Showing posts with label Daging. Show all posts
Showing posts with label Daging. Show all posts

Monday, December 14, 2015

Gulai Tulang dengan Umbut Pisang



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Pagi Isnin yang amat dingin dengan suasana berkabus tebal setelah hujan tanpa henti dari pukul 3 ptg semalam hingga malam tadi. Banyak tempat di Selangor dinaiki air.

Nampaknya Selangor bercuti panjang meraikan kemenangan. Ermmm memang sesak teruk Seksyen 13 Shah Alam dengan penyokong kedua dua pihak. Walaupun tinggal sepelaung dari Stadium Shah Alam, sekali pun tak pernah menonton perlawanan bolasepak. Mungkin sebab suami bukan termasuk dalam kategori "Kaki Bola".

Berbalik kepada menu hari ini, Gulai Tulang dengan Umbut Pisang. Sudah lebih 40 tahun hidup, ini kali pertama saya masak umbut pisang. Kebetulan beberapa minggu lepas saya dan suami menonton satu rancangan yang memaparkan juadah kenduri kahwin di negeri Kedah. Salah satu menunya ialah Gulai daging dengan umbut pisang.

Nampak menarik, so saya minta suami carikan umbut pisang untuk saya cuba masak. Akhirnya saya jumpa juga umbut pisang. Apalagi, google cari informasi bagaimana untuk sediakannya. Walaupun pada mulanya teragak agak juga untuk memasak sebab nampak agak berlainan dari umbut pisang yang saya nampak di dalam internet.


Gulai Tulang Lembu & Umbut Pisang

Bahan bahan
1/2 kilo tulang lembu - cuci bersih dan rebus hingga empuk
Anggaran 300 gms umbut pisang yang telah dibersihkan

Bahan Tumis
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
1 tangkai daun kari
1 labu bawang besar - dihiris
1 tangkai cili hijau - dihiris nipis
1 inci halia - dipotong kecil
Minyak untuk menumis

1 cawan santan pekat
Air rebusan tulang  - anggaran 3@4 cawan bergantung kepada kepekatan
Air asam jawa
Garam dan gula
2 sudu besar kerisek

Bahan Kisar
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

1 paket kecil rempah kari daging
1 sudu besar cili kering kisar
Sedikit air rebusan tulang
*** Campurkan bahan kisar dengan rempah kari, cili kisar dan air menjadikannya sebagai paste.

Cara cara
1. Panaskan minyak, masukkan semua bahan tumis dan biarkan hingga sedikit layu. Kemudian masukkan bahan kisar yang telah dijadikan paste. Masak semua rempah hingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan santan pekat dan air rebusan. Diikuti dengan tulang dan umbut pisang. Masukkan juga air asam jawa dan sedikit garam. Biarkan hingga mendidih.
3. Masukkan kerisek dan gaul sebati. Tambahkan perasa jika perlu. Masak dengan api sederhana sehingga umbut pisang lembut. Matikan api dan hidangkan dengan nasi putih.


Monday, November 2, 2015

Pad Kra Pao @ Stir Fry Beef with Thai Basil



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera..

Saya search resepi menggunakan daun Thai basil gara gara saya ternampak pokok ini begitu subur, di tanam di dalam bekas di hadapan sebuah restoren masakan Thai. Khusyuk betul tengok pokoknya yang hijau dan subur. Walaupun saya selalu nampak ia dijual di pasaraya tapi tak terlintas nak beli dan menggunakannya. Sebab saya rasa baunya agak kuat.

Tapi sabtu lepas, terdetik nak mencuba menggunakannya. Bagaimana rasanya bila sudah dimasak dengan bahan lain. Sejujurnya, walaupun setelah dimasak, bau dan rasanya agak dominan jadi kepada sesiapa yang kurang menggemari baunya boleh mengurangkan kuantiti daun Thai basil ini.
 
 Bahan bahan
400 gms daging lembu - hiris nipis
3 ulas bawang putih - dihiris
1 labu bawang merah - dimayang
1/2 biji lada capsicum/bell pepper- dipotong nipis
1 sudu makan kicap pekat
1 sudu teh kicap cair
1 sudu teh sos tiram
1 sudu makan sos ikan
1/2 sudu teh gula
1/2 cawan daun Thai Basil
Sedikit daun ketumbar - untuk hiasan
2 sudu makan minyak

cara cara
1. Panaskan minyak, goreng daging separuh masak, keluarkan.
2. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu, kemudian masukkan daging tadi.
3. Masukkan kicap pekat, kicap cair, sos tiram, sos ikan dan gula. Gaul rata.
4. Kemudian masukkan lada capsicum/bell pepper dan daun Thai basil. Kacau sebati dan perasakan dengan garam jika perlu.
5. Hidang bersama sama nasi putih.
 


