Showing posts with label Makanan. Show all posts
Showing posts with label Makanan. Show all posts

Friday, November 23, 2018

Asam Pedas Ikan Parang


Assalammualaikum dan Salam sejahtera...

Dari sehari ke sehari asyik bertangguh plan nak masak Asam Pedas. Mula mula beli kepala ikan merah, tapi akhirnya tukar jadi menu yang lain. Kemudian beli ikan mayong, sama juga pengakhirannya. Akhirnya beli ikan parang seketul bahagian kepala, itu pun bertangguh juga tapi akhirnya jadi juga asam pedas. 

Ini menu makan malam tadi, resepi saya google je, banyak juga yang keluar. Ambil yang paling senang dan yang semua bahan ada di rumah.


Tuesday, October 30, 2018

Fried Fish with Homemade Thai Sweet Chili Sauce and Mango Salads


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Hidangan yang simple sangat, especially kalau dah buat Thai Sweet Chili Sauce tu sehari awal ke atau simpan dalam peti sejuk.Yang lain cuma goreng ikan dan potong mangga muda.

Thai Sweet Chili Sauce
6 pcs cili merah
5 pcs cili padi
3 ulas bawang putih
100 gms gula perang
4 tbsp cuka
1 1/2 cawan air
1 1/4 tbsp sos ikan
Garam secukup rasa
1 tbsp tepung jagung + 2 tbsp air - untuk pekatkan kuah

Cara cara
1. Kisar cili merah, cili padi, bawang putih dan air hingga halus.
2. Tuang ke dalam periuk, masukkan gula dan cuka dan biarkan hingga mendidih. Kacau sehingga gula larut, kemudian perlahankan api dan biarkan ia mereneh.
3. Masukkan sos ikan dan garam. Kuatkan api dan masukkan larutan tepung jagung. Kacau sebati.
4. Matikan api dan biarkan ia sejuk sebelum simpan di dalam bekas.

Thursday, October 25, 2018

Puding Soya bersama Markisa dan Buah Naga


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Minggu lepas saya beli buah markisa, biasanya agak masam tapi kali ini manis pulak. Dah la beli sampai 7 biji, kalau masam entah apa nak buat.... Tapi sebab manis, sedap makan begitu saja. Buah naga memang kerap ada di dapur saya sebab saya suka makan, jadi semalam terfikir nak buat something untuk habiskan stok buah markisa dan buah naga.

Puding Soya tu saya cuma beli air soya dan panaskan bersama dengan serbuk agar agar. Saya gunakan serbuk agar agar brand Swallow, jadi boleh ikut arahan di belakang paket. So kalau nak puding sedikit lembut, kurangkan kuantiti serbuk agar agar.

Tuesday, October 16, 2018

Pulut Seri Muka Pandan


Assalammualaikum dan Salam sejahtera....


Lamanya saya tenggelam di lautan batu.... susah betul bila dah tenggelam nak timbul semula. Kalau timbul pun asyik tercungap cungap je.

Hujung minggu lepas rajinkan diri (walau sebenarnya takdelah rajin sangat pun), menyediakan kuih Pulut Seri Muka Pandan. Daun pandan kat rumah dah tinggal sikit je sebab big boss menebas apa yang dirasakan menyemakkan pandangannya. Nasib la juga dia tinggal sikit dapat la juga saya guna bila sesekali datang rajin nak masak.

Kebetulan ada bunga telang yang saya kumpul dan keringkan. Actually dah lama teringin nak gunakan pewarna dari bunga telang ni. Jadi saya sediakan Pulut Seri Muka menggunakan pewarna asli. Hijau dari daun pandan dan pandan serani dan biru dari bunga telang.

Lapisan atas sudah menepati citarasa saya cuma bahagian bawah tu pulutnya sedikit lembik mungkin sebab saya gunakan pulut susu dan terlebih waktu merendamnya.

Masih ada berbaki bunga telang, nanti kita fikirkan apa pula menu selanjutnya....

Erkkk harap harap takdelah sampai awal tahun pula menu berikutnya kan....


Tuesday, January 2, 2018

Onde Onde @ Buah Melaka



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Selamat Menyambut Tahun Baru 2018 semoga tahun ini membawa lebih keberkatan buat kita semua.

