Wednesday, March 16, 2016

Sago Delight


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selepas 2 minggu baru ada entry baru. Sekarang memang sudah kurang sangat memasak atau mencuba resepi baru. Ada sesekali buat kuih tapi entah kenapa agak malas untuk mengambil gambar.

Kesian pula tengok blog yang sunyi sepi. So semalam rajinkan diri pegang kamera. Itu pun guna compact sebab malas nak angkut tripod.

Saya mencuba resepi Sago Delight. Mudah dan tidak ambil masa yang lama untuk sediakannya.

Bahan bahan
1 cawan sago merah
1 cawan sago hijau
4 sudu makan gula pasir
6 cawan air

Cara cara
1. Cuci bersih sago, masukkan sago merah ke dalam periuk. Masukkan 3 cawan air dan 2 sudu makan gula. Masak hingga sago kembang dan tiada lagi putih mata sago. Tuang ke dalam bekas dan sejukkan.
2. Ulang langkah yang sama untuk sago hijau.

KUAH

1 tin susu cair
1 tin laici ( termasuk airnya )
1/2 sudu teh garam
1 helai daun pandan
3 sudu makan gula pasir

Cara cara
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih. Matikan api.
2. Kuantiti gula boleh diubah ikut kemanisan yang dikehendaki. Seeloknya masukkan sedikit dulu, rasa dan jika perlu boleh ditambah.


Jumpa lagi...



Tuesday, March 1, 2016

Pulut Dakap


 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Makin hari makin liat nak update blog. Tapi tuan rumah macam bagus je save resepi yang lintas depan mata. Bila nak buat tu... tolak ke tepi dulu. Lama lama resepi yang dikumpul tu pun tak ingat simpan di mana.

Hari tu terasa nak makan Pulut Dakap, walaupun senang saja nak sediakannya tetapi asyik bertangguh. Memandangkan semua bahan dah ada, rajinkan diri ke dapur. 



Pulut Dakap

Bahan bahan
2 cawan beras pulut - rendam lebih kurang 2 jam.
Santan 
Secubit garam
Pisang Awak
Daun pisang - layur dan potong saiz sesuai
Tali untuk mengikat

Cara cara
1. Cuci beras pulut dan toskan. Masukkan ke dalam loyang. Tuang santan ke dalam loyang berisi beras pulut separas dengan beras pulut. Sekadar menutupi beras pulut. Masukkan secubit garam dan gaul sekata. Kukus pulut sehingga masak. Sejukkan sebentar.
2. Jika pisang bersaiz besar potong 2 @ 4 bergantung kepada saiz pulut yang kita kehendaki.
3. Ambil sehelai daun pisang, letakkan pulut dan ratakan. Ambil sepotong pisang ( jika suka boleh gaulkan dengan sedikit gula )dan letak dibahagian tengah pulut. Tutup daun pisang seperti kita sediakan lepat. Buat hingga selesai.
4. Ambil 2 bungkus dan kapit. Ikat di bahagian atas dan bawah.
5. Panaskan kukusan, kukus anggaran 15 minit.



Jumpa lagi.