Monday, October 5, 2015

Daging Dendeng


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...
Cepat saja masa berlalu, tanpa sedar sudah memasuki bulan Oktober dan hampir ke penghujung tahun. Masalah jerebu masih belum reda, harap kita menjaga kesihatan dengan sebaiknya.

Kali ini saya upload gambar Daging Dendeng yang sedap pada deria rasa saya dan suami. Resepi saya ambil dari blog Kak Nor Secubit Garam. Selain dari di makan dengan ketupat nasi, ia juga sesuai dijadikan lauk untuk nasi putih. Gambar hanya menggunakan kamera telefon sebab malas nak charge bateri kamera..... ( Aduhaiiii malas betul makcik ni...)


Bahan:-
500 gm daging batang pinang
2 cawan air
* 2 batang serai - diketuk
* 1 inci halia - diketuk (*untuk direbus dgn daging)
2 sudu besar cili kering yang dikisar
2 sudu kecil rempah kari daging
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu besar kicap pekat manis
1/4 cawan gula melaka yang dihancurkan
3 sudu besar gula pasir
garam secukup rasa
sedikit air (jika perlu)
1 helai daun pandan - disimpul
1/2 cawan bawang goreng
minyak masak secukupnya

Bahan Kisar:-
8 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 cm lengkuas
2 cm halia

Cara Memasak:-
1. Potong daging kepada saiz 4 x 4 inci, bersihkan dan rebus hingga daging empuk. Angkat dan toskan. Hiris daging nipis2. Buat hingga siap.
2. Tumbuk-tumbuk sedikit setiap keping daging.
Panaskan minyak dalam kuali dan goreng sekejap daging tadi hingga nampak garing sikit di bahagian tepinya. (boleh gunakan minyak lebihan bawang goreng untuk lebih sedap). Angkat dan toskan.
3. Keluarkan minyak dan tinggalkan lebihkurang 1/4 cawan dan tumiskan bahan kisar serta cili kering dengan api sederhana perlahan hingga pecah minyak.
4. Masukkan serbuk kari daging, serbuk ketumbar, kacau rata. (masukkan sedikit air jika terlalu kering)
5. Masukkan gula melaka, gula pasir, kicap manis dan garam secukup rasa. Seimbangkan rasa.
6. Masukkan daging dan daun pandan, gaul rata. Masak hingga daging benar2 bersalut dan sedikit kering atau pecah minyak.
7. Tutup api dan tuangkan bawang goreng. Gaul rata-rata menyelaputi daging. Siap untuk dihidangkan.

 

Monday, November 17, 2014

Swedish Meatballs



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Sudah memasuki minggu ketiga bulan November dan hujung minggu nanti cuti sekolah yang panjang akan bermula. Memandangkan sekarang sudah banyak tempat dinaiki air, so harap ibubapa supaya lebih perihatin kepada keselamatan anak anak. Maklumlah namapun kanak kanak, kalau nampak air tu seronok sangat sampai terlupa kemungkinan bahaya yang menanti.Kalau perlu tangguhkan dulu bercuti ke tempat tempat yang dikhuatiri tahap keselamatannya.

Dah rasa macam mak nenek pula kan,sekadar ingat mengingati di antara satu sama lain. Memang la walau dimana mana pun kalau sudah ditakdirkan musibah melanda, tidak boleh mengelak juga. Tapi berhati hati lebih baik kan...

 


Hari ini saya kongsikan menu Swedish Meatballs. Walaupun sudah beberapa kali berkunjung ke IKEA, namun belum pernah sekali saya menikmati Swedish Meatballs yang menjadi bualan ramai. Selalunya cafe penuh dan bersesak dengan orang ramai. So memang tengok dari jauh je lah kan...

Memandangkan mood rajin yang agak tinggi, saya google mencari resepi bagaimana untuk menyediakan menu ini. Memandangkan saya tidak pernah merasa meatballs di IKEA maka saya tidak dapat menyatakan samada ia sama atau tidak.

Memandangkan resepi asal menggunakan daging khinzir, kita boleh gantikan dengan daging ayam atau gunakan saja daging lembu sepenuhnya. 

SWEDISH MEATBALLS
sources: http://supergoldenbakers 




 

Thursday, September 4, 2014

Masak Lemak Daging Salai dengan Mangga Muda




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Lama tak update blog kan.... Maafkan kami, maafkan kami, maafkannn kamiiii....