Semalam cuaca di Shah Alam agak baik, sedikit hujan di sebelah petang. Memandangkan kami tidak ke mana mana sempena cuti hujung tahun yang panjang, jadi ambil kesempatan mengemas kawasan luar rumah yang makin tidak terurus. Maklumlah tuan rumah sibuk sepanjang tahun + kurang rajin. So suami sibuk memangkas dahan dan daun daun kering yang menyemakkan pemandangan. Antara yang menjadi mangsa ialah rimbunan pokok pandan dan pokok kari.

Sebahagian pokok pandan terpaksa dibuang kerana risau menjadi tempat ular bersarang dan pokok kari terpaksa di tebang gara gara di serang serangga daun hingga langsung tidak boleh digunakan. 

Bila dah banyak sangat daun pandan yang dibuang, terasa sayang pula. Jadi terfikir nak buat Onde onde atau Buah Melaka untuk hidangan petang. Menggunakan pewarna asli daun pandan memang lain sekali wanginya. Masih ada baki daun pandan yang telah siap dipotong, mungkin kalau ada kerajinan boleh guna untuk buat kuih yang lain pula. Itu pun kalau ada "KERAJINAN"....





Monday, April 17, 2017

Sambal Tumis Udang dengan Petai





Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.....

Dah jadi macam rumah yang ditinggalkan sejak zaman jepun je blog ni. Aduhaiiiii entah apa nak jadi dengan tuan rumah pun tak tahulah...... Bukan blog saja yang tak berupdate, FB @ Insta pun jarang sangat update status. Kadang tu "kagum" juga tengok ada kawan kawan yang update media sosial selang 2@3 minit sekali.

Sejujurnya sekarang memang dah jarang sangat memasak, tak seperti dulu dulu. Masa tengah aktif berblogging, boleh dikatakan setiap hari ada update yang terbaru. Sekarang, sebulan dua baru muncul kan.... Maafkan tuan rumah ya.

Setelah sekian lama saya tak memasak , tiba tiba teringin pula nak ke dapur. Saya memang agak lama tak membeli barang basah sebab saya tahu akhirnya akan keras kejung dalam freezer. Kebetulan jumpa sahabat yang menjual ikan, saya beli ikan, udang dan sotong. Tapi hampir seminggu masih belum disentuh lagi, membazir pula kalau akhirnya terpaksa dibuang. Jadi menu hujung minggu semalam ialah Sambal tumis udang dengan petai dan ikan sardin goreng.

So sehari dua ni saya kena fikirkan menu untuk habiskan stok barang basah yang masih berbaki. Kalau rajin, saya akan update lagi......


Friday, February 10, 2017

Apam Daun Rambai




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Bersua kembali, kali ini kita tayang gambar Apam Daun Rambai. Sekarang memang dah makin jarang bereksperimen di dapur jadi jarang juga nak ambil gambar makanan. Sesekali kalau mood rajin datang ada juga buat itu dan ini tapi malas pula nak ambil gambar.

Memandangkan kuih Apam Daun Rambai ni dalam kategori "RARE" jadi rajinkan juga ambil gambar, itupun hanya guna handphone. Memang terserlah kemalasan tuan tanah di situ....



Apam Daun Rambai

Bahan bahan
300 gms tepung gandum
2 sudu butter - dicairkan
100 gms gula melaka dilarutkan dengan 1 1/2 cawan air
2 sudu besar gula pasir
1/2 bungkus serbuk yis
Daun rambai yang sederhana besar secukupnya - bersihkan.

Cara cara
1. Campurkan tepung gandum bersama sama dengan butter, gula pasir dan yis. Gaul sekata kemudian masukkan air gula melaka sedikit demi sedikit.
2. Gaul sebati, adunan tidak terlalu pekat atau cair.
3. Biarkan adunan lebih kurang 1 jam sehingga naik sekali ganda.
4. Panaskan kukusan, ambil sehelai daun rambai, sapukan sedikit minyak dan isikan 1 sudu besar adunan tadi. Bungkus dan tinggalkan sedikit ruang di atas.
5. Kukus apam anggaran 8-10 minit.


