Tuesday, July 31, 2012

Kuih Tako Moden



Salam semua,


Ramai yang sudah mula tayang kuih raya.... Aduhai, menu berbuka pun jarang buat sendiri apatah lagi nak mula mencanai kuih raya. Takpelah, raya ni saya tutup pintu rumah dan berjalan ke rumah kawan kawan lain. Boleh gitu!!!!!!


Kalau ada kerajinan, mungkin nak mula cari balik kat mana mixer, spatula, baking tin dan yang seumpama dengannya. Maklumlah, dah beberapa bulan tak pernah buat kek atau cookies. So nak kena check samada semua tu masih berfungsi atau tidak.

Kalau ikutkan my husband awal awal lagi suruh beli je. Tapi mungkin lebih banyak beli dari buat sendiri rasanya.... ( Ayat orang malas la ni....)



Okay berbalik pada menu semalam, semua makanan confirm yang tunjuk tunjuk by my husband. Sebulan ni dia ambil alih tugas saya menyediakan makanan. Jadi semalam bila saya balik sempat jugalah menyediakan Kuih Tako untuk berbuka. Since kesuntukan masa nak buat bekas kuih tako dari daun pandan atau daun pisang, saya cuma masukkan ia ke dalam bekas bekas kecil.

Saya dah beberapa kali buat kuih ni menggunakan resepi dari Kak Jun sebab ia menghasilkan dalam kuantiti yang cukup untuk isi rumah yang kecil.

Kuih Tako Moden

Bahan untuk lapisan bawah
30 gms tepung Hoen Kwee hijau
80 gms gula pasir
300 ml air
6-7 biji sengkuang cina/water chestnut ( boleh guna sengkuang biasa)

Bahan untuk lapisan atas
20 gms tepung beras
270 ml santan
20 gms gula pasir
Secubit garam

Bekas bekas kecil

Cara cara
1. Untuk lapisan bawah, masukkan semua bahan ke dalam periuk. gaul sehingga tepung larut.
2. Panaskan hingga warna larutan menjadi lutsina dan gelembung gelembung kecil keluar.
3. Matikan api, sudukan ke dalam bekas bekas kecil 1/2 ketinggian sahaja.
4. Untuk lapisan bawah, masukkan semua bahan ke dalam periuk, gaul sekata dan masak hingga menjadi pekat.
5. Matikan api dan sudukan ke dalam bekas bekas tadi. Sejukkan dan bolehlah dihidang.

Monday, July 30, 2012

Sotong Bakar Bersumbat


Salam 10 Ramadhan..


Ramadhan kali ini memang terserlah "kerajinan" saya.......


Ingatkan cuti hujung minggu, nak masak untuk berbuka dan sekaligus boleh update blog. Nampaknya tekaanku meleset jua.. Masih lembab dan lemau rasanya nak ambil gambar. 
Semalam memang tak pergi langsung ke Bazaar Ramadhan, sebab dah nekad nak masak semua jaduah berbuka. Semangat berkobar kobar.....

Menu semalam, Kari Ketam, Sayur Campur, Sotong Bakar Bersumbat dan Air Tembikai Laici.


SOTONG BAKAR BERSUMBAT

Bahan bahan
1 ekor sotong bersaiz besar - bersihkan dan tos.
1 batang serai
1 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1/2 cili merah dan hijau
1 sudu makan isi udang
1 sudu makan kelapa parut
2 biji cili padi
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
Secubit jintan manis
1/2 sudu kecil garam ( anggaran )

Cara cara
1. Tumbuk semua bahan hingga halus.
2. Ambil sotong yg telah dibersihkan, lumurkan dengan sedikit garam dan kunyit.
3. Kemudian sumbat bahan yang telah ditumbuk ke dalam perut sotong hingga hampir penuh. Tutup dengan menggunakan lidi.
4. Bakar hingga sotong masak.

Friday, July 27, 2012

Ketam Goreng Telur Asin



Salam di hari Jumaat yang mulia....


Dah masuk hari ke 7 kita berpuasa, nampaknya tahun ini saya jarang sangat update blog di bulan puasa. Mood ke laut.... Nak ambil gambar pun terasa agak malas, tambahan minggu pertama ni banyak menu yang tunjuk tunjuk je.... So minggu ni kita intai dapur kawan kawan lain je lah...