Hendak dikatakan sibuk, tidaklah sibuk sangat sebenarnya. Tetapi lebih kepada tak tahu nak masak apa. Kadang kala menu yang berulang kali nanti jemu pula orang nak membaca. Nak buat kek dan biskut, rasanya raya dan rumah terbuka baru saja berlalu, masih belum hilang lagi "rasa kuih raya" kat tekak ni.

Itu yang membuatkan rasa malas nak buka blog sendiri.

Sempena cuti Hari Kemerdekaan yang lepas kami pulang ke kampung.Kebetulan ada jemputan kenduri jiran sebelah rumah sambil ambil peluang menghabiskan sisa sisa buah buahan di kampung.

Setiap kali pulang ke kampung kami akan melalui jalan yang penuh dengan orang menjual ikan patin sangkar atau patin sungai. Memandangkan kami (saya + suami) tidak makan ikan patin, so just cuci mata sajalah. Kalau sempat kami akan singgah di pasar tani yang kebanyakannya menjual hasil kampung. Memang seronok sebab boleh jumpa pelbagai tanaman kampung yang sukar ditemui di bandar.

Kebetulan masa itu musim buah dokong yang manis, kalau di Shah Alam, harganya sekitar RM5 sekilo. Di pasar tempohari, hanya dijual dengan harga RM2 sekilo.Saya beli 4 kilo tetapi penjual menambah hampir sekilo sambil menyuruh kita makan buah yang dijual. Memang boleh pengsan kekenyangan makan buah dokong...
  

Selain ikan patin, daging salai, ikan keli salai antara yang boleh didapati di tepi jalan. Sudah beberapa kali pesan dengan suami kalau ternampak tolong berhentikan kereta sebab saya hendak beli. Akhirnya saya dapat membelinya semasa pulang tempohari.

So menu malam tadi ialah Masak Lemak Daging Salai dengan Mangga muda dan Sambal Hitam Pahang. Bertambah tambah makan nasi. Yang dah gebu bertambah tambah gebu...

Masak Lemak Daging Salai dengan Mangga Muda

Bahan bahan (untuk 2 orang makan)
200 gms daging salai - dihiris nipis
1 biji mangga muda - dihiris saiz yang sesuai. Saya gunakan mangga lemak.
2 cawan santan pekat
10 ulas cili padi - ditumbuk
1 batang serai - diketuk
1 inci kunyit hidup - ditumbuk
Sedikit daun kunyit
Garam secukup rasa

Cara cara
1. Masukkan santan pekat, cili padi, kunyit, serai dan daun kunyit. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih. Sentiasa dikacau supaya tidak pecah minyak.
2. Masukkan pula daging salai dan mangga muda. Masak sebentar, kemudian perasakan dengan garam.
3. Matikan api dan sedia disajikan bersama sama nasi hangat dan sambal hitam.

 
 

Thursday, December 13, 2012

Kerabu Daging



Salam dan Selamat Pagi



Ermmmm dah lama tak buat kerabu.Ya ke dah lama?  Tiba tiba tekak terasa macam nak makan kerabu yang pedas dan masam. Mula mula ingat nak buat kerabu Pucuk Paku dengan kerang tapi rasa macam malas pulak nak kopek kerang. Kebetulan sehari sebelum tu, saya ada bakar daging sebab my husband teringin nak makan daging bakar.

Since masih ada baki, lebih baik saya habiskan dulu daging bakar ni kan. So terjadilah Kerabu Daging yang dicampur dengan apa yang ada di dapur saya.


KERABU DAGING

Bahan bahan
Daging yang telah dibakar/panggang - hiris nipis
1 labu bawang besar - dimayang
1 ulas bawang putih - hancurkan sedikit
Daun ketumbar - dihiris halus
Daun Pudina - dihiris halus
3 biji cili padi - dihiris halus
Sedikit kicap sotong
Sedikit gula
1 biji limau nipis
1 biji tomato - dibelah saiz yang sesuai

Cara cara
1. Masukkan semua bahan yang telah dihiris ke dalam mangkuk. Gaul sekata, perasakan dan sesuaikan rasa dengan gula, kicap sotong dan perahan limau nipis.
2. Biarkan seketika biar semua bahan mesra sebelum dinikmati.

Monday, September 17, 2012

Gulai Otak Lembu



Salam dan Selamat Sejahtera...

Nampaknya kita rakyat Malaysia memang mewah dengan cuti kan... Bermula dengan cuti raya yang panjang, diikuti dengan cuti Hari Merdeka dan semalam pula cuti hari Malaysia. Apalagi ramai yang ambil peluang mengadakan rumah terbuka memandangkan semalam hari terakhir syawal untuk tahun ini, begitu juga yang mengadakan majlis perkahwinan. Tidak ketinggalan juga yang mangambil peluang membawa keluarga bercuti.

