemudian masukkan siput sedut dan masak hingga mendidih.
3. Masukkan serai, daun kunyit dan asam gelugor. Biarkan ia mereneh seketika dengan api perlahan.
4. Masukkan garam dan santan pekat, masak sebentar dan kacau sekali sekala supaya santan tidak pecah minyak.
5. Bila sudah mendidih, bolehlah matikan api.


Cara cara membersihkan Siput Sedut

1. Masukkan siput sedut ke dalam bekas dan masukkan hampas kelapa.
2. Gaulkan siput dengan hampas kelapa dan biarkan 1-2 jam. Kemudian cuci bersih.
3. Ambil siput dan potong bahagian hujungnya dan rendam siput di dalam air sebelum digunakan untuk memasak.




Thursday, February 14, 2013

Apam Beras


Assalammualaikum dan Selamat Pagi...


Wah bukan main lagi akak bercuti ye, hampir seminggu tak update blog. Bukannya tak masak tapi malas betul nak angkat kamera. Ada masanya dah ambil gambar tapi rasa macam tak berapa nak rajin nak edit dan update dalam blog.

Susah betul kalau dah diserang virus "MALAS" ni kan...




Agak lama juga tak buat apam di rumah. Maklumlah bila buat asyik tak nak merekah/senyum apam tu. Stress you!!! Kenapalah orang lain buat macam senang je nak senyum apam tu. Buat kuih muih lama ni ada petua dan tips yang perlu diketahui kalau nak kuih tu jadi dengan eloknya.

Itu kata mereka yang pakar lah kan...

Sebenarnya saya tak mengharap sangat yang apam ni akan merekah sebab bila tengok adunan yang saya perap tu macam tak begitu naik. Bila tengok adunan tu, dalam kepala terfikir jadi ke ni? Tapi alang alang dah bancuh adunan tu, apa salahnya saya teruskan juga. Kalau tidak mana nak tahu ia menjadi ke tidak kan...

Tapi bila dah ditambah ENO, serta merta adunan tu berbuih. Jadi harapan nak menjadi tu ada la sikit.


Nak tunggu lepas 15 minit tu macam lama, sebab tak sabar nak tengok kejadian apam. Alhamdulillah, bila buka penutup je dah nampak apam semua tersenyum...

Resepi saya ambil dari internet, tak pasti siapa yang empunya tetapi ramai kawan kawan food blog yang sudah mencuba resepi apam ini. Terima kasih.


APAM BERAS

Bahan Bahan
1 cawan nasi
2 cawan tepung beras
1 cawan gula pasir
1 3/4 cawan air
1 sudu kecil yis segera
1 packet kecil ENO
Acuan apam
Sedikit minyak masak

Cara cara
1. Kisar nasi dengan air hingga halus. Kemudian masukkan tepung beras, gula dan yis. Kisar hingga sebati.
2. Perap adunan lebih kurang 3-4 jam. Kemudian masukkan serbuk ENO dan kacau perlahan lahan hingga sebati dan biarkan seketika.
3. Panaskan kukusan dengan API BESAR. Tutup tudung periuk dengan tuala dapur.
4. Sapukan sedikit minyak masak di dalam acuan apam supaya senang untuk keluarkan apam nanti.
5. Tuang adunan apam ke dalam acuan 3/4 penuh. Letakkan di dalam periuk pengukus.
6. Setkan masa selama 15 MINIT, jangan buka penutup periuk sebelum 15 MINIT habis.
7. Selepas 15 minit, buka penutup pengukus, keluarkan apam dan biarkan ia sejuk sebentar sebelum keluarkan dari acua.
8. Apam Beras sedap dimakan bersama sama kelapa parut yang dikukus sebentar dan perasakan dengan garam halus.





Thursday, February 7, 2013

Strawberry Frozen Yogurt


Assalammualaikum dan Selamat Pagi...

Alahai, awal pagi dah tayang something yang sejuk kan. Tak apa, sejukkan mata sikit.

Actually tiada plan nak buat Strawberry frozen yogurt pun tapi sebab masa cari barang lain tetapi terjumpa barang lain. Masa saya mengemas peti ais, saya tergerak nak kemaskan bahagian frozen yang saya cuma letakkan barang barang yang jarang saya guna, entah bagaimana perasan satu bungkusan plastik yang dah keras. Bila buka baru tahu yang itu ialah strawberries yang saya bekukan beberapa ketika dulu.


