Monday, December 14, 2015

Gulai Tulang dengan Umbut Pisang



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Pagi Isnin yang amat dingin dengan suasana berkabus tebal setelah hujan tanpa henti dari pukul 3 ptg semalam hingga malam tadi. Banyak tempat di Selangor dinaiki air.

Nampaknya Selangor bercuti panjang meraikan kemenangan. Ermmm memang sesak teruk Seksyen 13 Shah Alam dengan penyokong kedua dua pihak. Walaupun tinggal sepelaung dari Stadium Shah Alam, sekali pun tak pernah menonton perlawanan bolasepak. Mungkin sebab suami bukan termasuk dalam kategori "Kaki Bola".

Berbalik kepada menu hari ini, Gulai Tulang dengan Umbut Pisang. Sudah lebih 40 tahun hidup, ini kali pertama saya masak umbut pisang. Kebetulan beberapa minggu lepas saya dan suami menonton satu rancangan yang memaparkan juadah kenduri kahwin di negeri Kedah. Salah satu menunya ialah Gulai daging dengan umbut pisang.

Nampak menarik, so saya minta suami carikan umbut pisang untuk saya cuba masak. Akhirnya saya jumpa juga umbut pisang. Apalagi, google cari informasi bagaimana untuk sediakannya. Walaupun pada mulanya teragak agak juga untuk memasak sebab nampak agak berlainan dari umbut pisang yang saya nampak di dalam internet.


Gulai Tulang Lembu & Umbut Pisang

Bahan bahan
1/2 kilo tulang lembu - cuci bersih dan rebus hingga empuk
Anggaran 300 gms umbut pisang yang telah dibersihkan

Bahan Tumis
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 biji buah pelaga
1 tangkai daun kari
1 labu bawang besar - dihiris
1 tangkai cili hijau - dihiris nipis
1 inci halia - dipotong kecil
Minyak untuk menumis

1 cawan santan pekat
Air rebusan tulang  - anggaran 3@4 cawan bergantung kepada kepekatan
Air asam jawa
Garam dan gula
2 sudu besar kerisek

Bahan Kisar
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

1 paket kecil rempah kari daging
1 sudu besar cili kering kisar
Sedikit air rebusan tulang
*** Campurkan bahan kisar dengan rempah kari, cili kisar dan air menjadikannya sebagai paste.

Cara cara
1. Panaskan minyak, masukkan semua bahan tumis dan biarkan hingga sedikit layu. Kemudian masukkan bahan kisar yang telah dijadikan paste. Masak semua rempah hingga pecah minyak.
2. Kemudian masukkan santan pekat dan air rebusan. Diikuti dengan tulang dan umbut pisang. Masukkan juga air asam jawa dan sedikit garam. Biarkan hingga mendidih.
3. Masukkan kerisek dan gaul sebati. Tambahkan perasa jika perlu. Masak dengan api sederhana sehingga umbut pisang lembut. Matikan api dan hidangkan dengan nasi putih.


3 comments :

Roziah @ Cie said...

tak pernah makan umbut pisang. kalau umbut kelapa buat kerabu sedap.

cheq da said...

Pernah n menolong masak semasa program anak angkat di Yan Kedah...mmg sedap

Unknown said...

Assalam. Gulai tulang memang faveret. Kalau sup tulang yang tak habispun boleh buat gulai pulak lepas tu.