Saya juga mengambil peluang cuti panjang untuk menjemput beberapa kenalan saya dan suami ke rumah kami. Hanya membuat secara kecil kecilan, itupun keletihan sampai hari ini. Maklumlah saya sorang yang kena buat kebanyakkan kerja terutama bab makanan. Betul betul keletihan, memang patut la ramai yang keberatan untuk mengadakan rumah terbuka kalau tiada yang membantu.



Hari sabtu lepas masa saya dan suami ke pasar mencari bahan bahan untuk majlis rumah terbuka, saya terpandang otak lembu yang dijual di pasar. Dah agak lama juga tak merasa masakan ini, dulu ada juga sekali dua semasa my MIL masih ada. Hanya dia yang pandai masak, masa itu tak berapa ambil peduli sangat. Tapi bila tiba tiba terasa nak makan, mulalah bertanya kesana sini...

Tadi saya call saudara my husband, dia pun tak berapa pasti. Jadi dia hanya memberi bahan asas dan saya olah mengikut naluri saya. Nampak macam okay je....

Jamu mata dulu ye...

Bahan bahan

1 ketul otak lembu - rendam selama 1 jam, buang urat darah pada permukaan otak
2 batang serai *
1 inci halia *
1 inci lengkuas *
1/2 sudu kecil jintan manis *
5 ulas bawang kecil/shallots *
2 ulas bawang putih *
1/2 inci kunyit hidup *
4-5 biji cili padi *
1 keping asam gelugor
Sedikit daun kunyit
1/2 sudu makan cili kering yang telah dikisar
200 ml santan pekat
2 cawan air
Garam dan gula secukupnya

Cara Memasaknya
1. Kisar bahan bertanda * hingga hancur. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama sama dengan santan pekat, cili kisar dan air.
2. Didihkan hingga hampir pecah minyak, kemudian masukkan otak yang telah dipotong kepada 4 bahagian.
3. Biarkan ia mendidih sekali lagi, masukkan daun kunyit dan asam keping. Perasakan dengan garam dan gula.
4. Matikan api bila otak sudah masak. Hidangkan bersama sama dengan nasi putih hangat.


Monday, July 2, 2012

Stir Fry Beef with Fennel, Carrot and Mushrooms



Salam,


Untuk makan malam kali hari ni, saya masak Stir Fry Beef yang saya campurkan dengan beberapa jenis sayuran yang ada. Maklumlah sayur agak banyak dan hampir layu, so kena segera masak untuk elakkan dari  pembaziran sebab di buang nanti.

Stir fry antara menu kesukaan saya, dan selalunya saya buat sedikit berkuah sebab suami saya sukakan berkuah.



Masak sebegini menjimatkan masa saya sebab semua ada di dalam satu dish. Ada daging dan juga sayur sayuran.


Cukup sekadar satu menu di makan dengan nasi hangat. Dan saya cuma rebus paru untuk di cicah dengan sos cili.


Saya akan update resepi kemudian sebab cuaca kat luar kurang elok. Angin bertiup kencang dan mungkin akan hujan.

**** Saya pernah nampak fennel dijual di TESCO Shah Alam dan juga Pasaraya HERO seksyen 13, Shah Alam.


Sunday, April 15, 2012

Masak Lemak Cili Padi Daging Salai dengan Mangga Muda



Selamat berhujung minggu......

Apa agaknya menu untuk makan tengahari hari ni ye? Mesti yang agak istimewa sikit memandangkan hari cuti dan kebanyakan ahli keluarga ada di rumah. Mungkin si ayah request nak makan ini dan anak anak pulak dengan menu pilihan masing masing. Yang pasti kaum ibu yang pening dan terpaksa bersilat di dapur untuk menyediakan semua permintaan.

Sementara saya dan suami pula hanya menukmati menu yang biasa biasa saja. Memandangkan suami saya request nak makan siput remis rebus serai dan udang kertak goreng, jadi saya sediakan satu menu lagi untuk diri sendiri.


Masak Lemak Cili Padi Daging Salai dengan Mangga Muda.


Bahan bahan yang diperlukan.
Daging salai, kunyit, cili padi, serai, daun kunyit dan santan. Tidak banayak bahan yang diperlukan untuk menyediakan menu ini.



Bahan bahan

400 gms daging yang telah disalai  
1 cawan santan pekat
1 cawan santan cair
Cili padi - ikut kepedasan yang dikehendaki
1 inci kunyit hidup
1 batang serai
1 biji mangga muda
Garam secukup rasa

Cara cara

1. Tumbuk cili padi dan kunyit hingga lumat. Masukkan ke dalam periuk yang telah berisi santan pekat dan cair.
2. Didihkan sebentar, kemudian masukkan daging salai yang telah dihiris nipis, serai yang telah diketuk, daun kunyit dan mangga muda.
3. Biarkan seketika, perasakan dengan garam dan renihkan dengan api perlahan hingga pecah minyak.
4. Angkat dan sedia dinikmati dengan nasi putih.