Semalam dah pesan dengan my husband supaya tidak membeli terlalu banyak sangat sebab terasa macam nak masak kat rumah. Walau pun dah dipesan, masih ada 2,3 jenis makanan juga yang dibeli.


Konon kononnya semalam nak masak Ketam Telur Asin...

Sebelum balik kerja dah sibuk mencari resepi di internet, tapi rasa macam boleh ingat je, saya tak print pun resepinya. Fikir boleh ingat semua bahan sebab tak banyak sangat bahan yang digunakan. So bila sampai masa nak masak, terus je buat semua benda yang terlintas di kepala. Bila siap masak, rasa macam something is missing dan tak nampak macam yang sepatutnya.

So mulalah berfikir semula, apa yang saya tak masukkan. Rupa rupa saya terlupa nak letak cili padi dan juga susu cair. Itulah, rasa macam bagus je, akhirnya makanan yang dimasak jadi tidak seperti yang sepatutnya...

Tapi nasib baik rasanya tidaklah mengecewakan, still boleh habiskan semua ketam tu.




Tuesday, July 24, 2012

Egg Custard Pumpkin @ Sangkaya


Salam,


Hari ini sudah memasuki hari ke 4 kita berpuasa. Sempat intai rumah kawan kawan yang ada pelbagai hidangan yang enak untuk menu berbuka. Saya masih belum bekesempatan memasak hidangan berbuka memandangkan my husband teringin untuk "explore" atau pun buat kunjungan muhibbah ke bazaar ramadhan yang ada di Shah Alam ni. So layan je lah..... Boleh juga saya lepak sikit bila balik kerja, sebab dia dah uruskan semua untuk berbuka....

Tapi rasa macam nak masak sendiri hari ni sebab tekak dan perut dah mula rasa kurang selesa dengan makanan yang di beli di bazaar ramadhan.

Oh ya since saya tak perlu masak hidangan berbuka, saya sempat mengodek di dapur untuk buat Egg Custard Pumpkin @ Sangkaya. Ini percubaan kali kedua, masih belum mendapat tekstur custard tu seperti yang sepatutnya.


Ada banyak resepi bagaimana untuk menyediakan Sangkaya ini. Sesetengahnya menggunakan telur yang agak banyak, ada juga yang menggunakan telur itik. Saya jumpa satu resepi yang hanya menggunakan kira kira 3 biji telur ayam saiz besar, sebab kalau tidak menjadi rasa macam sayang je telur yang digunakan terbuang begitu saja.

SANGKAYA

Bahan bahan
1 biji labu bersaiz sederhana
1 cawan telur ayam ( kira kira 3 biji telur saiz besar)
1 cawan santan
1/2 gula kabung
Sedikit garam
1 helai daun pandan

Cara cara
1. Potong sedikit bahagian atas buah labu. Keluarkan bijinya dan bersihkan.
2. Pukul telur dengan whisk supaya sebati, masukkan ke dalam periuk bersama sama dengan santan, gula kabung, garam dan daun pandan.
3. Panaskan sehingga sedikit pekat, matikan api dan keluarkan daun pandan.
4. Tuang ke dalam labu, masukkan labu ke dalam kukusan yang telah dipanaskan dahulu.
5. Kukus anggaran 20 minit atau sehingga labu lembut dan custard keras. Sejukkan sebelum dipotong.

Saturday, July 21, 2012

Kari Telur



Salam dan Selamat Menjalani ibadah puasa di hari pertama di bulan Ramadhan Al Kareem...


Cuaca di Shah Alam agak mendung hari ini, mungkin hujan akan turun. Alhamdulillah hari pertama berpuasa, cuaca yang tidak panas terik mungkin membantu anak anak kecil yang baru mula berpuasa.

Seperti tahun tahun lepas, saya dan suami memang tak ada masalah nak bangun sahur. maklumlah dah tua tua kalau ada masalah nak bangun sahur tu melampau la kan.... Kami memang tak makan nasi atau makanan berat, cuma sekadar air teh panas dan biskut atau roti saja. Selalunya saya akan beli frozen kuih sebagai stock untuk bersahur.




