Showing posts with label Udang. Show all posts
Showing posts with label Udang. Show all posts

Monday, April 17, 2017

Sambal Tumis Udang dengan Petai





Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.....

Dah jadi macam rumah yang ditinggalkan sejak zaman jepun je blog ni. Aduhaiiiii entah apa nak jadi dengan tuan rumah pun tak tahulah...... Bukan blog saja yang tak berupdate, FB @ Insta pun jarang sangat update status. Kadang tu "kagum" juga tengok ada kawan kawan yang update media sosial selang 2@3 minit sekali.

Sejujurnya sekarang memang dah jarang sangat memasak, tak seperti dulu dulu. Masa tengah aktif berblogging, boleh dikatakan setiap hari ada update yang terbaru. Sekarang, sebulan dua baru muncul kan.... Maafkan tuan rumah ya.

Setelah sekian lama saya tak memasak , tiba tiba teringin pula nak ke dapur. Saya memang agak lama tak membeli barang basah sebab saya tahu akhirnya akan keras kejung dalam freezer. Kebetulan jumpa sahabat yang menjual ikan, saya beli ikan, udang dan sotong. Tapi hampir seminggu masih belum disentuh lagi, membazir pula kalau akhirnya terpaksa dibuang. Jadi menu hujung minggu semalam ialah Sambal tumis udang dengan petai dan ikan sardin goreng.

So sehari dua ni saya kena fikirkan menu untuk habiskan stok barang basah yang masih berbaki. Kalau rajin, saya akan update lagi......


Sunday, September 13, 2015

Sambal Udang






Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.
Menu untuk tengahari di hari minggu yang penuh berjerebu... Sambal Udang Extra Spicy.

Walau pun duduk di dalam rumah, masih boleh hidu bau asap. Rimas rasanya bila duduk dalam rumah terpaksa tutup semua tingkap dan pintu. Walaupun hujan agak lebat di sebelah petang tadi, tapi masih belum mengurangkan jerebu ataupun bau asap.

Rasanya ramai yang tahu bagaimana untuk menyediakan sambal udang jadi untuk hari ini kita menjamu mata saja ye.


Monday, January 5, 2015

Udang Goreng Masam Manis Daun Kesum


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ini rajin sikit, sebab sudah agak lama tak update blog 2 kali dalam satu hari.

Kali ini saya masukkan gambar Udang Goreng Masam Manis Daun Kesum. Sebenarnya ini menu lunch ahad lepas. Pening kepala memikirkan apa yang hendak dimasak. Plan asal nak buat sambal udang tetapi akhirnya bertukar kepada resepi yang dimasak ikut suka hati. Masukkan saja bahan yang dirasa sesuai...

UDANG GORENG MASAM MANIS DAUN KESUM

Bahan bahan
6 ekor udang harimau - dibelah belakang, digaul garam kunyit dan digoreng separa masak. Ketepikan.
1 inci halia - dimayang
1 labu bawang besar - dipotong bulat
3 ulas bawang putih - dimayang
1 tangkai cili hijau - dipotong menyerong
1 tangkai daun kesum
1 batang serai - diketuk sedikit
1 sudu besar cili kering kisar
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili thai
garam dan gula secukup rasa
sedikit perahan limau
sedikit air

Cara cara
1. Panaskan minyak, tumis bahan yang telah dihiris dan dimayang bersama sama cili kering kisar. Masak hingga pecah minyak.
2. Masukkan sedikit air, biarkan sebentar kemudian masukkan semua sos, serai dan daun kesum. Biarkan hingga mendidih.
3. Perasakan dengan garam, gula dan perahan limau. Kemudian masukkan udang yang telah digoreng tadi. Gaul rata.
4. Matikan api dan hidangkan.

  

Tuesday, October 21, 2014

Ebi Tempura



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini saya buat tayangan EBI TEMPURA @ UDANG TEMPURA. Saya ni kalau dengan udang, pantang sikit.

Pantang jumpa, boleh lupa diri.

