Showing posts with label Pudding. Show all posts
Showing posts with label Pudding. Show all posts

Monday, September 18, 2017

Matcha Pudding



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.....

Eh tiba tiba timbul entah dari mana kan. Memang betul betul lama blog ni tidak berpenghuni. Tuan rumah memang lama sungguh tenggelam di lautan dalam. Apatah lagi sekarang memang jarang sangat memasak atau mencuba resepi baru. Kadang kala ada juga rasa nak update blog tapi entahlah, tak tau kemana hilangnya rasa excited nak update blog seperti dulu.

Dua minggu lepas bila encik suami tiba tiba cakap saya dah lama tak buat kek, mungkin dia teringat dulu pantang ada masa mulalah tangan rasa gatal je nak membaking. Bila sesekali nak buat kek, puas mencari di mana semua peralatan yang diperlukan. Dah lupa letak dimana.

Semalam tiba tiba rasa gatal tangan nak buat something, kebetulan saya baru beli serbuk green tea / matcha powder. Selalunya saya buat Green Tea Latte di rumah kerana boleh kawal kemanisan mengikut kemahuan sendiri. So semalam saya buat Matcha pudding.



MATCHA PUDDING

300 ml susu segar
1 sudu besar serbuk matcha
4 sudu besar madu
1/2 sudu besar serbuk agar agar
1 sudu besar air panas

Cara cara
1. Campurkan serbuk matcha dengan air panas dan kacau hingga sebati.
2. Panaskan susu tetapi jangan sampai mendidih, sekadar untuk melarutkan serbuk agar agar. Masukkan serbuk agar agar dan kacau hingga larut. kemudian matikan api.
3. Tuang campuran matcha dan madu kedalam susu dan kacau hingga sebati.
4. Sediakan ramekin @ bekas kaca yang sesuai, tuang dan biarkan sehingga sejuk. Boleh simpan di dalam peti sejuk.

## Boleh gantikan madu dengan gula pasir jika suka.



Thursday, December 17, 2015

Puding Roti Pandan Kukus



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Sudah beberapa hari badan rasa kurang sihat, tambahan mulut diserang ulcer. Aduhaiiiii perit rasanya. Bila nak makan rasa siksa sangat. Tapi perut asyik menjerit lapar saja...

Seperti biasa, saya selalu ketinggalan. Orang dah lama buat, saya baru nak mencuba. Ok juga kan, kalau semua orang mencuba resepi yang sama dalam masa yang sama, tak ada variasi pula. So bila dah suam suam kuku atau sejuk, baru saya cuba. Ermmmm alasan je tu...



Mentang mentang pokok pandan merimbun, kalau boleh masak je nak letak daun pandan. Kalau masak nasi memang akan letak sehelai daun pandan. Wangi je bau wap yang keluar. Kadang kala kalau masak kari pun saya letak daun pandan. Sebab tak mahu pokok pandan terlalu rimbun, risau kalau menjadi tempat ular berehat.

Ada juga terlintas nak buat kek pandan gula melaka tapi terpaksa ditangguhkan sementara masalah oven saya diselesaikan.

PUDING ROTI PANDAN KUKUS

Bahan bahan
6 keping roti putih
1 kotak kecil santan
6 helai daun pandan + air - kisar dan tapis jadikan 500 mls
1 sudu besar air ros
2 biji telur
1/4 cawan gula pasir
1 bekas aluminium foil

Cara cara
1. Campurkan santan dan air pandan ke dalam satu bekas. Pukul ringan telur dan masukkan ke dalam mangkuk yang sama.
2. Masukkan gula dan air rose kemudian kacau sebati. Masukkan roti putih dan biarkan ia menyerap larutan pandan tadi.
3. Susun roti di dalam bekas aluminium foil dan tuang baki larutan tadi ke dalam bekas aluminium foil tadi. Tutup dengan aliminium foil dan kukus hingga masak. Sejukkan sebelum dipotong.



