Monday, November 30, 2015

Mee Kuah Daging




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera..

Sebenarnya banyak betul plan tukang masak nak buat bila hujung minggu. Tapi bila sampai saja hujung minggu, mesti tak jadi. Itulah namanya kita hanya mampu merancang....

Tapi yang paling "terbaik" sekali bila nak bakar roti, bekalan elektrik terputus. Walaupun bukan kali pertama berlaku tapi menyebabkan fuse box autogate rosak. Adoiiiii macam mana nak keluar kalau pagar tak boleh buka...

Bersemangat tukang masak prepare dari awal pagi. Mungkin oven saya dah terlalu "tua" atau mungkin ada yang rosak di mana mana...

Hari ini kita layan Mee Kuah Daging. Saya sukakan menu yang ada kaitan dengan mee. Apa jua jenis masakan yang menggunakan mee memang nampak menyelerakan di mata saya.

Layan gambar dulu, nanti saya update resepi.

Thursday, November 26, 2015

Kerabu Nangka Muda dengan Perut





Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Gara gara terpandang resepi Kerabu Nangka Muda yang dikongsikan Kak Gee Hut dalam majalah SAJI, terus cari bahan. Sebenarnya plan nak masak untuk dinner semalam tapi last minute tukar menu. So malam tadi baru terlaksana niat nak makan kerabu nangka muda. Tapi saya buat versi saya.






Kerabu Nangka Muda dengan Perut

Bahan bahan
3 potong nangka muda - dipotong kecil dan direbus hingga empuk. Toskan.
1 1/2 cawan perut lembu yang telah direbus hingga empuk
1 labu bawang besar - dihiris nipis
2 biji lada besar
4 biji cili padi
1 inci lengkuas
1 inci belacan
2 sudu makan kerisek
1/4 cawan santan - anggaran
Jus limau nipis/kasturi
Garam dan gula secukup rasa

Cara cara
1. Tumbuk lada besar, cili padi, belacan dan lengkuas hingga lumat.
2. Masukkan nangka muda, perut lembu, bawang besar dan bahan yang telah ditumbuk ke dalam bekas. Kemudian masukkan kerisek dan santan. Gaul sebati.
3. Perasakan dengan garam, gula dan jus limau kasturi.

Wednesday, November 25, 2015

Chawan Mushi @ Savoury Steamed Egg Custard





Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Chawan Mushi @ Savoury Steamed Egg Custard antara Japanese Food yang agak terkenal. Masih mencuba untuk mendapatkan permukaan custard yang licin. Mungkin sebab saya kukus menggunakan api yang agak besar. Next time kita cuba lagi.


Chawan Mushi

Bahan bahan
2 biji telur
1 1/2 cawan air suam
1/2 sudu teh instant dashi / chicken granules
1/4 sudu teh garam
1/4 sudu teh gula
2 sudu teh kicap
Cendawan shiitake - dihiris
Carot - dihiris
Jejari ketam - dihiris
Daun bawang - dihiris

Cara cara
1. Di dalam bekas, campurkan air suam, instant dashi,garam, gula dan kicap. Gaul sebati dan biarkan sejuk sebentar.
2. Pukul ringan telur jangan sampai berbuih. Masukkan ke dalam bekas stok tadi. Kacau sebati dan tapis.
3. Sediakan bekas sesuai, masukkan serba sedikit cendawan, carot, jejari ketam dan dau bawang. Kemudian tuang campuran telur tadi.
4. Panaskan kukusan, tutup bekas berisi campuran telur dengan penutup atau aluminium foil dan kukus anggaran 15 minit atau sehingga campuran telur keras.

Tuesday, November 24, 2015

Teh Gula Melaka



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Beberapa hari tanpa new entry. Mungkin salah makan atau allergic to something, tangan tukang masak mengalami kegatalan. So kena gantung periuk. Tapi tukang masak pun sebenarnya tak tau nak masak apa....

Semalam saja nak buat Teh 3 Lapis @ 3 Layer Tea. Saya pernah buat dulu. Tapi tersilap sikit saja, sepatutnya 3 layer cuma nampak 2 layer. Ok la tu kan. Bukan setiap kali buat mesti jadi.

So kena tukar nama dari 3 Layer Tea kepada Teh Gula Melaka atau 2 layer Tea.


Cara untuk menyediakan 3 Layer Tea boleh tengok di sini.




