Friday, September 25, 2015

Puding Sedut


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha buat semua yang meraikannya. Saya dan suami hanya meraikannya di Shah Alam saja. Separuh hari sibuk membantu kawan kawan yang menyertai ibadah Qurban so tidak terasa sangat walau tidak berada di kampung halaman. 

Hari ini sudah kembali bekerja semula. Walaupun berdua, saya masih menyediakan juadah Rendang Ayam dan Ketupat Nasi. Tapi hari ini saya upload gambar Puding Sedut yang saya sediakan sebelum hari raya. Hari tu nampak Azlita dan Zila upload dalam blog mereka. Saya tidak lah punya kesabaran yang tinggi seperti mereka untuk menyediakan puding sedut "paddle pop" yang berlapis. Malas nak menunggu.....

Jadi saya cuma buat satu perasa saja iaitu Matcha atau Green Tea. Memandangkan stok Green tea saya tinggal sedikit, jadi warna yang terhasil agak pucat dari sepatutnya. Mungkin lain kali boleh buat perisa yang lain pula.
 
  
 Puding Sedut saya sedikit keras dari yang sepatutnya. Lain kali saya kena ukur dengan lebih tepat jumlah cecair yang digunakan.

Monday, September 21, 2015

Kek Pisang

 
Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...
InsyaAllah lagi beberapa hari umat Islam akan meyambut kedatangan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Qurban. Memandangkan hari raya akan jatuh semasa cuti sekolah, mesti ramai yang mengambil peluang untuk menyambut di kampung halaman. Biasanya cuti sehari saja untuk Hari Raya Qurban ni.
 
Mungkin ada kalangan kita yang ada rezeki lebih untuk membuat ibadah Qurban tahun ini. Alhamdulillah moga dimurahkan lagi rezeki.
 
 Agak lama juga oven saya tidak berfungsi. So dalam sesi memanaskan oven saya buat Kek Pisang yang saya ambil resepi dari Majalah RASA. Mungkin sebab agak lama tidak digunakan, oven buat hal sedikit menyebabkan permukaan kek saya agak "Rentung". tetapi alhamdulillah raanya tidak dipengaruhi oleh keaadan luarannya. Yang penting suami saya asyik mengunyah....
 
KEK PISANG
 
Bahan bahan
6 biji pisang emas - dilenyek/mashed
225 gms gula pasir - saya hanya gunakan 200 gms gula pasir perang. Inipun dah masnis sangat pada saya.
300 gms tepung gandum
170 ml melted butter
4 biji telur ayam
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh baking soda
1 sudu teh esen pisang
 
Cara cara
1. Ayak tepung gandum bersama sama dengan baking pawder dan baking soda.
2. Pukul telur bersama sama gula dan esen pisang hingga kembang.
3. Campurkan tepung bersama sama pisang yang telah dilenyek tadi. Gaul sekata, kemudian masukkan pula campuran telur tadi.
4. Masukkan pula melted butter dan gaul sebati. Sapukan sedikit butter di dalam loyang, kemudian tuang adunan kek. Hiris pisang emas dan letak di atas permukaan kek jika suka.
5. Bakar kek pada suhu 170C anggaran masa 40 minit atau sehingga kek masak. Ambil lidi dan cucuk dibahagian tengah kek, jika lidi keluar bersih makan kek sudah masak. 
 

Thursday, September 17, 2015

Pengat Labu



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...


Rasa macam hari Ismin pula hari selepas cuti semalam. Suasana agak lenggang mungkin ada yang sudah ambil cuti bersambung dengan cuti penggal persekolahan atau barangkali sebab Shah Alam baru lepas hujan... Tetapi udara diluar masih berbau asap terbakar.

Bila duduk di rumah mulalah sibuk nak mencari apa yang boleh dikunyah. Plan nak buat Bahn Mi pun terbantut sebab kehabisan roti baguette. Semalam ramai orang beli roti baguette agaknya... 

Yang ada di dapur hanya buah labu, malas nak fikir menu yang complicated, saya cuma sediakan Pengat/Serawa Labu untuk juadah minum petang. Cari stok sagu dalam peti ais pun tak ada, so masak ikut apa yang ada sajalah. 