KUAH KASTARD

Bahan bahan
1 tin susu cair
1 tin buah buahan campuran
1 1/2 tin air - gunakan tin susu tadi
2 sudu besar gula
1 sudu besar tepung kastard
1 sudu besar air rose

Cara cara
1. Campurkan semua bahan di dalam periuk. Kacau sebati.
2. Masak sehingga kuah kastard sedikit pekat. Sejukkan sebelum dihidang bersama puding roti pandan kukus.


Friday, November 6, 2015

Raw Chocolate Banana Pudding




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Selamat hari Jumaat dan selamat berhujung minggu yang mungkin agak panjang bagi sesetengah orang. Maklum lah hari Selasa depan ialah cuti sempena Deepavali. Mungkin ada yang ambil peluang untuk sambung cuti. Kepada yang bercuti selamat bercuti dan kepada yang bekerja, selamat menjalankan tugas.

Hari ini menu dessert yang super duper easy. No cooking involved. Tak perlu susah susah nak memasak.

Raw Chocolate Banana Pudding. 
 



Untuk 2 orang

Bahan bahan
3 biji pisang berangan - lagi enak kalau guna pisang emas yang masak ranum
2 sudu besar serbuk koko
1 sudu makan butter
2 sudu makan madu / gula tebu / gula pasir - jika gunakan pisang emas yang masak ranum, kurangkan kuantiti pemanis

Untuk hiasan
Kekacang seperti pistachio, pine nuts, almond
Buah buahan segar
Hirisan coklat

Cara cara
1. Masukkan semua bahan ke dalam blender, kisar halus.
2. Hidangkan di dalam bekas yang sesuai dan taburkan dengan bahan hiasan. Enak selepas disejukkan.

Bagaimana?
Senang kan......

 

Friday, September 25, 2015

Puding Sedut


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha buat semua yang meraikannya. Saya dan suami hanya meraikannya di Shah Alam saja. Separuh hari sibuk membantu kawan kawan yang menyertai ibadah Qurban so tidak terasa sangat walau tidak berada di kampung halaman. 

Hari ini sudah kembali bekerja semula. Walaupun berdua, saya masih menyediakan juadah Rendang Ayam dan Ketupat Nasi. Tapi hari ini saya upload gambar Puding Sedut yang saya sediakan sebelum hari raya. Hari tu nampak Azlita dan Zila upload dalam blog mereka. Saya tidak lah punya kesabaran yang tinggi seperti mereka untuk menyediakan puding sedut "paddle pop" yang berlapis. Malas nak menunggu.....

Jadi saya cuma buat satu perasa saja iaitu Matcha atau Green Tea. Memandangkan stok Green tea saya tinggal sedikit, jadi warna yang terhasil agak pucat dari sepatutnya. Mungkin lain kali boleh buat perisa yang lain pula.
 
  
 Puding Sedut saya sedikit keras dari yang sepatutnya. Lain kali saya kena ukur dengan lebih tepat jumlah cecair yang digunakan.

Thursday, September 11, 2014

Chia Seed Pudding with Poached Tangerines


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini agak sibuk so tak sempat nak buat karangan panjang lebar. Memandangkan stock Chia Seed masih banyak dalama simpanan, google cari resepi yang bersesuaian.


 


Chia Seed Pudding

Bahan bahan
1 cawan santan
1/4 cawan chia seed
3 sudu besar raw honey / maple syrup

Cara cara
1. Campurkan semua bahan ke dalam bekas sesuai. Gaul sekata dan biarkan pada suhu bilik lebih kurang 30 minit. Kemudian tutup bekas dan simpan dalam peti sejuk semalaman.


Poached Tangerines

3 biji buah limau tangerines - kupas dan ambil isi sahaja
1 1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan air
1 sudu teh vanilla

Cara cara
1. Masak gula, air dan vanila hingga pekat. Sejukkan.
2. Masukkan isi buah limau tangerines ke dalam syrup tadi. Simpan di dalam peti sejuk.

