Showing posts with label Kuih Muih. Show all posts
Showing posts with label Kuih Muih. Show all posts

Tuesday, October 16, 2018

Pulut Seri Muka Pandan


Assalammualaikum dan Salam sejahtera....


Lamanya saya tenggelam di lautan batu.... susah betul bila dah tenggelam nak timbul semula. Kalau timbul pun asyik tercungap cungap je.

Hujung minggu lepas rajinkan diri (walau sebenarnya takdelah rajin sangat pun), menyediakan kuih Pulut Seri Muka Pandan. Daun pandan kat rumah dah tinggal sikit je sebab big boss menebas apa yang dirasakan menyemakkan pandangannya. Nasib la juga dia tinggal sikit dapat la juga saya guna bila sesekali datang rajin nak masak.

Kebetulan ada bunga telang yang saya kumpul dan keringkan. Actually dah lama teringin nak gunakan pewarna dari bunga telang ni. Jadi saya sediakan Pulut Seri Muka menggunakan pewarna asli. Hijau dari daun pandan dan pandan serani dan biru dari bunga telang.

Lapisan atas sudah menepati citarasa saya cuma bahagian bawah tu pulutnya sedikit lembik mungkin sebab saya gunakan pulut susu dan terlebih waktu merendamnya.

Masih ada berbaki bunga telang, nanti kita fikirkan apa pula menu selanjutnya....

Erkkk harap harap takdelah sampai awal tahun pula menu berikutnya kan....


Tuesday, January 2, 2018

Onde Onde @ Buah Melaka



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Selamat Menyambut Tahun Baru 2018 semoga tahun ini membawa lebih keberkatan buat kita semua.

Semalam cuaca di Shah Alam agak baik, sedikit hujan di sebelah petang. Memandangkan kami tidak ke mana mana sempena cuti hujung tahun yang panjang, jadi ambil kesempatan mengemas kawasan luar rumah yang makin tidak terurus. Maklumlah tuan rumah sibuk sepanjang tahun + kurang rajin. So suami sibuk memangkas dahan dan daun daun kering yang menyemakkan pemandangan. Antara yang menjadi mangsa ialah rimbunan pokok pandan dan pokok kari.

Sebahagian pokok pandan terpaksa dibuang kerana risau menjadi tempat ular bersarang dan pokok kari terpaksa di tebang gara gara di serang serangga daun hingga langsung tidak boleh digunakan. 

Bila dah banyak sangat daun pandan yang dibuang, terasa sayang pula. Jadi terfikir nak buat Onde onde atau Buah Melaka untuk hidangan petang. Menggunakan pewarna asli daun pandan memang lain sekali wanginya. Masih ada baki daun pandan yang telah siap dipotong, mungkin kalau ada kerajinan boleh guna untuk buat kuih yang lain pula. Itu pun kalau ada "KERAJINAN"....





Friday, February 10, 2017

Apam Daun Rambai




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Bersua kembali, kali ini kita tayang gambar Apam Daun Rambai. Sekarang memang dah makin jarang bereksperimen di dapur jadi jarang juga nak ambil gambar makanan. Sesekali kalau mood rajin datang ada juga buat itu dan ini tapi malas pula nak ambil gambar.

Memandangkan kuih Apam Daun Rambai ni dalam kategori "RARE" jadi rajinkan juga ambil gambar, itupun hanya guna handphone. Memang terserlah kemalasan tuan tanah di situ....



Apam Daun Rambai

Bahan bahan
300 gms tepung gandum
2 sudu butter - dicairkan
100 gms gula melaka dilarutkan dengan 1 1/2 cawan air
2 sudu besar gula pasir
1/2 bungkus serbuk yis
Daun rambai yang sederhana besar secukupnya - bersihkan.

Cara cara
1. Campurkan tepung gandum bersama sama dengan butter, gula pasir dan yis. Gaul sekata kemudian masukkan air gula melaka sedikit demi sedikit.
2. Gaul sebati, adunan tidak terlalu pekat atau cair.
3. Biarkan adunan lebih kurang 1 jam sehingga naik sekali ganda.
4. Panaskan kukusan, ambil sehelai daun rambai, sapukan sedikit minyak dan isikan 1 sudu besar adunan tadi. Bungkus dan tinggalkan sedikit ruang di atas.
5. Kukus apam anggaran 8-10 minit.