Monday, December 19, 2016

Gulai Itik



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Kesian tengok blog sendiri yang terbiar. Adoiiiii memang malas betul nak update. Saya kurang aktif sikit beberapa bulan ni. Kamera pun dah lama tak tengok, sampai my husband tanya apa dah jadi dengan kamera you. Dah lama tak nampak isterinya sibuk usung kamera dari dapur ke luar rumah agaknya. Ini pun gunakan kamera handphone, nampak sangat tuan rumah makin lemau....

Bukan tak sayang tengok blog terbiar sepi cuma belum ada semangat yang membuak buak nak mulakan semula aktiviti seperti dulu. Mana tau azam tahun 2017, tiba tiba terajin pulak nak aktif berblogging semula.

Oh ya semalam saya masak Gulai itik. Kebetulan saya terjumpa kedai yang menjual rempah cap Bunga Ros yang popular di Pantai Timur. Saya beli rempah tu di Shah Alam. Plan asal nak gandingkan dengan nasi minyak tapi my husband nak makan nasi putih biasa. Resepi Gulai itik boleh tengok dekat link sebab saya pernah masak suatu waktu dahulu... ( Lamaaaaaaa tu )

Moga jumpa lagi. Harap harap lepas ni makcik jadi rajin sikit....



Monday, April 25, 2016

Homemade Acar Limau


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Oh ya, saya sudah mula berjinak jinak dalam arena membekalkan makanan secara kecil kecilan. Bermula dengan atas permintaan teman teman rapat.

Salah satu "signature dish" emak saya ialah Acar Limau style utara. Selalu mendapat tempahan dari masyarakat setempat. Walaupun ia sesuai di makan bila bila masa, tetapi ia sinonim dengan bulan puasa. Sebagai penambah selera terutamanya di waktu bersahur.

Untuk pertayaan lanjut boleh hubungi 019-3636 001. Penghantaran sekitar Shah Alam & Klang.

  

Wednesday, April 20, 2016

Mango Cheesecake






Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....


Wow lamanya dapur My Small Kitchen tidak berasap....
Aduhaiii kalau sudah lama tidak update, bila hendak mulakan kembali memang ambil masa dan mood. Tuan rumah kurang sihat sihat + kurang mood nak update blog. Bila umur makin meningkat, ambil masa yang lebih lama untuk kebah. Salah makan sikit pun boleh memberi kesan. Tambahan cuaca yang agak melampau menambah kepada keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.

Selama sebulan berhibernasi ni bukanlah tidak masak, ada juga sesekali tetapi most adalah menu ulangan. Itupun kalau ada tetamu yang berkunjung ke rumah. Kalau tidak memang makan yang simple je.

Kebelakangan ini ramai kawan kawan FB menayang Mango Cheesecake. Maklum la sekarang musim mangga esspecially Mangga Harum Manis dari Perlis. Harganya sekilo ermmmm mengalahkan buah mangga import. Tak boleh tahan, saya buat juga. Lepas tu puas nak habiskan sebab my husband tak gemarkannya.


Selamat menjamu mata...

Bahan A ( Base )
70 gms butter - cairkan
20 keping biskut Digestive - hancurkan

Cara cara
1. Campurkan kedua dua bahan kemudian bahagikan sama rata untuk 4 bekas seperti di dalam gambar. Tekan hingga mampat. Kalau suka boleh masukkan ke dalam peti sejuk sementara menunggu proses selanjutnya.

Bahan B ( Cheese Filling )
250 gms TATURA Cream cheese atau yang sesuai
80 gms gula pasir
100 ml cream - Saya guna Nestle cream dalam tin
1 biji mangga - ambil isinya dan potong dadu
15 gms gelatin dicampurkan dengan 50 ml air panas sehingga sebati.

Cara cara
1. Masukkan cream cheese dan gula pasir ke dalam mangkuk. Pukul hingga sebati.
2. Masukkan pula gelatin yang telah dilarutkan tadi. Gaul sebati.
3. Kemudian masukkan kiub mangga. Gaul sebati.
4. Tuang adunan cheese ke dalam bekas yang berisi base tadi. Ratakan.

Bahan C ( Puree Mangga )
1 biji mangga
1/3 cawan air
1 sudu besar gula pasir - jika mangga kurang manis, lebihkan kuantiti gula.