 


Chia Seed.
Gambar dari google

Thursday, April 24, 2014

Pumpkin Creme Brulee



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah sejak 2,3 hari kebelakangan ini Shah Alam sentiasa dibasahi hujan. Cuaca mendung dan sejuk saja. Sebelum kemarau dulu, kalau hujan saja, ada penduduk Shah Alam yang risau kerana kemungkinan banjir tiba tiba melanda. 

Harap kalau hujan setiap hari, cepatlah catuan air akan berakhir.



Konon kononnya nak buat cream brulee walaupun tak ada blow torch yang digunakan untuk membakar lapisan gula di atas permukaan puding ni. Ada yang gunakan cara membakar sebentar di dalam oven atau memanaskan belakang senduk dan letakkan di atas lapisan gula.

Agaknya saya silap teknik, gula yang dibakar tidak mengeras tetapi bertukar menjadi caramel. Walau bagaimanapun tetap sedap sebab saya penggemar labu.

Kebiasaannya ada pumpkin pie spices yang dicampurkan di dalamnya tetapi saya kurang gemarkannya, saya tidak masukkan dalam pumpkin cream brulee saya.



PUMPKIN CREAM BRULEE

Bahan bahan
350 ml susu segar ( kalau suka boleh gunakan half and half)
3 biji telur
2/3 cawan gula perang - agak manis, boleh kurangkan sedikit.
1 sudu teh vanilla
1 cawan pumpkin puree
1/4 cawan gula - untuk tabur di atas pudding

Cara cara
1. Masukkan gula dan telur ke dalam bekas, pukul ringgan.
2. Panaskan susu jangan sampai mendidih, tuangkan perlahan lahan ke dalam mangkuk yang berisi telur dan gula.
3. Kacau perlahan lahan, masukkan pumpkin puree dan vanila. Gaul sekata.
4. Tapiskan adunan dan tuangkankan ke dalam bekas ramekin atau bekas kaca tahan panas.
5. Masukkan ramekin ke dalam dulang pembakar, tuangkan air panas ke dalam dulang pembakar.
6. Bakar di dalam oven pada suhu 170 darjah celcius selama 20 minit atau sehingga pudding sedikit keras.
7. Kelaurkan pudding, tabur sedikit gula  dab bakar di dalam oven sebentar sehingga gula cair dan bewarna keperangan. Kalau ada blow torch, bakar terus tidak perlu masukkan semula ke dalam oven.



Tuesday, December 25, 2012

Kabocha Pudding


As Salam dan Selamat petang,


Oh ya, Selamat bercuti kepada semua sempena Hari Natal.
Kepada kawan kawan yang berada di Terengganu, Kelantan dan Pahang, harap agar sentiasa berwaspada kerana banjir yang melanda dan berita juga mengatakan ia sudah tahap jingga yakni agak merbahaya. Beberapa rakan saya yang tinggal di Kuantan, rumah mereka pun dah dilanda banjir dan hujan tak berhenti henti. Memang memeritkan bila rumah dimasuki air banjir. Sudahlah banyak peralatan rumah yang mungkin rosak, nak mencuci rumah selepas banjir pun sangat memenatkan.




Hari ini cuaca mendung di Shah Alam, sejak beberapa hari ini pagi memang panas terik tetapi bila sampai tengahari langit mula mendung dan tak lama kemudian hujan turun dengan lebatnya. Seksyen 13 pun boleh banjir.

Sudah beberapa hari tiada entry dalam blog, so hari ini saya letak entry berkaitan Kabocha Pudding.

Apa itu Kabocha?
Ia adalah sejenis labu yang biasanya didapati di negara Jepun.Buahnya agak kecil, berkulit bewarna hijau dan tiada segment seperti buah labu yang biasa kita dapati di sini. Ini pertama kali saya jumpa, so just curious nak tau bagaimana rasanya, saya beli sebiji. Harganya agak mahal dari labu biasa.


Memandangkan rasa malas nak buat kuih muih yang mengambil masa yang lama, saya bercadang nak buat Pumpkin Pudding menggunakan Kabocha menggantikan labu.




