Monday, September 29, 2014

Bun Kacang Merah




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Agak lama juga tak buat roti di rumah. Bila buat semalam sampai black out rumah. Rasanya ada masalah dengan oven saya, bila dah tukar tempat yang berlainan pun masih berlaku perkara yang sama. Tengoklah bun saya pun hampir rentung jadinya.

Actually perancangan awal hendak mencuba membuat Putu Mayam yang saya nampak di blog Azlita Masam Manis sebab saya dah beli acuan putu mayam/muruku tu dah agak lama. Entah di mana silapnya adunan pertama menjadi cair sedangkan saya sudah ikut sukatan yang betul. 2 cawan air panas dengan 2 cawan tepung beras. Kemudian saya buat adunan kedua dengan mengurangkan kuantiti air, okay menjadi doh tapi bila nak ditekan susah pula nak keluar dari lubang acuan tu. Akhirnya my husband suruh berhenti dan cuba lagi di lain kali.

So dari percubaan putu mayam yang gagal saya beralih pula kepada membuat bun kacang merah. Mula mula beli kacang merah, plan untuk membuat pau tapi bertukar menjadi bun pula....
Resepi asal ialah Potato Bun yang saya ambil dari carian di internet. Saya keluarkan kentang dan gantikan dengan inti kacang merah.


BUN KACANG MERAH
300 gms tepung roti
3/4 sudu makan susu tepung
2 sudu teh yis segera
50 gms gula pasir - saya kurangkan kepada 30 gms
1/2 sudu teh garam
30 gms mentega / marjerin
1 biji telur ( tinggalkan sedikit untuk disapu diatas permukaan roti)
135 ml air sejuk dari peti ais
Red Bean Paste - dijual di Bakery

Cara cara
1. Masukkan yis, sedikit gula dan air, biarkan hingga berbuih.
2. Masukkan semua bahan ke dalam Bread Maker. Tekan butang "Dough" dan biarkan hingga selesai.
3. Ambil Red Bean Paste dan bulatkan anggaran 3cm. Buat lebih kurang 12 ketul. Ketepikan.
4. Keluarkan doh, tumbuk beberapa kali. Bahagian adunan kepada 12 ketul. Ambil satu adunan, leperkan dan masukkan inti dan tutup rapat. Buat sehingga selesai. Tutup dengan kain lembab.
5. Biarkan bun naik sekali ganda. Panaskan oven pada suhu 160C. Sapu permukaan bun dengan baki telur. Bakar bun sehingga masak atau anggaran 20 minit bergantung kepada oven masing masing.



 

Friday, September 26, 2014

Salted Caramel Flan



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Agak lama juga saya tak buat cream caramel. Dulu dulu saya suka beli bila setiap kali bulan Ramadhan, terutamanya di pasar ramadhan. Masa muda muda dulu agak liat sikit nak hala ke dapur. So bila nampak orang jual cream caramel rasa macam "excited" bila memikirkan betapa pandainya mereka menyediakan kuih atau hidangan seperti ini. Dulu malas nak ambil tahu sebenarnya, kalau rasa nak makan beli sahaja.

Tapi bila dah mula belajar ke dapur dan belajar selok belok memasak, rupa rupanya bukanlah susah sangat untuk menyediakan cream caramel ni.
 

Kali ini saya mencuba resepi Salted Caramel Flan. Boleh gunakan mana mana resepi cream caramel yang biasa anda gunakan cuma tambahkan garam semasa menyediakan caramel atau gula hangus. Pelbagai resepi boleh didapati dari internet. Pilih saja mana yang bersesuaian.

SALTED CARAMEL FLAN

Bahan bahan
5 sudu besar gula pasir
3 sudu besar air panas
1/2 sudu teh garam

Bahan Puding
5 sudu besar gula pasir
3 biji telur
2 biji kuning telur
2 cawan susu segar
Sedikit perasa vanilla

Cara cara
1. Sediakan Salted Caramel : Panaskan gula hingga keperangan. Masukkan air perlahan lahan. Kemudian masukkan garam dan gaul sebati. Tuang caramel ke dalam bekas yang sesuai seperti ramekin. Ketepikan.

2. Sediakan bahan puding: Pukul ringan telur dan gula hingga sebati. Masukkan esen vanila.
3. Panaskan susu sebentar, tidak perlu sampai mendidih. Tuang susu perlahan lahan ke dalam adunan telur sambil dikacau.
4. Tapis adunan supaya tiada gumpalan.
5. Panaskan oven pada suhu 170C. Tuang adunan telur ke dalam ramekin yang telah diisi caramel tadi.
6. Susun ramekin di dalam dulang dan masukkan ke dalam oven. Sediakan air panas dan tuang ke dalam dulang pembakar anggaran separuh tinggi ramekin.
7. Bakar sehingga masak, anggaran 30 minit bergantung pada oven masing masing. Sejukkan sebelum dihidang.