Saya pernah buat dulu tapi menggunakan resepi dari Kylie Kwong, tapi kali ini saya cuba resepi dari RASA MALAYSIA.
 


Sedap makan begitu saja atau cicah sos cili thai.

Saya tahu saya masih berhutang resepi Pie Tee dan sekarang tambah satu lagi resepi. Insyaallah ada kelapangan sikit, saya akan update semua resepi.

Bahan Bahan

6 ekor udang bersaiz XL - dibuang kulit tetapi tinggalkan bahagian ekor
Bread crumbs

Untuk batter

90 gms tepung beras
30 gms tepung gandum
1/2 sudu besar baking powder
1/4 sudu makan garam
1 sudu makan minyak sayuran
1 butir kuning telur
150 ml ice water
3 cube ice

Cara cara
1. Masukkan semua bahan kecuali iced water dan ice cube.
2. Tuangkan iced water sedikit demi sedikit sambil mengacau menggunakan chopstick. Biarkan adunan sedikit lumpy.
3. Panaskan minyak, masukkan ice cube ke dalam adunan batter tadi dan kacau sedikit.
4. Ambil seekor udang, celupkan ke dalam adunan batter dan salutkan dengan bread crumbs. Kemudian goreng di dalam minyak panas.
5. Biarkan sehingga udang bertukar warna keemasan, angkat dan toskan.
6.Buat sehingga selesai. Sedap dinikmati bersama sos cili thai.

 

Saturday, March 29, 2014

Udang Goreng Kari




Assalammualaikum dan Selamat Berhujung minggu....

Cuti persekolahan sudah mengahmpiri penghujungnya, ramai kawan kawan saya yang sedang seronok bercuti dengan keluarga masing masing. Walaupun sejak kebelakangan ini ada beberapa insiden yang membabitkan kapal terbang, masih ramai yang tetap menggunakan pengangkutan udara untuk pergi bercuti.

Yelah, kemalangan yang melibatkan pengangkutan udara jarang sangat kita dengar especially di Malaysia. Kebarangkaliannya mungkin 1 dalam berjuta. Tak kanlah kita nak ke Sabah Sarawak nak naik keretapi pula kan... Apa yang boleh kita lakukan hanyalah berdoa dan tawakal.

Ok berbalik pada menu malam tadi, saya sediakan Udang Goreng Kari yang saya ambil dari Majalah SEDAP.





UDANG GORENG KARI

Bahan bahan
4 ekor udang bersaiz XXL
3 ulas bawang putih - dihiris nipis
1 inci halia - dihiris nipis
1 labu bawang besar - dimayang
1 tangkai daun kari
1 sudu teh serbuk lada putih
1/4 cawan cream - saya gantikan dengan susu sejat
Sedikit garam
2 sudu makan serbuk kari
1 sudu makan serbuk cili - saya tambah
2 biji cili padi - saya tambah ( dipotong kecil )
1 biji limau nipis
Tomato - untuk hiasan

Cara cara
1. Udang di potong sesunggut dan belah belakang. Buang kotoran, dibersihkan dan ditos.
2. 1 ulas bawang putih ditumbuk halus, dicampurkan dengan 1 sudu serbuk kari, serbuk cili, sedikit garam dan jus limau nipis. Gaulkan semua bahan dengan udang tadi dan perapkan sebentar. Kemudian goreng separuh masak dan ketepikan.
3. Panaskan minyak, tumis bawang besar, baki bawang putih,daun kari, cili padi dan serbuk kari hingga naik bau.
4. Kemudian masukkan cream/susu sejat dan biarkan ia mereneh sebentar.
5. Kemudian masukkan udang yang telah digoreng tadi, gaul rata dan perasakan dengan garam dan serbuk lada putih.
6. Apabila semua sudah sebati dan hampir pekat, bolehlah masukkan buah tomato. Biarkan sebentar dan matikan api. Hidangkan dengan nasi hangat.