Tuesday, February 23, 2016

Apam Pisang



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

2 hari lepas beli pisang emas tapi saiznya agak "montok" berbanding saiz pisang emas biasa. Tapi masalahnya ia kurang manis berbanding pisang emas yang biasa. Bila dimakan begitu saja, rasa kurang sikit. Selalunya saya suka makan pisang emas begitu saja.

Tangan rasa 'gatal' je nak buat something. Terfikir nak buat cekodok pisang atau pun apam pisang. Kalau buat cekodok pun sedap juga tapi kena menghadap kuali nak menggoreng. Jadi memandangkan mood tak berapa nak ada, nak lama lama kat dapur saya ambil keputusan buat apam. Saya gunakan acuan yang buat apam beras dulu.
Ha... gedabak saiznya. Boleh juga guna acuan lompang, kecil comel saiznya.


APAM PISANG
Copy dari blog AMIE

Bahan bahan
1 cawan pisang emas yang telah dilenyek/haluskan
2 cawan tepung gandum
Secubit garam
1/2 cawan gula pasir
1 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/4 cawan minyak jagung
1/4 cawan air - saya tambah
Hirisan pisang untuk hiasan

Cara cara
1. Campurkan semua bahan dan gaul hingga sebati.
2. Oleskan acuan dengan sedikit minyak. Masukkan adunan 3/4 penuh. letak hirisan pisang.
3. Kukus anggaran 15-20 minit. lapik tutup kukusan supaya air tidak menitik.

Wednesday, January 13, 2016

Talam Keladi Berlauk



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Hari ini kita buat tayangan Kuih Talam Keladi Berlauk. Gara gara mengintai blog Kak Gee Hut. Dah agak lama juga teringin nak buat tapi biasalah ada saja pertukaran perancangan. Tapi memandangkan stok Sambal ikan saya masih ada, jadi saya kuatkan semangat ( chewahhhhh ) buat juga Talam Keladi Berlauk. Ya lah kan, dah jimat masa nak buat intinya. Nanmpaknya ini resepi akhir guna Stok Sambal Ikan untuk kali ini. 


Dapat satu bekas kaca yang agak besar juga. Boleh sedekah pada jiran sebelah rumah. Tapi kalau ada ahli keluarga yang ramai, tak sempat nak hulur kat jiran. Sedap pada tekak saya. Tak sempat nak tunggu kuih betul betul sejuk saya dah potong, so nampak comot je. So lain kali kena ikut nasihat orang yang dah pernah buat, tunggu sampai kuih sejuk dulu.... ( peringatan untuk diri sendiri )


KUIH TALAM BERLAUK

BAHAN A
400 gms ubi keladi - di potong dadu dan kukus ( saya guna baby yam )
175 gms tepung beras
40 gms tepung jagung
20 gms tepung gandum
1 liter santan
Sedikit Garam

BAHAN B
Sambal Ikan

BAHAN C
Bawang goreng
Cili merah
Daun bawang

Cara cara
1. Campurkan semua BAHAN A kecuali keladi. Gaul sebati dan masak di atas api perlahan sehingga sedikit pekat. Matikan api
2. Masukkan keladi yang telah dikukus dan anggaran 3/4 cawan sambal ikan. Gaul sekata.
3. Lenserkan sedikit minyak pada bekas kaca, tuang adunan dan ratakan. Taburkan sambal ikan di atas permukaan talam. Kukus sehingga masak atau lebih kurang 25 minit.
4. Taburkan hirisan cili merah, daun bawang dan bawang goren. Biarkan ia betul betul sejuk sebelum di potong.
5. Nikmatinya dengan sos cili.




Ada yang buat sos cili dan sos kicap khas untuk di makan bersama sama Talam Keladi Berlauk tapi saya agak kurang sikit kerajinan jadi saya hanya makan dengan sos cili. Itupun licin piring tu.

