Tuesday, July 31, 2012

Kuih Tako Moden



Salam semua,


Ramai yang sudah mula tayang kuih raya.... Aduhai, menu berbuka pun jarang buat sendiri apatah lagi nak mula mencanai kuih raya. Takpelah, raya ni saya tutup pintu rumah dan berjalan ke rumah kawan kawan lain. Boleh gitu!!!!!!


Kalau ada kerajinan, mungkin nak mula cari balik kat mana mixer, spatula, baking tin dan yang seumpama dengannya. Maklumlah, dah beberapa bulan tak pernah buat kek atau cookies. So nak kena check samada semua tu masih berfungsi atau tidak.

Kalau ikutkan my husband awal awal lagi suruh beli je. Tapi mungkin lebih banyak beli dari buat sendiri rasanya.... ( Ayat orang malas la ni....)



Okay berbalik pada menu semalam, semua makanan confirm yang tunjuk tunjuk by my husband. Sebulan ni dia ambil alih tugas saya menyediakan makanan. Jadi semalam bila saya balik sempat jugalah menyediakan Kuih Tako untuk berbuka. Since kesuntukan masa nak buat bekas kuih tako dari daun pandan atau daun pisang, saya cuma masukkan ia ke dalam bekas bekas kecil.

Saya dah beberapa kali buat kuih ni menggunakan resepi dari Kak Jun sebab ia menghasilkan dalam kuantiti yang cukup untuk isi rumah yang kecil.

Kuih Tako Moden

Bahan untuk lapisan bawah
30 gms tepung Hoen Kwee hijau
80 gms gula pasir
300 ml air
6-7 biji sengkuang cina/water chestnut ( boleh guna sengkuang biasa)

Bahan untuk lapisan atas
20 gms tepung beras
270 ml santan
20 gms gula pasir
Secubit garam

Bekas bekas kecil

Cara cara
1. Untuk lapisan bawah, masukkan semua bahan ke dalam periuk. gaul sehingga tepung larut.
2. Panaskan hingga warna larutan menjadi lutsina dan gelembung gelembung kecil keluar.
3. Matikan api, sudukan ke dalam bekas bekas kecil 1/2 ketinggian sahaja.
4. Untuk lapisan bawah, masukkan semua bahan ke dalam periuk, gaul sekata dan masak hingga menjadi pekat.
5. Matikan api dan sudukan ke dalam bekas bekas tadi. Sejukkan dan bolehlah dihidang.

Monday, July 30, 2012

Sotong Bakar Bersumbat


Salam 10 Ramadhan..


Ramadhan kali ini memang terserlah "kerajinan" saya.......


Ingatkan cuti hujung minggu, nak masak untuk berbuka dan sekaligus boleh update blog. Nampaknya tekaanku meleset jua.. Masih lembab dan lemau rasanya nak ambil gambar. 
Semalam memang tak pergi langsung ke Bazaar Ramadhan, sebab dah nekad nak masak semua jaduah berbuka. Semangat berkobar kobar.....

Menu semalam, Kari Ketam, Sayur Campur, Sotong Bakar Bersumbat dan Air Tembikai Laici.


SOTONG BAKAR BERSUMBAT

Bahan bahan
1 ekor sotong bersaiz besar - bersihkan dan tos.
1 batang serai
1 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1/2 cili merah dan hijau
1 sudu makan isi udang
1 sudu makan kelapa parut
2 biji cili padi
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
Secubit jintan manis
1/2 sudu kecil garam ( anggaran )

Cara cara
1. Tumbuk semua bahan hingga halus.
2. Ambil sotong yg telah dibersihkan, lumurkan dengan sedikit garam dan kunyit.
3. Kemudian sumbat bahan yang telah ditumbuk ke dalam perut sotong hingga hampir penuh. Tutup dengan menggunakan lidi.
4. Bakar hingga sotong masak.

Friday, July 27, 2012

Ketam Goreng Telur Asin



Salam di hari Jumaat yang mulia....


Dah masuk hari ke 7 kita berpuasa, nampaknya tahun ini saya jarang sangat update blog di bulan puasa. Mood ke laut.... Nak ambil gambar pun terasa agak malas, tambahan minggu pertama ni banyak menu yang tunjuk tunjuk je.... So minggu ni kita intai dapur kawan kawan lain je lah...