Friday, March 14, 2014

Butter Prawns



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Sudah beberapa hari Bandar Shah Alam hampir tidak kelihatan akibat dilanda jerebu yang agak teruk. Jangankan nak duduk di luar, even di dalam pejabat atau rumah sekalipun masih terasa sesak akibat jerebu. Bau asap ada di mana mana, panas dan melekit rasanya... Rasa macam nak mandi sejam sekali tapi kena fikirkan bab air pula...

Semalam tiba tiba saya "ter" rajin sikit. Rasa macam lama tak buat Butter Prawns kat rumah. Kebelakangan ni kalau nak makan, pergi ke restoren saja.

So semalam sebelum balik kerja, saya google cari resepi yang senang baru pergi cari barang untuk dimasak. Bila dah petang, udang yang ada kurang segar tapi bolehlah untuk mencuba resepi yang ini. 

Kali ini saya cuba menggunakan resepi dan cara dari blog Spice Journey. Izinkan saya kongsikan di sini. Anda boleh lihat disini cara dan langkah demi langkah bagaimana cara untuk membuat egg floss. Ini kerana bahagian yang agak tricky ialah cara untuk menghasilkan egg floss yang cantik walaupun sukar utk dapatkan seperti di restoren.



Egg Floss

4 biji kuning telur - resepi asal cuma gunakan 2 biji sahaja
1 senduk butter
1 senduk minyak masak

Caranya
1. Pukul ringan kuning telur supaya sebati.
2. Masukkan minyak dan butter ke dalam kuali. Biarkan hingga panas, gunakan senduk bulat pusingkan minyak di dalam kuali dengan arah sehala tanpa henti.
3. Tuangkan kuning telur ke dalam minyak tadi, angkat bekas berisi kuning telur agak tinggi dari kuali supaya ia menghasilkan jalur yang kecil dan halus.
4.Teruskan memusing senduk di dalam minyak tadi sehingga kuning telur masak dan berwarna kuning keemasan.
5. Tapikan kuning telur tadi untuk toskan minyak. Langkah tambahan yang saya buat ialah selepas ditapis, saya tuangkan ke atas kertas tisu dapur supaya ia menyerap minyak yang masih ada, so egg floss betul betul kering dan ranggup.

Cara menyediakan udang

Bahan bahan

10 ekor udang bersaiz sederhana - belah bahagian belakang, buang kotoran dan bersihkan.
1 sudu teh garam
1 sudu teh lada putih
Minyak untuk menggoreng

Caranya
1. Gaulkan udang bersama sama dengan garam dan lada sulah. Goreng udang separuh masak dan ketepikan.

Bahan bahan

1 sudu makan butter
6-8 biji cili padi - dihiris halus
3 ulas bawang putih - dimayang/dicincang
5 tangkai daun kari
Sedikit garam jika perlu
1 sudu kecil gula perang - saya tambah
1/4 cawan susu cair

Cara cara
1. Panaskan butter, tumis bawang putih, cili padi daun kari hingga naik bau.
2. Kemudian masukkan susu cair.Biarkan seketika.
3. Masukkan udang dan gaul sebati. Perasakan jika perlu. Saya masukkan sedikit garam dan gula perang.
4. Angkat udang dan masukkan ke dalam serving plate. Taburkan dengan dengan egg floss. Sedap dinikmati semasa hangat.





Tuesday, October 16, 2012

Kamhiong Prawns


Salam semua,

Bagaimana hari ini? Harap semuanya mengikut apa yang kita rancangkan. Kalau ia tidak mengikut 100 % seperti yang kita harapkan, mungkin DIA sudah ada perancangan yang terbaik untuk kita.

Hari ini saya nak letak entry Kamhiong Prawns yang saya masak untuk makan malam tadi. Resepi asal menggunakan ketam dan saya substitute dengan udang sebab hanya ada udang dalam esbox.



