Friday, March 30, 2012

Kailan Ikan Masin



Salam di Hari Jumaat....


Hari ini Shah Alam dibasahi hujan sejak pukul 3 pagi tadi. Baru saja berhenti, rasanya beberapa tempat di Klang dilanda banjir kilat. Dulu masa saya tinggal di Klang, setiap kali hujan, mulalah rasa susah hati sebab risau dengan rumah. Beberapa kali hujan malam, bangun pagi air dah paras betis di tingkat bawah. Perabut yang rosak akibat air banjir, lepas tu nak bersihkan rumah lepas banjir.... Memang memenatkan.

Maaflah, sejak kebelakangan ni hanya keluar entry menu yang simple je. Tidak berkesempatan hendak bereksperimen di dapur. Background gambar pun tak bertukar. 


Sudah agak lama juga tak masak sayur kailan ikan masin. Semasa saya ke pasar hujung minggu lepas, saya ke sebuah gerai yang khas menjual ikan masin. Ada pelbagai bagai ikan yang dijual dan penjual tu sempat mempromosi ikan kering yang sudah siap dipotong "stripe" atau memanjang. Mengikut katanya sesuai digunakan untuk masak Kailan Ikan Masin dan goreng untuk di makan dengan bubur nasi.

Teruja juga nak membeli bila terbayangkan kailan ikan masin dan bubur nasi. Tetapi saya hanya beli bungkusan kecil sebab risau terlalu masin atau tak menepati citarasa. Tetapi rasanya ok dan tidak masin. Next time boleh cuba goreng untuk dimakan bersama sama bubur nasi pula.

Bahan bahan

1 bungkus Baby Kailan - asingkan daun dengan batang. Hiris batang kailan dan rendam semuanya dalam air bersih.
50 gram ikan masin (anggaran)
2 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1 cili merah
2 cili padi
1 sudu makan sos tiram
Sedikit minyak

Cara cara
1. Tumbuk bawang putih, merah, cili merah dan cili padi hingga sedikit hancur.
2. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk hingga naik bau, masukkan ikan kering dan goreng hingga ikan kering sedikit garing.
3. Masukkan batang kailan, biarkan seketika barulah dimasukkan daunnya pula. Masukkab sos tiram, jika perlu masukkan garam. tapi saya tidak letak garam sebab nak kurangkan garam.
4. Gaul sekata dan bolehlah diangkat.

Wednesday, March 28, 2012

Bawal Emas Kukus Halia


Salam buat semua pengunjung My Small Kitchen.....


Maaf sebab kebelakangan ini saya tak kerap sangat letak entry, maklumlah ada kekangan tugas yang minta didahulukan. Kadang kala rasa kagum dengan sesetengah kawan kawan yang bekerja, ada anak anak yang perlu di beri perhatian tapi masih mampu membuat entry setiap hari. Itulah kan... yang penting tahu membahagikan masa. Bagi yang tak berapa pandai dan malas nak bahagi masa macam saya ni, itu yang sesekali je keluar entry. Itu pun menu ulangan je....



Selama ni saya cuma tahu ada Bawal Putih dan Bawal Hitam, tapi hari tu masa ke pasar ternampak ikan yang dilabelkan sebagai Bawal Emas. Jadi saja je lah kan nak rasa macam mana rasanya Ikan Bawal Emas  ni. Saya cuma ambil seekor dan memang plan nak masak steam dari awal lagi.

Bagi saya, rasanya sedap sikit dan isinya lebih banyak dari bawal hitam atau putih. Memang sesuai kalau dimasak kukus begini sebab boleh menikmati rasa ikan tu sendiri. Lagipun menu ni sesuai untuk yang terasa jarum penimbang tu asyik naik je kan.....







Saya sudah mula menikmati hasil tuaian buah lemon yang saya tanam. Walaupun tidak sama dengan buah lemon yg di kedai tapi rasanya sama dan still banyak jusnya.

Friday, March 23, 2012

Paung Goreng


Salam di Pagi Jumaat

Semoga hari ini membawa seribu rahmat.

