Wednesday, July 16, 2014

Kuih Goyang/Loyang/Rose



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Alhamdulillah kita sudah memasuki minggu ketiga bulan Ramadhan. Pastinya ibu-ibu rumahtangga sedang sibuk berkira kira untuk membuat kuih / biskut untuk dijamu pada tetamu dihari raya nanti. Pada yang tiada kesempatan untuk membuat sendiri sudah pasti membeli biskut yang banyak dijual di pasaran.

Tunggu sahaja di akhir Ramadhan nanti, pasti ada jualan lelong kuih kuih raya terutamanya di pasaraya. Bagi penduduk Shah Alam / Klang, Kompleks PKNS selalu ada peniaga biskut raya yang akan membuat lelongan raya. Biskut yang biasanya dijual sekotak dengan harga RM28 hanya akan tinggal RM18 atau RM16 sahaja. Tetapi kalau sanggup boleh tunggu malam raya, mesti lagi murah....

Kepada yang rajin dan ada kesempatan boleh membuatnya sendiri. Mungkin lebih nikmat bila keluarga menikmati air tangan ibu sendiri.
 
 Kuih Goyang/Loyang/Rose antara kuih lama yang tak lapuk dek zaman. Antara kuih yang sentiasa ada setiap kali menyambut lebaran. Kuih yang agak senang untuk disediakan cuma agak stressed kalau kuih melekat di acuan. Tetapi alhamdulillah, kebanyakkan kuih saya menjadi. Mungkin yang awal tu kurang elok memandangkan perlu sesuaikan dengan kepanasan minyak.

Resepi saya ambil dari leng's Kitchen. Cuma agak manis pada deria rasa saya. Lain kali saya akan kurangkan jumlah gula yang digunakan.

Bahan bahan

250 gms tepung beras
4 sudu besar tepung gandum
3 biji telur
1/4 sudu teh garam
200 gms gula
400 ml santan pekat
Minyak untuk menggoreng.

Cara cara
1. Masukkan telur, gula dan santan ke dalam mangkuk. Kacau menggunakan whisk sehingga gula larut dan sebati.
2. Ayak tepung beras, tepung gandum dan garam ke dalam mangkuk tadi (1). Kacau hingga sebati.
3. Panaskan minyak. Rendamkan acuan loyang ke dalam minyak panas lebih kurang 1 minit. Kemudian celupkan ke dalam adunan (2) tetapi jangan sampai tenggelamkan acuan loyang.
4. Angkat acuan loyang dan biarkan beberapa saat sebelum memasukkannya ke dalam minyak panas.
5. Biarkan ia di dalam minyak lebih kurang 15 saat, kemudian goyangkan acuan loyang tadi supaya kuih tertanggal dari acuan. Biarkan acuan di dalam  minyak panas. Balikkan kuih sehingga keperangan. Angkat dan Toskan.
6. Ulang prosess yang sama sehingga habis. Sejukkan sebelum di simpan di dalam bekas kedap udara.



Monday, July 14, 2014

Solok Lada


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...


Hari ini ada sedikit lebih kerajinan dari hari biasa. Second update untuk hari ini. Mari kita layan Solok Lada pula.Actually bukan sebab saya buat nasi kerabu tetapi saja untuk di makan dengan nasi putih biasa.

Banyak resepi Solok Lada yang bertebaran di alam maya. Pilih sahaja yang mana berkenan di hati. Ada versi kukus dan ada versi rebus.

SOLOK LADA
Sumber : Pelbagai

Bahan bahan

4 biji lada berwarna hijau muda - belah tetapi tidak putus. Buang empulur dan bijinya. Rendam seketika.
5 ekor ikan selayang/sardines
1 cawan kelapa parut yang muda
1/2 inci halia
Sedikit garam dan gula
Kalau ingin lebih pedas boleh potong kecil cili padi.
4 ulas bawang merah
1 batang serai - dimayang halus
1 cawan santan pekat

Cara cara
1. Rebus seketika ikan selayang - ambil isinya sahaja.
2. Tumbuk isi ikan, kelapa parut, bawang merah,halia dan serai hingga lumat. Masukkan ke dalam bekas dan gaul sebati dengan garam dan gula.
3.Ambil sebiji cili hijau muda, sumbat adunan yang telah digaul sebati tadi ke dalam cili. Buat sehingga habis.
4. Susun solok lada ke dalam periuk, tuangkan santan. Tidak perlu sampai tenggelamkan lada. Tutup periuk.
5. Masak seketika, jangan sampai santan kering. Anggaran sehingga santan mendidih.
6. Enak di makan dengan nasi kerabu/nasi putih atau ratah begitu sahaja.