Ok berbalik pada entry kali ini, semalam dah tak tau nak masak apa untuk makan malam, saya cuma buat kari telur yang mana saya pekatkan sedikit kuahnya.

Teringat masa dulu dulu semasa mengaji Quran di kampung. Kalau ada yang "Naik Quran" atau khatam selalunya akan ada kenduri pulut kuning. Antara yang paling selalu dimasak ialah kari telur selain dari kari ayam kampung. Maklumlah masa dulu dulu masing masing banyak membela ayam kampung, tapi kari telur ialah yang paling economical.


Ermmmm..... terasa macam nak makan pulut kuning pulak.....


Bila bulan puasa, mulalah tekak terasa nak makan macam macam kan....

Tapi janganlah pula sampai membazir dan keterlaluan, ingatan untuk diri sendiri. Maklumlah kalau dah nampak segala macam makanan yang dijual di Bazaar ramadhan, macam nak beli semuanya.....

Selamat Berpuasa semua.

Wednesday, July 18, 2012

Bawal Masak Sos



Salam,

Sehari dua lagi Insyallah kita muslimin dan muslimat akan mula berpuasa. Ada beberapa orang yang bertanya kepada saya, macam mana perisapan puasa? Ermmmm.... saya sebenarnya tak tau nak jawab apa. Bagi saya dan suami, tak banyak yang berubah dari tahun tahun sebelumnya. Maklumlah kami hanya berdua, so routine seharian masih tak banyak berbeza dari hari hari biasa.

Malam ni saya cuma letak gambar menu Ikan bawal Masak Sos.



Tengah rajin untuk letak gambar, mana tahu nanti bulan puasa, mood nak ambil gambar masakan pulak tak berapa nak ada. Lagilah jarang update blog pulak.


Tuesday, July 17, 2012

Sambal Belacan Belimbing Buluh


Salam,

Pagi ini tayang menu dinner malam tadi. Actually menu yang simple dan antara menu yang paling kerap dan paling laris jualannya dalam rumah saya, tentu KARI......

Paling kurang seminggu sekali mesti masak kari.


Since ada balance buah belimbing buluh yang saya gunakan untuk masak dengan Ikan Jenahak semalam, saya gunakan pula dalam sambal belacan. Maka jadilah Sambal Belacan Belimbing Buluh. Sebelum ditumbuk bersama sama dengan bahan lain, rendam dulu dalam air panas lebih kurang seminit supaya ia lembut.

Dulu my mom selalu letakkan buah belimbing buluh ini di atas nasi yang telah masak untuk melembutkannya.


Ini pula Ikan Bulus Goreng. Masa ke pasar hari ahad lepas, ada satu Chinese Lady cakap pada saya, ikan ini sedap ooooo buat goreng. Itupun masa saya tengah leka membelek ikan ni, maklumlah walaupun dah "veteran" bukannya kenal semua jenis ikan.

Tapi memang sedap bila digoreng dan cicah dengan sambal belacan belimbing buluh tu.



Yang ini main menu, Kari Ketam Tanpa Santan.

Sebab sehari sebelum tu dah makan masak lemak, so kali ni saya tak letak santan dalam kari ketam saya. Nampaknya my husband preferred this style of cooking. He asked for more....


Sunday, July 15, 2012

Ikan Jenahak Masak Lemak Cili Padi



Salam di hujung minggu....


Hari ini saya buat tayangan Ikan Jenahak Masak Lemak Cili Padi dengan belimbing buluh untuk menu makan tengahari. Saya cuma beli isi ikan jenahak ni sepotong saja. Agak besar juga. Since tak tahu nak gandingkan dengan apa, saya masukkan beberapa biji buah belimbing buluh.

Untuk kali ini saya buat kuah yang sedikit saja dan agak pekat. Saya tidak menggunakan bawang dalam masak lemak kali ini.


Layan gambar dulu ye....