Apa agaknya sarapan untuk pagi ni ye... Semalam saya terlebih rajin sikit, maklum dah beberapa hari berhibernasi jadi sekarang dalam proses nak memanaskan kembali apa yang sepatutnya. Hari tu saya beli ikan kembung sampai sekilo. Geram tengok ikannya segar dan berkilat kilat . Sedar tak sedar dah masukkan banyak dalam bakul, sampai my husband tanya apa nak buat dengan ikan tu sampai sekilo.

Apalagi, kena fikirkan macam macam menu untuk habiskan stok ikan tu. Mula mula saya buat asam rebus tempoyak, kemudian bakar ikan dan akhirnya saya rebus semua baki ikan yang ada sebab kalau dah lama sangat dalam esbok tak sedap pulak nanti.


Bila dah rebus ikan, mulalah mencari apa menu yang sesuai untuk diolah menggunakan ikan tersebut. Kalau nak buat kuah laksa, alahai malas la pulak sebab weekdays, bila pulak nak makan laksa. Lagipun banyak sangat nak kena beli accessories sampingan.

Akhirnya search jumpa satu resepi kuih yang menggunakan isi ikan sebagai intinya. Paung Goreng atau ada yang menggelarkannya Buah Boom yang berasal dari Pantai Timur. Teringat masa saya sekolah rendah dulu, ada kawan sekolah yang berasal dari Trengganu. Dia selalu bawa bekal kuih ni bila ke sekolah dan saya dengan tak malunya mengendeng pada dia. Ye lah kan, mana tau ada rezeki dapat merasa seketul dua....

Mula mula terfikir juga, nanti bila menggoreng kuih ni tak meletup letup ke dalam  kuali sebab menggunakan tepung pulut. Tapi bila dah buat, alhamdulillah tidak meletup banyak sangat, ada sesekali je sekadar letusan kecil. Kepada sesiapa yang sukakan kuih muih berasaskan ikan, memang sedap kuih ni.


Resepi paung Goreng saya ambil dari Kongsi Resepi dan boleh tengok pada tuan punya blog yang saya ambil resepi ini. Terima Kasih.


Bahan bahan

Bahan untuk inti

5 ekor ikan kembung - direbus dan di ambil isinya.
5 ulas bawang merah
1 inci halia
1 sudu teh lada hitam 
1 cawan santan
Sedikit air
Garam secukup rasa
1 keping asam gelugor
1 sudu kecil gula

Cara cara
1. Tumbuk isi ikan, bawang merah, halia dan lada hitam hingga hancur.
2. Masukkan semua bahan ke dalam kuali dan masak hingga kering seperti membuat serunding. Tutup api dan keluarkan asam keping. Biarkan sejuk sebentar.

Untuk doh

2 cawan tepung pulut
2 cawan kelapa parut
2 sudu besar tepung gandum
Secubit garam
Air secukupnya

Cara cara
1. Gaulkan semua bahan hingga sebati dengan menambah air sedikit demi sedikit. Seperti hendak membuat kuih buah melaka.
2. Ambil sedikit doh, isikan dengan inti dan tutup rapat kembali.
3. Panaskan minyak yang agak banyak, dan goreng paung dengan api kecil. Balik balikkan sentiasa agar warnanya sekata.
4. Angkat dan toskan.

Thursday, March 22, 2012

Asam Pedas Ikan Senangin


Salam semua,


Sekejap saja dah masuk hari Khamis. Tambahan kalau sibuk dengan tugas seharian samada di tempat kerja ataupun menguruskan rumah tangga. Macam dialogue dalam Labu Labi, "Selagi belum tutup mata, kerja kerja  kerja....."


Semalam bila BW rumah kak Gee dan Madihaa nampak diorang sajikan dengan menu Asam Pedas. Bezanya kak Gee dengan Asam Pedas Ayam dan Madiha dengan Asam Pedas Pari. Aduhai saya yang tengok dari skrin komputer pun dah terasa rasa kat lidah. Asam pedas ni memanglah antara menu kesukaan saya. Tapi saya memang prefer guna ikan berbanding ayam atau daging.


Kebetulan kat peti ais hanya ada ikan senangin yang bersaiz agak kecil. Jadi saya cuma beli terung bulat kecil dan bunga kantan sebelum balik rumah.