Resepi saya ambil dari internet, cuma saya omit pumpkin pie spice yang digunakan dalam resepi ini kerana saya mahu pudding saya just sweet without the taste of the spices.



Kabocha Pudding

Bahan bahan
2 cawan susu segar
1/4 cawan gula
1/4 cawan tepung jagung
2 biji telur
1 cawan kabocha puree ( kukus kabocha dan lenyek)
1 sudu teh vanilla essence
1/4 sudu teh garam

Cara cara
1. Masukkan susu,gula dan tepun jagung di dalam periuk. Kacau menggunakan whisk dan biarkan hingga mendidih. Biarkan mendidih anggaran 3 minit dan sentiasa kacau.
2. Pukul telur menggunakan whisk di dalam mangkuk, masukkan sedikit demi sedikit separuh campuran susu tadi ke dalam mangkuk berisi telur.
3. Masukkan semula campuran susu + telur ke dalam periuk yang berisi separuh lagi campuran susu.
4. Masak lebih kurang 2 minit atau sehingga agak kental. Angkat dari api, masukkan kabocha puree, garam dan vanilla essence. Kacau sebati.
5. Sudukan campuran pudding ke dalam jar/bekas yang sesuai. Biarkan ia sejuk atau sehingga pudding keras.





Monday, August 13, 2012

Fruit Cocktail Jelly


Salam semua....

Ya ya, saya tahu. Saya memang malas sangat nak update blog kebelakangan ni. Maafkanlah ye, bukan tak masak tapi entah kenapa asyik bertangguh saja nak ambil gambar dan akhirnya terus tak jadi. Macam hari sabtu lepas, my husband request nak makan bihun sup utara. So bila dah siap semua, cuma tinggal nak susun  dan snap je. Tapi asyik cakap dalam hati sekejap lagilah baru buat.... dan akhirnya terus tak jadi.



So hari ni just letak gambar fruit cocktail jelly, kalau tidak lagilah lama tak berupdate blog ni. Maaf takde tayangan kuih raya sebab saya maintunjuk tunjuk je tahun ni....

Bahan bahan
8 gms serbuk agar agar
600 ml air
1/2 cawan gula pasir
1 helai daun pandan
Fruit cocktail

Cara cara
1. Masak air, gula, serbuk agar agar dan daun pandan hingga mendidih dan gula hancur. Matikan api dan keluarkan daun pandan.
2. Sediakan bekas jelly yang sesuai, masukkan fruit cocktail dan tuang larutan agar agar hingga penuh.
3. Sejukkan dalam peti ais sebelum dihidangkan.


Wednesday, May 9, 2012

Avocado Pudding


Salam dan Selamat Pagi...

Tuan rumah masih belum sihat sepenuhnya, dan kebetulan pulak banyak kerja dan sedikit occupied. So, tak sempat nak bertandang ke rumah jiran tetangga. Mesti banyak yang saya dah ketinggalan ni....

Untuk entry kali ini, saya letak satu pemanis mulut aka dessert yang mudah dan sedap sekali. Bagi penggemear Avocado, mesti menyukai rasanya apatah lagi bila ditambah dengan sos coklat Hersheys.....



Sepatutnya kena gunakan buah avocado yang telah ranum untuk mendapatkan texture yang baik. Tapi memandangkan buah avocado yang saya beli tu belum cukup ranum, so ia tidak begitu smooth and silky.



Avocado Pudding

Bahan bahan

1 sudu makan instant jelly
2 cawan air panas ( boiled water )
1 biji buah avocado yang masak
1/2 cawan susu pekat manis ( kurangkan jika perlu )
Secubit garam
Sos coklat

Cara cara
1. Campurkan semua bahan kecuali sos coklat, kisarkan dengan pengisar tahan panas hingga halus dan sebati.
2. Tuangkan ke dalam bekas dan sejukkan.
3. Hidangkan bersama sama sos coklat.