 

Monday, September 22, 2014

Kuih Keria




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Mesti kaum ibu kembali sibuk selepas sessi persekolahan kembali semula.

Cuaca yang tidak menentu sedikit sebanyak mempengaruhi keaadaan kesihatan kita. Tuan rumah suami isteri kurang sihat sejak beberapa hari ini. Badan rasa lemah dan lesu. Mungkin juga kerana kurang mengambil air kosong dan lebih banyak minum air berais.

Walau badan kurang selesa tetapi tekak teringin nak makan macam macam walhal bukannya nak makan banyak pun. So hari sabtu petang saya sediakan kuih keria sebagai juadah minum petang. Kebetulan sehari sebelumnya saya ada membeli keledek Jepun yang menjadi kesukaan kami. Selalunya saya rebus atau bakar saja keledek tu, tapi sebab teringin nak makan kuih keria, jadi saya gunakan untuk membuat kuih keria. Saya suka menyebutnya sebagai "Kuih Kuye". Entah datang dari mana pun saya tak tahu.....

Resepi dari blog Citarasawan, cuma saya buat sebahagian dari adunan asal.
 

Bahan bahan
250 gms keledek (Saya gunakan Keledek Jepun berwarna oren)
1 sudu besar tepung ubi kayu
80 gms tepung gandum
1/2 sudu teh garam
80 gms gula pasir + 3 sudu besar air untuk menyira kuih

Cara cara
1. Kupas keledek dan rebus hingga empuk/lembut. Tapis dan lenyek halus ubi keledek semasa masih panas.
2. Masukkan tepung gandum, tepung ubi dan garam. Uli sehingga doh tidak melekat ditangan.
3. Ambil doh anggaran 40 gms, bulatkan kemudian buat lubang ditengah. Tekan sedikit supaya sedikit leper. Buat sehingga habis adunan.
4. Goreng kuih keria sehingga masak dan toskan.
5. Di dalam kuali lain, masukkan gula pasir dan air. Masak sehingga bertali atau likat. Masukkan kuih keria tadi dan gaul supaya air gula menyaluti seluruh kuih keria.
6. Angkat dan hidangkan.

 

Friday, September 19, 2014

Kuih Siput



 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Dah boleh masuk dalam kategori "LAZY BLOGGER" kiranya ni kan... 

Sesekali saja menjelma. Once in a Blue Moon kata orang kampung teman. Susah juga nak ubati penyakit nan satu ni.

Beberapa hari lepas saya buat kuih siput. Angin tidak ribut tidak tiba tiba balik kerja terasa nak buat kuih siput pula. Apalagi google cari resepi yang bahannya memang dah ada di dapur.

Tengoklah kuih siput saya yang tak berapa nak macam siput. Itu belum tengok saiznya yang pelbagai - ada besar ada kecil. Bila rajin, saiznya kecil comel. Bila dah naik jemu menggentel, mulalah saiznya sebesar ibu jari. Hanya orang orang yang mempunyai kekuatan minda yang tinggi saja boleh maintain saiz yang comel. Saya tidak termasuk dalam golongan tersebut.



Mungkin sebab tekak saya yang kurang sihat atau silap di mana mana, rasanya tidak sama seperti kuih siput yang pernah saya makan sebelum ini. Tidak crunchy dan seakan akan lemau atau masuk angin.

Lain kali boleh cuba resepi yang lain pula. Kalau rasanya lebih kurang sama, confirm tekak saya yang punya angkara.

 

 Selamat berhujung minggu dan selamat kembali ke sekolah.

Thursday, September 11, 2014

Chia Seed Pudding with Poached Tangerines


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini agak sibuk so tak sempat nak buat karangan panjang lebar. Memandangkan stock Chia Seed masih banyak dalama simpanan, google cari resepi yang bersesuaian.


 


Chia Seed Pudding

Bahan bahan
1 cawan santan
1/4 cawan chia seed
3 sudu besar raw honey / maple syrup

Cara cara
1. Campurkan semua bahan ke dalam bekas sesuai. Gaul sekata dan biarkan pada suhu bilik lebih kurang 30 minit. Kemudian tutup bekas dan simpan dalam peti sejuk semalaman.


Poached Tangerines

3 biji buah limau tangerines - kupas dan ambil isi sahaja
1 1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan air
1 sudu teh vanilla

Cara cara
1. Masak gula, air dan vanila hingga pekat. Sejukkan.
2. Masukkan isi buah limau tangerines ke dalam syrup tadi. Simpan di dalam peti sejuk.

 


Chia Seed.
Gambar dari google

Tuesday, September 9, 2014

Chocolate Chips Peanut Butter Cookies


 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Baru saja cakap hari tu malas nak buat cookies lagi sebab baru lepas raya kan...