PENGAT LABU - MY STYLE

Bahan bahan
1/2 biji labu manis saiz sederhana - dipotong kiub
2 cawan air - anggaran
1 cawan santan pekat
1 keping gula melaka - dipotong kecil supaya mudah larut
Gula pasir - tambah mengikut kemanisan yang disukai. Saya suka kurang manis, jadi tambah sedikit saja.
1/2 sudu teh garam 
Daun pandan

Cara cara
1. Rebus labu dengan air hingga lembut. Kemudian masukkan santan pekat dan simpulan daun pandan. Jika ada sagu, rendamkan dahulu dan masukkan sekali.
2. Masak dengan api kecil, kemudian perasakan dengan garam dan gula. Anda boleh adjust kuantiti gula melaka dan gula pasir bergantung pada kesukaan anda. 
3. Setelah masak, bolehlah diangkat dan di hidangkan.
  
Sejak berjerebu ni belum sempat mengemas laman tepi rumah, banyak rumput dah naik semula. So abaikan pemandangan yang kurang enak tu ye...



 

Tuesday, September 15, 2015

Vietnamese Daikon & Carrot Pickles - Do Chua


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Kali ini saya cuba buat jeruk lobak merah dan lobak putih ala Vietnamese. Sesuai dimakan bersama Bahn Mi sejenis sandwich dari Vietnam atau dimakan bersama grilled fish atau diratah begitu saja.
 
Bahan bahan
Lobak merah - kupas kulit dan potong anggaran sebesar 3 cm
Lobak putih / daikon - kupas kulit dan potong anggaran sebesar 3 cm
Sukat setiap lobak anggaran 1 cawan
1 sudu teh garam
1/2 cawan + 2 sudu teh gula pasir
1 1/4 cawan distilled white vinegar - cuka
1 cawan air suam

Cara cara
1. Masukkan kedua dua lobak ke dalam bekas. masukkan garam dan gula. Ramas perlahan lahan kemudian cuci dan toskan.
2. Masukkan lobak ke dalam balang kaca.
3. Sediakan bekas, masukkan gula, cuka dan air suam. Kacau hingga semua sebati.
4. Tuang ke dalam balang kaca yang berisi lobak tadi hingga menutupi semua lobak. Tutup rapat.
5. Jeruk lobak boleh dinikmati selepas 1 jam dan bertahan lebih kurang 4 minggu di dalam peti sejuk.   


Kalau rajin esok baru nak buat Bahn Mi. Itupun kalau ada tahap kerajinan yang tinggi.

 

Sunday, September 13, 2015

Sambal Udang






Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.
Menu untuk tengahari di hari minggu yang penuh berjerebu... Sambal Udang Extra Spicy.

Walau pun duduk di dalam rumah, masih boleh hidu bau asap. Rimas rasanya bila duduk dalam rumah terpaksa tutup semua tingkap dan pintu. Walaupun hujan agak lebat di sebelah petang tadi, tapi masih belum mengurangkan jerebu ataupun bau asap.

Rasanya ramai yang tahu bagaimana untuk menyediakan sambal udang jadi untuk hari ini kita menjamu mata saja ye.


Monday, September 7, 2015

Ayam Goreng Cili Kering



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Memandangkan cuaca yang agak panas dan berjerebu, kurangkan aktiviti diluar rumah dan jangan lupa ambil air kosong yang banyak.

Semalam tiada rancangan untuk kemana mana, jadi saya sediakan masakan yang simple untuk menu tengahari. Menu campak campak, apa yang ada dalam freezer. Agak lama tidak membeli barang basah. Ada kalanya beli dan simpan hingga berminggu tanpa dimasak. So untuk mengurangkan pembaziran, beli barang basah jika saya ada perancangan untuk memasak.
 