****
1. Kisarkan buah avocado, susu pekat, garam dan 1 cawan air.
2. Didihkan 1 cawan air dan masukkan instant jelly, kacau hingga sebati dan serbuk jelly larut. Masukkan bahan kisar tadi dan kacau sekata.
3. Tuang dalam bekas dan sejukkan.


Monday, March 12, 2012

Puding Soya Kacang Merah


Salam buat semua pengunjung My Small Kitchen...


Terima Kasih yang tak terhingga buat teman teman yang mengucapkan Selamat Hari Lahir. Semoga persahabatan berkekalan walaupun sekadar di alam maya.


Apakata hari ini saya jamu mata dengan Puding Soya dengan Kacang Merah, tambahan cuaca di luar mendung dan baru saja hujan berhenti. Lagi la seronok kalau ada di rumah, boleh la berlingkar di atas sofa.... Dulu dulu masa kecik duduk di kampung, kalau musim hujan, bila terasa lapar mulalah cari ubi kayu rebus cicah kelapa parut atau gula merah atau kalau ada lebihan sambal. Kalau tak ada ubi kayu, ubi keledek rebus pun boleh jadi juga. itulah makanan yang paling senang nak dapat sebab di tanam di sekeliling rumah.

Hari sabtu saya balik ke kampung, kebetulan ada kenduri kahwin sedara mara dan adik beradik saya semua berkumpul. Hari Ahad balik semula ke Shah Alam, sementara my husband ke office menyiapkan kerjanya sempat la saya sediakan apa yang patut untuk makan malam. Bila buka peti ais, ada lebihan susu soya, kidney beans dan air gula melaka. Apa lagi cari la resepi yang boleh dibuat menggunakan 3 bahan yang ada tu.

Sunday, March 4, 2012

Puding Roti Butterscotch berjagung dan hadiah harijadi


Dah lama tak buat puding...


Kebetulan saya ada beli roti but butterscotch so terfikir nak buat puding/agar agar roti. Saya gunakan resepi agar agar roti yang dah ramai blogger masakan cuba. Rasanya dari resepi Hana.

Seperti biasa, saya selalu derhaka pada resepi, saya gunakan roti butterscotch dan tambahkan krim jagung ke dalam adunan. Rasanya lebih sedap kerana roti dan isi jagung dan untuk tambah kesedapannya saya makan dengan sos coklat.


Lagi banyak sos coklat, lagiiiiiii sedap.



Yang ini ialah hadiah harijadi saya minggu depan.

Saya dapat awal dua minggu, hari ahad lepas my husband keluar dan bila balik dia bawa satu beg plastik dan cakap, ini hadiah harijadi. Tak ada pembalut hadiah dan tak ada bunga atau kad.

Itulah suami saya.....

Sunday, October 9, 2011

Puding Tembikai


Mood nak main masak masak dah menjelma sikit demi sedikit. So entry kedua hari ini ialah Puding Tembikai. Punyalah lama pendam nak buat bila tengok kawan kawan lain buat. Baru hari ni berjaya buat juga akhirnya.
Sebab agak terleka, bahagian putih tu dah agak keras masa saya tuang adunan hijau, lupa nak cucuk cucuk sikit. So bila nak potong, bahagian bawah tu dah tertanggal. Walau bagaimana pun saya kurangkan kuantiti gula dari yang asal sebab saya rasa agak manis nanti sebab selain gula ada susu pekat manis lagi.Resepi asal tak pasti dari siapa tapi dah ramai blogger yang sudah mencuba resepi ini.