Memang strawberries tu semua dah keras, so terfikir nak buang atau nak buat something else. Jadi yang paling senang tentulah buat ala ala ice cream.

Saya pernah buat dulu, tapi kali ini saya tidak gunakan madu tetapi gula pasir. Rasanya lebih manis dan sedap. Seperti biasa, saya gunakan Greek Yogurt dalam resepi ini.


STRAWBERRIES FROZEN YOGURT

Bahan bahannya

3 cawan frozen strawberries
3/4 cawan gula pasir
1 sudu teh perahan lemon
1 cawan Greek Yogurt
Secubit garam
1/2 cawan susu segar ( resepi asal guna cream )

Cara cara
1. Masukkan semua bahan dalam pengisar ais, kisar hingga halus.
2. Masukkan kedalam bekas tin, sejukkan di dalam tempat sejuk lebih kurang 2 jam atau sehingga keras.
3. Sedia untuk dinikmati.


Tuesday, February 5, 2013

Lemonade with Chia Seed


Assalammualaikum dan Selamat Petang...

Hari ini nak tayang gambar minuman pula, agak seketika juga tak ada resepi minuman.

Resepi yang simple dan sesuai dihidangkan waktu panas atau bersama hidangan yang "panas" seperti kari atau apa juga yang pedas.

Kebetulan hari itu saya menonton rancangan masakan Mexico dan salah satu resepi yang ditunjukkan ialah resepi minuman ini. Bahan yang digunakan tidak banyak dan mudah didapati.



LEMONADE WITH CHIA SEED

Bahan bahan

1/4 cawan jus lemon ( freshly squeezed)
1 sudu makan biji selasih - rendam hingga kembang
Air gula secukupnya
1 cawan air sejuk
Ais ketul secukupnya
Daun pudina

Cara cara

1. Masukkan semua bahan ke dalam gelas dan tambahkan daun pudina.

Saya excited sangat bila tengok pokok pudina yang ditanam oleh my husband hidup dengan suburnya. Padahal dah beberapa kali saya tanam tapi semuanya tidak lama. Tak sampai sebulan, habis semua pokok mati. Apa lagi, happy la orang tu bila kita puji yang dia pandai tanam pokok.......


Friday, February 1, 2013

Liege Waffles



Assalammualaikum dan Selamat Petang...

Hari ini kawan kawan yang bekerja di Kuala Lumpur pula bercuti panjang, maklumlah dah 2 minggu orang Selangor asyik cuti saja kan. Tak apa, minggu depan satu Malaysia akan cuti panjang sempena Tahun Baru Cina.

Saya dan suami akan pulang ke kampung masa cuti Tahun Baru Cina nanti kerana ibu bapa saya akan pergi mengerjakan umrah, jadi balik bercuti sekaligus menghantar mereka untuk ke Tanah Suci.


Hari sabtu in shaa Allah nak buat kenduri kesyukuran sikit. Seronok bila semua adik beradik akan berkumpul bersama sambil memasak apa yang patut. Maklumlah bila semua sudah bekeluarga, bukan mudah untuk berkumpul beramai ramai walaupun di hari raya.

Berbalik kepada entry hari ini, saya sajikan Liege Waffles atau Belgium Waffles. 

Ada pelbagai resepi Liege Waffles, tapi untuk kali ini saya cuba resepi yang menggunakan "dough method".


Sila jamu mata dulu ye, saya akan update resepinya kemudian.

LIEGE WAFFLES
Sumber : Lydia, My Kitchen


Bahan bahan
200 gms tepung roti
45 gms gula pasir
2 gms garam
10 gms susu tepung
1 biji telur
50 gms butter
75 ml air
6 gms yis segera

Cara cara
1. Campurkan tepung roti, garam dan susu tepung di dalam bekas. Gaul sebati.
2. Larutkan yis di dalam sedikit air, kemudian campurkan bersama telur dan kacau sebati.
3. Campurkan campuran yis ke dalam campuran tepung, uli sehingga doh lembut terbentuk. Campurkan butter dan teruskan menguli sehingga doh lembut.
4. Tutup dengan plastik dan biarkan ia rehat lebih kurang 30 minit.
5. Bahagikan doh kepada 6 bahagian yang sama dan bulatkan, tutup dengan plastik dan rehatkan lebih kurang 10 minit.
6. Panaskan acuan waffle, sapukan sedikit butter. Letakan bebola doh tadi di atas permukaan waffle, tutup dan biarkan ia masak. Anggaran 5-6 minit.
7. Angkat dan hidangkan bersama butter/jem/sos atau buah buahan kegemaran. Sedap di makan panas.