JENAHAK MASAK LEMAK CILI PADI

Bahan bahan
1 keping isi ikan jenahak - bersih dan toskan
1cm kunyit hidup
4 biji cili padi
5 biji buah belimbing buluh
100 ml santan pekat
150 ml air
Garam secukup rasa

Cara cara
1. Kukus isi ikan hingga masak. Ketepikan. Tumbuk cili padi dan kunyit hidup hingga lumat
2. Masukkan santan pekat, air, bahan yang telah ditumbuk dan juga buah belimbing buluh ke dalam periuk.
3. Masak hingga kuah mendidih dan perasakan dengan garam.
4. Masukkan isi ikan yang telah dikukus kedalam kuah dan balik balikkan ikan supaya kuah meresap pada ikan.
5. Tutup api dan hidangkan dalam pinggan yang sesuai.


Saturday, July 14, 2012

Strawberry Frozen Yogurt



Salam,


Selamat petang, apa agaknya juadah untuk minum petang hari ni ye? Saya hanya buat teh panas dan goreng kuih sejukbeku yang saya beli beberapa hari lepas. Kebetulan terserempak penjual kuih muih sejuk beku dan ternampak beberapa kuih yang menjadi kegemaran saya tetapi agak malas nak buat sendiri. Jadi saya beli sedikit sekadar ingin mencuba, sebab adakalnya tidak menepati selera. Tetapi alhamdulillah, yang ini sedap dan tidak mengecewakan.




Oh ya, masa saya ke Cameron Highlands tempohari, saya beli buah strawberry dengan agak banyak. Jadi sebahagiannya saya bekukan di dalam freezer. Sebab kalau tidak buah akan menjadi buruk dan berakhir di dalam tong sampah. So hari ni saya gunakan buah strawberry yang telah dibekukan untuk menyediakan Strawberry Frozen Yogurt.

Saya cuma simpan di tempak beku selama lebih kurang sejam saja, jadi ia tidaklah terlalu keras. Just nice for me. Maybe next time kena adjust kuantiti madu sebab rasanya agak masam. Mungkin strawberry pun memang masam ditambah dengan kandungan yogurt menyebabkan ia lebih masam dari jangkaan saya.



STRAWBERRY FROZEN YOGURT

2 Cawan frozen strawberry
3/4 cawan plain yogurt
1/2 cawan madu

Cara cara

1. Masukkan semua bahan ke dalam blender yang boleh digunakan untuk mengisar ais. Kisar hingga semua bahan halus dan sebati. 
2. Rasa, jika perlu boleh tambahkan kuantiti madu.
3. Tuang bahan kisar ke dalam bekas, tutup dan simpan di dalam tempat beku. Simpan lebih kurang 1 jam atau lama bergantung pada tekstur yang dikehendaki.
4. Keluarkan dan cedok ke dalam bekas hidangan.

Friday, July 13, 2012

Sambal Udang Petai


Salam,

Malam ni saya buat ulang tayang menu yang entah kali ke berapa. Tapi agak lama juga saya tak masak something with stinky beans aka petai kat rumah. Selalu saya akan masak hujung minggu atau hari cuti saja. Maklumlah kerja saya berurusan dengan orang, jadi kurang selesa kalau mulut berbau. Lagipun tidak berapa lama lagi bulan puasa, jadi teringin nak makan dalam bulan puasa pun tak berapa bagus juga.

Selain petai, ada jering dan buah genuak yang seangkatan dengannya dari segi bau. Tapi setakat ni saya cuma makan petai. Ada satu menu dari Negeri Pahang yang menggunakan jering rebus dan digaul dengan kelapa parut kalau tidak silap saya. Saya tidak pernah mencuba tetapi mak saya cakap ia sedap.

Okay berbalik pada menu malam ni, Udang Sambal petai.


Rasanya ramai yang tahu bagaimana nak buat sambal udang kan, tapi ia bervariasi bergantung kepada tekak dan kesukaan masing masing. Ada yang suka rasa dan bau serai dalam sambal tumis.Ada juga yang meletakkan sedikit santan diakhir masakan.

Walau bagaimana Sambal Tumis ini dimasak, ia memang menjadi menu kegemaran ramai orang di Malaysia terutamanya. Nasi lemak akan hilang serinya tanpa sambal tumis.

So, jemput makan......