Monday, January 11, 2016

Kroket kentang Inti Sambal Ikan



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Bertemu lagi di hari Isnin minggu yang baru. Tanpa sedar sudah 11 hari kita berada di Tahun 2016. Cepat sangat masa berlalu...

Memandangkan cuaca di luar agak panas terik, badan jadi agak lemah dan kurang selesa. Jadi hujung minggu hanya bermalas malasan di rumah saja. 

Halaman rumah dipenuhi dengan dedaun kering yang berguguran. Seakan akan musim luruh pula. Ermmmm yang tak tahan nak kena sapu. Sapu waktu pagi nanti petang dah penuh semula. Dah la makcik ni tak berapa nak rajin...




Mula mula saya plan nak buat pulut panggang inti sambal ikan tapi terlupa nak beli daun pisang. Nak keluar terasa malas pula, tiba tiba teringat hari tu saya ada beli kentang Russet di Giant. Kebetulan terpandang harganya kalau tak silap RM 0.99 sekilo. Biasanya dalam RM 4.90 lebih kurang. So saya beli tanpa ada perancangan nak buat apa dengan kentang tu.

Kemudian selongkar dapur jumpa breadcrumbs yang warna oren, yang saya beli 2 bulan lepas sebab ada planning nak buat Risoles. Ermmmm Risoles tak buat, kita guna untuk buat Kroket @ Croquette.

Menu ini juga boleh dibuat sebagai bekal anak anak ke sekolah.


Kroket Kentang inti Sambal Ikan

Bahan bahan
400 gms kentang
2 sudu besar susu tepung
1/4 sudu teh garam
2 sudu besar unsalted butter
1/2 sudu teh serbuk lada putih
Sambal ikan untuk inti
Minyak masak
Breadcrumbs secukupnya
1 biji telur

Cara cara
1. Rebus kentang hingga empuk. Toskan. Masukkan ke dalam bekas. Campurkan dengan susu tepung, garam, lada sulah dan butter. Lecek hingga halus dan sebati.
2. Sapukan tapak tangan dengan sedikit minyak, ambil adunan, leperkan dan masukkan inti. Kemudian tutup dan bulatkan.
3. Celup bebola tadi ke dalam bekas yang berisi telur yang telah dipukul ringan. Kemudian golekkan ke dalam bekas berisi breadcrumbs. Ulang proses sehingga selesai.
4. Panaskan minyak, goreng bebola kentang menggunakan api perlahan sehingga kekuningan. Angkat dan toskan.



Ermmmm alang alang daun gugur banyak bersepah di laman, apa kata kita gunakan ia sebagai props untuk ambil gambar kroket kentang. Nampak artistik la sikit kan...

Okey sehingga bertemu lagi.


Wednesday, January 6, 2016

Kuih Kaswi Pandan



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Saya buat kuih kaswi ini petang semalam sebab kebetulan balik kerja awal dan tak perlu sediakan makan malam. Jadi ada sedikit masa terluang. Dan yang paling penting mood rajin tu ada lebih sikit, kalau tidak ermmmm.....

Saya gunakan resepi yang saya ambil dari FB. Memandangkan bahan yang digunakan pun tidak banyak, saya pun mula mencari apa yang perlu. Puas selongkar almari, tak ada pula tepung ubi. Ermmm nak cancel atau terus buat... So saya buat keputusan gantikan dengan tepung jagung. Ikutlah apa nak jadi pun...

Tapi Alhamdulillah, jadi elok dan sedap. Jarang sangat simpan tepung ubi, tambahan hanya nak guna 1 sudu besar saja.


KUIH KASWI PANDAN

Bahan bahan
1 cawan tepung gandum
2 cawan air pandan - (saya gunakan 7 helai daun pandan dikisar dengan 2 1/3 cawan air)
1 sudu kecil kapur makan
1 sudu besar tepung jagung ( asal tepung ubi )
1 sudu besar tepung beras
3/4 cawan gula pasir - asal 1 cawan
Kelapa parut dan sedikit garam - dikukus sebentar

Cara cara
1. Masukkan semua bahan kecuali kelapa parut ke dalam pengisar. Kisar hingga sebati.
2. Jika gunakan acuan kecil, sapukan sedikit minyak dan tuang adunan. Saya gunakan loyang, jadi saya lapik dengan plastik dan sapukan sedikit minyak dan tuang adunan.
3. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga ia set. Sejukkan, potong dan gaulkan dengan kelapa parut.