Semalam dah pesan dengan my husband supaya tidak membeli terlalu banyak sangat sebab terasa macam nak masak kat rumah. Walau pun dah dipesan, masih ada 2,3 jenis makanan juga yang dibeli.


Konon kononnya semalam nak masak Ketam Telur Asin...

Sebelum balik kerja dah sibuk mencari resepi di internet, tapi rasa macam boleh ingat je, saya tak print pun resepinya. Fikir boleh ingat semua bahan sebab tak banyak sangat bahan yang digunakan. So bila sampai masa nak masak, terus je buat semua benda yang terlintas di kepala. Bila siap masak, rasa macam something is missing dan tak nampak macam yang sepatutnya.

So mulalah berfikir semula, apa yang saya tak masukkan. Rupa rupa saya terlupa nak letak cili padi dan juga susu cair. Itulah, rasa macam bagus je, akhirnya makanan yang dimasak jadi tidak seperti yang sepatutnya...

Tapi nasib baik rasanya tidaklah mengecewakan, still boleh habiskan semua ketam tu.




Tuesday, July 24, 2012

Egg Custard Pumpkin @ Sangkaya


Salam,


Hari ini sudah memasuki hari ke 4 kita berpuasa. Sempat intai rumah kawan kawan yang ada pelbagai hidangan yang enak untuk menu berbuka. Saya masih belum bekesempatan memasak hidangan berbuka memandangkan my husband teringin untuk "explore" atau pun buat kunjungan muhibbah ke bazaar ramadhan yang ada di Shah Alam ni. So layan je lah..... Boleh juga saya lepak sikit bila balik kerja, sebab dia dah uruskan semua untuk berbuka....

Tapi rasa macam nak masak sendiri hari ni sebab tekak dan perut dah mula rasa kurang selesa dengan makanan yang di beli di bazaar ramadhan.

Oh ya since saya tak perlu masak hidangan berbuka, saya sempat mengodek di dapur untuk buat Egg Custard Pumpkin @ Sangkaya. Ini percubaan kali kedua, masih belum mendapat tekstur custard tu seperti yang sepatutnya.


Ada banyak resepi bagaimana untuk menyediakan Sangkaya ini. Sesetengahnya menggunakan telur yang agak banyak, ada juga yang menggunakan telur itik. Saya jumpa satu resepi yang hanya menggunakan kira kira 3 biji telur ayam saiz besar, sebab kalau tidak menjadi rasa macam sayang je telur yang digunakan terbuang begitu saja.

SANGKAYA

Bahan bahan
1 biji labu bersaiz sederhana
1 cawan telur ayam ( kira kira 3 biji telur saiz besar)
1 cawan santan
1/2 gula kabung
Sedikit garam
1 helai daun pandan

Cara cara
1. Potong sedikit bahagian atas buah labu. Keluarkan bijinya dan bersihkan.
2. Pukul telur dengan whisk supaya sebati, masukkan ke dalam periuk bersama sama dengan santan, gula kabung, garam dan daun pandan.
3. Panaskan sehingga sedikit pekat, matikan api dan keluarkan daun pandan.
4. Tuang ke dalam labu, masukkan labu ke dalam kukusan yang telah dipanaskan dahulu.
5. Kukus anggaran 20 minit atau sehingga labu lembut dan custard keras. Sejukkan sebelum dipotong.

Saturday, July 21, 2012

Kari Telur



Salam dan Selamat Menjalani ibadah puasa di hari pertama di bulan Ramadhan Al Kareem...


Cuaca di Shah Alam agak mendung hari ini, mungkin hujan akan turun. Alhamdulillah hari pertama berpuasa, cuaca yang tidak panas terik mungkin membantu anak anak kecil yang baru mula berpuasa.

Seperti tahun tahun lepas, saya dan suami memang tak ada masalah nak bangun sahur. maklumlah dah tua tua kalau ada masalah nak bangun sahur tu melampau la kan.... Kami memang tak makan nasi atau makanan berat, cuma sekadar air teh panas dan biskut atau roti saja. Selalunya saya akan beli frozen kuih sebagai stock untuk bersahur.




Ok berbalik pada entry kali ini, semalam dah tak tau nak masak apa untuk makan malam, saya cuma buat kari telur yang mana saya pekatkan sedikit kuahnya.