Kali ini saya nak cuba asam pedas resepi kak Anymz yang saya ambil dari rumah Madiha.

Bahan bahan
2 ekor ikan senangin - bersihkan dan gaul dengan sedikit serbuk kunyit
5 biji terung hijau bulat kecil - belah 2 dan rendam dalam air sejuk
15 tangkai cili kering *
1 labu bawang besar *
3 ulas bawang putih *
1 batang serai *
2 cm kunyit hidup *
Sedikit belacan *
Daun kesum
1 tangkai bunga kantan
1 kiub pati ikan bilis
Garam secukup rasa
1 mangkuk air asam jawa
Minyak untuk menumis
Air secukupnya

Cara cara
1. Kisar bahan bertanda * hingga hancur. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga naik bau dan pecah minyak.
2. Kemudian masukkan garam dan kiub pati ikan bilis. masukkan juga air asam jawa. Biarkan seketika, kemudian masukkan ikan, daun kesum dan bunga kantan.
3. Apabila hampir mendidih, masukkan terung dan renihkan dengan api sederhana hingga terung lembut dan matikan api.



Bila tengok gambar ni, rasa macam nak makan nasi la pulak........

Wednesday, March 21, 2012

Yong Tau Foo Soup


Salam di hari Rabu.....


Hampir seminggu blog ni tidak ada entry baru. Entah la, nak kata tak masak, masak juga walaupun yang senang dan cepat. Tapi mood nak update tu tak berapa nak ada. Weekend pun tak ke mana, walaupun ada niat nak buat itu ini tapi end up do nothing..... Jadi conclusion nya, akak malas dik......


Semalam bila tengok blog dengan entry yang sama je, alahai bosannya. Tuan punya blog tengok blog sendiri pun bosan, apatah lagi pengunjung yang lain kan.... Jadi saya rajinkan diri sikit angkat kamera dan tembak.


Sebenarnya banyak resepi yang teringin nak mencuba especially bila sampai weekend. Tapi bila mengenangkan jarum penimbang tu asyik naik je, tak turun turun membuatkan niat tu terbantut. Macam mana nak turun kalaua asyik makan makanan yang semua tinggi.... tinggi lemak, tinggi kolesterol dan macam macam tinggi lagi. Lepas tu malas nak bersenam....

Malam tadi saya masak Daging Masak Kicap dan Daging Bakar untuk my husband, dan saya buat sup yong tau foo untuk diri sendiri. Sekarang senang sebab ada di jual mixed steamboat dalam satu packet. Jadi saya beli 1 packet saja dah mencukupi.


Bahan bahan Sup

1 liter air
1 batang leek
2 ketul tulang ayam
2 ulas bawang putih
1 sudu teh ground white pepper corn
Garam secukup rasa
3 kuntum shiitake mushroom

1 packet Mixed Steamboat

Cara cara
1.Rebus air, bawang putih, leek dan tulang ayam hingga mendidih. Tapiskan dan ambil hanya air rebusan dan masukkan kembali ke dalam periuk.
2. Masukkan hirisan cendawan shiitake, perasakan dengan garam dan white pepper corn. Masukkan mixed steamboat dan biarkan seketika.
3. Hidangkan dengan sos pedas atau masam manis.

Thursday, March 15, 2012

Sambal Tumis Ikan Kering


Salam semua....


Apa Khabar hari ni? Mungkin ada suri rumah yang sibuk menguruskan hal di rumah. Maklumlah sekarang cuti sekolah dan bagi sesetengah tempat di Selangor di takde bekalan air. Lagi lah sibuk ibu ibu semua kan...


Saya pun bila dah tau hari rabu sampai khamis tak ada bekalan air, so bertungkus lumus la mengutip semua baju kotor untuk di dobi, 2 round jugalah. Siap cuci semua pinggan mangkuk yang dah digunakan. Then simpan air minuman dalam botol. Macam la ramai sangat orang dalam rumah kan.... My husband cakap, tak payah susah susah simpan air, yang ada dalam takungan tu pun boleh sampai minggu depan.....

Tapi, alhamdulillah bekalan air tak putus pulak. Ada je macam biasa.


