Sunday, September 30, 2012

Pamelo Salads with Grilled Prawns



Salam dan Selamat berhujung minggu.....


Cuaca di Shah Alam sekarang ni mendung, sedikit berangin dan tanda tanda hujan akan turun sudah kelihatan. Wah.... dah macam Pembaca Ramalan Cuaca pula kan. Yelah mana tahu ada kawan kawan yang diluar Shah Alam bercadang nak turun sini, jadi bolehlah prepare apa yang patut.

Actually saya dan suami bercadang nak bercuti ke Port Dickson, sekadar merehatkan badan seketika since balik dari cuti raya, memang fully occupied dan memang agak meletihkan. Tapi terpaksa dibatalkan disaat akhir atas masalah technical yang tidak dapat dielakkan. Jadi kena ditunda ke minggu depan, Insyaallah.



Sudah beberapa kali saya bertangguh nak membuat Pamelo Salads, mula mula dulu masa balik dari cuti raya, saya singgah beli buah limau bali di salah satu RNR, lagipun Perak agak terkenal dengan pengeluaran Limau Balinya. Isinya bewarna kemerah merahan dan rasanya cukup manis dan sedikit pedar atau tart.

Yang paling ambil masa ialah semasa nak kupas limau bali dan pisahkan isinya. Kita tengah sibuk perisikan buah, ada tangan lain yang senyap senyap ambil masuk mulut. Sedar sedar tak banyak isi yang tinggal. Kemudian campur dengan rasa malas sikit, terus tak jadi buat.

Kebetulan 2 hari lepas saya ternampak buah limau bali ni ni Pasaraya HERO, terus capa sebiji. Tapi tak sempat buat hari yang sama, simpan hingga hari ini. Tapi kali isinya berwarna lutsinar/putih dan sedikit masam dan rasa pedarnya agak kuat. Jadi tak adalah tangan tangan yang menyelinap dalam senyap.


PAMELO SALADS WITH GRILLED PRAWNS

Bahan bahan

1/2 biji buah limau bali - kupas kulit dan asingkan isinya.
1/2 biji timun - hiris memanjang seperti batang mancis
1/2 biji lobak merah - hiris memanjang seperti batang mancis
2 ulas bawang merah - dimayang
1 ulas bawang putih - dicincang halus
1 tangkai daun ketumbar - dihiris halus
Sedikit kacang tanah - digoreng tanpa minyak

Untuk Dressing
2 sudu makan sos ikan
1 1/2 sudu makan jus limau
1 sudu makan air
1 sudu makan gula kabung
3 biji cili padi - hiris nipis.

Cara Menyediakannya
1. Campurkan semua bahan untuk "Dressing" ke dalam mangkuk. Kacau sebati dan adjust the taste accordingly. Ia mesti masam, manis, pedas dan masin.
2. Masukkan semua bahan bahan salad kecuali kacang tanah, gaul sebati. Ketepikan.

GRILLED PRAWNS

7 ekor udang harimau - kupas kulit, belah belakang, cuci dan toskan.

Bahan perapan
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1 sudu teh gula kabung
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu makan sos ikan
1 sudu makan jus limau
1 sudu makan sos soya

Cara Menyediakannya
1. Campurkan bahan perapan, masukkan udang dan gaul sekata. Perap lebih kurang 10 minit.
2. Panaskan kuali pemanggang, bakar udang hingga masak.

***
Semasa menghidang, taburkan kacang tanah goreng dan grilled prawns ke atas Pamelo Salads.

Tuesday, September 25, 2012

Fish Head Curry


Salam dan Selamat petang....


Sudah agak lama tak letak entry makanan asasi my husband dalam blog ni. Cuma kali ini saya tukar sedikit cara penyediaannya dari kebiasaan. Selalunya saya masukkan ikan ke dalam kuah kari dan biarkan hingga masak, tapi kali ini saya kukus kepala ikan sebentar, masak kuah kari dan tuangkan ke atas kepala ikan.

Dulu dulu saya kena masak kari kepala ikan ni paling kurang 2 minggu sekali. Memang my husband peminat tegar kari kepala ikan, tapi sejak kebelakangan ni memang dah jarang sangat. Mungkin sebulan sekali pun susah. Mungkin bila usia dah makin meningkat, selera dah makin berkurangan dan mungkin juga sebab nak menjaga kesihatan.



Ermmmm kalau rajin pagi esok boleh buat lempeng atau cekodok dan cicah dengan lebihan kuah kari. Itupun kalau rajin la....  Tapi kalau malas, ambil saja roti benggali .