Monday, December 21, 2015

Kuih Putri Ayu Pandan


Assalammualaikum dan Selamat Petang...

Hari ini extra rajin sikit. 2 entries dalam satu hari, rare tu keaadaan begini. Masa awal pembabitan menjadi food blogger boleh katakan setaip hari ada entri dan selalu ada 2 entries dalam satu hari.

Untuk kali ini saya hanya ingin berkongsi gambar Kuih Putri Ayu Pandan.


Antara kuih kegemaran saya dan sudah beberapa kali saya menyediakannya. Cuma kali ini saya cuba resepi yang berlainan dan saya suka dengan kejadiannya. Cuma saya rasa lain kali saya kena kurangkan kuantiti tepung kerana teksturnya sedikit padat. Atau tambahkan sebiji lagi telur.



Thursday, December 10, 2015

Kuih Qasidah



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Bila sebut nama kuih ni teringat pula bulan Ramadhan sebab kebiasaannya kuih ini disediakan di dalam bulan tersebut. Tetapi sekarang kalau terasa nak makan saja tak perlu tunggu bulan tertentu untuk menyediakannya. Kalau dulu kuih baulu dan cookies seperti tart nenas hanya boleh dinikmati bila sampai musim perayaan saja. Sekarang, bila bila masa kita boleh dapatkannya di pasaran.

Mungkin ini antara sebab kadang kala musim perayaan sudah kurang kemeriahannya berbanding dulu dulu.

Rasanya kuih ini antara kuih yang paling senang sekali untuk disediakan. Bahan yang tidak banyak dan tidak perlukan skill yang tinggi untuk menyediakannya. Ini antara kuih yang selalu arwah nenek saya sediakan dan saya sukakan bawang goreng yang banyak. Siap ratah bawang goreng saja lagi...

Memandangkan saya masih ada stok air mawar, jadi saya tambahkan ke dalam resepi ini untuk menaikkan lagi aromanya...


KUIH QASIDAH 
- untuk 2 orang makan

Bahan bahan
1/2 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan air
1 sudu besar air mawar/rose water
Secubit garam
2 sudu besar gula
8 ulas bawang ros/kecil - dihiris nipis dan digoreng
1 sudu kecil minyak gorengan bawang

Cara cara
1. Campurkan tepung gandum, air, air mawar, garam, gula dan minyak gorengan bawang. Gaul sebati. Masak menggunakan api perlahan sehingga kelihatan letusan kecil. Matikan api.
2. Sediakan loyang/bekas yang sesuai, lapik dengan plastik atau oles dengan minyak gorengan bawang tadi. Masukkan campuran tepung yang telah dimasak tadi dan ratakan. Biarkan sejuk sebelum di potong.
3. Taburkan dengan bawang goreng dan dinikmati bersama secawan kopi panas.



Monday, November 16, 2015

Fried Sesame Balls




Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Agak lama tiada entry baru. Tuan rumah sibuk dengan urusan kerja. Even weekend pun berumahtangga di tempat kerja. Tapi tak kaya juga... 
Kebetulan gas habis, tambah sibuk jadi memang langsung tak masak. Memang isteri mithali sungguh. Petang semalam baru beli gas, so sempat cuba buat kuih ala ala kuih BOM cuma berbeza intinya.

Biasanya Kuih BOM, intinya ialah kacang hijau yang masih berkulit atau inti kelapa. Tetapi untuk resepi ini menggunakan isi kacang hijau yang dibuang kulitnya. Semasa menggoreng, sempat juga muka makcik ke bom. Nasib baik sempat juga mengelak.


Wednesday, November 4, 2015

Kuih Seri Muka Gula Melaka

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Apakata hari ini kita sarapan dengan kuih Seri Muka Gula Melaka. Gigih makcik shoot gambar di malam hari.