2,3 hari ni my husband asyik nak makan sambal tumis je. Mula mula sambal ketam, lepas tu sambal telur rebus dan semalam saya buat sambal tumis ikan kering. Mula mula dah keluarkan udang, tapi rasa macam dah selalu sangat buat sambal udang. So selongkar peti ais, ada beberapa ketul tulang ikan kurau lebihan saya buat masak lemak cili padi ikan kering minggu lepas. Sedap pulak buat sambal ikan kering ni...

Monday, March 12, 2012

Sup Kepah


Menu semalam, Sup kepah, Ikan Bakar dan Sambal tumis ketam. Kalau nak kira kalori, confirm boleh pengsan.

Semalam google cari resepi sup kepah, mana tau ada yang lain sikit ke... Terus masuk rumah kak anymz, tengok ada resepi sup kepah. Semua bahan dah ada cuma kekeurangan daun bawang je, itu perkara kecil saja. Masukkan saja apa bahan yang ada, lagipun daun bawang tu sekadar bahan hiasan, tidak begitu memberi kesan kepada rasanya.

Saya memang sukakan msakan yang bersup ni. Ada sup dengan nasi putih pun dah okay, tapi sebab big boss kurang menggemarinya jadi kena buat menu lain untuknya.


Bahan bahan
Kepah - cuci dan toskan
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 inci halia
1 batang serai
1/2 kiub pati ikan bilis
Garam 
Air secukupnya
Minyak untuk menumis
Cili dan daun bawang untuk hiasan

Cara cara
1. Mayang bawang putih,merah dan halia. Panaskan minyak, tumis bahan yang telah dimayang hingga naik bau.
2. Masukkan kepah, air, serai yang telah dititik dan kiub pati ikan bilis.
3. Biarkan hingga mendidih dan perasakan. Biarkan seketika dan matikan api.
4. Taburkan hirisan cili merah dan daun bawang semasa menghidang.


Puding Soya Kacang Merah


Salam buat semua pengunjung My Small Kitchen...


Terima Kasih yang tak terhingga buat teman teman yang mengucapkan Selamat Hari Lahir. Semoga persahabatan berkekalan walaupun sekadar di alam maya.


Apakata hari ini saya jamu mata dengan Puding Soya dengan Kacang Merah, tambahan cuaca di luar mendung dan baru saja hujan berhenti. Lagi la seronok kalau ada di rumah, boleh la berlingkar di atas sofa.... Dulu dulu masa kecik duduk di kampung, kalau musim hujan, bila terasa lapar mulalah cari ubi kayu rebus cicah kelapa parut atau gula merah atau kalau ada lebihan sambal. Kalau tak ada ubi kayu, ubi keledek rebus pun boleh jadi juga. itulah makanan yang paling senang nak dapat sebab di tanam di sekeliling rumah.

Hari sabtu saya balik ke kampung, kebetulan ada kenduri kahwin sedara mara dan adik beradik saya semua berkumpul. Hari Ahad balik semula ke Shah Alam, sementara my husband ke office menyiapkan kerjanya sempat la saya sediakan apa yang patut untuk makan malam. Bila buka peti ais, ada lebihan susu soya, kidney beans dan air gula melaka. Apa lagi cari la resepi yang boleh dibuat menggunakan 3 bahan yang ada tu.

Friday, March 9, 2012

It's my birthday......

Salam di hari Jumaat....

Alhamdulillah hari ini usia saya bertambah lagi setahun.....
Hadiah harijadi dah dapat awal, biasanya saya dan suami akan keluar makan malam just to celebrate it. Tak adalah ke restoren yang mewah sekadar makan makanan kesukaan kami. Since kami memang berdua, jadi memang hari hari pun makan berdua kan. Hari hari memang romantic dinner.

Tapi malam ni my husband suruh saya arrange dinner dengan kawan kawan saya sebagai kelainan. Insyaallah beberapa kawan kawan kawan saya dah confirm akan hadir. Kami plan having dinner sambil chit chat sebab ada yang lama tak jumpa. Thanks to my husband yang sudi sponsor dinner malam nanti.


Since tak ada gambar menu masakan saya beberapa hari ni, saya letak gambar air longan dengan peach. Hari tu nampak kat rumah Umiaisyah @Ummizzkitchen.