Bahan Bahan
1 paket agar agar agar ( lebih kurang 15 gms)
2 keping roti putih
6 cawan air
1 1/2 cawan gula ( saya cuma gunakan 1 cawan sahaja )
1/2 tin susu pekat
2 sudu besar mentega
1 sudu teh esen vanila
Sedikit cincau - dipotong kecil sebagai biji tembikai
Pewarna - merah dan hijau

Cara cara
1. Rebus agar agar hingga larut, masukkan gula dan kacau lagi hingga gula hancur.
2. Apabila mendidih, masukkan mentega dan susu pekat.
3. Ambil sedikit adunan, campurkan dengan roti putih, ksar hingga hancur. Tuang kembali ke dalam periuk tadi.
4. Ambil sedikit adunan, letakkan pewarna hijau dan tuang ke dalam bekas. Biarkan seketika sehingga agak beku.
5. Ambil sedikit adunan tanpa pewarna, tuang ke atas adunan hijau tadi dan biarkan sedikit beku.
6. Lebihan adunan di campurkan dengan pewarna merah dan tuang ke atas adunan putih tadi.
7. Potong cincau kecil kecil dan taburkan ke dalam adunan merah tadi sebagai biji tembikai. Sejukkan.


*** Saya terbalikkan bermula dengan merah, putih dan hijau.


Puding Tembikai

Wednesday, January 12, 2011

3B Pudding

Apalah yang 3B Pudding tu ye.....

Actually ia singkatan dari BREAD, BUTTER AND BANANA PUDDING. Pandai pandai menggubah resepi orang kan.... Ala bukannya merosakkan tetapi mempelbagaikan resepi. Takdelah sama je rasanya kan....


Rasanya seminggu dua ni musim pisang kot, sebabnya dah beberapa kali saya mengintai rumah kawan kawan, ada je resepi yang menggunakan pisang. Jadi saya pun teringin nak gunakan pisang juga dalam resepi saya kali ni.
Bahan bahan
5 keping roti Gardenia
2 biji telur
300 ml susu segar
6 sudu besar gula
1 sudu teh essen vanilla
Sedikit blackcurrant kering / kismis pun ok
1 biji pisang berangan - dipotong kecil
1 sudu makan butter - dicairkan

SOS KASTARD

1 tin susu cair
1 sudu besar tepung kastard
1 sudu teh essen vanilla
1 biji telur
2 sudu besar gula - bergantung pada kemanisan yg disukai.

Cara cara
1. Koyakkan roti kepada bahagian kecil dan masukkan ke dalam loaf pan bersama dengan potongan pisang.
2. Bancuh susu segar, telur, gula, butter dan essen vanilla. Tuangkan ke dalam loaf pan yang berisi roti dan pisang tadi.
3. Taburkan blackcurrant di atas permukaan dan susun potongan pisang jika suka. Taburkan sedikit gula pasir di atas supaya bila siap dibakar nampak seperti caramelized sugar.
4. Bakar di dalam oven hingga masak.
SOS KASTAD - Campurkan semua bahan dan masak di atas api hingga sebati dan mendapat kepekatan yang dikehendaki.

Friday, November 12, 2010

Puding Jagung Bersos Kastad

Pudding Jagung Bersos Kastad.

Bahan bahan
Puding Jagung - Saya guna instant powder, so ikut je arahan yg diberikan.

Bahan kuah
1 tin susu cair
1 cawan air
1 tin fruit cocktail
Gula secukup manis
1 sudu besar tepung kastad

Cara cara
1. Masukkan semua bahan kecuali fruit cocktail ke dalam periuk. Panaskan hingga semua bahan sebati.
2. Tidak perlu sehingga mendidih, tutup api dan masukkan fruit cocktail dan sejukkan.
3. Hidangkan bersama sama puding jagung, enak di makan sejuk.

Saturday, March 27, 2010

Mango Pudding


Saya memang tak boleh tengok mangga, walau hari hari makan pun masih tak jemu. Sebab tu boleh dikatakan mangga sentiasa ada dalam peti ais saya. Agaknya kenan dengan buah mangga kot.

So tadi saya buat mango pudding, gunakan resepi Yani yang ada kat MyR tu.