Wednesday, January 30, 2013

Pumpkin Cream Brulee




Assalammualaikum dan Selamat Pagi...

Tak ada cerita nak berceloteh hari ini. Rasa macam kurang bermaya saja... 

So just go to my today's entry,

Pumpkin Cream Brulee.

Sebenarnya tak ada idea nak masak apa, so semalam hanya buat sambal tumis sotong kering, malas pula nak ambil gambar.


Lepas tu ada labu manis sikit dalam peti ais. Apa nak buat ye, nak buat apam labu atau talam labu? Tapi rasa macam tak cukup bahan saja.

Akhirnya terfikir nak buat puding labu ala ala cream brulee tapi still tak cukup bahan dan alatan. Apalagi, kita ubahsuai ikut apa yang ada di dapur. 

Maklumlah, tukang masak ni kadang kala kena jadi Mc Gyver...


 PUMPKIN CREAM BRULEE

Bahan bahan
300 ml cream - saya gantikan dengan santan
50 gms gula pasir
150 gms labu manis yang telah dikukus terlebih dahulu
3 biji kuning telur
Secubit garam
Sedikit perasa vanila
Sedikit gula pasir/perang untuk ditabur di atas permukaan puding dan dibakar

Cara cara
1.Masukkan santan,kuning telur,labu manis, garam,perasa vanila dan gula ke dalam pengisar. Kisar hingga halus.
2. Tapiskan adunan ke dalam bekas ramekin dan kukus hingga masak. Anggaran 25-30 minit bergantung kepada saiz ramekin.
3. Taburkan gula pasir/gula perang ke atas puding, bakar menggunakan cream brulee torch atau masukkan ke dalam oven, pasangkan function "GRILL" dan panaskan hingga gula bertukar menjadi caramel dan sedikit keras.


Saya kurang gemar yang letak pelbagai rempah seperti kulit kayu manis dan all spices.


Sunday, January 27, 2013

Menu Hari Minggu



Assalammualaikum dan Selamat Berhujung minggu...

Kepada yang bercuti selamat bercuti dan kepada yang kena bekerja esok hari, selamat bekerja.

Since saya dan suami tidak kemana mana, jadi hujung minggu kenalah menyingsing lengan baju memasak di dapur. Apa agaknya menu hari ni ye...

Hari ini saya ter rajin sikit so saya sediakan beberapa dish untuk makan tengahari kami berdua di hari minggu yang sunyi sepi. Agaknya ramai jiran yang bercuti atau keluar shopping.


Kuzi Daging bersama kentang


Pajeri Terung


Air Qaseh



Friday, January 25, 2013

Poli Ubi Kayu @ Steamed Cassava Cake



Assalammualaikum dan Selamat Pagi.


Rasanya masih belum terlambat untuk mengucapkan Salam Maulidur Rasul yang disambut hari semalam. Nampaknya orang Selangor ramai yang ambil cuti panjang memandangkan hari Isnin depan pun cuti ganti bagi Thaipusam. Hari ini nampak sunyi saja, datang kerja tadi pun masih boleh berlenggang kangkung kata orang.

Semalam saya hanya menghabiskan cuti di rumah, kebetulan hujan dari awal pagi hingga ke tengahari. Apa yang best kalau hari cuti dan cuaca lembab?

Tarik selimut sambil layan TV la kan. Tambahan saya seorang saja di rumah sebab my husband dah keluar awal untuk selesaikan kerjanya.



Minggu lepas saya beli ubi kayu 3 ketul, macam biasa, plan nak buat macam macam. Ada sekali tu my husband cakap teringin nak makan Bengkang Ubi Kayu. Orang Utara panggil Bengkang kan, dan ada orang panggil Bingka. Tapi kuihnya benda yang sama rasanya.