Teringat masa dulu dulu semasa mengaji Quran di kampung. Kalau ada yang "Naik Quran" atau khatam selalunya akan ada kenduri pulut kuning. Antara yang paling selalu dimasak ialah kari telur selain dari kari ayam kampung. Maklumlah masa dulu dulu masing masing banyak membela ayam kampung, tapi kari telur ialah yang paling economical.


Ermmmm..... terasa macam nak makan pulut kuning pulak.....


Bila bulan puasa, mulalah tekak terasa nak makan macam macam kan....

Tapi janganlah pula sampai membazir dan keterlaluan, ingatan untuk diri sendiri. Maklumlah kalau dah nampak segala macam makanan yang dijual di Bazaar ramadhan, macam nak beli semuanya.....

Selamat Berpuasa semua.

Wednesday, July 18, 2012

Bawal Masak Sos



Salam,

Sehari dua lagi Insyallah kita muslimin dan muslimat akan mula berpuasa. Ada beberapa orang yang bertanya kepada saya, macam mana perisapan puasa? Ermmmm.... saya sebenarnya tak tau nak jawab apa. Bagi saya dan suami, tak banyak yang berubah dari tahun tahun sebelumnya. Maklumlah kami hanya berdua, so routine seharian masih tak banyak berbeza dari hari hari biasa.

Malam ni saya cuma letak gambar menu Ikan bawal Masak Sos.



Tengah rajin untuk letak gambar, mana tahu nanti bulan puasa, mood nak ambil gambar masakan pulak tak berapa nak ada. Lagilah jarang update blog pulak.


Tuesday, July 17, 2012

Sambal Belacan Belimbing Buluh


Salam,

Pagi ini tayang menu dinner malam tadi. Actually menu yang simple dan antara menu yang paling kerap dan paling laris jualannya dalam rumah saya, tentu KARI......

Paling kurang seminggu sekali mesti masak kari.


Since ada balance buah belimbing buluh yang saya gunakan untuk masak dengan Ikan Jenahak semalam, saya gunakan pula dalam sambal belacan. Maka jadilah Sambal Belacan Belimbing Buluh. Sebelum ditumbuk bersama sama dengan bahan lain, rendam dulu dalam air panas lebih kurang seminit supaya ia lembut.

Dulu my mom selalu letakkan buah belimbing buluh ini di atas nasi yang telah masak untuk melembutkannya.


Ini pula Ikan Bulus Goreng. Masa ke pasar hari ahad lepas, ada satu Chinese Lady cakap pada saya, ikan ini sedap ooooo buat goreng. Itupun masa saya tengah leka membelek ikan ni, maklumlah walaupun dah "veteran" bukannya kenal semua jenis ikan.

Tapi memang sedap bila digoreng dan cicah dengan sambal belacan belimbing buluh tu.



Yang ini main menu, Kari Ketam Tanpa Santan.

Sebab sehari sebelum tu dah makan masak lemak, so kali ni saya tak letak santan dalam kari ketam saya. Nampaknya my husband preferred this style of cooking. He asked for more....


Sunday, July 15, 2012

Ikan Jenahak Masak Lemak Cili Padi



Salam di hujung minggu....


Hari ini saya buat tayangan Ikan Jenahak Masak Lemak Cili Padi dengan belimbing buluh untuk menu makan tengahari. Saya cuma beli isi ikan jenahak ni sepotong saja. Agak besar juga. Since tak tahu nak gandingkan dengan apa, saya masukkan beberapa biji buah belimbing buluh.

Untuk kali ini saya buat kuah yang sedikit saja dan agak pekat. Saya tidak menggunakan bawang dalam masak lemak kali ini.


Layan gambar dulu ye....

JENAHAK MASAK LEMAK CILI PADI

Bahan bahan
1 keping isi ikan jenahak - bersih dan toskan
1cm kunyit hidup
4 biji cili padi
5 biji buah belimbing buluh
100 ml santan pekat
150 ml air
Garam secukup rasa

Cara cara
1. Kukus isi ikan hingga masak. Ketepikan. Tumbuk cili padi dan kunyit hidup hingga lumat
2. Masukkan santan pekat, air, bahan yang telah ditumbuk dan juga buah belimbing buluh ke dalam periuk.
3. Masak hingga kuah mendidih dan perasakan dengan garam.
4. Masukkan isi ikan yang telah dikukus kedalam kuah dan balik balikkan ikan supaya kuah meresap pada ikan.
5. Tutup api dan hidangkan dalam pinggan yang sesuai.