*******  Untuk yg ingin dapatkan daging, ayam, ikan keli dan itik salai boleh dapatkan di Pasar Tani Seksyen 13, pada setiap hari ahad.


Saturday, June 25, 2011

Asam Pedas Daging Tetel Nor Kasih


Selamat berhujung minggu....

Oh ya, nama Asam Pedas Daging Tetel Nor Kasih ni takde kena mengena langsung dengan tajuk drama Nur Kasih kat TV tu ye. Sebenarnya saya dapat resepi asam pedas ni dari seorang kawan masa sama sama kerja dulu. Kebetulan nama FB dia Nor Kasih, so saya pun sajalah letak nama dia.

Beberapa kawan kawan lama tu selalu juga bercerita yang mereka pernah makan asam pedas daging tetel yang dimasak oleh kawan ni. So saya pun teringin juga hendak mencuba dan merasanya. Dia cuma beritahu apa yang perlu ada dan saya adjust kuantiti mengikut kesesuaian. Biasalah kan, kalau memasak ni agak susah sikit nak bagi exact quantity setiap bahan yang digunakan, tak sama dengan membaking sebab setiap bahan perlu diukur mengikut kuantiti yang telah ditetapkan.


Bahan bahan

500 gms daging tetel - direbus hingga empuk ( saya gunakan PC )
2 ulas bawang merah
1 labu bawang besar
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
1 batang serai
2 sudu makan cili kering kisar
Sedikit belacan
1 sudu makan paste asam jawa
1 sudu teh serbuk lada hitam
1 kuntum bunga kantan
Daun kesum
Daun limau purut
Garam dan gula
Air secukupnya ( gunakan air rebusan daging tetel )
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Kisar bawang merah, bawang besar, serai, kunyit dan halia. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga naik bau.
2. Masukkan cili kering kisar dan sedikit air rebusan. Biarkan hingga rempah masak. Masukkan belacan, paste asam jawa dan serbuk lada hitam. Gaul sebati.
3. Masukkan daging tetel yang telah direbus bersama sama air rebusannya. Biarkan hingga mendidih.
4. Masukkan daun limau pururt, daun kesum dan bunga kantan. Perasakan dengan garam dan gula.
5. Renehkan ia seketika dengan api perlahan supaya semua bahan mesra dan bolehlah ditutup api. Sedia dihidangkan.


Monday, June 6, 2011

Kari Daging Berkerisek



 Beberapa kali saya cuba upload gambar tapi asyik failed saja. 

Hari ini cuma nak tunjuk menu ulang tayang, sebab saya tersangatlah malasnya 2,3 hari lepas. Malas betul nak fikir nak masak apa, nak bereksperimen kat dapur.... walaupun hari Jumaat tu dah beli beberapa bahan untuk buat something masa weekends. Akhirnya semua bahan tu berlonggok atas kaunter dapur.
Ohhhhhh tolong!!!!!! Kalaulah penyakit malas ni ada ubatnya kan....

Disebabkan saya malas nak fikir menu apa yang hendak di masak, saya tanya apa yang  sorang lagi nak makan. Ermmmmm kalau tanya dia, takde menu lain la selain kari/gulai. Jadi menu hari ahad ialah Kari Daging + Rebung Berkerisek. 

Since dah masak kari, ingatkan petangnya nak buat roti puri atau pun roti kerca untuk di makan dengan kuah kari daging ni, tapi macam saya cakap awal tadilah, MALAS so apa pun tak buat. Since my husband ajak keluar cari ikan untuk tambah koleksi ikan dalam kolamnya, kami terus minum petang kat luar je.




Kari Daging dan rebung berkerisek

Bahan bahan
300 gms rebung yang telah direbus terlebih dahulu
200 gms daging cincang
3 sudu makan serbuk kari daging
1 sudu makan cili kisar
1/2 labu bawang besar yg telah dikisar
1/2 cawan jus asam jawa
1 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis
1 sudu teh jintan manis
1 tangkai daun kari
4 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih *
1 inci halia *
Garam secukup rasa
1 sudu makan kerisek
150 ml santan pekat
500 ml air atau secukupnya.