Buat masa ni, jamu mata dulu ye, nanti saya update resepi Fish Head Curry versi saya ni. Sebelum ni saya cuma letak entri bergambar, tak pernah nak ambil sukatan semasa saya memasak kari. Kata orang ikut sedap tangan sendiri saja.


Bahan bahan
Kepala Ikan Merah - Sebelah saja
1 sudu kecil rempah tumis ikan
1 sudu makan cili kering kisar
2 ulas bawang putih
1 sudu makan bawang merah yg ditumbuk halus
25 gms serbuk kari ikan ( 1 packet kecil, saya suka guna jenama BABA'S)
1 tangkai daun kari
1/2 biji buah tomato
2 biji cili hijau
1 labu bawang besar ( saiz sederhana )
1/2 cawan santan pekat
2 1/2 cawan air
1/4 cawan air asam jawa
1/2 biji buah tomato
4 biji kacang bendi
1 biji terung
2 biji cili merah
Garam
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Cuci bersih kepala ikan merah, kukus lebih kurang 10 minit. Ketepikan.
2. Hiris nipis bawang putih, bawang besar, cili hijau dan tomato. Campurkan sekali dengan daun kari dan rempah tumis. ( Bahan A)
3. Masukkan rempah kari, cili kisar,bawang merah dan bancuh dengan sedikit air hingga menjadi paste. (BAHAN B)
4. Pijarkan minyak, tumis Bahan A hingga layu. Kemudian masukkan pula Bahan B. Masukkan 1/2 cawan air dan kacau sebati. Masak rempah hingga pecah minyak. Rempah kena betul betul masak supaya kari tidak berbau rempah dan mudah sakit perut.
5. Kemudian masukkan santan pekat, air dan air asam jawa. Kacau sebati, kemudian masukkan sayur kacang bendi, cili merah dan terung, masak dengan api sederhana hingga mendidih. Perasakan dengan garam.
6. Bila kuah sudah mendidih, baru masukkan buah tomato. Biarkan 2 minit, barulah dimatikan api dapur.
7. Masukkan kepala ikan ke dalam mangkuk, tuang kuah kari ke atas ikan. Sedia dinikmati bersama sama nasi hangat.



Sunday, September 23, 2012

Ikan Kukus Portugis



Salam dan Selamat Petang...

Walaupun dah seminggu Syawal berlalu, masih ada lagi jiran jiran yang mengadakan rumah terbuka. Bagus juga sebab kalau semua orang berlumba lumba nak buat masa weekend dalam bulan Syawal memang tak terkejar la jawabnya. Tapi memang meletihkan bila tak ada pembantu, sampai hari ni badan saya rasa lemah dan kurang selsesa. Rasa macam nak baring je, malas betul nak bergerak.


Hari ni saya cuma buat simple dish untuk makan tengahari, since my husband dah bagitau nak keluar makan malam di luar.

IKAN KUKUS PORTUGIS

Bahan bahan
50 gms cili besar
30 gms bawang merah
10 gms bawang putih
30 gms halia
50 gms taucu
Sedikit air asam
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit kacang bendi
Minyak untuk menumis
1 ekor ikan gerut - siang dan dibersihkan

Cara cara
1. Kisar cili besar, bawang merah, bawang putih dan halia hingga halus. Pijarkan minyak, tumis bahan dikisar hingga pecah minyak.
2. Perasakan dengan garam, gula dan asam. Biarkan hingga masak, matikan api.
3. Ambil sekeping aluminium foil, lapikkan dengan daun pisang ( saya tak ada stok daun pisang, so gantikan dengan daun kunyit).
4. Letakkan ikan, sapukan seleuruh badan ikan termasuk perut dengan sambal yang telah ditumis tadi. Letakkan kacang bendi yg dipotong di atas ikan. Bungkus/tutup aluminium foil tadi.
5. Kukus lebih kurang 15 minit atau sehingga masak.


Daun Ketumbar,

Ada orang yang tak suka bau daun ketumbar yang agak kuat. Tapi saya memang suka sangat bau daun ketumbar. Saya suka gunakannya dalam kebanyakan masakan saya, mengikut kesesuaian juga.

Monday, September 17, 2012

Gulai Otak Lembu



Salam dan Selamat Sejahtera...

Nampaknya kita rakyat Malaysia memang mewah dengan cuti kan... Bermula dengan cuti raya yang panjang, diikuti dengan cuti Hari Merdeka dan semalam pula cuti hari Malaysia. Apalagi ramai yang ambil peluang mengadakan rumah terbuka memandangkan semalam hari terakhir syawal untuk tahun ini, begitu juga yang mengadakan majlis perkahwinan. Tidak ketinggalan juga yang mangambil peluang membawa keluarga bercuti.