Wednesday, November 18, 2015

Mee Kuah Cendawan


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Menu dinner malam tadi selepas terkandas akibat banjir kilat. Sekarang bila nampak langit dah gelap saja, masing masing sibuk "larikan" kenderaan ke tempat yang lebih selamat.

Kali ini kita share resepi Mee Cendawan Berkuah. Resepi yang agak simple dengan rasa kuahnya yang pedas menyengat. Sedap menghirup kuah apatah lagi suasana sejuk selepas hujan. Jika tak suka terlalu pedas boleh kurangkan penggunaan cili. Mee juga boleh digantikan dengan bihun atau campuran kedua duanya sekali.



Mee Cendawan Berkuah
- dari buku Selera Perdana

Bahan bahan
500 gms mee - dicelur dan toskan
500 gms udang - buang kulitnya. ketepikan.

Bahan untuk kuah
50 gms lada kering - rendam dan kisar halus
100 gms fucuk - rendam dan potong saiz sesuai
100 gms bunga kimcam - rendam
5 ketul cendawan hitam - rendam
5 ketul cendawan shiitake - hiris nipis ( jika gunakan yang kering, rendam terlebih dahulu )
5 cm halia
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 cawan sos tomato
4 sudu besar taucu
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak masak
Air secukupnya

Cara cara
1. Rebus kulit udang hingga mendidih. Tapiskan.
2. Tumbuk halia, bawang merah dan bawang putih hingga lumat.
3. Panaskan minyak, tumis bahan yang telah ditumbuk bersama sama lada kering kisar hingga pecah minyak dan wangi. Masukkan air rebusan kulit udang.
4. Masukkan fucuk, bunga kimcam dan cendawan. Masukkan juga sos tomato, taucu dan isi udang. Biarkan ia hingga mendidih.
5. Perlahankan api, masukkan garam dan dan gula secukup rasa. Biarkan ia mereneh sebentar. Matikan api. Sedia dihidangkan bersama sama mee atau bihun.



Jumpa lagi....


Tuesday, November 17, 2015

Sambal Lada Hijau



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Pagi pagi dah tayang gambar sambal...
Ini menu malam tadi. Takde idea nak masak lauk apa. Masing masing kurang selera makan. My husband suruh masak nasi dan goreng telur, alahai tak kan nak makan nasi dengan telur dan kicap saja pulak. Tapi ok juga maklum sekarang kan musim hujan dan banjir.

Cakap pasal banjir, petang semalam Seksyen 13 Shah Alam dilanda banjir kilat. Ada kereta yang tak sempat dialihkan dan ada juga yang tersangkut di kawasan yang agak tinggi kerana jalan keluar dinaiki air. Kawasan yang agak teruk ialah berhampiran stesen bas sementara berdekatan Stadium Shah Alam. Semalam ramai yang keluar melihat air banjir yang bergerak agak laju. Kebanyakan jalan sesak kerana ada jalan yang telah ditutup.

Okay berbalik kepada Sambal lada Hijau kita...



Sambal Lada Hijau
- diambil dari Buku Selera Perdana

Bahan bahan
6 biji cili hijau
10 biji cili padi
1 cawan ikan bilis
8 ulas bawang kecil
3 ulas bawang putih
Belacan
Asam jawa / limau kasturi
Minyak untuk menggoreng

Cara cara
1. Goreng ikan bilis sebentar - jangan sampai garing
2. Goreng cili hijau, cili padi, bawang merah dan bawang putih berasingan dan ketepikan.
3. Tumbuk kasar ikan bili dan ketepikan.
4. Tumbuk bahan bahan yang telah digoreng tadi hingga lumat atau separuh kasar. Masukkan belacan dan tumbuk hingga sebati.
5. Masukkan semua bahan yang telah ditumbuk ke dalam bekas. Masukkan air asam jawa atau jus limau kasturi. Gaul sebati.

### Garam tidak dimasukkan kerana ikan bilis sudah masin tetapi jika suka lebih masin boleh tambah garam sesuai rasa.

Monday, November 16, 2015

Fried Sesame Balls




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Agak lama tiada entry baru. Tuan rumah sibuk dengan urusan kerja. Even weekend pun berumahtangga di tempat kerja. Tapi tak kaya juga... 
Kebetulan gas habis, tambah sibuk jadi memang langsung tak masak. Memang isteri mithali sungguh. Petang semalam baru beli gas, so sempat cuba buat kuih ala ala kuih BOM cuma berbeza intinya.