Cara cara
1. Kisar isi mangga bersama sama gula dan masukkan air hanya sekdar untuk membolehkan isi mangga dikisar sehingga halus.
2. Tuang puree mangga ke atas adunan cheese tadi.
3. Simpan di dalam peti sejuk sekurang kurangnya 4 jam.

Untuk hiasan mangga seperti bunga ros

- Kupas buah mangga dan bahagikan kepada 2 bahagian.
- Ambil sebelah/ sebahagian dan hiris nipis.
- ambil hirisan yang paling kecil dan letak dibahagian tengah.
- Kemuadian ambil satu hirisan dan susun seperti kelopak bunga ros.
- buat sehingga kelihatan seperti bunga ros.


Wednesday, March 16, 2016

Sago Delight


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selepas 2 minggu baru ada entry baru. Sekarang memang sudah kurang sangat memasak atau mencuba resepi baru. Ada sesekali buat kuih tapi entah kenapa agak malas untuk mengambil gambar.

Kesian pula tengok blog yang sunyi sepi. So semalam rajinkan diri pegang kamera. Itu pun guna compact sebab malas nak angkut tripod.

Saya mencuba resepi Sago Delight. Mudah dan tidak ambil masa yang lama untuk sediakannya.

Bahan bahan
1 cawan sago merah
1 cawan sago hijau
4 sudu makan gula pasir
6 cawan air

Cara cara
1. Cuci bersih sago, masukkan sago merah ke dalam periuk. Masukkan 3 cawan air dan 2 sudu makan gula. Masak hingga sago kembang dan tiada lagi putih mata sago. Tuang ke dalam bekas dan sejukkan.
2. Ulang langkah yang sama untuk sago hijau.

KUAH

1 tin susu cair
1 tin laici ( termasuk airnya )
1/2 sudu teh garam
1 helai daun pandan
3 sudu makan gula pasir

Cara cara
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih. Matikan api.
2. Kuantiti gula boleh diubah ikut kemanisan yang dikehendaki. Seeloknya masukkan sedikit dulu, rasa dan jika perlu boleh ditambah.


Jumpa lagi...



Tuesday, March 1, 2016

Pulut Dakap


 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Makin hari makin liat nak update blog. Tapi tuan rumah macam bagus je save resepi yang lintas depan mata. Bila nak buat tu... tolak ke tepi dulu. Lama lama resepi yang dikumpul tu pun tak ingat simpan di mana.

Hari tu terasa nak makan Pulut Dakap, walaupun senang saja nak sediakannya tetapi asyik bertangguh. Memandangkan semua bahan dah ada, rajinkan diri ke dapur. 



Pulut Dakap

Bahan bahan
2 cawan beras pulut - rendam lebih kurang 2 jam.
Santan 
Secubit garam
Pisang Awak
Daun pisang - layur dan potong saiz sesuai
Tali untuk mengikat

Cara cara
1. Cuci beras pulut dan toskan. Masukkan ke dalam loyang. Tuang santan ke dalam loyang berisi beras pulut separas dengan beras pulut. Sekadar menutupi beras pulut. Masukkan secubit garam dan gaul sekata. Kukus pulut sehingga masak. Sejukkan sebentar.
2. Jika pisang bersaiz besar potong 2 @ 4 bergantung kepada saiz pulut yang kita kehendaki.
3. Ambil sehelai daun pisang, letakkan pulut dan ratakan. Ambil sepotong pisang ( jika suka boleh gaulkan dengan sedikit gula )dan letak dibahagian tengah pulut. Tutup daun pisang seperti kita sediakan lepat. Buat hingga selesai.
4. Ambil 2 bungkus dan kapit. Ikat di bahagian atas dan bawah.
5. Panaskan kukusan, kukus anggaran 15 minit.



Jumpa lagi.


Tuesday, February 23, 2016

Apam Pisang



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

2 hari lepas beli pisang emas tapi saiznya agak "montok" berbanding saiz pisang emas biasa. Tapi masalahnya ia kurang manis berbanding pisang emas yang biasa. Bila dimakan begitu saja, rasa kurang sikit. Selalunya saya suka makan pisang emas begitu saja.