Saya juga mengambil peluang cuti panjang untuk menjemput beberapa kenalan saya dan suami ke rumah kami. Hanya membuat secara kecil kecilan, itupun keletihan sampai hari ini. Maklumlah saya sorang yang kena buat kebanyakkan kerja terutama bab makanan. Betul betul keletihan, memang patut la ramai yang keberatan untuk mengadakan rumah terbuka kalau tiada yang membantu.



Hari sabtu lepas masa saya dan suami ke pasar mencari bahan bahan untuk majlis rumah terbuka, saya terpandang otak lembu yang dijual di pasar. Dah agak lama juga tak merasa masakan ini, dulu ada juga sekali dua semasa my MIL masih ada. Hanya dia yang pandai masak, masa itu tak berapa ambil peduli sangat. Tapi bila tiba tiba terasa nak makan, mulalah bertanya kesana sini...

Tadi saya call saudara my husband, dia pun tak berapa pasti. Jadi dia hanya memberi bahan asas dan saya olah mengikut naluri saya. Nampak macam okay je....

Jamu mata dulu ye...

Bahan bahan

1 ketul otak lembu - rendam selama 1 jam, buang urat darah pada permukaan otak
2 batang serai *
1 inci halia *
1 inci lengkuas *
1/2 sudu kecil jintan manis *
5 ulas bawang kecil/shallots *
2 ulas bawang putih *
1/2 inci kunyit hidup *
4-5 biji cili padi *
1 keping asam gelugor
Sedikit daun kunyit
1/2 sudu makan cili kering yang telah dikisar
200 ml santan pekat
2 cawan air
Garam dan gula secukupnya

Cara Memasaknya
1. Kisar bahan bertanda * hingga hancur. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama sama dengan santan pekat, cili kisar dan air.
2. Didihkan hingga hampir pecah minyak, kemudian masukkan otak yang telah dipotong kepada 4 bahagian.
3. Biarkan ia mendidih sekali lagi, masukkan daun kunyit dan asam keping. Perasakan dengan garam dan gula.
4. Matikan api bila otak sudah masak. Hidangkan bersama sama dengan nasi putih hangat.


Wednesday, September 12, 2012

Vadai


 Salam dan Selamat Pagi semua....


Teruk dapur saya berhabuk ye... Maaf sebab hampir seminggu blog tiada entry baru. Confirm dah jemu asyik tengok rendang ayam tu kan. Masih dengan alasan yang lama dan lapuk tu.... Kalau saya saya cakap saya sibuk, nanti orang lain kata, macam la dia seorang saja yang sibuk. Tapi itulah realiti kehidupan.......

Berbalik pada entry kali ini, saya nak tayang gambar kuih Vadai yang agak terkenal sebagai salah satu "street food" yang agak popular dikalangan masyarakat Malaysia. Walaupun ia "milik" masyarakat India, tetapi ia menjadi kegemaran kaum Melayu dan Cina juga.

Kalau dulu dulu, hanya kaum India yang menjual kuih ini tapi sekarang sudah ramai kaum Melayu yang membuat dan menjualnya.


Saya selalu juga membeli kuih ini, tetapi kebanyakan penjual mengisar kacang dal dan bahan bahan lain hingga semua hancur. Ini menyebabkan hilang keenakan merasai bawang, cili dan daun kari dan kacang dal yang masih berbutir.Sesekali bila tergigit cili dan jintan manis, terasa lagi nikmatnya.....



Agak tricky bila proses mengepal, membulatkan, meleperkan dan menggoreng kuih vadai kerana ia sedikit berderai. Jadi akan ada beberapa biji yang tidak sempurna kejadiannya.




Jemput jamu mata dulu ye....


Bahan-bahan:

250g dhall, rendam selama 6 jam
2-4 bawang kecil, dihiris nipis
2 cm halia, dtumbuk halus
2 cili hijau besar, dihiris mipis
4 cili kering, dihiris nipis
1 tsp jintan manis, ditumbuk kasar
Beberapa helai daun ketumbar, dihiris
Beberapa helau daun kari, dihiris
Garam secukup rasa
Minyak untuk menggoreng
Method:
1. Tapiskan dhall, kisar 3/4 dari dhall hingga halus. Jika sukar mengisar dhall tanpa air, masukkan sedikit air. Selepas dikisar, tapis supaya tidak banyak air yang tinggal.
2. Masukkan dhall yang telah dikisar ke dalam mangkuk.
3. Campurkan semua bahan lain ke dalam mangkuk tadi kecuali minyak. Gaul sebati.
4. Panaskan minyak, bentukkan doh tadi menjadi "flat patties" dan goreng hingga menjadi golden brown.
5. Angkat dan toskan.