KAMHIONG PRAWNS

Bahan bahan

3 ekor udang harimau
2 ulas bawang putih *
3 ulas bawang merah *
2 cm halia *
1 sudu makan paste tomyam
1 sudu makan kicap pekat
1 sudu makan sos tiram
Garam dan gula perang secukup rasa
Daun bawang untuk hiasan
1/3 cawan air
Minyak untuk menumis

Cara cara
1. Udang di belah bahagian belakang - buang kotoran. Goreng udang separuh masak dan ketepikan.
2. Tumbuk bahan bertanda * hingga hancur.
3. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk hingga naik bau. Masukkan paste tomyam, sos tamato, sos tiram, kicap dan air.
4. Kacau hingga sebati dan masak hingga sos mendidih, perasakan dengan garam dan gula perang. Biarkan hingga kuah hampir pekat.
5. Masukkan udang yang telah digoreng tadi, gaul rata dan biarkan seketika.
6. Angkat dan hidangkan dalam pinggan hidangan. Taburkan dengan daun bawang jika suka.

Friday, July 13, 2012

Sambal Udang Petai


Salam,

Malam ni saya buat ulang tayang menu yang entah kali ke berapa. Tapi agak lama juga saya tak masak something with stinky beans aka petai kat rumah. Selalu saya akan masak hujung minggu atau hari cuti saja. Maklumlah kerja saya berurusan dengan orang, jadi kurang selesa kalau mulut berbau. Lagipun tidak berapa lama lagi bulan puasa, jadi teringin nak makan dalam bulan puasa pun tak berapa bagus juga.

Selain petai, ada jering dan buah genuak yang seangkatan dengannya dari segi bau. Tapi setakat ni saya cuma makan petai. Ada satu menu dari Negeri Pahang yang menggunakan jering rebus dan digaul dengan kelapa parut kalau tidak silap saya. Saya tidak pernah mencuba tetapi mak saya cakap ia sedap.

Okay berbalik pada menu malam ni, Udang Sambal petai.


Rasanya ramai yang tahu bagaimana nak buat sambal udang kan, tapi ia bervariasi bergantung kepada tekak dan kesukaan masing masing. Ada yang suka rasa dan bau serai dalam sambal tumis.Ada juga yang meletakkan sedikit santan diakhir masakan.

Walau bagaimana Sambal Tumis ini dimasak, ia memang menjadi menu kegemaran ramai orang di Malaysia terutamanya. Nasi lemak akan hilang serinya tanpa sambal tumis.

So, jemput makan......



Thursday, May 24, 2012

Sambal Udang Harimau & Eggplant


Salam dan Salam Sejahtera....


Nampaknya ramai anak anak yang sedang berkira kira kemana destinasi yang hendak ditujui sempena cuti sekolah yang tidak berapa hari lagi. Yang pasti.... ibu bapa yang akan pening kepala kan. Mungkin ada ibu bapa yang sudah buat persiapan untuk bercuti bersama sama keluarga.

Anak saudara my husband dah start telefon my husband, macam bagi hints tentang cuti sekolah. Rasanya dia nak suruh my husband balik ambil dia di Perlis. Sebab masa cuti hujung tahun lepas, my husband cakap nanti cuti sekolah, boleh datang rumah Paklong dan kita pergi jalan jalan. Apalagi, budak budak mesti akan ingat kalau orang dewasa berjanji....


Malam tadi masak menu simple je, masing masing tak berapa sihat dan tak ada selera nak makan. Since saya pun tak berapa ada mood, saya masak sambal udang harimau. Ingat nak buat sayur terung goreng ke... tapi sebab dah malas sangat, saya goreng terung sehingga agak layu, kemudian tuang je sambal udang ke atasnya. Kan senang cerita..... 

Itulah kan, kalau dah malas, ada je idea nak senangkan kerja.....



Wednesday, April 25, 2012

Udang Pataya


Salam dan Selamat Pagi

Sepatutnya waktu begini kena upload menu sarapan, barulah sesuaikan.... Tapi kebelakangan ini tak sempat nak buat sarapan, ada kalanya hanya makan biskut 4 segi cicah teh susu je. Habis rajin lah tu.... Lagi bertambah malas kalau my husband tak nak ambil sarapan kat rumah. Kalau saya seorang je, apa apa yang sempat dan senang.