Saturday, July 14, 2012

Strawberry Frozen Yogurt



Salam,


Selamat petang, apa agaknya juadah untuk minum petang hari ni ye? Saya hanya buat teh panas dan goreng kuih sejukbeku yang saya beli beberapa hari lepas. Kebetulan terserempak penjual kuih muih sejuk beku dan ternampak beberapa kuih yang menjadi kegemaran saya tetapi agak malas nak buat sendiri. Jadi saya beli sedikit sekadar ingin mencuba, sebab adakalnya tidak menepati selera. Tetapi alhamdulillah, yang ini sedap dan tidak mengecewakan.




Oh ya, masa saya ke Cameron Highlands tempohari, saya beli buah strawberry dengan agak banyak. Jadi sebahagiannya saya bekukan di dalam freezer. Sebab kalau tidak buah akan menjadi buruk dan berakhir di dalam tong sampah. So hari ni saya gunakan buah strawberry yang telah dibekukan untuk menyediakan Strawberry Frozen Yogurt.

Saya cuma simpan di tempak beku selama lebih kurang sejam saja, jadi ia tidaklah terlalu keras. Just nice for me. Maybe next time kena adjust kuantiti madu sebab rasanya agak masam. Mungkin strawberry pun memang masam ditambah dengan kandungan yogurt menyebabkan ia lebih masam dari jangkaan saya.



STRAWBERRY FROZEN YOGURT

2 Cawan frozen strawberry
3/4 cawan plain yogurt
1/2 cawan madu

Cara cara

1. Masukkan semua bahan ke dalam blender yang boleh digunakan untuk mengisar ais. Kisar hingga semua bahan halus dan sebati. 
2. Rasa, jika perlu boleh tambahkan kuantiti madu.
3. Tuang bahan kisar ke dalam bekas, tutup dan simpan di dalam tempat beku. Simpan lebih kurang 1 jam atau lama bergantung pada tekstur yang dikehendaki.
4. Keluarkan dan cedok ke dalam bekas hidangan.

Friday, July 13, 2012

Sambal Udang Petai


Salam,

Malam ni saya buat ulang tayang menu yang entah kali ke berapa. Tapi agak lama juga saya tak masak something with stinky beans aka petai kat rumah. Selalu saya akan masak hujung minggu atau hari cuti saja. Maklumlah kerja saya berurusan dengan orang, jadi kurang selesa kalau mulut berbau. Lagipun tidak berapa lama lagi bulan puasa, jadi teringin nak makan dalam bulan puasa pun tak berapa bagus juga.

Selain petai, ada jering dan buah genuak yang seangkatan dengannya dari segi bau. Tapi setakat ni saya cuma makan petai. Ada satu menu dari Negeri Pahang yang menggunakan jering rebus dan digaul dengan kelapa parut kalau tidak silap saya. Saya tidak pernah mencuba tetapi mak saya cakap ia sedap.

Okay berbalik pada menu malam ni, Udang Sambal petai.


Rasanya ramai yang tahu bagaimana nak buat sambal udang kan, tapi ia bervariasi bergantung kepada tekak dan kesukaan masing masing. Ada yang suka rasa dan bau serai dalam sambal tumis.Ada juga yang meletakkan sedikit santan diakhir masakan.

Walau bagaimana Sambal Tumis ini dimasak, ia memang menjadi menu kegemaran ramai orang di Malaysia terutamanya. Nasi lemak akan hilang serinya tanpa sambal tumis.

So, jemput makan......



Tuesday, July 10, 2012

Kepak Ayam Goreng Berperisa



Salam,

Dah makan malam? Alhamdulillah kami dah kenyang. Makan yang simple saja. Kebetulan pulak hari ni jalan jem teruk masa nak balik rumah petang tadi. Biasanya kalau ada kemalangan atau polis buat sekatan jalanraya, memang akan jem yang agak kronik. Selalunya perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 15 minit menjadi hampir 1 jam.

Jadi hanya buat yang simple saja sebab kesuntukan masa.  Sebenarnya saya plan nak buat Kepak Ayam Goreng berperisa ni semalam, tapi atas sebab sebab tertentu terpaksa dibatalkan. Jadi ayam yang sudah siap diperap, dimasukkan ke dalam plastik dan simpan dalam peti ais semula.