Wednesday, September 5, 2012

Rendang Pedas Ayam Kampung



Salam dan Selamat Pagi...

Aduhaiiii batuk ni tak mau hilang, segala macam ubat moden dan tradisional dah cuba tapi belum menampakkan yang ia akan baik. 

Hari sabtu lepas kami ke pasar mencari bahan basah untuk kegunaan selama seminggu. Sehari dua hanya masak yang simple dan biasa biasa saja. Semalam my husband request nak makan rendang ayam, mungkin tak puas makan masa hari raya dulu. Bila balik Perlis, kebanyakan saudara mara sebelah sana lebih kepada menyediakan gulai daging, sebab ia lebih sedap digandingkan dengan ketupat daun palas.

Saya pula lebih kepada ketupat nasi dan tentunya rendang ayam paling sesuai dengan selera saya.


Selain dari bahan basah lain seperti ikan, ketam dan sotong, saya beli juga seekor ayam kampung. Masa tu terfikir samada nak buat rendang ayam atau pun gulai ayam. Since my husband dah request nak makan rendang, so delamatlah ayam tu menjadi rendang......



Personally saya lebih sukakan ayam kampung masak rendang berbanding ayam biasa sebab isinya lebih kenyal dan sesuai untuk masakan yang mangambil masa yang agak lama untuk merenehnya. Tidaklah isinya hancur bila agak lama dimasak.


Sila jamu mata dulu ye,


Resepi boleh check di sini


Sunday, September 2, 2012

Jeruk Pedas Buah Sentul @ Stoi



Buah Sentul @ Stoi


Salam di hujung minggu...

Bagaimana agaknya kawan kawan menghabiskan cuti hujung minggu yang agak panjang sempena Hari Kemerdekaan? Mesti sibuk menyusun rumah terbuka yang perlu dihadiri. Saya dan suami pula masih batuk dan selsema yang belum sembuh, dah hampir 2 minggu, dah macam macam ubat yang diambil tapi batuk masih tak mahu hilang.

Jadi mood nak kemana mana pun hilang sebab tension dengan batuk dan hidung yang asyik berair je. Lagipun kalau hujung minggu di bulan Syawal ni kesesakan lalu lintas pun agak kronik sebab ramai orang buat majlis rumah terbuka. Jadi kalau tiada yang penting, lebih baik kami duduk di rumah saja...



Pertama kali saya rasa jeruk pedas buah sentul @ stoi ni masa bulan puasa yang baru lepas. My husband ke sebuah restoren di Shah Alam dan bila balik dia cakap dia belikan something yang saya mesti suka. Ingatkan apa, rupa rupanya jeruk pedas buah sentul. Memang sedap, tak puas makan so saya cakap pada suami saya, esok kalau ada belikan saya lagi. Tapi takde rezeki, sekali tu saja yang dapat dibeli sebab lepas tu memang takda dijual lagi.


So masa kami balik berhari raya ke Perlis, tempat yang tak pernah lepaskan peluang tentunya Padang Besar. Kebetulan nampak orang jual buah sentul ni tapi saiznya agak besar. 3 biji sudah lebih dari sekilo. Saya cuma beli sekilo dan bila balik Shah Alam, kami demam dan saya malas nak buat jeruk. Baru 3 hari lepas saya gagahkan juga membuatnya bila nampak buah dan makin menjadi lembik, takut pulak akhirnya masuk bakul sampah.

Ini pertama kali saya buat Jeruk Pedas Buah Sentul, so rasanya tak dapat menyamai yang saya makan tempohari.


Resepi Jeruk Pedas Buah Sentul ni saya ambil dari blog Kak Hanieliza. Nanti saya akan updatekan resepinya.

Bahan Bahan ( sesuaikan mengikut selera )
Buah Sentul @ Stoi
Garam
Gula
Air
Cili kering yang dimesin

Cara cara
1. Kupas kulit buah sentul, potong kecil, cuci dan toskan.
2.Rendam dalam air garam hingga buah tenggelam selama 1 malam.
3. Toskan hingga kering.
4. Masak air, gula dan cili mesin hingga mendidih, kemudian sejukkan.
5. Masukkan buah yang telah ditoskan tadi dan rendam 1 malam lagi.
6. Boleh dinikmati.