Tapi bila tanya lagi, dia cakap lain kali sajalah, hari ini tak terasa macam nak makan pula. Aduhaiiii, akak dah tengah ada mood nak main masak masak ni.....



Takpe, tak nak makan bengkang, kita buat kuih lain yang lebih senang dan gerenti jadi punya. Rasanya pun lebih kurang cuma bengkang kena bakar dan berkerak, sementara poli ubi kayu kita kukus dan makan bersama kelapa parut dan manisan gula melaka.

Resepi yang agak lama juga saya simpan, lepas print saya selit kat merata rata sampai kadang kala cari pun tak jumpa. Kalau tidak silap saya ambil resepi dari RASA MALAYSIA.


STEAMED CASSAVA CAKE

Bahan bahan
400 gms ubi kayu yang telah diparut
125 gms santan pekat
50 ml air
100 gms gula pasir
1 sudu makan tepung ubi
Secubit garam

Bahan sampingan
Kelapa parut
Secubit gara

**** Kukus sebentar kelapa parut dan garam supaya lambat basi.

Cara cara
1. Masukkan parutan ubi kayu, santan,air,gula,garam dan tepung ubi ke dalam pengisar. Kisar hingga halus.
2. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah disapu sedikit minyak masak.
3. Kukus adunan selama lebih kurang 35-40 minit atau sehingga masak. (Ambil lidi, cucuk di bahagian tengah kuih, kalau tidak melekat, kuih sudah masak)
4. Keluarkan dari kukusan dan biarkan ia sejuk sebelum dipotong.
5. Selepas di potong, gaulkan dengan kelapa parut dan jika suka boleh dimakan bersama sama manisan gula melaka.


Tuesday, January 22, 2013

Bamboo Lala Goreng Pedas


Assalammualaikum dan Selamat Pagi

Actually tiada menu baru pun nak update dalam blog. Walaupun bila sampai hujung minggu ada pelbagai rancangan nak mencuba resepi yang agak lama pending. Even though dah siap beli semua bahan, yang tinggal cuma kerahkan tenaga dan buat. Itu pun masih tak terbuat buat juga.

Masa tengah "meroyan" nak buat crepe, segala jenis tepung dah beli tapi tak buat juga. Then teringin nak buat Apam Perlis, beria ia mencari Eno, dah beli tapi terperap dalam handbag. Kalau saya suruh my husband cari barang dalam my handbag mesti dia mengeluh, katanya nak cari mesti tak jumpa sebab segala benda ada. Agaknya, kalau gajah boleh muat, tentu saya simpan seekor dalam handbag..........

Berbalik pada menu tayangan amal hari ini,

Bamboo Lala Goreng Pedas.

Sebenarnya tidak lah pedas sangat, asal letak cili mesti ada rasa pedas kan. Tak tau nak letak nama apa, so suka hati sendiri je la bagi nama.


Agak lama juga saya tidak beli Bamboo lala ni, sebab kali terakhir saya beli memang tak lalu nak makan kerana isinya agak liat. Harganya boleh dikatakan agak mahal berbanding siput yang lain, so bila dah beli satu packet dan tak boleh dimakan, kena buang jadi rasa membazir pula. Alhamdulillah, kali ini saya dapat yang tidak liat dan sedap dimakan. Puas hati. So saya masak resepi yang simple untuk dinner malam tadi.

Bamboo Lala Goreng Pedas

Bahan Bahan
300 gms Bamboo Lala - Anggaran, cuci dan toskan
2 cm halia - dimayang
3 ulas bawang putih - dimayang
3 ulas bawang meraha - dimayang
1 batang serai - diketuk
Garam secukup rasa
1 sudu makan cili kering kisar
1 sudu makan udang geragau kering - rendam dan tumbuk hancur
Sedikit sos tiram
Sedikit air
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis halia,bawang putih,bawang merah,cili kering kisar,udang geragau dan serai hingga wangi.
2. Masukkan sedikit air dan sos tiram. Gaul sebati dan biarkan sebentar.
3. Masukkan bamboo lala, kacau agar sebati dengan kuah tadi. Biarkan ia mereneh seketika dan perasakan dengan garam.
4. Jangan masak terlalu lama kerana ia boleh menyebabkan bamboo lala menjadi lebih liat.