Jadi malam ni, hanya keluarkan dari peti ais dan goreng saja.



Tengok gambar dulu ye.....



psst.... nak temankan my husband layan citer tamil, pelakonnya Kamal Hassan ke apa namanya. 

KEPAK AYAM GORENG BERPERISA

BAHAN BAHAN

3 keping kepak ayam - bersihkan dan tos
1 sudu makan halia yang telah ditumbuk
2 ulas bawang putih
1 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
Garam secukupnya
1 pokok daun ketumbar - ambil bahagian batang

Cara cara
1. Tumbuk bawang putih dan batang daun ketumbar hingga hancur. Campurkan dengan halia tumbuk, garam,serbuk kunyit dan serbuk cili di dalam beg plastik.
2. Masukkan kepak ayam ke dalam beg plastik dan gaul sekata.
3. Perapkan kepak ayam tadi di dalam peti ais selama lebih kurang sejam.
4. Panaskan minyak dan goreng kepak ayam hingga masak dan keperangan. Sedia dinikmati dengan sos kegemaran.
5. Untuk kali ini saya sediakan Vietnamese Dipping Sauce atau pun Nuoc Cham.

NUOC CHAM

Bahan bahan

1 ulas bawang putih
3 biji cili padi
2 sudu makan sos ikan
3 sudu makan air hangat (luke warm water)
1 sudu teh perahan limau
Sedikit gula pasir
Hirisan daun ketumbar

Cara cara
1. Tumbuk bawang putih dan cili padi hingga hancur. Masukkan ke dalam bekas dan campurkan dengan bahan bahan yang lain.
2. Sesuaikan rasa.

Monday, July 9, 2012

Kacang Buncis dan Cendawan Goreng



Salam,

Kali ini saya cuma letak satu masakan sayur yang simple dan senang untuk disediakan. Dah 2, 3 hari bahu dan leher saya sakit, agaknya salah tidur atau ada setengah org gelarkannya "Salah Bantal". Orang lain bau perfume wangi semerbak, saya pula bau minyak urat. Seksa juga bila nak palingkan leher, especially bila ada orang panggil dari belakang.

Saya masih ada banyak stok cendawan shiitake di dalam peti ais, terfikir nak masak apa agaknya. Cari cari terjumpa satu resepi mudah dari Steamy Kitchen. Saya ni memang sukakan resepi yang mudah dan cepat terutamanya hari bekerja.


Sayur Goreng Kacang Buncis dan Cendawan

Bahan bahan
100 gms kacang buncis - potong 2
3 kuntum cendawan shiitake - dihiris
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 sudu makan sos tiram
garam secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara cara

1. Panaskan kuali (wok), masukkan 1 cawan air dan biarkan hingga mendidih. Masukkan kacang buncis dan  
   biarkan ia stim lebih kurang 2 minit. Angkat dan toskan.
2.Panaskan minyak, tumis bawang besar hingga layu. Masukkan cendawan, goreng sebentar hingga layu. Kemudian masukkan kacang buncis dan kacau sebati.
3. Masukkan bawang putih dan sos tiram. Gaul sekata dan perasakn dengan garam jika perlu.
4. Angkat dan hidangkan bersama sama nasi hangat dan lauk yang lain.


Thursday, July 5, 2012

Honeyed Poached Apricots with Yogurt


Salam Nisfu Syaaban......

Apa khabar semua pengunjung My Small Kitchen? harap semuanya sihat dan ceria selalu.... Saya dan suami mengalami batuk dan badan rasa lemah saja..... Kalau ikutkan hati macam nak berbaring. Biasalah bila umur makin meningkat, daya tahan badan pun semakin lemah. Kalau terlalu manjakan badan pun tak bagus juga.

Jadi mari kita ceria ceriakan hari Khamis ni ye..... 



Malam tadi menu ulangan so malas nak ambil gambar. Nanti jemu pulak asyik tengok menu yang sama berulang ulang kan....

So hari ni saya tayang gambar Honeyed Poached Apricots with Yogurt..... Panjang sungguh namanya, tapi senang dan cepat untuk menyediakannya. Ada oang tidak menggemari yogurt kerana rasanya yang masam. Tetapi kalau tahu bagaimana untuk mempelbagaikan kegunaan yogurt, tentu ia menjadi enak. Bagi penggemar yogurt, tentu boleh mencari idea bagaimana untuk menikmati keenakan yogurt.