Menu malam tadi, Udang Pataya nama diberi. Resepi dari Majalah SAJI tapi telah ditokok tambah oleh saya. kadang kala bila baca resepi di majalah, rasa macam ada yang tak kena, mungkin ada bahan yang tidak ditulis. Bukan bermakna saya ni pandai sangat memasak tetapi bila dah selalu ke dapur, kita boleh agak.


Saya memang teruk bila masuk bab Food Styling, tidak berbakat. Ikut apa yang sempat saja, so maaflah kalau kepala anda berserabut bila tengok gambar masakan saya.

Saya update resepi kemudian ye, ada perkara nak kena selesaikan dulu.

Sunday, April 1, 2012

Rendang Udang


Salam semua,

Baru berkesempatan untuk update entry. Plan nak upload entry ni hari esok, tapi mengenangkan kerja yang agak banyak sedang menanti, lebih baik buat malam ni.

Sebenarnya dah buntu nak masak apa dengan udang yang ada dalam freezer. Dah selalu sangat masak sambal tumis, buat gulai..... Apalagi, google je dan terjumpa resepi Rendang Udang dari dapur Kak Nor. So geledah dapur cari samada bahan cukup ke tidak. Yang kurang cuma santan, so bergegas ke kedai membeli santan kelapa.

Alang alang dah buat rendang, saya rebus ketupat nasi sekali. Dah macam nak sambut hari raya pulak. Kalau makan dengan nasi pun sedap, tapi terajin sikit nak makan dengan ketupat nasi.

Resepi saya ambil dari rumah Kak Nor Secubit Garam.  Terima kasih Kak Nor, cuma saya tak gunakan udang galah, saya cuma ada udang biasa saja.


Bahan:
1/2 kg udang galah
1 sudu besar cili mesih
5 bj bawang merah *
3 ulas bawang putih *
1/2 in halia *
1/4 in lengkuas *
1/2 in kunyit hidup *
2 - 5 bj cili api *
2 batang serai * (kesemua bahan2 bertanda * diblend halus)
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1/2 sudu kecil serbuk jintan manis
1/2 sudu kecil serbuk jintan putih
2 kpg asam keping
1 sudu besar kerisik
3/4 cawan santan fresh 
1 helai daun kunyit ~ dihiris halus
3 helai daun limau purut ~ dicarik2kan
sedikit gula nisan/gula melaka
garam
minyak

Cara :
Bersihkan udang galah dan toskan.
Panaskan minyak dlm kuali dan masukkan bahan2 yg diblend halus tadi.
Goreng hingga garing sedikit dan masukkan cili mesin. Goreng lagi hingga pecah minyak.
Masukkan serbuk ketumbar, jintan manis dan jintan putih. Masukkan sedikit air jika tumisan agak kering.
Kemudian masukkan kerisik, asam keping, gula nisan dan garam.
Masukkan juga santan, daun kunyit dan daun limau purut.
Bila hampir mendidih masukkan udang. Sesekali kacau dan balik2kan udang supaya masak serata.
Masaklah hingga kuah pekat dan udang masak. 
Angkat dan hidangkan panas2 bersama nasi putih.

Friday, August 12, 2011

Prawns in Thai Hot Chili Sauce



Salam di Hari Jumaat,

Hari ini dah masuk hari ke 12 kita umat Islam di Malaysia berpuasa. Alhamdulillah sebab masih bernafas dan meneruskan ibadah yang satu ini.

Pening juga memikirkan apa yang nak dimasak untuk menu berbuka tiap tiap hari kan... (walaupun bukanlah tiap tiap hari saya memasak). Kadang kala berderet deret menu terlintas difikiran, tapi at the end of the day, mak cik pergi beli yang dah siap masak sebab tak sempat.