Cara cara
1.Hiris bahan bertanda *. Panaskan minyak, tumis bahan yang telah dihiris serta bunga lawang,bunga cegkih, jintan manis dan kulit kayu manis hingga naik bau.
2. Sementara itu, campurkan rempah kari, cili kisar, bawang kisar, daun kari dengan sedikit air.Tumiskan campuran ini hingga rempah masak dan naik minyak. Masukkan jus asam jawa.
3. Masukkan daging, gaul sebati dan biarkan ia mereneh seketika.Anggaran 5-10 minit dengan api perlahan.
4. Kemudian masukkan santan pekat dan air secukupnya, adun sebati dan masukkan juga rebung.
5. Setelah kuah mendidih, masukkan kerisek. Perasakan dengan garam dan masak selama lebih kurang 10 minit.

Nota kaki: Kebiasaannya kuah kari ini agak pekat dan enak dimakan dengan ketupat pulut.

Tuesday, May 24, 2011

Daging Kerutuk


First time ni masak Kerutuk Daging. Rasanya ini makanan orang sebelah pantai timur. Rupanya ada persamaan dengan daging nasi kandar. Suami saya kan ala ala mamak, so lauk kat kedai mamak mesti tau punya.

Lauk Kerutuk Daging ni pun sedap, cukup rasa kata orang. Kalau makan dengan nasi putih dan roti pun sedap juga.Kalau ada ketupat nasi atau pulut pun sodap ni....
Apakata kalau dibiarkan semalaman, mesti lagi terasa rempah ratusnya. Ada orang yang tak boleh makan menu yang sama berulang kali. Maksudnya kalau menu untuk makan tengahari dah tak boleh di bawa ke makan malam. Nasib baik suami saya tak kisah, lagipun saya memang masak sekali saja sebab siang masih di tempat kerja.
Daging Masak Kerutuk

Resepi daging masak kerutuk ini pun saya ambil dari makyong@myresipi.

Bahan-bahan ( 5 orang )

  • 500g daging
  • 4 sudu besar rempah kerutuk
  • 2 sudu cili giling
  • 1/2 biji bawang besar
  • 3 cawan santan pekat
  • 2 sudu besar kicap pekat
  • 1/2 keping gula melaka/manisan
  • 2 sudu besar kerisik
  • [bahan tumis]
  • 1/2 bawang besar
  • 1/2 inci halia
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 sudu besar minyak

Cara-cara

  1. Potong daging kecik-kecik. Bersih dan toskan.
  2. Kisar 1/2 biji bawang besar, halia dan bawang putih. Kemudian campurkan dengan rempah kerutuk
  3. Panaskan minyak
  4. Tumis semua bahan tumis sehingga naik wangi
  5. Kemudian masukkan campuran rempah tadi
  6. Masak sehingga pecah minyak
  7. Masukkan daging dan santan. Masak sehingga daging empuk dan kuahnya betul-betul pekat.
  8. Akhir sekali masukkan kicap, garam, gula melaka dan juga kerisik. Biarkan sehingga 5-10 minit sebelum padamkan api.
  9. Siap untuk dihidang.

Tuesday, April 5, 2011

Daging Rusa Masak Lada Hitam

 
Malam ni kami dinner dengan Daging Rusa Masak Lada Hitam bersama Cendawan. I am a big fan of mushroom. Rasanya kalau boleh semua masakan nak letak cendawan. Kalau nampak cendawan yang dijual tu terasa excited sangat, sebab itu peti ais saya mesti ada stock cendawan ni.

Hari ni saya masak lada hitam gunakan perencah segera yang ada dipasaran. Senang sikit kerja sebab semenjak dua menjak di my husband nak makan malam awal.

Bahan Bahan
200 gms daging rusa - Hiris nipis, cuci dan toskan
1/2 labu bawang besar - dipotong bulat
1 cm halia - dimayang
2 ulas bawang putih - dihiris nipis
2 kuntum cendawan portabello - dihiris nipis
Sedikit Cili Japeno bewarna merah, hijau dan kuning - dipotong memanjang
Sedikit daun bawang - dipotong sepanjang 1 inci ( anggaran )
1 sudu makan perencah black pepper 
1 sudu makan kicap pekat
Garam
Sedikit air
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Tumis bawang besar, halia dan bawang putih hingga layu. Masukkan hirisan daging rusa dan biarkan hingga separuh masak.
2. Masukkan hirisan cendawan dan gaul rata. Biarkan seketika.
3. Bancuh perencah black pepper dengan sedikit air, tuangkan ke dalam daging tadi. Masukkan kicap pekat dan garam. Kacau sebati dan biarkan hingga daging masak.
4. Masukkan hirisan cili Jalapeno dan daun bawang, kacau sebati dan biarkan seketika sebelum diangkat.

Wednesday, February 16, 2011

Daging Rusa Goreng Kunyit


Dah selesai makan malam?