Saya memang selalu simpan stok plain yogurt di dalam peti ais di rumah. kadang kala terasa nak makan something but too lazy to cook, so selalunya saya hanya makan yogurt dengan madu. Selain itu, saya suka minum lassi buah buahan, jadi yogurt antara bahan yang perlu ada.

HONEYED POACHED APRICOTS WITH YOGURT
Sumber dari internet (Gourmet in the kitchen), diubah suai mengikut keaadan.

Bahan bahan

5 biji buah apricots - belah dua dan buang bijinya.
1 cawan air
3 sudu makan madu
1 sudu kecil rose water
Sedikit kacang pistachio 

Cara cara
1. Masukkan air, madu dan rose water ke dalam peiuk. Panaskan hingga madu larut.
2. Masukkan apricots ke dalam periuk, biarkan hingga mendidih tetapi jangan sampai buah apricots menjadi lembik dan hancur. Keluarkan buah apricots.
3. Renihkan kuah yang tinggal dengan api perlahan hingga hampir pekat dan matikan api.
4. Cedok yogurt ke dalam bekas hidangan, letakkan buah apricots di atasnya. Sudukan kuah yang telah dipekatkan tadi ke atasnya. Taburkan dengan kacang pistachio.
5. Sedia untuk dinikmati.



Bon Appetite.....


Monday, July 2, 2012

Stir Fry Beef with Fennel, Carrot and Mushrooms



Salam,


Untuk makan malam kali hari ni, saya masak Stir Fry Beef yang saya campurkan dengan beberapa jenis sayuran yang ada. Maklumlah sayur agak banyak dan hampir layu, so kena segera masak untuk elakkan dari  pembaziran sebab di buang nanti.

Stir fry antara menu kesukaan saya, dan selalunya saya buat sedikit berkuah sebab suami saya sukakan berkuah.



Masak sebegini menjimatkan masa saya sebab semua ada di dalam satu dish. Ada daging dan juga sayur sayuran.


Cukup sekadar satu menu di makan dengan nasi hangat. Dan saya cuma rebus paru untuk di cicah dengan sos cili.


Saya akan update resepi kemudian sebab cuaca kat luar kurang elok. Angin bertiup kencang dan mungkin akan hujan.

**** Saya pernah nampak fennel dijual di TESCO Shah Alam dan juga Pasaraya HERO seksyen 13, Shah Alam.


Sunday, July 1, 2012

Kepiting Asap


Salam di hari minggu.....

Sudah makan tengahari? Apa agaknya menu tengahari ni ye?..... Tak kisahlah apa menunya kan, kalau makan dengan orang tersayang tentunya menu yang simple pun menjadi sedap hingga menjilat jari.

Hari ini saya masak simple saja, satu menu bergoreng dan satu lagi Kepiting Asap. Apa agaknya kepiting tu yek? Kepeting aka Ketam yang dimasak dengan beberapa bahan dan kemudiannya di bakar seketika untuk mendapatkan bau daun pisang.

Sebenarnya saya mendengar dari seorang kawan yang menetap di Indonesia tentang salah satu masakan yang agak popular di sana. Sebabkan ingin tahu, saya google dan terjumpa beberapa resepi berkaitan Kepeting Asap ini. So saya mencuba memasak kepiting Asap mengikut apa bahan yang ada di dapur saya.

Bahan
1 ekor ketam - siang dan kerat kepada dua bahagian. Kukus sebentar

1inci halia
1 batang serai
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1 biji buah keras
1 biji cili merah
1 biji cili hijau
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu makan kicap pekat
Gula,garam dan jus limau secukup rasa

Cara cara
1. Kisar hingga halus kecuali lada hitam, kicap, gula, garam dan jus limau. Panaskan kuali, tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Perasakan dengan garam, gula dan jus limau. Masukkan ketam yang telah dikukus tadi. Gaul sekata dan biarkan lebih kurang 5 minit. Matikan api.
3. Ambil daun pisang, masukkan ketam dan kuah tadi ke dalam daun pisang. Tutup kemas. Panggang di atas api lebih kurang 5-10 minit.
4. Hidangkan bersama sama nasi putih hangat.