Tangan rasa 'gatal' je nak buat something. Terfikir nak buat cekodok pisang atau pun apam pisang. Kalau buat cekodok pun sedap juga tapi kena menghadap kuali nak menggoreng. Jadi memandangkan mood tak berapa nak ada, nak lama lama kat dapur saya ambil keputusan buat apam. Saya gunakan acuan yang buat apam beras dulu.
Ha... gedabak saiznya. Boleh juga guna acuan lompang, kecil comel saiznya.


APAM PISANG
Copy dari blog AMIE

Bahan bahan
1 cawan pisang emas yang telah dilenyek/haluskan
2 cawan tepung gandum
Secubit garam
1/2 cawan gula pasir
1 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/4 cawan minyak jagung
1/4 cawan air - saya tambah
Hirisan pisang untuk hiasan

Cara cara
1. Campurkan semua bahan dan gaul hingga sebati.
2. Oleskan acuan dengan sedikit minyak. Masukkan adunan 3/4 penuh. letak hirisan pisang.
3. Kukus anggaran 15-20 minit. lapik tutup kukusan supaya air tidak menitik.

Monday, February 22, 2016

Kari Kepala Ikan Tanpa Santan




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...


Wah lama juga saya "bercuti" dari masukkan entry baru dalam blog. Bermula dari sebelum cuti Tahun Baru Cina sampai ke hari ini. Itulah kan, bila berhenti, nak mulakan semula tu memang ambil masa dan mood. Kadang kala dapur tak berasap, itu juga antara faktor mengapa lama menyepi.

Semalam saya sediakan Kari Kepala Ikan Jenahak tanpa santan. Selama ini kalau masak kari tak pernah pula sukat berapa banyak bahan bahan yang digunakan. Ikut rasa saja. So bila nak bagi resepi memang agak sukar juga. Tapi saya cuba ingat anggaran sukatan bahan yang saya gunakan. Masak kari kepala ikan versi saya.


KARI KEPALA IKAN TANPA SANTAN

Bahan bahan
1 ketul kepala ikan Jenahak / Merah / Mayong - saiz sederhana. Dicuci bersih dan toskan

Bahan tumis
1 labu bawang besar - dihiris
1 biji buah tomato - dihiris
2 tangkai cili hijau - dihiris
1 tangkai daun kari
1/2 sudu besar rempah campur / halba campur
1 helai daun pandan - simpul

Bahan kisar
6 ulas bawang merah
10 tangkai cili kering - rendam dalam air panas. Boleh kurangkan kuantiti
1 sudu makan ginger garlic paste
1 packet serbuk kari ikan
**** Setelah bawang merah dan cili kering dikisar, campurkan dengan bahan lain dengan sedikit air sehingga menjadi paste

1/4 cawan air asam jawa
Garam
Anggaran 1 liter air
Minyak masak

Bahan sampingan
Kacang bendi
Buah tomato
Cili merah/hijau

*** Cara sediakan Ginger garlic paste
1/2 cawan halia
1/2 cawan bawang putih

Kisar kedua dua bahan hingga menjadi paste. Simpan dalam bekas yang sesuai.

Cara cara
1. Panaskan minyak ( saya gunakan periuk tanah ), tumis bahan tumis sehingga layu. Kemudian masukkan bahan kisar ****, air asam jawa dan sedikit garam. Masak dengan api perlahan sehingga pecah minyak dan naik bau.
2. Kemudian masukkan kepala ikan,biarkan seketika. Kemudian masukkan air dan biarkan hingga mendidih.
3. Kemudian masukkan kacang bendi, buah tomato dan cili merah / hijau. Perasakan dengan garam. Kari Ikan mesti agak masam berbanding dengan kari daging/ayam.
4. Jika sudah cukup rasanya, bolehlah matikan api. Tutup periuk.

Thursday, February 4, 2016

Simple Chicken Noodles Soup with Mushroom



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini saya kongsikan satu menu simple yang saya tonton dalam rancangan masakan di TV. Bahan yang digunakan juga tidak banyak dan boleh disediakan dalam masa yang singkat. Bagus untuk orang macam saya yang kadang kala tak ada idea nak masak apa atau tiba tiba ada tetamu yang datang mengejut. Tetapi tetamu yang selalu datang mengejut tu jangan marah pulak kalau di jamu air bujang saja.





