Inginkan kelainan.......
Apakata cuba menu Roti Jala bersama dengan Kuah Dal.
Ini kali pertama buat saya juga. Sebenarnya semasa ibu bapa saya datang sebelum cuti Tahun Baru Cina tempohari, tiba tiba abah saya cakap, sedap juga kalau makan roti jala dengan kuah dal. Saya cakap, bukan ke selalunya orang makan dengan kari atau kuah durian ke... Abah saya cakap, boleh juga makan dengan kuah dal. Cuba buat, rasa dulu sedap ke tidak.
Tapi masa tu saya tak sempat buat sebab mereka datang sekejap tambahan pula asyik makan dan keluar ke sana ke mari. Then minggu lepas masa saya balik kampung pun terlupa pasal perkara ni. Semalam baru teringat dan saya terfikir nak mencuba. Memang ada kelainan tapi tak pelik sebab lebih kurang macam kita makan roti canai dengan kuah dal.
Rasanya menu ini sesuai dihidangkan sebagai sarapan atau pun minum petang. Ini kali pertama juga saya buat kuah dal sendiri. Dulu saya kurang menggemari kuah dal walaupun semasa menikmati roti canai. Kalau makan di kedai, selalunya saya tak akan sentuh pun kuah dal. Tapi tahun lepas saya terjatuh cinta pada kuah dal bila saya menikmatinya di sebuah restoren di Shah Alam.
Tapi malangnya sejak lepas raya puasa tahun lepas, mereka sudah tidak menyediakan lagi kuah dal untuk roti canai. So awal bulan ni semasa saya ke restoren ini untuk sarapan, saya bertanyakan pada pelayan kedai kenapa mereka tak masak kuah dal lagi, jawab pekerja tu, kuah dal tak mendapat sambutan di kalangan pelanggan, selalunya pelanggan tak makan dan mereka terpaksa membuang kuah dal tu. Jadi mereka rasa itu sebagai pembaziran.
Oleh sebab saya terasa nak makan dan mencuba menu yang dicadangkan oleh abah saya, maka kenalah cari resepi dan buat sendiri. Seperti biasa, kita google je, ada beberapa resepi yang saya jumpa. Ada yang menggunakan santan atau susu lembu. Tapi saya mencuba resepi dari s_shamen@myresepi yang saya rasa agak mudah dan tidak menggunakan santan. Alhamdulillah memang menepati citarasa saya.
Resepi Kuah Dal saya copy dari s_shamen@myresipi.com cuma saya tambahkan hirisan cili kering.
Bahan-bahan ( 6 orang )
- 1 cawan kacang dal
- 2 batang carrot dihiris (jangan nipis sangat)
- 1 biji terung sederhana besar dihiris (jangan nipis sangat
- 2 biji kentang dibelah
- sedikit serbuk kunyit
- **1 inci halia diracik
- **2 biji bawang putih diracik
- **3-4 biji bawang kecil dimayang
- **sedikit daun kari
- ** 5 biji cili kering - dipotong serong ( ini saya tambah )
- **sedikit bunga cengkih, bunga lawang & kulit kayu manis
- **1 sudu kecil biji sawi (mustard seed)
- 3 biji cili hijau dihiris (jangan nipis sangat)
- minyak untuk menumis
- garam & gula sesedap rasa
Cara-cara
- Rebus kacang dal dalam periuk sehingga empuk, masukkan serbuk kunyit.
- Bila kacang dal dah agak agak empuk, masukkan carrot & kentang ke dalam rebusan dal tadi & teruskan merebus sehingga kesemuanya empuk.
- Kemudian masukkan pula terung & cili. Cili seeloknya dipotong besar. Teruskan merebus lagi sehingga terung masak.
- Dalam kuali yang lain, panaskan minyak kemudian tumiskan bahan bahan yang bertanda ** sehingga layu & naik bau. Kemudian curahkan ke dalam rebusan sayur sayur tadi.
- Rasakan garam & gula ikut selera masing masing masing & siap!!