Apa agaknya menu anda malam ni? Ada yang rajin mesti ada pelbagai menu untuk keluarga tersayang kan... Ada yang masak ala kadar hanya untuk mengisi perut sebelum tidur ( seperti saya la tu....). Malam ni saya cuma buat simple menu, Daging Rusa Goreng Kunyit. Ingat nak buat kari tapi semalam baru je buat kari kepala ikan, so masih terasa kuah kari kat tekak ni.

Sebenarnya saya beli daging rusa ni di Pasar Tani Stadium Shah Alam hari ahad lepas. Dah agak lama tak pergi sana, my husband tak suka sebab susah nak park kereta. Kami sampai pukul 7.30 pagi pun orang sudah ramai dan berpusing jugalah mencari parking space. Kalau malas, kena park kereta jauh sikit, tapi kalau dah memborong sakan boleh lenguh jugalah menjinjing barang basah balik ke kereta.

Rasanya tak perlu resepi lah ye.... senang sangat, semuanya main agak agak sahaja.. Kalau suka bawang banyak, lebihkan. Saya selalu macam tu kalau masak. Kadang kala sukar nak bagi resepi sebab ikut sedap tanagan sendiri je. Lainlah kalau nak membuat kek atau kuih yang perlu timbang dengan tepat.

Monday, January 3, 2011

Gulai Tulang & Rebung Masam


Satu lagi juadah makan malam kami ialah Gulai Tulang & Rebung Masam. Yang ini my husband request sejak pagi pagi lagi. Memandangkan kat rumah takde barang basah, saya terus ke pasar dulu beli barang barang basah. Balik dari kerja, siap sinsing lengan baju nak masak, baru perasan yang saya terlupa beli santan. Telefon my husband minta tolong belikan santan sebelum balik. Agaknya puas dia melilau cari santan, my husband call cakap santan takde, dah habis. Yang tinggal cuma santan powder. Alahai, tak biasa pulak masak guna santan powder ni. Saya cakap kat my husband, tak perlu belilah, kita masak yang lain dulu.

Sambil sambil tu saya selongkar la juga peti doraemon saya tu, manalah tau kot kot terkeluar santan sekotak. Fuhhh....siapa sangka, memang ada santan dalam esbok tu. Bukan la santan kotak tapi santan dalam plastik seperti tofu telur tu. Tengok expired date dia lambat lagi, kira ok lah tu kan. So, berjayalah juga masak Gulai Tulang & Rebung Masam malam ni.

Bahan bahan
500 gms tulang lembu - rebus hingga empuk ( saya gunakan pressure cooker)
2 sudu besar serbuk kari daging ( saya guna serbuk kari dari Kelantan )
1 tangkai daun kari
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
1 inci halia *
3 ulas bawang putih *
4 ulas bawang merah *
1/2 labu bawang besar - dimayang
1 biji cili besar hijau - dimayang
250 ml santan
Air rebusan tulang
2 sudu cili giling
Sedikit kerisek
Minyak untuk menumis
Rebung Jeruk
Garam dan gula secukupnya

Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis bawang besar dan cili hijau hingga layu. Masukkan bahan kisar, rempah kari, cili kisar, daun kari, kulit kayu dan bunga lawang.
2. Biarkan rempah masak hingga pecah minyak. Masukkan sedikit air rebusan tulang supaya rempah tidak hangit.
3. Masukkan santan pekat dan air rebusan tulang bergantung kepada kepekatan kuah yang disukai.
4. Masukkan tulang dan rebung masam yang telah dipotong kepada saiz yang sesuai. Biarkan kuah hingga mendidih. Perasakan dengan garam dan gula jika suka.
5. Masukkan kerisek dan gaul sebati. Biarkan seketika sehingga gulai masak.

Tuesday, September 21, 2010

Sup Ekor Ala Thai

Dinner malam tadi saya buat Sup Ekor Ala Thai. Dah lama saya simpan resepi ni yang saya ambil dari blog somebody cuma dah agak lama saya pun tak ingat kat mana. Saya ubahsuai sikit ikut kesesuaian. Kalau ada persamaan resepi atau tuan punya resepi terbaca, minta izin saya letakkan di blog saya.

