Assalammualaikum dan Selamat Pagi...
Sedar tak sedar sudah sampai hari Jumaat, cepat betul masa berlalu. Tambahan kalau sibuk dengan segala macam urusan yang tidak pernah habis.
Sudah beberapa hari saya teringin nak makan masak lemak siput sedut. Puas juga mencari dipasaraya berdekatan tetapi tiada bekalan siput sedut, barangkali disebabkan cuti Tahun Baru Cina yang agak panjang. Sebenarnya perancangan asal my husband cuma nak makan mee goreng saja untuk makan malam. Tetapi bila saya ke pasaraya untuk membeli bahan untuk memasak mee, ternampak pula siput sedut. Jadi terus tukar menu...
Siput sedut yang sedikit kecil saiznya, tetapi sebab dah teringin nak makan, saya beli juga. Kebetulan pokok kaduk yang my husband tanam tu agak menjadi, daunnya agak lebar dan hijau pekat. So saya masukkan beberapa helai daun kaduk ke dalam masak lemak ini.
Sedap makan siput sedut ni tapi leceh bila bab nak membersihkannya dan menyedut......
SIPUT SEDUT MASAK LEMAK
Bahan bahan
1/2 kilo siput sedut - potong bahagian belakang dan rendam seketika ( saya beli siput yg siap dibersihkan dari lumpur)
1 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
3 helai daun kaduk - dihiris nipis
1 labu bawang besar *
2 biji cili merah besar *
5 biji cili padi *
2 cm kunyit *
2 batang serai - ketuk
1 keping asam gelugor
Garam secukup rasa
Cara cara
1. Kisar bahan bertanda * hingga hancur. Masukkan ke dalam periuk bersama sama santan cair.
2. Kemudian masukkan siput sedut dan masak hingga mendidih.
3. Masukkan serai, daun kunyit dan asam gelugor. Biarkan ia mereneh seketika dengan api perlahan.
4. Masukkan garam dan santan pekat, masak sebentar dan kacau sekali sekala supaya santan tidak pecah minyak.
5. Bila sudah mendidih, bolehlah matikan api.
Cara cara membersihkan Siput Sedut
1. Masukkan siput sedut ke dalam bekas dan masukkan hampas kelapa.
2. Gaulkan siput dengan hampas kelapa dan biarkan 1-2 jam. Kemudian cuci bersih.
3. Ambil siput dan potong bahagian hujungnya dan rendam siput di dalam air sebelum digunakan untuk memasak.