Semalam saya sampai rumah agak awal juga kebetulan jalan pun tak berapa jam jadi sempatlah menggodek apa yang patut. Hari tu nampak kat rumah Kak CT Delima, dia buat udang dan sotong goreng tomyam rasanya. Since kat rumah tak ada perencah tomyam yang instant tu, saya masak menggunakan roasted chili paste yang saya gunakan untuk masak tom yum tempohari.

Bahan bahan
4 ekor udang bersaiz besar - belah belakang, cuci dan toskan
3 ulas bawang putih - dihiris nipis
1 labu bawang besar - belah 8
1 inci halia - dihiris nipis
3 biji cili padi - diketuk sedikit
1 batang serai - diketuk sedikit
1 helai daun limau purut
1 lada hijau - dipotong menyerong
1 lada merah - dipotong menyerong
1 biji tomato - dibelah 4
Beberapa kuntum cendawan tiram
1 sudu makan roasted chili paste
Sedikit fish sauce
Sedikit lime juice
Sedikit air
Garam dan gula

Cara cara
  1. Panaskan minyak, tumis bawang putih, bawang besar, halia, serai dan roasted chili paste hingga wangi.
  2. Masukkan sedikit air, anggaran 1/4 cawan. Masukkan juga daun limau purut,fish sauce, lime juice garam dan gula. Kacau biar sebati.
  3. Kemudian masukkan udang, balik balikkan seketika. Masukkan cendawan tiram yang telah disiat, tomato serta lada hijau dan merah.
  4. Gaul biar sekata, perasakan jika perlu dan bolehlah diangkat. Taburkan dengan hirisan daun ketumbar dan daun bawang sebagai hiasan.

Prawns in Thai Hot Chili Sauce

Monday, August 1, 2011

5 Spices Prawns

5 Spices Prawn


Selamat Berpuasa di Bulan Ramadhan Al Mubarak buat semua my muslim Friends and family. Sejak hari Sabtu lagi, kebanyakan pasaraya sesak dengan orang ramai.Tak taulah sebab nak buat persiapan menyambut Ramadhan atau meyambut Hari Raya..... Yang pasti kebanyakan yang keluar menyorong penuh satu troli. Saya dan suami macam tahun tahun lepas, masuk bulan Ramadhan memang akan kurang beli bahan basah. Mungkin sesekali saja akan masak untuk berbuka bergantung pada keaadaan. Lagipun kami tak makan nasi untuk bersahur, so memang akan kurang barang basah dalam esbok. Tengahari semalam saya masak untuk lunch sebab nak habiskan barang basah dalam esbok, dah lama juga tak masak 5 Spices Prawn, resepi dari Che'Iza ni. Memang sedap, cubalah....

Bahan bahan
300 gms udang - bersihkan
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 inci halia
1 labu bawang besar - belah 6
1 biji tomato - belah 6
1 sudu makan sos tomato
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan cili kisar
1 sudu makan 5 spices
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit daun bawang - potong sepanjang 2 inci

Cara cara
1. Bawang putih, merah dan halia ditumbuk hingga lumat. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk, serbuk 5 spices dan cili kisar hingga wangi.
2. Masukkan sos tomato dan sos tiram, kacau biar sebati. Biarkan sebentar, masukkan udang, bawang besar dan tomato. Gaul sekata.
3. Jika kuah agak pekat, masukkan sedikit air dan perasakan dengan garam. Tabur daun bawang, gaul sekata dan bolehlah diangkat.

 5 Spice

Ada pasaraya yang menjual rempah ini di dalam packet kecil yang berharga RM2.

Monday, May 23, 2011

Sambal Udang

 Sambal Udang

Semalam boleh dikatakan mood ada sedikit rajin, sebab selalunya hari minggu ialah hari saya bermalas malasan di depan TV, cukup waktu, sampai masa lunch my husband dah siap tapau makanan dari kedai makanan.

Hehehehehe...... pemalas betul isteri yang sorang ni.