Sebenarnya hari Khamis lepas my BFF ajak "mengeteh" atau dalam bahasa rasminya minum petang lepas kerja keesokan harinya. Agak lama juga tak keluar sambil berbual. 

Macam la lama sangat kan.... Padahal baru jumpa masa open house sempena Hari Raya. Selalunya kalau berjumpa mesti ada yang bawa buah tangan atau belanja makan. So balik kerja hari khamis saya mula menggodek apa yang patut. Tak kan nak bawa perut je kan...

 

Memandangkan masih ada beberapa bahan untuk membuat cookies, saya google cari resepi yang mudah. Terjumpa resepi Choc Chips Peanut Butter Cookies dari Sweet & Delish. Hasilnya memang tidak mengecewakan cuma ia terlalu manis for my taste buds. So next time memang kena kurangkan gula.

Bagi mereka yang sukakan manis memang ok.
 

CHOCOLATE CHIPS PEANUT BUTTER COOKIES

Bahan bahan
1/2 cawan butter
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan gula perang
1 biji telur - dipukul ringan
1 1/2 cawan tepung serbaguna
1/2 sudu teh vanila
3/4 sudu teh baking soda
1/4 sudu teh garam
1/2 cawan peanut butter - yang kasar
1/2 cawan campuran chocolate chips

Cara cara
1. Ayak tepung, baking soda dan garam. Ketepikan.
2.Pukul butter dan gula hingga pucat dan kembang.Masukkan telur, vanilla dan campuran tepung tadi.Gaul sekata.
3. Kemudian masukkan peanut butter dan choc chips. Gaul sekata dan akan membentuk doh yang agak lembut.
4.Ambil sedikit doh, bulatkan dan letak di atas dulang pembakar yang telah digris. Atau boleh gunakan sudu.
5. Bakar di dalam oven pada suhu 170 darjah celcius selama lebih kurang 8-10 minit atau sehingga masak.
6. Sejukkan sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.
 

Thursday, September 4, 2014

Masak Lemak Daging Salai dengan Mangga Muda




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Lama tak update blog kan.... Maafkan kami, maafkan kami, maafkannn kamiiii....

Hendak dikatakan sibuk, tidaklah sibuk sangat sebenarnya. Tetapi lebih kepada tak tahu nak masak apa. Kadang kala menu yang berulang kali nanti jemu pula orang nak membaca. Nak buat kek dan biskut, rasanya raya dan rumah terbuka baru saja berlalu, masih belum hilang lagi "rasa kuih raya" kat tekak ni.

Itu yang membuatkan rasa malas nak buka blog sendiri.

Sempena cuti Hari Kemerdekaan yang lepas kami pulang ke kampung.Kebetulan ada jemputan kenduri jiran sebelah rumah sambil ambil peluang menghabiskan sisa sisa buah buahan di kampung.

Setiap kali pulang ke kampung kami akan melalui jalan yang penuh dengan orang menjual ikan patin sangkar atau patin sungai. Memandangkan kami (saya + suami) tidak makan ikan patin, so just cuci mata sajalah. Kalau sempat kami akan singgah di pasar tani yang kebanyakannya menjual hasil kampung. Memang seronok sebab boleh jumpa pelbagai tanaman kampung yang sukar ditemui di bandar.

Kebetulan masa itu musim buah dokong yang manis, kalau di Shah Alam, harganya sekitar RM5 sekilo. Di pasar tempohari, hanya dijual dengan harga RM2 sekilo.Saya beli 4 kilo tetapi penjual menambah hampir sekilo sambil menyuruh kita makan buah yang dijual. Memang boleh pengsan kekenyangan makan buah dokong...
  

Selain ikan patin, daging salai, ikan keli salai antara yang boleh didapati di tepi jalan. Sudah beberapa kali pesan dengan suami kalau ternampak tolong berhentikan kereta sebab saya hendak beli. Akhirnya saya dapat membelinya semasa pulang tempohari.

So menu malam tadi ialah Masak Lemak Daging Salai dengan Mangga muda dan Sambal Hitam Pahang. Bertambah tambah makan nasi. Yang dah gebu bertambah tambah gebu...

Masak Lemak Daging Salai dengan Mangga Muda

Bahan bahan (untuk 2 orang makan)
200 gms daging salai - dihiris nipis
1 biji mangga muda - dihiris saiz yang sesuai. Saya gunakan mangga lemak.
2 cawan santan pekat
10 ulas cili padi - ditumbuk
1 batang serai - diketuk
1 inci kunyit hidup - ditumbuk
Sedikit daun kunyit
Garam secukup rasa

Cara cara
1. Masukkan santan pekat, cili padi, kunyit, serai dan daun kunyit. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih. Sentiasa dikacau supaya tidak pecah minyak.
2. Masukkan pula daging salai dan mangga muda. Masak sebentar, kemudian perasakan dengan garam.
3. Matikan api dan sedia disajikan bersama sama nasi hangat dan sambal hitam.