 

Peach Iced Tea


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Sedar tak sedar sudah melepasi 15 Ramadhan. Alhamdulillah. Antara yang memeningkan kepala dalam bulan Ramadhan ini tentulah menu apa yang hendak disediakan untuk berbuka. Rasanya habis gobok resepi dibuka untuk mencari resepi yang sesuai. Kalau nak "tawaf" Bazaar Ramadhan pun makanan yang hampir sama saja. Itu belum lagi cerita bab harga dan rasanya.

Sesetengah orang tidak begitu kisah harga yang sedikit mahal tetapi berbaloi dengan rasanya, especially untuk keluarga kecil. Bayangkan kalau tekak terasa nak makan Rendang ayam kampung, berapa modal dan masa yang perlu dihabiskan berbanding membeli seketul dengan harga RM7. Lagipun bukan setiap hari terasa nak makan rendang ayam kan.. Saya selalunya membeli dari orang/restaurant yang sama. Sebabnya kita dah tahu bagaimana rasa masakannya. Tidaklah baru makan secubit, bakinya terbang ke dalam tong sampah.


Selain makanan, minuman juga sama pentingnya.Hari biasa selalunya hanya minum air kosong, tetapi bila bulan puasa pelbagai jenis air minuman ada di atas meja makan. Selain jus buah buahan, air tebu dan soya menjadi pilihan ramai.

Hari ini saya upload minuman Teh O Ais berperisa buah peach. Teh O Ais saya kelihatan agak kehitaman kerana saya menggunakan brown sugar/gula perang. Boleh gunakan fresh peaches atau buah peach dalam tin. Boleh masukkan hirisan buah peach atau kisar buah peach dan masukkan ke dalam teh o anda.

Selamat mencuba.


 








Friday, July 11, 2014

Puding Coklat Berkuah

 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera..

Dua, tiga hari ini tuan rumah kurang sihat sikit. Asyik bersin dan rasa sengal seluruh badan. Nak makan pun tidak berselera sangat...
Itu belum lagi masuk bab pening kepala nak fikirkan apa yang hendak dimasak..

Aduhaiii benda begitu remeh pun dah memeningkan kepala, bagaimana agaknya nasib saudara seIslam di Gaza...
Bersyukurlah, Allah swt hanya uji kita rakyat Malaysia dengan cuaca panas. Itupun baru berapa percent dari kepanasan yang dihadapi oleh saudara di negara yang kemarau sepanjang tahun.

Peringatan untuk diri sendiri sebenarnya...

 Berbalik kepada menu semalam, beberapa hari lepas nampak Mamafami buat Rich Chocolate Pudding. Nampak mengancam... Rasanya saya pernah buat dulu tapi sudah agak lama juga. Memandangkan saya ni suka mengubahsuai resepi mengikut tekak dan kesesuaian, maka saya olah sedikit.

Puding Coklat Berkuah

Bahan bahan
1/2 cawan serbuk koko
1 cawan organic cane sugar
1/2 sudu teh garam
4 1/4 cawan susu segar
4 sudu besar tepung jagung
1/2 sudu teh esen vanila
1 1/2 sudu besar butter

Cara cara
1. Di dalam periuk, masukkan semua bahan kecuali butter.
2. Menggunakan api sederhana, kacau campuran dengan whisk sehingga mula mendidih.
3. Masukkan butter dan masak beberapa minit lagi. Matikan api.
4. Basuh mould/acuan yang hendak digunakan tetapi jangan dikeringkan. Hanya buang lebihan air.Ini untuk memudahkan proses untuk mengeluarkan puding dari acuannya nanti.
5.Tuang adunan ke dalam acuan dan sejukkan.

