Monday, February 22, 2016

Kari Kepala Ikan Tanpa Santan




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...


Wah lama juga saya "bercuti" dari masukkan entry baru dalam blog. Bermula dari sebelum cuti Tahun Baru Cina sampai ke hari ini. Itulah kan, bila berhenti, nak mulakan semula tu memang ambil masa dan mood. Kadang kala dapur tak berasap, itu juga antara faktor mengapa lama menyepi.

Semalam saya sediakan Kari Kepala Ikan Jenahak tanpa santan. Selama ini kalau masak kari tak pernah pula sukat berapa banyak bahan bahan yang digunakan. Ikut rasa saja. So bila nak bagi resepi memang agak sukar juga. Tapi saya cuba ingat anggaran sukatan bahan yang saya gunakan. Masak kari kepala ikan versi saya.


KARI KEPALA IKAN TANPA SANTAN

Bahan bahan
1 ketul kepala ikan Jenahak / Merah / Mayong - saiz sederhana. Dicuci bersih dan toskan

Bahan tumis
1 labu bawang besar - dihiris
1 biji buah tomato - dihiris
2 tangkai cili hijau - dihiris
1 tangkai daun kari
1/2 sudu besar rempah campur / halba campur
1 helai daun pandan - simpul

Bahan kisar
6 ulas bawang merah
10 tangkai cili kering - rendam dalam air panas. Boleh kurangkan kuantiti
1 sudu makan ginger garlic paste
1 packet serbuk kari ikan
**** Setelah bawang merah dan cili kering dikisar, campurkan dengan bahan lain dengan sedikit air sehingga menjadi paste

1/4 cawan air asam jawa
Garam
Anggaran 1 liter air
Minyak masak

Bahan sampingan
Kacang bendi
Buah tomato
Cili merah/hijau

*** Cara sediakan Ginger garlic paste
1/2 cawan halia
1/2 cawan bawang putih

Kisar kedua dua bahan hingga menjadi paste. Simpan dalam bekas yang sesuai.

Cara cara
1. Panaskan minyak ( saya gunakan periuk tanah ), tumis bahan tumis sehingga layu. Kemudian masukkan bahan kisar ****, air asam jawa dan sedikit garam. Masak dengan api perlahan sehingga pecah minyak dan naik bau.
2. Kemudian masukkan kepala ikan,biarkan seketika. Kemudian masukkan air dan biarkan hingga mendidih.
3. Kemudian masukkan kacang bendi, buah tomato dan cili merah / hijau. Perasakan dengan garam. Kari Ikan mesti agak masam berbanding dengan kari daging/ayam.
4. Jika sudah cukup rasanya, bolehlah matikan api. Tutup periuk.

No comments :