Ayam Goreng Cili Kering
Bahan bahan
5 ketul daging ayam - cuci bersih, digaul dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Goreng hingga masak dan ketepikan.
10 tangkai cili kering, 4 tangkai dipotong 2
2 ulas bawang putih
1 inci halia
3 ulas bawang merah
2 sudu teh sechuan peppercorn
1 tangkai daun bawang di potong
Sedikit kicap cair

Cara cara
1. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bawang putih, bawang merah dan halia hang telah dimayang hingga naik bau.
2. Masukkan cili kering dan sechuan pepeercorn. Goreng sebentar.
3. Masukkan ayam dan tambah kicap cair. gaul sebati. Masukkan daun bawang.
4. Jika sukakan masin boleh tambahkan garam. Setelah semua sebati bolehlah dimatikan api. Enak dinikmati dengan sepinggan nasi putih yang hangat.
 

Thursday, September 3, 2015

Homemade Telur Asin & Kacang Botol


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera...

Sejak kebelakangan ini my husband tiba tiba suka pula makan telur asin. Kalau dulu memang jarang sangat dia sentuh kalau saya masak. Sekarang dah jadi favorite pula. Selalunya saya beli yang dah siap di pasaraya yang dibalut dengan sekam berwarna hitam. Ada sekali saya jumpa di pasar tani yang dijual tanpa sekam. Rasanya kurang masin berbanding yang dibalut dengan sekam.

So terfikir kenapa tidak buat sendiri? Kita boleh control tahap kemasinan yang kita suka. So google jumpa resepi Telur Asin dari blog Amie's Little Kitchen. Saya ikut resepi dari blog Amie cuma saya kurangkan sedikit kuantiti garamnya. Jadi untuk permulaan saya hanya buat untuk 6 biji telur itik bersaiz sederhana. Alhamdulillah dah boleh makan dan rasa masinnya sedang elok untuk selera saya.
  


 Sebelum bulan puasa, my husband semai biji benih kacang botol. Semuanya ada 6 bekas tapi cuma 1 bekas yang hidup. Boleh nampak pokok kacang di belakang gambar telur asin, bukan main merimbun lagi. Buahnya banyak sampai tak larat nak makan. Jadi rezeki kawan kawan dan jiran la nampaknya.

Wednesday, September 2, 2015

Jus Jeruk Limau Kasturi dan Asam Boi

 Assalammualaikum dan Salam Sejahtera....

Wah sebulan sekali saja sempat update blog. Aduhaiiii kesian betul tengok blog yang dah hampir terbiar ni. Harap jangan sampai terbiar terus, insyaallah walau sebulan sekali tetap akan di kemaskini juga.

Kalau kita perhatikan di FB pelbagai jenis resepi selalu dikongsi oleh kawan kawan. Dari main dish sehinggalah snack untuk kunyahan. Ada juga kawan kawan yang setiap kali buka FB asyik share segala macam resepi yang ada tapi tak pernah nampak pula mencuba.... Bila ditanya, katanya nantilah bila free.



Beberapa minggu lepas saya ternampak ada yang post berkenaan Jeruk Limau Kasturi Asam Boi yang enak dibuat minuman. So mood ada sedikit rajin jadi saya google cari resepi yang berkenan di hati. Ada yang menggunakan air gula yang dimasak tetapi saya lebih teruja untuk mencuba resepi yang menggunakan Apple Cider Vinegar. Saya dah lupa link blog yang saya ambil resepi ini.

Cara menyediakannya senang saja cuma masa untuk menikmati hasilnya kena bersabar sikit. Bahan yang saya gunakan ialah limau kasturi, asam boi, 1 sudu teh garam dan Raw Unfiltered Apple Cider Vinegar. Potong sedikit bahagian atas buah limau kasturi, sumbatkan dengan asam boi. Masukkan ke dalam bekas yang sesuai. Tuang cuka hingga menutupi buah limau kasturi. Masukkan garam dan tutup bekas dengan kemas. Simpan ditempat tertutup. Mengikut resepi sehingga 3-4 minggu tetapi saya hanya sehingga 2 minggu sahaja.
 


So cuma gunakan 1 sudu makan jus dan campurkan dengan 1 sudu makan madu. Tambahkan air dan ais. Enak dinikmati dalam cuaca yang agak panas sekarang ini.