 Sedap minum kalau cuaca panas. Tapi di Shah Alam sekarang asyik hujan saja. Kadang kala hujan dari malam sampai ke pagi. Cuaca pulak mendung dan lembab saja. Tapi kalau dah rasa nak minum tak kisahlah hari hujan atau hari panaskan.


Jemput minum!!!!

Ada banyak lagi tu dalam peti ais.

Monday, March 5, 2012

Soya Cendol


Salam...

Pagi Isnin yang basah setelah hujan turun dengan lebatnya pagi tadi. Jadi bila hujan pagi, hari isnin pulak dengan secara automatic jalan tersangatlah cantik sebab kereta beratur panjang. Itu belum masuk bab cilok mencilok, lepas tu yang sorang lagi hon.... Fuhhhh memang meriah. Antara penyebab ramai orang dapat tekanan darah tinggi.

Kadang kala rasa macam seronoknya kalau tak perlu bergegas meredah kesesakan jalan raya setiap hari. Tapi kalau tak kerja, siapa yang nak bagi duit? Kita bukan datang dari keluarga yang kaya raya atau bersuamikan si Jutawan. Jadi selagi terdaya.... redah je lah.



Berbalik pada entry kali ni, saya letak gambar Soya Cendol.

Tema semalam ialah "Hari Tanpa Santan"

Hati membuak buak nak makan Cendol, siap membayangkan cendol pulut lepas tu letak durian lagi. Adusssss sedapnya. Tapi sebab nak kena ikut tema, saya gantikan santan dengan air kacang soya. Walaupun "nikmatnya" tak sama tapi bolehlah untuk lepaskan keinginan anak tekak sendiri kan...

Itupun saya tengok my husband menikmatinya tanpa bersuara... Kira boleh diterima la kan.


Tapi saya takdelah rajin sangat sampai nak buat cendol sendiri. Saya beli cendol yang ready made di pasaraya, begitu juga dengan air soya. Cuma saya masak air gula melaka saja, itupun sebab stok air gula melaka yang ready made dah habis. Kebetulan saya ada stok kidney beans dan balance krim jagung yang saya gunakan buat puding roti berjagung sebelumnya.

Sunday, March 4, 2012

Puding Roti Butterscotch berjagung dan hadiah harijadi


Dah lama tak buat puding...


Kebetulan saya ada beli roti but butterscotch so terfikir nak buat puding/agar agar roti. Saya gunakan resepi agar agar roti yang dah ramai blogger masakan cuba. Rasanya dari resepi Hana.

Seperti biasa, saya selalu derhaka pada resepi, saya gunakan roti butterscotch dan tambahkan krim jagung ke dalam adunan. Rasanya lebih sedap kerana roti dan isi jagung dan untuk tambah kesedapannya saya makan dengan sos coklat.


Lagi banyak sos coklat, lagiiiiiii sedap.



Yang ini ialah hadiah harijadi saya minggu depan.

Saya dapat awal dua minggu, hari ahad lepas my husband keluar dan bila balik dia bawa satu beg plastik dan cakap, ini hadiah harijadi. Tak ada pembalut hadiah dan tak ada bunga atau kad.

Itulah suami saya.....

Ikan Tongkol Pindang Serani


Selamat Berhari Minggu


Agak lama juga saya tak update blog. Agak sibuk kebelakangan ni. Badan pun tak berapa sihat, jadi terasa agak kemalasan sikit nak main masak masak.

Hari ni pun saya masak menu yang simple je untuk makan tengahari. Saya buat sambal tumis udang, bakar sotong dan buat pindang ikan tongkol.  Pindang ni ala ala singgang ikan, jemu juga asyik makan berlemak dan santan. Saya lebih suka makan nasi dengan singgang ikan ni tapi my husband tak gemar jadi kena buat lauk lain la untuk dia.


Saya adan nampak di dalam satu majalah, dia buat singgang/pindang serani ni tapi mungkin gia gunakan serbuk kunyit yang lebih menyebabkan kuahnya berwarna kuning terang. Tapi saya lebih suka gunakan kunyit hidup, jadi warnanya sedikit pucat. Saya buat sedikit masam dan pedas, sedapnya menghirup kuah pindang ni....