Biasanya Kuih BOM, intinya ialah kacang hijau yang masih berkulit atau inti kelapa. Tetapi untuk resepi ini menggunakan isi kacang hijau yang dibuang kulitnya. Semasa menggoreng, sempat juga muka makcik ke bom. Nasib baik sempat juga mengelak.


Friday, November 6, 2015

Raw Chocolate Banana Pudding




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selamat hari Jumaat dan selamat berhujung minggu yang mungkin agak panjang bagi sesetengah orang. Maklum lah hari Selasa depan ialah cuti sempena Deepavali. Mungkin ada yang ambil peluang untuk sambung cuti. Kepada yang bercuti selamat bercuti dan kepada yang bekerja, selamat menjalankan tugas.

Hari ini menu dessert yang super duper easy. No cooking involved. Tak perlu susah susah nak memasak.

Raw Chocolate Banana Pudding. 
 



Untuk 2 orang

Bahan bahan
3 biji pisang berangan - lagi enak kalau guna pisang emas yang masak ranum
2 sudu besar serbuk koko
1 sudu makan butter
2 sudu makan madu / gula tebu / gula pasir - jika gunakan pisang emas yang masak ranum, kurangkan kuantiti pemanis

Untuk hiasan
Kekacang seperti pistachio, pine nuts, almond
Buah buahan segar
Hirisan coklat

Cara cara
1. Masukkan semua bahan ke dalam blender, kisar halus.
2. Hidangkan di dalam bekas yang sesuai dan taburkan dengan bahan hiasan. Enak selepas disejukkan.

Bagaimana?
Senang kan......

 

Thursday, November 5, 2015

Nasi Daging Air Asam




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Plan asal nak buat Nasi Daging ni masa dapat daging qurban. Tetapi biasalah, bila ada stok daging dalam freezer, mood nak buat hilang entah ke mana. Dari hari ke hari bertangguh sampai bertukar tahun hijrah pun.

Memandangkan ada baki daging yang saya gunakan untuk memasak Pad Kra Pao tempohari, saya gunakan untuk memasak nasi daging.
Masak guna resepi yang simple saja.

Bahan bahan 

600 gms daging lembu
1 cm halia
1/2 sudu besar garam
Air secukupnya.

** Masukkan semua bahan ke dalam Pressure Cooker dan masak mengikut arahan.

Bahan untuk Nasi

2 cawan beras - cuci bersih dan toskan
3 ulas bawang merah - dihiris *
2 ulas bawang putih - dihiris *
1 cm halia - dihiris *
1 sudu besar minyak masak
1 sudu besar minyak sapi
1 batang kulit kayu manis *
4 tangkai bunga cengkih *
1/2 sudu teh jintan manis *
2 biji bunga lawang *
5 biji buah pelaga *
2 sudu makan rempah sup - campur sedikit air rebusan daging untuk menjadikan sebagai pes. *
1 helai daun pandan

Cara cara
1. Masukkan beras ke dalam periuk nasi. Simpulkan daun pandan dan masukkkan ke dalam periuk.
2.Masukkan air rebusan daging ke dalam periuk nasi seperti kita hendak memasak nasi putih cuma lebihkan sedikit.
3. Panaskan minyak masak dan minyak sapi. Tumis semua bahan bertanda * hingga wangi. Tuang ke dalam periuk nasi tadi dan gaul sebati. Masak nasi seperti biasa.

Bahan untuk Air Asam Kerisek

Lada hijau
Lada Merah
Cili Padi
Bawang besar
Tomato
Belacan
Garam
Air asam jawa
Kerisek

Cara- Cara
1.Lada hijau, lada merah, cili padi, bawang dan tomato di hiris nipis.
2. Campurkan air asam jawa, belacan dan garam. Masukkan semua bahan yang telah dihiris. Masukkan kerisek dan gaul sebati.
  

 Hidangkan nasi bersama hirisan daging dan juga air asam.



Wednesday, November 4, 2015

Kuih Seri Muka Gula Melaka

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Apakata hari ini kita sarapan dengan kuih Seri Muka Gula Melaka. Gigih makcik shoot gambar di malam hari.

Resepi rujuk dari blog Azlita Masam Manis yang menggunakan gula merah. Tapi saya gunakan gula melaka, sebab itu yang ada.

Resepi akan menyusul kemudian. 






Bahan untuk lapisan bawah
2 cawan beras pulut - (rendam lebih kurang 4 jam),cuci bersih dan toskan
2 1/2 cawan santan cair - saya gunakan kurang, hanya sama level dengan beras pulut
1 sudu teh garam
1 simpulan daun pandan

Cara cara
1. Masukkan beras pulut di dalam bekas dan masukkan santan, garam dan daun pandan.Kukus pulut hingga masak.
2.Kemudian lapik loyang berukuran 8 inci dengan plastik dan sapukan sedikit minyak jagung.
3. Masukkan pulut dan tekan hingga mampat.