Bahan utk kuah/sos
1 tin susu cair
2 sudu besar organic cane sugar
1/2 sudu teh esen vanilla
1/2 cawan syrup buah peach ( dari dalam tin )
1 biji buah peach (dalam tin) - dipotong dadu

Cara cara
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali buah peach.
2. Panaskan seketika hanya untuk larutkan gula. Sejukkan.

*** Kalau sukakan kuah sedikit pekat, boleh tambahkan tepung jagung sedikit. Memandangkan puding coklat sudah agak manis, boleh kurangkan penggunaan gula dalam sos/kuah ini.



 

Wednesday, July 9, 2014

Masak Lemak Cili Padi Ikan Jenahak dengan Peria


 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Alhamdulillah tanpa sedar kita sudah melepasi 10 malam pertama Ramadhan. Dua hari lepas memang terasa sangat keletihan kerana cuaca di Shah Alam yang sangat panas membahang. Orang tua pun boleh terasa apatah lagi kanak kanak yang baru belajar berpuasa. Sejak semalam, jerebu agak teruk dengan bau terbakar yang menyesakkan hidung.

Bila terlalu panas, yang paling dinantikan semasa berbuka tentunya minuman yang paling sejuk. Makanan lain tolak ketepi dulu. Macam budak baru belajar berpuasa pula kan... 



 Semalam tekak terasa nak makan masak lemak cili padi.Memandangkan tiada barang basah di rumah, saya singgah di pasaraya selepas waktu kerja. Tak banyak pilihan, saya ambil sepotong ikan jenahak dan peria katak.


Masak Lemak Cili Padi

Bahan bahan
1 keping ikan jenahak
1 biji peria - dihiris
1 inci kunyit hidup
8 biji cili padi
200 ml santan pekat
200 ml air
Garam secukup rasa

Cara cara
1. Cuci ikan dan toskan. Tumbuk cili padi dan kunyit hidup hingga hancur.
2. Masukkan bahan ditumbuk ke dalam periuk beserta santan dan air.
3. Kemudian masukkan sayur peria dan ikan, masak dengan api perlahan sehingga mendidih.
4. Sentiasa dikacau supaya santan tidak pecah minyak. Perasakan dengan garam.
5. Matikan api bila ikan sudah masak. 
 

Sunday, July 6, 2014

Onde Onde Keledek


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Hampir seminggu tanpa new updates. Weekdays dalam bulan puasa agak sukar untuk saya bahagikan masa antara kerja, sediakan juadah berbuka dan photo shoot menu berbuka. So pada kawan kawan yang masih sempat updates blog setiap hari walaupun bekerja memang kena tabik hormat.

Waktu sekarang ialah pukul 1 pagi, sambil temankan my husband menonton perlawanan antara Argentina VS Belgium, sempat juga saya update blog.  


Hari ini saya sediakan Onde Onde atau dikenali juga sebagai Buah Melaka. Kebetulan ada 2 ketul keledek Jepun yang bewarna kuning. Actually saya suka keledek ini, selalunya saya rebus atau bakar. Sedap dimakan begitu saja.

ONDE ONDE KELEDEK

Bahan bahan
2 cawan ubi keledek yang telah direbus dan dilenyek
2 cawan tepung pulut
1 keping gula melaka - dipotong kecil
Air secukupnya
Kelapa parut dan sedikit garam

Cara cara
1. Gaul keledek bersama sama tepung pulut. Masukkan air sikit demi sedikit hingga menjadi doh.
2. Ambil sedikit doh, masukkan gula melaka dan bulatkan. Buat hingga habis.
3. Didihkan air, masukkan bebola yang berisi gula melaka tadi. Apabila bebola timbul di permukaan air, angkat dan masukkan ke dalam bekas berisi air sejuk.
4. Kemudian golekkan bebola tadi ke dalam bekas berisi kelapa parut yang telah digaul dengan sedikit garam.