Resepi rujuk dari blog Azlita Masam Manis yang menggunakan gula merah. Tapi saya gunakan gula melaka, sebab itu yang ada.

Resepi akan menyusul kemudian. 






Bahan untuk lapisan bawah
2 cawan beras pulut - (rendam lebih kurang 4 jam),cuci bersih dan toskan
2 1/2 cawan santan cair - saya gunakan kurang, hanya sama level dengan beras pulut
1 sudu teh garam
1 simpulan daun pandan

Cara cara
1. Masukkan beras pulut di dalam bekas dan masukkan santan, garam dan daun pandan.Kukus pulut hingga masak.
2.Kemudian lapik loyang berukuran 8 inci dengan plastik dan sapukan sedikit minyak jagung.
3. Masukkan pulut dan tekan hingga mampat.

Bahan untuk bahagian atas
1 biji telur
2 sudu besar gula pasir
1 1/4 pati santan
2 keping gula melaka - potong kecil
1/2 sudu kecil garam
1 1/2 sudu besar tepung jagung
1 1/2 sudu besar tepung gandum
1 helai daun pandan disimpul.

Cara cara
1. Masukkan santan, gula melaka, gula pasir dan daun pandan ke dalam periuk. Masak hingga gula hancur. Matikan api dan tapis.
2. Di dalam bekas lain, masukkan telur, tepung jagung, tepung gandum dan garam. Gaul sebati.
3. Tuangkan adunan gula melaka ke dalam campuran tepung dan telur. Gaul sekata. Kemudian tapis ke atas pulut.
4. Tutup loyang dengan kertas aluminium. Kukus lebih kurang 20-30 minit atau sehingga masak.
5. Biarkan betul betul sejuk sebelum dipotong.

 


Monday, August 10, 2015

Roti Jala Kuah Durian


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.....

Maaf kerana agak lama mendiamkan diri dan membiarkan blog tanpa sebarang cerita. Sebenarnya tuan rumah dalam proses mengurangkan berat badan yang sudah berlebihan. Maklumlah bila nak ambil gambar masakan, kena memasak. Bila sudah memasak, kena habiskan makanan yang telah disediakan. Akhirnya tuan rumah dah bagai belon yang dipam pam saja.

Jadi sebelum berlarutan dan menimbulkan banyak lagi masalah, terpaksalah berkorban. Itu saja alasan kenapa agak lama blog ini dibiarkan.

Memandangkan sekarang musim lambakan buah durian di pasaran, suami minta disediakan Roti Jala Kuah Durian sebagai menu minum petang semalam. Sejujurnya saya lebih sukakan Roti Jala dimakan dengan kuah kari.

Jadi layan gambar saja untuk kali ini. Masih mencari mood untuk kembali berblog. Dan terima kasih kerana masih sudi singgah walau tiada cerita baru.

 

Monday, February 16, 2015

Kuih Tako



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Kembali bersiaran di pagi Isnin.
Suasana terasa sedikit lengang mungkin kerana ramai yang mengambil kesempatan bercuti panjang sempena cuti Tahun Baru Cina.

Tuan rumah kurang sihat sikit, tekak terasa perit. Mungkin sebab terlebih makan limau agaknya. Kalau ikutkan bagai tak mahu berhenti mengunyah...

Walaupun kurang sihat tapi ada mood untuk menyediakan kuih Tako. Lagipun kuih ini senang sangat kan. Kalau malas nak buat bekasnya menggunakan daun pandan, boleh gunakan bekas atau gelas kecil. Maklumlah kadang kala sukar untuk mendapatkan daun pandan yang lebar. Boleh juga gunakan daun pisang.
 

Jamu mata dulu ye.. nanti saya update resepi.

Lapisan Bawah
25 gms tepung hoen kwe hijau
1 1/2 cawan air
1/2 cawan gula pasir
5-6 biji sengkuang cina @ water chestnut

Cara
1. Campurkan semua bahan kecuali sengkuang cina, gaul sebati.
2. Masak di atas api perlahan, kacau sehingga adunan kental dan kelihatan letusan kecil. Masukkan sengkuang cina yang telah dipotong dadu.
3. Matikan api dan tuangkan adunan ke dalam bekas yang sesuai.

