Monday, August 18, 2014

Ketupat Palas Gulai Daging


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.....


Amboiiiiii lamanya saya berhari raya kan... Sudah beberapa minggu blog dibiarkan sepi bagai tiada tuan rumah. Ampun dan maaf buat semua pengunjung setia My Small Kitchen. Bila sudah agak lama menyepi dan untuk mulakan semula rutin biasa memang mengambil sedikit masa dan usaha yang lebih sikit. Maklumlah urat saraf semua dah berkarat dek banyak sangat makan ketupat dan rendang......

Ehhh salahkan ketupat dan rendang pula kan. Padahal, tuan rumah memang agak malas kebelakangan ini.

Tiada cerita yang menarik mengenai sambutan hari raya kami, sama saja. Asyik jadi tukang masak saja sepanjang hari. Tak perlu pakai baju raya pun tak apa....
 

Bercakap pasal ketupat dan rendang, setiap kali hari raya menu yang wajib tentulah ketupat - Ketupat daun palas iaitu ketupat pulut dan ketupat daun kelapa iaitu ketupat nasi. So dua jenis ketupat ini mesti ada di meja makan setiap pagi raya.

Sejujurnya saya memang tidak pernah ambil pusing pasal ketupat pulut sebab kalau beraya di rumah saya, emak atau dulu arwah nenek saya yang akan selesaikannya. Saya dan abah akan bertungkus lumus menganyam daun kelapa dan merebusnya. Sementara kalau pulang ke Perlis, arwah ibu mertua saya yang akan menyediakan ketupat palas.

Sekarang bila usia makin meningkat, ibu mertua pun dah tiada, emak saya pun bukannya semakin muda. So saya "terpaksa" belajar untuk membalut ketupat daun palas memandangkan suami saya hanya makan ketupat ini. Bermula dengan hari raya yang lepas, saya sudah mula belajar. Itupun bila umur dah masuk angka 4...

Aduhaiiiii memang kelakar. Emak saya dah siap 3-4 biji, saya masih terkial kial. Bila siap sebiji, emak akan tegur "itu ketupat betina, bila rebus nanti masuk air". Saya lebih rela anyam ketupat daun kelapa lagi...

  

Memandangkan sekarang masih bulan Syawal, ramai orang buat rumah terbuka maka senanglah untuk dapatkan daun palas dan daun kelapa di pasar. So saya beli satu ikat konon kononnya untuk mencuba di rumah.

Ermmmmm still the same. Walau tengok cara cara membalut ketupat di internet, masih tunggang terbalik. My husband cakap "oklah tu... asal ada bentuk dan rasa ketupat pulut jadilah". Nak tak nak kena belajar juga, kalau ikutkan saya, saya lebih kepada ketupat nasi. Kalau orang tak bagi ketupat pulut pun saya tak kisah....


Gulai Daging Utara
Bahan bahan
½ kilo daging batang pinang
1 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
1 keping asam gelugor
4 sudu besar kerisek
Gula dan garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Bahan Rempah
3 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar cili kisar
½ sudu teh jintan manis
½ sudu teh jintan putih
5 ulas bawang merah – ditumbuk
2 ulas bawang putih – ditumbuk
1 inci lengkuas – ditumbuk
Sedikit air untuk membentuk pes

Bahan menumis
4 ulas bawang merah – dimayang / dihiris
2 ulas bawang putih – dihiris halus
1 inci halia – dihiris halus
1 tangkai daun kari
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih

Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis bahan menumis hingga naik bau. Kemudian masukkan bahan rempah yang telah dicampur air menjadi pes. Masak hingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan daging yang telah dipotong kepada saiz yang sesuai. Gaul sekata dan masak hingga daging menjadi kecut dan mengeluarkan air.
3. Masukkan santan cair dan masak sehingga daging menjadi empuk. Kemudian masukkan santan pekat, asam gelugor dan kerisek.
4. Perasakan dengan garam dan gula dan masak hingga kuah menjadi sedikit pekat. Matikan api dan angkat. 
5. Sedia dinikmati bersama sama ketupat daun palas.


 

3 comments :

Rosdi Eunos said...
This comment has been removed by the author.
Rosdi Eunos said...

ketupat palas ni, kalau dulu dulu .. ibunda tercinta saya selalu buat.. dan yang tukang mencari daun palasnya arwah ayah saya dengan saya (saya duk sibuk mandi laut jer sementara ayah masuk dalam hutan paya bakau tuh). Very nostalgic! Bila tengok gambar and baca sis Hazila punya entry ni rasa hiba pulak sebab teringat arwah ayah. My mom dah tak buat lagi sekarang .. sebab dulu dulu, ketupat ni mesti ada sebab favourite ayah saya...

Faqih Farius said...

Klu makan dgn rendang pun..rasanya ok.kan...makanan kegamaran tp susah dpt

faqihfarius.blogspot.com