Bahan untuk bahagian atas
1 biji telur
2 sudu besar gula pasir
1 1/4 pati santan
2 keping gula melaka - potong kecil
1/2 sudu kecil garam
1 1/2 sudu besar tepung jagung
1 1/2 sudu besar tepung gandum
1 helai daun pandan disimpul.

Cara cara
1. Masukkan santan, gula melaka, gula pasir dan daun pandan ke dalam periuk. Masak hingga gula hancur. Matikan api dan tapis.
2. Di dalam bekas lain, masukkan telur, tepung jagung, tepung gandum dan garam. Gaul sebati.
3. Tuangkan adunan gula melaka ke dalam campuran tepung dan telur. Gaul sekata. Kemudian tapis ke atas pulut.
4. Tutup loyang dengan kertas aluminium. Kukus lebih kurang 20-30 minit atau sehingga masak.
5. Biarkan betul betul sejuk sebelum dipotong.

 


Monday, November 2, 2015

Pad Kra Pao @ Stir Fry Beef with Thai Basil



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera..

Saya search resepi menggunakan daun Thai basil gara gara saya ternampak pokok ini begitu subur, di tanam di dalam bekas di hadapan sebuah restoren masakan Thai. Khusyuk betul tengok pokoknya yang hijau dan subur. Walaupun saya selalu nampak ia dijual di pasaraya tapi tak terlintas nak beli dan menggunakannya. Sebab saya rasa baunya agak kuat.

Tapi sabtu lepas, terdetik nak mencuba menggunakannya. Bagaimana rasanya bila sudah dimasak dengan bahan lain. Sejujurnya, walaupun setelah dimasak, bau dan rasanya agak dominan jadi kepada sesiapa yang kurang menggemari baunya boleh mengurangkan kuantiti daun Thai basil ini.
 
 Bahan bahan
400 gms daging lembu - hiris nipis
3 ulas bawang putih - dihiris
1 labu bawang merah - dimayang
1/2 biji lada capsicum/bell pepper- dipotong nipis
1 sudu makan kicap pekat
1 sudu teh kicap cair
1 sudu teh sos tiram
1 sudu makan sos ikan
1/2 sudu teh gula
1/2 cawan daun Thai Basil
Sedikit daun ketumbar - untuk hiasan
2 sudu makan minyak

cara cara
1. Panaskan minyak, goreng daging separuh masak, keluarkan.
2. Tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu, kemudian masukkan daging tadi.
3. Masukkan kicap pekat, kicap cair, sos tiram, sos ikan dan gula. Gaul rata.
4. Kemudian masukkan lada capsicum/bell pepper dan daun Thai basil. Kacau sebati dan perasakan dengan garam jika perlu.
5. Hidang bersama sama nasi putih.
 


Cold-Brewed Coffee



 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...
Ermmmm agak lama saya tak minum coffee, sebab perut agak sensitif. Dulu dulu tak ada masalah kalau minum banyak tapi bila umur makin meningkat, banyak nikmat yang dah ditarik balik. Tetapi sesekali kalu terasa teringin saya akan minum juga.... Kalau beli sepaket kopi mungkin 6 bulan pun belum tentu habis.

Kali ini saya cuba buat Cold-Brewed Coffee.




 Apa yang diperlukan cuma serbuk kopi yang dikisar kasar, air sejuk dan masa. Kena sabar sebab ia memerlukan sekurang kurangnya 12 jam. Kalau tak, kena buat cara biasa, gunakan air panas.

Bahan bahan
1 cawan serbuk kopi - saya gunakan Vietnamese Coffee Bean
4 cawan air sejuk
Susu
Simple syrup

Cara cara
1. Masukkan serbuk kopi ke dalam Mason Jar. Tuangkan air sejuk dan tutup rapat. Simpan di dalam peti sejuk lebih kurang 12 jam atau semalaman.
2. Tapis. Ambil 1 bahagian cold-brewed coffee dan tambahkan 2 bahagian air, kemudian hidangkan mengikut kesukaan. Jika suka kopi O hanya masukkan syrup/air gula dan jika suka bersusu, tambahkan susu atau krimer.

Ermmm enak dihirup sambil menikmati suasana selepas hujan...