SIMPLE CHICKEN NOODLES SOUP WITH MUSHROOM
( Anggaran 2 orang makan )

Bahan bahan
1 bahagian peha ayam - potong kecil
1 pokok daun bawang - potong anggaran 2 inci
1 inci halia - dimayang
2 ulas bawang putih - dimayang
4 kuntum cendawan shiitake - dihiris
2 'sanggul' egg noodles kering - direndam, celur dan toskan.
1/2 sudu makan minyak bijan
2 sudu makan kicap cair
Garam
1 liter stok ayam / air
Sedikit minyak untuk menumis

Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis halia dan bawang putih hingga naik bau. Masukkan ayam dan goreng sebentar sehingga daging ayam kelihatan karing/karamel.
2. Kemudian masukkan stok ayam / air. Masukkan minyak bijan, kicap cair, daun bawang dan cendawan. kacau rata.
3. Apabila mendidih, perlahan api dan rasa. Tambah garam jika perlu. Renehkan sup sebentar kemudian matikan api.
4. Masukkan egg noodles ke dalam mangkuk dan tuang kuah sup ke atasnya. Sedia untuk dinikmati.



Okay jumpa lagi. Hujung minggu akan bermulalah cuti panjang. Selamat bercuti dan sentiasa berhati hati. Selamat menghabiskan masa bersama sama keluarga yang tersayang.


Monday, February 1, 2016

Bubur Chacha dengan keledek dan ubi keladi



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Seminggu tiada entry baru. Bila berhenti malas pulak nak pegang kamera... Tambahan cuti hujung minggu lepas keluarga datang bertandang memang tak sempat nak pegang kamera. So berlarutan hingga semalam. Ingatkan malas nak ambil gambar bubur chacha sebab dah banyak kali buat. Tapi mengenangkan tiada entry selama seminggu, tak mengapalah walau pun dah berulang kali.



Selalunya saya hanya campurkan dengan ubi keledek tapi kali ini saya masukkan sekali ubi keladi yang kecil ( Baby Yam ). Ada rasa contrast sebab keledek rasanya manis sementara ubi keladi agak tawar.


Cuaca memang agak panas dan terik. Bayangkan gambar yang saya ambil lebih kurang pukul 6 ptg. Cahaya yang terang  dan kemerahan menjadikan gambar agak bersilau. Tapi sebab malas.... boleh la kan.



Friday, January 22, 2016

Toast with Poached Egg


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selamat pagi, dah sarapan ke belum? Apakata kita sarapan dengan roti dan telur saja pagi ini. Aduhai makcik, sarapan roti dengan telur pun nak masuk dalam blog juga ke?

Sebenarnya ingat nak buat Roti Goyang. Ala roti bakar yang diletakkan telur separuh masak di atasnya. Tapi telur putih saya tu terlebih keras so tak adalah nampak bergoyang pun. Kalau nak bergoyang juga, sebelum masuk mulut, goyang goyang kan jelah roti tu. wink! wink!




Okay sehingga bertemu lagi. Selamat berhujung minggu dan mungkin hujung minggu yang panjang kerana cuti Thaipusam.

Tuesday, January 19, 2016

Bubur Nasi Ayam


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini saya masukkan entry menu yang simple jika masih ada baki ayam yang kita buat untuk Nasi Ayam. Ia juga sesuai untuk orang yang kurang selera makan atau kurang sihat. Tapi kalau orang sihat pun sedap juga makan bubur nasi ayam ini.

BUBUR NASI AYAM SIMPLE
( anggaran 2 orang )

Bahan bahan
1 cawan beras - dicuci bersih
4 cawan air / sup ayam jika berbaki
Tulang ayam - asingkan isinya untuk ditabur di atas bubur nanti
Sedikit lada sulah
Garam - Jika gunakan air
1 inci halia - dihiris nipis
Bawang Goreng
Daun Bawang
Fried Garlic

Cara cara
1. Masukkan beras, air, tulang ayam bersama sedikit isi ayam, halia, lada sulah dan garam (jika perlu)ke dalam periuk.
2.Rebus hingga menjadi bubur atau masukkan ke dalam periuk nasi dan masak seperti biasa.
3. Semasa menghidang, taburkan isi ayam yang telah dicarik, bawang goreng, bawang putih goreng dan daun bawang.

*** Jika ada sayur kangkung atau apa juga sayur berdaun, boleh masukkan ke dalam bubur ini semasa proses memasak.