Bahan-bahan ( 150ml- 4 cups )

* 50ml susu segar
* 50g gula
* 1 1/2 sudu kecil gelatin + 1 sudu besar air
* 250g isi mango yg dah dikisar (puree)
* 50g plain yogurt
* 125ml whipping cream
* utk Hiasan
* 2 biji mango

Cara-cara

1. Masukkan serbuk gelatin ke dalam 1 sudu besar air. Kacau dan biarkan 10 minit. (Jgn masukkan air ke dlm serbuk gelatin utk elakkan gelatin dr berketul-ketul)
2. Panaskan susu segar dan gula sehingga gula cair. Jangan sampai mendidih. Sejukkan sekejap. Kemudian masukkan gelatin tadi . ( Ini utk mengelakkan gelatin tu dari berbau) Kacau sehingga gelatin larut.
3. Masukkan semua bahan-bahan lain ke dalam food processor/blender. Mix sehingga semuanya sebati.
4. Kemudian masukkan campuran gelatin dan susu tadi. Mix lagi.
5. Akhir sekali bolehlan tuang ke dalam bekas yang sesuai dan sejukkan sekurang-kurangnya 2 jam sebelum mkn.
6. Sebelum hidang bolehlah dihiaskan dengan susu pekat dan juga mango yg dipotong dadu.

Friday, March 26, 2010

Microwave Banana Pudding


Rasanya dah ramai yang buat microwave banana pudding ni. memang senang dan cepat je dah siap. Saya memang suka buat yang senang dan cepat ni, maklumlah tergolong dalam golongan org org yg " terlebih rajin".

Rasanya bermula di rumah Ijan ( kalau tak silap). Saya nampak kat rumah ika. Resepi boleh check kat sini ye...

Tuesday, September 29, 2009

Puding Tauhu

Untuk dessert, saya buat Puding Tauhu dari resepi Kak Nor67. Resepi boleh refer kat MyResepi. Maklumlah, malas betul nak menaip balik. kalau rajin nanti saya copy dan paste je.


Wednesday, August 19, 2009

Rich Chocolate Pudding

Malam tadi punyalah semangat nak masak untuk dinner, sebab dah beberapa hari tak memasak. Balik kampung hari tu pun tak masak sebab banyak jiran buat kenduri nak menyambut Ramadhan. Apalagi, pakat gantung periuk la...
Balik kerja, keluarkan ayam dan udang dari esbok, sementara tunggu nak hilangkan aisnya, saya buat rich coklat pudding dulu. Elok je pudding masak, gas dapur habis. So saya suruh adik saya gi kedai suruh diorang hantar, tapi sebabkan hujan yg agak lebat, tunggu punya tunggu sampai pukul 9 baru India tu muncul depan rumah. Nak hangin pun tak kena juga sebab hujan lebat. Apalagi, call my husband suruh beli lauk kat kedai makan. Hehehehe....jadi 2 malam le my husband makan lauk bungkus.

Resepi ambil dari MyR, Kak Jun. Lama dok pendam perasaan tengok dah ramai yang buat. Jadi semalam dengan semangat berkobar kobar, balik je terus buat.

Bahan-bahan ( 1 loyang sederhana besar )

  • 1/2 cawan serbuk koko
  • 1 cawan gula
  • 1/2 cawan susu tepung
  • 1/2 sudu teh garam
  • 4 1/4 cawan air
  • 4 sudu besar tepung jagung
  • 1/2 sudu teh esen vanilla
  • 3 sudu besar butter
  • 1 paket serbuk agar2 (10-11gm)

Cara-cara

  1. Campurkan semua bahan kecuali butter dan kacau selalu hingga mendidih.
  2. Masukkan butter, kacau hingga pekat.
  3. Angkat dan masukkan kedalam loyang atau acuan yg disukai.
  4. psssttt! ni akak tambah cara yer..untuk puding ni n puding2 lain, kalu nak senang keluarkan bila dah beku, basahkan dulu acuan sebelum memasukkan puding..bila dah beku, insyaAllah senang nak keluarkan.

Wednesday, June 17, 2009

Puding Soya


Resepi dari Kak Fida @ MyR, tapi dalam resepi asal dia gunakan fruit cocktail. Memandangkan kat rumah saya takde fruit cocktail tu, saya gantikan dengan dengan mango. Maklumlah buah tu yang selalu ada kat dalam esbok saya.

Monday, May 18, 2009