Lapisan Atas
25 gms tepung hoen kwe putih
2 cawan santan
1/2 cawan air
secubit garam

Cara
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk, gaul sebati kemudian masak dengan api perlahan dan cara yang sema seperti lapisan bawah.
2. Setelah dimatikan api, tuang adunan ke atas lapisan bawah tadi. Sejukkan sebelum dinikmati.
 

 

Monday, January 19, 2015

Talam Kacang Merah



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Agak lama juga tidak menjengah ke sini untuk update new entry. Agak malas sebenarnya untuk mencuba resepi di dapur. Kebetulan kebelakangan ini saya jarang masak untuk makan di rumah jadi tiada yang menarik untuk dikongsi di sini.

Tetapi bila nampak blog sunyi sepi tanpa entry baru, rasa macam serba salah pun ada. Yalah bila pengunjung datang asyik menu yang dah lama tidak ditukar. Harap tidak serik untuk berkunjung lagi ke sini.

Kebelakangan ini sering berbual dengan kawan kawan lama dan ramai dari mereka yang membuat kuih muih tempahan dan ada yang khusus dalam pembuatan talam. Ada masanya sampai berbelas belas bekas tempahan talam diterima dalam satu hari. Seronok bila mendengarnya. Ada yang setiap malam tidur pukul 2 dan bangun semula pukul 4 pagi untuk memenuhi permintaan pelanggan. Walaupun penat, tetapi itulah sumber rezeki untuk membantu menyara keluarga.
 


Tiba tiba terasa macam nak buat talam juga. Kali ini saya mencuba Talam Kacang Merah dari buku Talam Klasik Malaysia oleh Hasma Noor Basir.

Saya buat separuh dari adunan asal tetapi nanti saya akan beri resepi seperti yang di dalam buku.

Lapisan Bawah
Bahan A
200 gms tepung beras
250 gms gula pasir
1000 ml santan cair
1 sudu teh tepung keledek atau 2 sudu besar tepung jagung
1/2 sudu teh garam

Bahan B
50 gms kacang merah
800 ml air
1 sudu besar minyak masak 
( rebus sehingga empuk )
Kalau nak senang beli saja kacang dlm tin

Lapisan Atas
1000 ml santan pekat
80 gms tepung beras
2 sudu makan tepung kacang hijau
2 sudu makan tepung pulut
1 sudu teh garam
Sedikit pewarna merah

Cara cara
1. Sediakan adunan lapisan bawah. Satukan semua bahan di dalam periuk, gaul sebati. Masak di atas api sederhana kacau hingga pekat. Matikan api dan masukkan kacang merah.
2. Tuang ke dalam loyang berukuran 12 X 12 yang telah disapu sedikit minyak. Kukus selama 20 mimit.
3. Sementara itu sediakan adunan Lapisan Atas/Kepala. Satukan semua bahan dan gaul sebati. Masak di atas api sehingga pekat. Gores  permukaan lapisan bawah dengan garfu dan tuang adunan lapisan atas. Kukus selama 20 minit.
4. Sejukkan sebelum dipotong.

Monday, December 29, 2014

Nagasari Jagung dan Pisang


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Masih risau mengenangkan keluarga di kampung yang terlibat dengan banjir. Bekalan air paip terputus dan sesetengah kawasan sudah dipotong bekalan elektrik. Air bersih semakin sukar begitu juga dengan bekalan makanan yang lain. Penghantaran bekalan agak sukar memandangkan semua jalan sudah ditutup akibat dinaiki air.

Harap banjir cepat surut supaya loji air yang rosak boleh dibaiki dengan segera dan yang penting bekalan makanan boleh dihantar dengan segera. Tetapi setiap kali mendengar berita, air makin naik.
 
Hari sabtu lepas saya sediakan Nagasari Jagung memandangkan ada saudara suami saya yang akan singgah di rumah. Kebetulan ada sedikit pisang emas baki saya buat jemput jemput, saya masukkan sekali. Maka jadilah Nagasari campuran jagung dan pisang.

Malas nak keluar beli daun pisang, saya gunakan gelas cocktail.