Tapi semalam saya masak untuk lunch, selain sup kepala ikan merah, ada sambal udang yang sedikit pekat. Macam tak ada kuah la pulak kan. Takpe, kalau nak berkuah, ambil je kuah sup tu....
Kalau ikut plan awal nak buat masak lemak udang dengan nenas tapi santan ada satu saja, dah ketepikan untuk buat bubur kacang. Kalau guna santan tu untuk masak lemak, nanti kena keluar beli santan untuk buat bubur. Sebabkan malas, kita tukar je lah menu.

Sunday, April 10, 2011

Udang Kara bersos Cili Kering


Malam ni dinner dengan menu yang berasaskan udang. Fuhhhh...... kolesterol penuh selori ni. Tapi buat buat pejam mata sekejap, esok kena exercise apa yang patut.

Hari Jumaat saya ke pasar, dan saya akan terus ke satu gerai yang biasa saya pergi sebab dia selalu menjual seafood yang jarang atau sukar ditemui di gerai gerai lain. Contohnya seperti sebelum ini saya beli kekapis atau Scallop dan juga Udang Ketak yang sedikit mengerikan tu. Kali ni saya nampak Lobster atau udang Kara, walaupun tidaklah terlalu besar. Kalau besar sangat, menggigil tangan saya nak keluarkan RM, maklumlah boleh tahan juga harganya.

Saya beli 2 ekor, satu ekor saya panggang atau grill dan seekor lagi saya buat sedikit bersos. Isi udang kara yang dipanggang agak keras berbanding yang direbus.


Bahan bahan
1 ekor udang kara (Lobster) - dibersihkan dan direbus sebentar
3 tangkai cili kering - dipotong menyerong dan rendam dalam air panas
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 cm halia
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan kicap pekat
1 sudu makan cili kering kisar
Sedikit minyak bijan
Garam dan gula

Cara cara
1. Tumbuk bawang besar, bawang putih dan halia hingga lumat.
2. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk dan cili kering kisar hingga wangi. Masukkan sos tiram, kicap pekat dan minyak bijan.
3. Kacau rata dan iarkan hingga mendidih. Masukkan cili kering yang dipotong serong dan perasakan dengan garam dan gula.
4. Susun udang kara di dalam pinggan, tuang sos ke atasnya atau boleh juga masukkan udang kara dan sos dan gaul sebati.

Gulai Udang & Nenas


Memandangkan tengahari tadi tak jadi masak, maka apa yang dah planned kena postponed untuk makan malam nampaknya.
Malam ni saya masak gukai udang dengan nenas.

Friday, December 3, 2010

Kari Udang


Menu dinner malam ni ialah Kari Udang dengan Bendi.

Sunday, October 3, 2010

Stir Fry Prawn Ala Thai


Second dish ialah stir fry prawn ala Thai. Pernah nampak ika masak resepi ni.Saya ubahsuai sikit.

Bahan bahan
4 ekor udang bersaiz besar
2 batang serai
5 batang cili padi
2 ulas bawang putih
1 cm halia
1 helai daun limau purut
1 tangkai daun kari
1 sudu teh gula kabung
sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa
sedikit nampla

Cara cara
1. Tumbuk serai, cili padi,bawang putih dan halia hingga lumat. Gaulkan udang dengan garam dan kunyit.
2. Panaskan minyak, tumis bahan yang ditumbuk hingga naik bau.
3. Masukkan udang, balik balikkan udang biar masak sekata.
4. Masukkan daun kari, daun limau purut, sos nampla dan gula kabung. Sesuaikan rasanya. Gaul sekata dan goreng hingga udang masak.
5. Sedia untuk dinikmati panas panas.


Wednesday, May 5, 2010

Udang Goreng Kunyit


Semalam dan hari ni nampak ramai yang buat menu udang goreng kunyit. Saya pun nak mengendeng juga, tapi saya gunakan udang halus yg kalau tak silap di panggil udang sayur.

Yang ni memang resepi campak campak dan ikut sedap tangan sendiri je. Cuma kali ni saya lebihkan sedikit kuah atas permintaan tuan tanah yang seorang lagi. Siap masak, 1/3 dah masuk mulut dulu.