Bahan Bahan
  • 1 kg ekor lembu - potong saiz sesuai. Rebus hingga empuk.
  • 4 cawan air rebusan ekor lembu
  • Beberapa biji  petit tomato ( @ 1 biji tomato biasa )
  • 2 batang celery
  • 1 bungkus rempah tulang
  • 1 labu bawang besar - dimayang
  • 2 inci halia - dihiris
  • 4 ulas bawang putih - dihiris
  • Garam dan perasa secukupnya
  • 3 batang cili padi - tambah jika suka lebih pedas
  • Limau nipis
  • Bawang Goreng
  • 1 batang Lobak merah
  • 10 ulas bawang putih dihiris nipis atau ditumbuk halus, goreng dengan minyak hingga keperangan dan simpan bersama minyaknya. *****  Yang ini mesti letak, kalau tidak tak kick rasaanya.
  • Daub sup & bawang jika suka
Cara cara

1. Panaskan minyak di dalam periuk, tumiskan bawang besar, putih dan halia hingga wangi. Masukkan perencah sup tulang.
2. Masukkan ekor lembu yang telah direbus bersama sama dengan air rebusannya sekali.
3. Kemudian masukkan cili padi yang telah ditumbuk kasar, bawang putih yang telah digoreng bersama sama sedikit minyaknya, celery, carot dan tomato.
4.Biarkan ia mendidih seketika, perasakan dengan garam, bahan perasa dan jus limau. Setelah cukup masin, pedas dan masam bolehlah diangkat.
5. Semasa menghidang, taburkan bawang goreng, daun sup dan bawang jika suka.

Wednesday, September 15, 2010

Gulai Usus Lembu


Pagi tadi saya ke pasar Seksyen 6 untuk membeli stok barang basah. Sebenarnya malam semalam saya dan suami keluar untuk mencari makan malam. Puas jugalah pusing sana pusing sini mencari kedai makan, kebanyakannya masih belum beroperasi. Akhir sekali pergi makan di Restoren Ani Sup Utara, itu pun kena tunggu punyalah lama sebab ramai pelanggan tapi pekerja ada 2,3 orang je. Jadi hari ni kena masak sendiri.

Menu pertama ialah Gulai Usus Lembu. Dulu dulu saya tak berapa makan organ dalaman lembu ni tapi bila my husband dah suka dan saya kena masak, lama lama tekak ni boleh terima juga.


 Menu kedua ialah Ikan Bawal Masak Masam Manis Ala Kadar. 


Yang ini pula ialah penyedap makan malam ni, petai rebus cicah air asam. Mula mula plan nak tumbuk sambal belacan tapi tiba tiba jadi malas pulak. So saya buat air asam je lah... Esok cuti, so takpelah kalau makan petai malam ni kan.....

Saturday, June 5, 2010

Creamy Mango Pudding

Dessert for today is Creamy Mango Pudding, nasib baik ada sedikit lagi darjah kerajinan saya. Lagipun dessert ni senang sangat, bak kata org, pejam mata pun boleh buat. Resepinya later, tengah sibuk buat benda lain lagi ni.


Bahan bahan

1/2 biji buah mangga ( bergantung pada saiz buah mangga )
200 ml susu segar
1 1/2 sudu makan gula ( bergantung pada kemanisan yg dikehendaki )
100 ml cream
Pistachio untuk hiasan

Cara cara

1. Masukkan semua bahan ke dalam blender kecuali pistachio. Kisar hingga halus.
2. Tuangkan ke dalam bekas sesuai dan sejukkan seketika.
3. Taburkan dengan pistachio sebelum dihidangkan.

Wednesday, May 26, 2010

Roasted Beef

Dinner malam tadi saya buat Roasted beef. Sessi nak memanaskan oven. Kerja senang sebab cuma marinated beef sekejap lepas tu masukkan dalam oven dan biarkan ia masak. Sambil masak pun boleh tengok TV atau buat kerja lain.

Bahan bahan

1/2 kg daging lembu ( block)
1 sudu makan ground black pepper
Garam
1 sudu makan olive oil
1 sudu makan rosemary kering
1 sudu teh serbuk paprika atau serbuk cili thai
Kentang
Lobak merah
125ml air

Cara cara
1. Gaulkan daging lembu dengan rosemary,serbuk cili,garam,black pepper dan olive oil. Biarkan sebentar.
2. Panaskan oven, masukkan marinated beef ke dalam dulan pembakar, masukkan kentang dan lobak merah yang telah dipotong mengikut saiz yang sesuai.
3. Masukkan air ke dalam dulang pembakar supaya kentang dan lobak merah tidah hangus atau kering semasa proses membakar.
4. Bakar pada suhu 160 darjah celcius selama lebih kurang 1jam - 1.30 jam atau sehingga masak bergantung pada oven masing masing.
5. Sedia untuk dinikmati dengan nasi ataupun roti.

Tuesday, April 6, 2010

Daging Masak Kicap Berempah


Ala ni daging masak kicap je cuma tambah beberapa rempah seperti jintan manis, jintan putih, ketumbar dan lada hitam.
Saya nampak kat rumah dak ika. Kebetulan ada seketul daging dalam peti ais. Cukup cukup sekali makan je. Bagus gak sebab tak membazir.